Rabu, 7 Ogos 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Jangan sampai jadi 'lauk' Barca

Posted:

Jangan sampai jadi 'lauk' Barca

Jangan sampai jadi 'lauk' Barca

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

MESSI (kanan) dijangka mengetuai Barcelona ketika menentang Harimau Malaya pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.


SEMANGAT Aidilfitri bakal menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya ketika melayan kunjungan Barcelona dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Hanya diberikan cuti pelepasan selama dua hari bermula kelmarin, situasi itu sewajarnya dijadikan pembakar semangat buat anak-anak buah Datuk K. Rajagobal mempamerkan taring sebenar ketika berdepan The Catalan kelak.

Meskipun ia bukan satu tugas mudah lantaran aura skuad kendalian Gerardo Martino itu yang tidak lagi perlu dipersoalkan, ada baiknya Harimau Malaya mengelak daripada teruk 'diratah' gergasi Sepanyol itu.

Rentetan kekalahan memalukan apabila bolos 12 gol tanpa balas dalam tiga aksi persahabatan di bumi Jepun baru-baru ini memberi petanda jelas betapa Harimau Malaya berdepan tugas cukup sukar.

Ditambah pula, Barcelona masih segar dengan kejayaan membelasah kelab terkemuka Brazil, Santos 8-0 pada aksi persahabatan - Trofi Joan Gamper di Nou Camp, Jumaat lalu.

Justeru, anak-anak buah Rajagobal harus bersedia lebih awal bagi mengelak daripada dibelasah dengan jumlah jaringan yang lebih besar ketika berdepan Barcelona nanti.

"Jika berjaya melakar kemenangan ataupun seri ketika berdepan Barcelona sudah dianggap satu bonus buat skuad Harimau Malaya.

"Jadi pemain harus mengelak daripada tewas dengan jumlah jaringan yang lebih besar daripada aksi di Jepun tempoh hari," kata bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.

Wan Jamak berkata, pemain negara perlu segera melupakan episod kekecewaan di negara Matahari Terbit itu selain tidak gentar dengan reputasi Barcelona selaku gergasi Eropah.

"Ini peluang kepada skuad negara kembali memenangi hati peminat dengan menampilkan aksi lebih kemas dan tersusun.

"Segala-galanya terpulang kepada pemain dan jurulatih sama ada mahu memanfaatkan peluang ini bagi memulihkan kepercayaan peminat ataupun tidak," kata Wan Jamak yang pernah membimbing skuad kebangsaan pada 1996.

Terdahulu, Rajagobal dikecam hebat apabila anak-anak buahnya sekadar mampu melakar dua kemenangan selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, selain Harimau Malaya gagal memperbaiki kedudukan lebih baik dalam ranking dunia apabila kini menghuni tangga ke-159.

Selain kekalahan memalukan di bumi Jepun baru-baru ini, skuad kendalian Rajagobal juga gagal mengekang cabaran Chelsea apabila tumpas 1-4 di Stadium Shah Alam, 21 Julai lalu.

Aksi persahabatan itu merupakan sebahagian daripada perancangan Rajagobal sebagai persediaan mengharungi baki kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Ketika ini, Harimau Malaya menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga mata selepas tewas 0-2 kepada Qatar pada aksi pertama sebelum menang 2-1 ke atas Yemen pada aksi kedua Mac lalu.

Selepas melayan kunjungan Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Oktober depan, Harimau Malaya sekali lagi berdepan lawan yang sama di Stadium Manama (15 November) sebelum menentang Qatar (19 November) dan Yemen pada 5 Mac tahun depan.

Aidilfitri tiga sekawan

Posted:

Aidilfitri tiga sekawan

Aidilfitri tiga sekawan

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


ARFY (empat dari kiri), Nur Ayuni Farhana (barisan belakang, tiga dari kanan) dan Zulfadli (barisan belakang, dua dari kanan) bergambar bersama guru-guru serta para pelajar di SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.


AIDILFITRI kali ini ternyata membawa kelainan tersendiri buat tiga atlet muda negara - pemain badminton, Zulfadli Zulkifli, penembak wanita, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan pelumba basikal trek, Mohd. Arfy Qhairant Amran.

Melupakan seketika rutin harian sebagai seorang atlet sempena sambutan Hari Raya, ketiga-tiga atlet terbabit sudah mempunyaii perancangan masing-masing bagi menyambut hari lebaran tahun ini.

Sambil menyifatkan Aidilfitri sebagai peluang terbaik untuk berjumpa ahli keluarga dan sanak saudara, berkongsi kegembiraan Syawal bersama pelajar-pelajar istimewa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor juga menambah 'perisa' dalam diari mereka.

"Ini pertama kali saya merasa pengalaman sebegini. Saya selalu sibuk dengan latihan dan menyertai kejohanan sehingga membuatkan saya kadangkala terlupa nasib mereka yang lain.

"Melihat keadaan mereka, ia membuatkan saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Pertama kali terlibat dengan kerja amal, ia benar-benar membuatkan saya sedar dengan banyak perkara," ujar Zulfadli.

Menurut Zulfadli, buat pertama kali selepas empat tahun, dia dapat meraikan Aidilfitri bersama ahli keluarganya di kampung di Johor.

"Sebelum ini, saya terpaksa beraya di perantauan seperti di Vietnam dan Taiwan kerana menghadapi kejohanan di sana. Memang susah hendak ceritakan perasaan setiap kali mendengar takbir tanpa ahli keluarga.

"Tahun ini, saya bersyukur sangat kerana tidak ada sebarang kejohanan pada Aidilfitri.

"Jadi saya mendapat peluang untuk beraya bersama ahli keluarga di Johor," katanya yang hanya bercuti selama beberapa hari sebelum kembali menyambung latihan bagi menghadapi kejohanan di Taiwan.

Bagi Nur Ayuni Farhana, pengalaman berbeza yang pelbagai ditempuhi setiap tahun menjadi sebahagian daripada cerita Aidifitrinya.

Menyingkap pengalaman sebagai atlet negara yang sering berkelana di bumi asing, insiden tiba di lapangan terbang tatkala takbir raya berkumandang menjadi titipan yang paling sukar dilupakan.

"Peristiwa itu berlaku pada 2008 ketika saya menyertai satu kejohanan di Vietnam di mana ia bermula 10 hari sebelum raya.

"Walaupun bertanding dan memberi yang terbaik, saya akui waktu itu, semangat makin hari, memang dah lama terbang sebab asyik teringat kampung halaman.

"Boleh dikatakan, semangat beraya mengatasi semangat untuk bertanding pada waktu itu.

"Bukan itu sahaja, masing-masing risau tidak dapat pulang ke Malaysia tepat pada waktunya. Apabila sampai di lapangan terbang, masa itu terdengar takbir raya. Memang semua orang menangis sebab sayu.

"Walaupun sudah selamat tiba dan berada di Malaysia, perasaan sedih itu tetap tebal. Maklumlah, umur masih muda ketika itu.

"Jadi, perasaan sayu menjadi-jadi. Sedih sangat sebab malam raya berada di lapangan terbang," ungkap Nur Ayuni Farhana yang ketika itu berusia 19 tahun.

Memilih busana dari motif dan fabrik batik, Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat Nur Ayuni Farhana apabila dapat beraya bersama keluarga suami di Pulau Pinang.

"Perasaan bercampur aduk. Berdebar ada, teruja pun ada sebab ini pertama kali beraya bersama keluarga mertua.

"Namun, saya tak kisah sebab yang paling penting, keluarga ada," jelasnya yang memilih warna biru sebagai tema Aidilfitri tahun ini.

Arfy Qhairant turut melahirkan rasa syukur kerana dapat meraikan hari lebaran bersama ahli keluarga tahun ini.

Memilih warna jingga, Arfy Qhairant menjelaskan, setiap tahun dia mengutip pengalaman berbeza ketika menyambut Ramadan dan Syawal.

"Untuk tahun ini, pengalaman paling istimewa ialah bersama pelajar kurang upaya. Pengalaman terlalu berharga bagi saya.

"Melihat situasi mereka, ia membuatkan saya kenal erti syukur dan berterima kasih dengan apa yang saya ada sekarang.

"Sudah tentu saya rasa tercabar melihat kesungguhan mereka berjaya dalam sukan dan pelajaran meskipun mereka banyak kekurangan.

"Saya akan mengambil semangat mereka dan akan mengingatinya apabila saya hampir berputus asa.

"Malu kalau saya mudah putus asa sedangkan saya mempunyai banyak kelebihan berbanding mereka," jelasnya.

Menyentuh mengenai persiapan raya, Arfy enggan berlebih-lebihan dalam membuat persiapan.

"Paling utama, dapat beraya dengan keluarga sambil menikmati hidangan yang lazat seperti rendang dan ketupat," katanya.

Misi Tengku Mahaleel

Posted:

Misi Tengku Mahaleel

Misi Tengku Mahaleel

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


TENGKU MAHALEEL (dua dari kanan) bersalaman dengan Mohd. Nadzmi selepas dipilih sebagai Presiden BAM yang baharu.


PRESIDEN baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dilihat mempunyai misi tersendiri dalam usaha beliau untuk membangunkan sukan badminton di negara ini.

Selepas dilantik secara rasmi pada 27 Julai lalu bagi menggantikan tempat Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh, Tengku Mahaleel mendedahkan bahawa beliau mempunyai hasrat untuk menjadikan sukan badminton sebagai sebuah industri.

Terkenal dengan latar belakang sebagai ahli korporat, ternyata bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holding Berhad itu bukan sahaja dilihat mampu menjadikan badminton sebagai satu industri sukan, malah usahanya itu juga bakal mengembangkan lagi sukan badminton dengan baik.

"Pada era sekarang, badminton adalah satu industri yang sedang meningkat, sama ada daripada segi kewangan dan juga pemain-pemain yang baharu.

"Jadi satu-satunya yang kami hendak pastikan boleh atau tidak (boleh)... badminton menjadi satu industri dan Malaysia sebagai sebuah negara pelopor," kata Tengku Mahaleel.

Ujarnya, karier dalam sukan badminton juga tidak boleh diperkecilkan kerana setiap pemain yang berjaya atau jurulatih menerima pendapatan yang tinggi.

"Seperti jurulatih, pendapatan mereka juga sudah meningkat dan lebih daripada (lulusan) siswazah, jadi ini membuktikan ada karier (yang terjamin) dalam bidang kejurulatihan.

"Kalau kita lihat pemain-pemain badminton yang handal sekarang yang berada dalam ranking 20 dunia, mereka semua jutawan. Jadi ini ialah perniagaan dan bukan hanya sukan untuk menyihatkan badan.

"Contohnya (Datuk) Lee Chong Wei, dia jutawan kerana dia ada penaja dan hadiah kemenangan yang diperoleh juga sudah meningkat," kata Mahaleel yang juga Presiden Persatuan Badminton Kelantan.

Begitupun, Tengku Mahaleel mengakui tugas utama yang perlu diutamakan beliau sekarang adalah untuk mempromosikan lagi sukan badminton di peringkat akar umbi.

Menurutnya, persepsi dalam kalangan ibu bapa harus diubah terlebih dahulu kerana mereka merupakan pengaruh utama yang menentukan karier dan masa depan anak-anak.

"Kalau kita hendak menjadikan badminton sebagai satu industri, pertama sekali kena cari ramai pemain, peminat atau penyokong.

"Dalam hal ini, ibu bapa yang mustahak sebab ibu bapalah yang memberikan galakan kepada anak-anak mereka untuk memasuki bidang ini.

"Kadang-kadang ibu bapa yang melihat anak pergi ke sekolah, mereka kalau boleh mahu anak-anak menjadi jurutera, doktor dan sebagainya.

"Begitupun, kalau kita lihat daripada segi industri sukan, anda akan lihat pemain bola sepak (antarabangsa) yang menerima gaji mencecah RM1 juta seminggu.

"Jadi BAM mesti memainkan peranan yang penting untuk memberi galakan dan mempromosikan sukan badminton," jelasnya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menyokong hasrat tersebut mengakui Tengku Mahaleel akan menjadi peneraju jika matlamatnya itu tercapai.

"MSN memang sangat gembira jika sukan badminton dapat dijadikan industri sukan yang berjaya kerana ia bukan sahaja akan mendatangkan pendapatan untuk atlet tetapi untuk persatuan, sekali gus untuk negara kita.

"Di Malaysia, industri sukan masih di peringkat awal. Jika dalam sukan badminton, individu yang berjaya sekarang ialah Chong Wei kerana beliau berada pada ranking No. 1 dunia.

"Chong Wei bukan sahaja bagus daripada segi ranking tetapi pencapaian beliau dalam kejohanan juga baik.

"Jadi penaja menjadikan beliau sebagai sumber perniagaan. Nama dia sahaja dapat dijual menerusi iklan barangan seperti Yonex dan sebagainya," kata Zolkples.

Bagaimanapun, Zolkples juga percaya pelbagai cabaran harus ditempuhi oleh BAM dalam usaha mereka untuk merealisasikan hasratnya itu.

"Badminton tidak seperti bola sepak kerana bola sepak sukan No. 1 di negara ini dan tarikan daripada peminat sukan tanah air juga tinggi.

"Jadi dengan melahirkan ramai pemain-pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei dapat meningkatkan sukan badminton di Malaysia," tambahnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved