Jumaat, 9 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Korban Syawal demi negara

Posted:

Korban Syawal demi negara

Korban Syawal demi negara

LALUAN masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah itu sibuk sepanjang hari. Baik pada waktu pagi, petang atau malam, kawasan tersebut sering dipenuhi kenderaan pelbagai jenis dari negara Gajah Putih ataupun warga Malaysia yang mahu ke Thailand.

Lori-lori kontena juga beratur menunggu giliran pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam itu. Tanpa jemu, para pegawai daripada tiga organisasi berbeza itu melaksanakan tugas dengan tekun demi mengekang sebarang ancaman dari luar.

Di kompleks CIQ, tugasan pemeriksaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagaimanapun tugas rondaan di kawasan sempadan dilaksanakan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Setiap kenderaan termasuk motosikal yang melewati kompleks itu tidak terlepas daripada pemantauan anggota PDRM. Berdasarkan pemerhatian, tidak semua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan. Tindakan itu mengundang persoalan di hati penulis yang ketika itu mengikuti sesi penggambaran rancangan dokumentari muzikal Aidilfitri, Salam Perwira untuk siaran TVi RTM (saluran 180 Astro).

"Mata kena tajam, naluri kena kuat! Kalau kami tengok pemandu atau penumpang dalam kenderaan itu cemas dan berada dalam keadaan mencurigakan, kami terus tahan dan periksa kenderaan mereka.

"Ada juga yang kami arahkan membawa beg dan barangan lain untuk imbasan sebagai langkah keselamatan lanjutan," jelas seorang anggota PDRM yang bertugas di kompleks tersebut.

Kesibukan itu tidak pernah putus meskipun pada bulan Ramadan mahupun Syawal. Tiada keluarga menyambut kepulangan para petugas di situ pada pagi Aidilfitri. Kesyahduan atau kegirangan hari raya hanya dikongsi sesama rakan sekerja yang meminjam rasa serupa.

"Selama 14 tahun saya bekerja dalam PDRM, pernah empat atau lima kali saya beraya di operasi," luah Asisten Supritendan (ASP) Azmi Abd. Aziz, 38, Pegawai Pemerintah Medan, Markas Taktikal Bukit Kayu Hitam, ketika ditemui Kosmo!.

"Tugas seperti ini tidak menentu dan saya perlu melakukan pertukaran lokasi dalam kalangan pegawai batalion PGA. Jadi ada masanya giliran bertugas itu jatuh pada bulan Syawal, suka atau tidak saya akur.

"Memang pada awalnya perasaan itu sebak sebab ketika itu anak-anak masih kecil. Dulu mereka terasa juga sebab bapa mereka tidak boleh pulang ketika raya, namun kini keluarga telah memahami tuntutan tugas saya," tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Amanah besar

Tugas mengawal keselamatan sempadan negara merupakan satu amanah besar. Setiap hari, anggota-anggota PGA di markas tersebut berganti syif mengawal pintu keluar masuk Malaysia - Thailand.

Menjelang musim perayaan, tugasan mereka menjadi lebih berat kepada pencegahan barangan penyeludupan popular seperti mercun.

Puncanya mudah, apabila memasuki Thailand dari Bukit Kayu Hitam, pengunjung akan tiba di bandar Danok terlebih dahulu. Di situ, mercun pelbagai jenis dapat dibeli pada harga yang jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

"Begitu juga dengan penyeludupan pendatang asing tanpa izin. Kebanyakannya terdiri daripada etnik Rohingya," kongsi Azmi.

Dalam kesibukan para pegawai dan anggota melaksanakan tugas, menjelang malam raya, suasana di markas tersebut bertukar meriah dengan kerja gotong-royong memasak.

"Kami bakar lemang, masak rendang dan menyediakan juadah raya yang lain beramai-ramai. Walaupun tidak dapat bersama keluarga, sekurang-kurangnya suasana Aidilfitri itu tidak hilang dan masih boleh dirasai sesama anggota di sini," cerita Inspektor Mohd. Haffiz Abdulah, 28, Pegawai Gerakan, Batalion 18.

Selepas solat sunat Aidilfitri, kata Haffiz, anggota yang tidak bertugas pada syif tersebut sama-sama menikmati jamuan sederhana yang disediakan markas dan makanan yang dihantar dari Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Biarpun kami menyambut raya dengan memakai uniform, suasana itu tetap terasa," tambah Haffiz yang berasal dari Marang, Terengganu yang mengatakan selepas jamuan semua anggota menyambung tugas seperti sediakala.

Selain juadah yang mereka sediakan sendiri, setiap unit operasi di setiap negeri turut menerima bekalan makanan Aidilfitri yang disediakan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan dihantar oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.

PARA anggota keselamatan tanpa mengira badan uniform di seluruh Malaysia akur dengan tuntutan tugas meskipun pada bulan Syawal. - Gambar hiasan


Agihan kuih-muih

Nasi himpit segera dan kuih-muih diagihkan kepada setiap markas dan pos kawalan sempadan seluruh Malaysia. Menurut Haffiz, kebiasaannya ia dihantar dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Inspektor Hazli Ibrahim, 28, dari Platun Komander 6, Kompeni B, Batalion 18 pula memberitahu, peluang berhari raya bersama keluarga terasa lebih bermakna selepas beberapa kali menempuh pengalaman beraya ketika bertugas.

"Waktu bujang dulu memanglah rasa biasa malah seronok pula sebab dapat merasai suasana Aidilfitri yang berbeza-beza. Kawan-kawan bujang pun ramai. Namun lepas berkahwin dan berkeluarga, bertugas dalam bulan Syawal membuatkan hati rasa berat.

"Tambahan pula sepanjang bulan puasa dan raya memang banyak kes penyeludupan besar-besaran berlaku," jelas Hazli yang telah bersama PDRM selama lapan tahun.

Bagi mengubati kerinduan sambutan Aidilfitri bersama keluarga, kesemua anggota PDRM yang tamat operasi selepas sebulan diberikan pelepasan dan cuti gantian selama seminggu hingga 10 hari. Usai tempoh itu, mereka perlu kembali ke kem masing-masing dan menjalankan kerja-kerja pengurusan.

Raya di pos

Jika kemeriahan sambutan di markas dikongsi bersama ratusan anggota, lain pula kisahnya di Pos PGA Kurong Tengar, Kuala Perlis. Daripada lima anggota yang ditugaskan di pos kecil itu, hanya dua daripada mereka yang beragama Islam.

Koperal Jaswi Wajan, 55, merupakan salah seorang anggota Muslim di pos tersebut. Meskipun kesemua anggota di situ hanya bertugas untuk tempoh sebulan sebelum kembali ke Kem PGA Ulu Kinta atau Bidor, Perak, tempoh dua dekad berganti pos sempadan sudah cukup mematangkan Jaswi setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal.

"Tipulah kalau cakap tak sedih jika terpaksa beraya ketika operasi lebih-lebih lagi pada pagi raya. Sayu mendengar suara keluarga dalam telefon mengucapkan selamat hari raya. Kalau dahulu rindukan anak-anak, sekarang rindukan cucu pula," luah Jaswi yang berasal dari Koyan, Pahang.

Kehidupan Jaswi bersama empat lagi anggota di Pos Kurong Tengar dilihat agak mencabar. Bukan bekalan makanan menjadi kerunsingan anggota di situ tetapi tahap keselesaan membuatkan tempoh sebulan terasa panjang dan mengganggu ketekunan tugasan.

Pos sempadan yang didirikan di tebing Pantai Kurong Tengar itu agak mendukacitakan dari segi binaannya. Struktur bangunan menggunakan kayu lama tidak pernah diganti malah ruangan dalaman juga tidak dilengkapi infrastruktur asas termasuk kipas angin.

Almari dan katil besi kelihatan uzur dan pemandangan itu menimbulkan rasa belas kepada para anggota di situ yang hidup dalam serba kekurangan terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal.

"Pada waktu malam, kami tidur pakai kelambu sebab nyamuk sangat banyak. Kami juga dibekalkan stok ubat malaria sebagai pencegahan," ujar Jaswi sambil menunjukkan tingkap bilik yang ditutup dengan jaring rintangan nyamuk.

Pos Kurong Tengar merupakan salah satu pos PGA di Perlis yang menjaga keselamatan sempadan Malaysia - Thailand. Biarpun anggota yang ditempatkan tidak ramai, sambutan Aidilfitri di situ masih disambut secara sederhana.

Juadah wajib seperti lemang, kari dan rendang dimasak secara berkumpulan. "Orang kampung di sini pun memberikan kami makanan pada hari raya. Jadi bolehlah anggota yang menyambut raya merasai nikmatnya nilai kekeluargaan itu," ujar Ketua Pos Kurong Tengar, Inspektor Loshius Mondolou, 30, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved