Kosmo Online - Rencana Utama |
- Jalan kaki ke masjid seawal pukul 3 pagi
- Rumah Prof. Kamil tumpuan tetamu
- Banteras jenayah di taman perumahan
Jalan kaki ke masjid seawal pukul 3 pagi Posted: Jalan kaki ke masjid seawal pukul 3 pagiPELUANG menjejakkan kaki di dua tanah suci, Mekah dan Madinah pastinya menjadi impian umat Islam di seluruh dunia. Namun, bukan semua orang dapat menjadikannya satu realiti. Hakikatnya, panggilan sebagai tetamu Allah sudah ditentukan oleh-Nya sejak azali. Sama ada untuk menunaikan haji, umrah atau mendapat tawaran bekerja, semua itu merupakan nikmat yang harus disyukuri. Bagi Mohd. Razif Abd. Halim, 33, tawaran bekerja sebagai Pengurus Teknikal di Shuaibah Water & Electricity Company membolehkan beliau berhijrah ke Mekah sejak awal tahun 2011. Beliau kini menetap di Perkampungan Sharbatly yang terletak di daerah al-Marwah, Mekah bersama isteri, Azlina Samian, 28, dan dua anak mereka, Ahmad Rayyan Azra, 6, dan Iman Rayhannah Azra, 4. Menurut Mohd. Razif, sepanjang dua tahun setengah berada di sana, beliau dan keluarga berpeluang meraikan Aidilfitri di kota suci Mekah, satu pengalaman yang pasti kekal dalam ingatannya. "Meskipun hati terasa sebak kerana tidak dapat mengucup tangan kedua-dua ibu bapa pada pagi Syawal, namun tercalit perasaan tenang yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila menunaikan solat Subuh dan solat sunat Aidilfitri di Masjidil Haram bersama jutaan umat Islam. "Perasaan sebak dan sayu terus hilang tatkala berhadapan dengan Kaabah yang tersergam indah dan pemandangan lautan manusia di sekitarnya. Bayangkan saf di Masjidil Haram bersambung lebih satu kilometer dari kawasan masjid dengan semua jemaah membentangkan sejadah masing-masing di atas jalan raya," ujar Mohd. Razif melalui kiriman e-mel kepada Kosmo!. SUASANA berbuka pada hari terakhir Ramadan di dataran Masjidil Haram pasti memberi pengalaman bermakna buat mereka yang pernah melaluinya. Tidak tidur Pada malam raya beliau memilih untuk tinggal di Hotel Shohada yang berdekatan dengan Masjidil Haram bagi memudahkan urusan beribadat pada pagi Aidilfitri. Ketika itu, jalan raya ditutup daripada semua jenis kenderaan untuk membolehkan jemaah berjalan kaki di sekeliling kawasan masjid. Malah, kebanyakan jemaah tidak tidur pada malam tersebut semata-mata mahu mendapatkan tempat solat terbaik di Masjidil Haram. "Sambutan 1 Syawal keluarga kami dimulakan dengan berjalan kaki ke Masjidilharam seawal pukul 3 pagi bagi mendapatkan saf untuk solat Subuh. "Sesudah khutbah Aidilfitri, kami akan berkunjung ke Restoran D'Saji yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia bagi menikmati juadah raya seperti sate, ketupat, rendang dan teh tarik. "Sekurang-kurangnya dengan menikmati juadah tersebut, ia dapat mengubat kerinduan kami pada suasana hari raya di tanah air," katanya sambil memberitahu, beliau tidak melakukan ibadah tawaf pada pagi Syawal. Ini kerana dataran tawaf amat sesak dan kemasukan ke sana dikawal rapi oleh askar Arab Saudi. Tambah Mohd. Razif, mereka sekeluarga hanya akan pulang ke rumah selepas solat Asar dan kemudian memasak juadah raya sendiri. Dalam pada itu, Mohd. Razif turut berkongsi pengalaman yang dilalui berkaitan dengan takbir raya yang bukan satu kebiasaan dilakukan di Masjidil Haram. RAZIF bersama keluarga mengakui rasa sebak dan sayu apabila berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di Mekah bersama jutaan umat Islam dari seluruh dunia. Tiada takbir "Di Malaysia, kita tahu bahawa semua masjid akan melakukan aktiviti bertakbir sebelum memulakan solat sunat Aidilfitri tetapi di Mekah situasi sedemikian tidak berlaku. "Pada waktu itu, saya duduk di belakang seorang jemaah warga Indonesia. Memandangkan tiada takbir dilaungkan, dia mula bertakbir sendiri di tengah-tengah lautan jemaah. Suaranya menjadi sebak sewaktu bertakbir hingga membuatkan saya terbayangkan kampung halaman. "Sambil bertakbir serentak dengan beliau, sedar tak sedar air mata saya mengalir laju. Mujurlah tidak lama selepas itu, imam mengumumkan permulaan solat sunat Aidilfitri sekali gus menghentikan saya daripada lamunan," ungkap Mohd. Razif yang merindui rendang daging yang dimakan bersama ketupat palas hasil air tangan neneknya di Kampung Jelempok, Perlis. Bagi melepaskan rindu pada keluarga di Malaysia. Mohd. Razif akan menghubungi mereka dan teknologi aplikasi Skype menjadi perantara. Apa yang pasti, sebagai seorang rakyat Malaysia, Mohd. Razif mengakui jika diberi pilihan sama ada beraya di perantauan atau di tanah air sendiri, sudah tentu beliau memilih beraya di kampung halaman. "Ini kerana suasana hari raya bersama sanak saudara dan sahabat handai tidak akan diperoleh di tempat lain. Bak kata pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, baik lagi negara sendiri. "Namun, pengalaman meraikan Aidilfitri di Mekah memberikan satu dimensi berbeza bagi saya sekeluarga. Saya bersyukur kerana berpeluang merasainya," ujar beliau. Sementara itu, jika Mohd. Razif baru kali pertama meraikan hari raya di Mekah, berlainan pula dengan pengalaman Normah Murad, 52. Normah berkesempatan meraikan Aidilfitri di kota penuh bercahaya, Madinah al-Munawwarah sejak 34 tahun lalu. Menurut anak kelahiran Pendang, Kedah itu, beliau menetap di Madinah sejak tahun 1979 kerana mengikut suami yang berhijrah ke sana. Sejak itu, hanya dua kali beliau meraikan Aidilfitri di Malaysia iaitu pada tahun 2008 dan 2010, selebihnya di kota mulia yang di dalamnya terdapat jasad Rasulullah SAW. KELUARGA bahagia Normah meraikan Aidilfitri di Madinah dalam suasana penuh kesederhanaan sejak tiga dekad lalu. "Pada tahun pertama beraya di Madinah lebih tiga dekad lalu, hati terasa amat syahdu mengenangkan kampung halaman. Tetapi, lama-kelamaan sudah tidak terasa apa-apa kerana semua keluarga ada bersama. "Malah, saya rasa amat bertuah kerana dapat menyambut hari raya di bumi barakah yang menjadi idaman setiap umat Islam," kata Normah sambil menyifatkan kemeriahan Aidilfitri di Madinah hanya terdapat pada pagi 1 Syawal apabila umat Islam pelbagai bangsa berkumpul di Masjid Nabawi. Jika dibandingkan dengan sambutan di Malaysia, Normah mengakui ia amat sederhana, namun bagi mereka yang tinggal di Madinah, suasana itu cukup meriah. "Masing-masing gembira kerana dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Nabawi. Aneka ragam manusia dapat dilihat dan kanak-kanak yang memakai pakaian baharu berwarna-warni menceriakan suasana," jelas Normah. Pada malam raya, Normah akan sibuk memasak juadah seperti ketupat pulut dan nasi, rendang, kuah kacang, nasi minyak, ayam masak merah dan dalca. Selain itu, biskut raya dan manisan tempatan Madinah serta kopi arab yang dinamakan gahwa arabia. "Selepas solat sunat Aidilfitri, saya akan menyediakan juadah untuk tetamu. Kemudian, kami sekeluarga berehat sampai ke petang. "Pada sebelah malam, barulah kami bertandang ke rumah rakan-rakan atau berjalan bersama keluarga," terangnya sambil memberitahu, juadah Malaysia terutama menu tradisi jarang dijual di Madinah. |
Rumah Prof. Kamil tumpuan tetamu Posted: Rumah Prof. Kamil tumpuan tetamuTETAMU yang berkunjung ke rumah Muhd. Kamil disajikan dengan pelbagai hidangan istimewa masakan isterinya, Roza. BERHIJRAH ke Madinah pada 7 September 2011 kerana menerima tawaran sebagai profesor perakaunan di Universiti Taibah, Madinah merupakan antara keputusan besar yang pernah dibuat oleh Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dalam hidupnya. Meskipun ketika itu beliau menjawat jawatan penting sebagai Pengarah Kampus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, panggilan dari Madinah itu terasa amat bermakna. Justeru, beliau sanggup melepaskan jawatan yang dimiliki semata-mata untuk menetap di bumi penuh berkat itu. Ditanya tentang pengalaman meraikan Aidilfitri di Madinah, Muhd. Kamil mengakui ia sangat berbeza. "Alhamdulillah, tahun pertama di Madinah, kami seisi keluarga termasuk ibu mertua dapat menunaikan ibadat puasa dan meraikan Aidilfitri. "Apa yang boleh saya katakan, Aidilfitri di Madinah bukanlah satu sambutan yang meriah berbanding Malaysia. Hakikatnya, saya lebih terkenangkan suasana berpuasa, berbuka dan solat tarawih di Masjid Nabawi yang sentiasa penuh. "Malah, kami terasa nikmat luar biasa kerana berpuasa ketika universiti bercuti. Lalu hampir sepanjang masa kami solat lima waktu di Masjid Nabawi dan berada di dalamnya antara tujuh hingga lapan jam sehari," ujar Muhd. Kamil dalam satu kiriman e-mel kepada Kosmo!. KELUARGA bahagia. Muhd. Kamil bersama Rauzah (tiga dari kiri), empat anak dan ibu mertuanya (empat dari kiri). Ramai ziarah Menurut beliau, hari raya di Madinah sunyi sepi. Namun, rumahnya di Jabal Uhud menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Keluarganya menerima tetamu yang terdiri daripada mereka yang tinggal di Madinah, Riyadh, Dammam, Jeddah dan Yanbo. "Boleh dikatakan, ramai yang datang menziarahi kami pada hari raya. Jadi dalam konteks tersebut, saya kira ia satu suasana yang agak meriah. "Pada pagi Syawal, seisi keluarga akan solat Subuh dan solat sunat Aidilfitri di Masjid Nabawi. Kemudian, barulah kami menunggu kedatangan tetamu. Ia bukanlah terlalu luar biasa, cuma, saya akan pastikan kami sekeluarga meneruskan rutin harian bersolat di Masjid Nabawi," terangnya. Tambah Muhd. Kamil, isterinya, Raudzah Roslan atau mesra dipanggil Roza seperti biasa akan memasak pelbagai juadah istimewa bagi meraikan tetamu. "Setiap tetamu menerima menu yang berbeza. Roza selalu memasak banyak jenis makanan tetapi pada kadar yang sedikit. Selepas habis satu menu utama, kemudian dikeluarkan pula menu kedua. Namun, nasi arab menjadi hidangan pada awal pagi," tuturnya. Dalam pada itu, Muhd. Kamil menegaskan, jika sambutan Aidilfitri di Malaysia dibuat perbandingan dengan Madinah, maka tiada istilah sambutan Aidilfitri di sana kerana penduduk setempat hanya 'hidup' selepas solat Isyak. Suasana jalan pula lengang dan jiran tetangga balik kampung. KAWASAN rumah yang didiami Muhd. Kamil bersama isteri yang terletak di Jabal Uhud. Justeru, melihat situasi tersebut, Muhd. Kamil melahirkan harapan agar umat Islam di Malaysia tidak tersasar dalam meraikan Aidilfitri. "Saya selalu berpesan, hari raya adalah ujian terbesar kepada kita. Mereka yang selalu ke masjid solat berjemaah tertewas pada hari ini. Mereka abaikan rutin ini semata-mata mahu meraikan tetamu. "Ajaklah tetamu untuk solat apabila azan berkumandang. Saya fikir itulah cara kita memuliakan tetamu. Biar mereka hampir dengan Allah SWT. Ingatkan kepada kaum keluarga. "Kepada golongan wanita, jagalah aurat. Jaga kecantikan kita di sisi Allah. Jangan kita hiasi diri dengan perkara-perkara yang tidak sesuai selain perintah Allah. Jika ia dapat dilakukan, insyaAllah, sambutan hari raya pasti terasa lebih damai di hati," ungkapnya penuh makna. Untuk mengikuti perkembangan Muhd. Kamil, layari blognya di http://muhdkamil.org. - KHADIJAH MOHAMAD NOR |
Banteras jenayah di taman perumahan Posted: Banteras jenayah di taman perumahanOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA SUASANA di Taman Perwira dan Taman Setia yang terletak di daerah Gombak, Kuala Lumpur itu kelihatan lengang. Kebanyakan pintu dan pagar rumah di taman perumahan yang bersempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur itu tertutup rapat. Bilangan kenderaan yang melalui beberapa laluan utama juga boleh dihitung dengan jari, tidak seperti lazimnya. Bagi Amirul Adli, 31, senario itu tidaklah menghairankan. Seperti warga kota yang lain, sebahagian penduduknya masih bercuti di kampung halaman masing-masing bagi meraikan Syawal. Sebagai salah seorang kakitangan keselamatan Kawalan Keselamatan Komuniti di bawah Badan Kebajikan Perwira Setia Indah Gombak (BKPSIG) itu, Amirul tekun menjalankan tugasnya di salah sebuah pos kawalan keselamatan di situ. Matanya meliar memerhatikan kenderaan yang sesekali keluar masuk. Sebahagian besar wajah itu memang dikenalinya kerana dia juga salah seorang penduduk taman perumahan tersebut. "Dulu saya bekerja di pasar raya, namun selepas Kawalan Keselamatan Komuniti ini ditubuhkan dua tahun lalu saya menawarkan diri bekerja di sini. "Selain mengenali sebahagian besar penduduk taman ini, ia juga memudahkan saya kerana tidak perlu berulang jauh untuk ke tempat kerja," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu. Tambah Amirul, ketika ini terdapat kira-kira 13 kakitangan keselamatan termasuk seorang penyelia bertugas mengawal kawasan itu yang meliputi hampir 300 buah kediaman. Syif "Kami bertugas 24 jam sehari mengikut tiga syif berbeza. Bagaimanapun disebabkan ada rakan-rakan setugas yang bercuti hari raya ini, kami terpaksa memikul tanggungjawab itu termasuk bekerja melebihi had masa," ujarnya. Tugas utama Amirul ialah berkawal di pos kawalan keselamatan bagi memantau kenderaan atau individu yang keluar masuk di kawasan itu di samping melakukan rondaan berkala di zon-zon yang ditetapkan. PENGALAMAN menjadi anggota polis sukarela mengajar Alwiyah (kanan) mengenai disiplin dan tanggungjawab. "Biasanya setiap kali musim perayaan, kebanyakan rumah kosong sekali gus meningkatkan risiko berlakunya jenayah dan pecah rumah. "Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kami di sini membolehkan penduduk bercuti panjang dengan tenang dan aman, tanpa ada perasaan takut akan risiko keselamatan," katanya. Bercerita mengenai Kawalan Keselamatan Komuniti itu, Yang Dipertua BKPSIG, Datuk Nik Mohamad Pena Nik Mustafa berkata, ia diwujudkan bagi memastikan keselamatan dan kelestarian penduduk di kawasan itu sentiasa terjamin. Katanya, sebelum kewujudan Kawalan Keselamatan Komuniti kira-kira dua tahun lalu, penyeliaan kawalan keselamatan di taman itu dilakukan secara sukarela melalui Rukun Tetangga (RT) pada tahun 2008. Bagaimanapun, disebabkan sambutan penduduk yang agak dingin, pihaknya terpaksa melantik syarikat pengawal keselamatan bagi menguruskannya. "Pada peringkat awal, ia berjalan lancar, namun disebabkan rata-rata pengawal keselamatan ini merupakan warga asing sedikit sebanyak ia menimbulkan masalah komunikasi dengan penduduk, pada masa yang sama, kos pengambilan pengawal keselamatan juga agak tinggi. "Disebabkan itu, kami mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) selama beberapa tahun sebelum membentuk Kawalan Keselamatan Komuniti di bawah BKPSIG," katanya. Komuniti Kepolisan Tambah Nik Mohamad, BKPSIG turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah program Komuniti Kepolisan termasuk menyediakan khidmat polis sukarela yang terdiri daripada kakitangan keselamatan sedia ada. "Pada dasarnya, mereka masih kakitangan keselamatan, namun apabila melapor diri sebagai anggota polis sukarela, mereka dibenarkan memakai pakaian seragam dan menjalankan tugas-tugas polis. "Sehingga kini kami mempunyai tiga anggota polis sukarela. Matlamatnya ialah mewujudkan kerjasama antara PDRM dan masyarakat bagi membanteras jenayah dan membentuk persekitaran yang selamat," katanya. Jelas beliau, sempena musim perayaan ini, pihaknya turut mengedarkan borang khas bagi mereka yang mahu pulang ke kampung. "Ini memudahkan pemantauan dilakukan secara berterusan sama ada oleh PDRM atau kakitangan keselamatan yang bertugas. "Pada masa yang sama, pihak kami turut melantik seorang penghulu di setiap laluan taman perumahan yang bertanggungjawab memantau kejiranan mereka," ujarnya. Sementara itu, Eksekutif Keselamatan BKPSIG, Azri Shamsul Zaralul berkata, dia menawarkan diri menjadi kakitangan keselamatan di situ selepas menyaksikan satu kejadian ragut melibatkan jirannya. KERJASAMA erat antara masyarakat dan PDRM mampu mengurangkan kadar jenayah di kawasan taman-taman perumahan pada musim perayaan. Ekoran kejadian itu dia dan rakan-rakan daripada BKPSIG berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membanteras kegiatan jenayah yang berleluasa di situ. "Pelbagai langkah diambil seperti menggunakan RT, pengawal keselamatan dan Rela termasuk terbaru melalui Kawalan Keselamatan Komuniti ini. "Walaupun dikenakan sedikit bayaran bulanan, ia berbaloi lebih-lebih lagi perkhidmatan yang diberikan menyeluruh. "Lagipun ia tidak dilaksanakan secara semberono sebaliknya mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan PDRM," jelasnya. Timba pengalaman Satu-satunya kakitangan keselamatan wanita, Alwiyah Ahmad, 34, mengakui banyak menimba pengalaman sejak bekerja di situ kira-kira dua tahun yang lalu. Lebih membanggakan, melalui inisiatif BKPSIG juga dia berpeluang menjalani latihan sebagai anggota pasukan polis sukarela. Katanya, sejak menyertai pasukan seragam itu, banyak pengalaman baharu yang ditimba terutama membabitkan aspek disiplin dan tugas-tugas kepolisan. "Segala ilmu yang ditimba ini saya terjemahkan ketika bertugas demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan penduduk sekitar," katanya. Kata Alwiyah, hatinya tersentuh ketika mendengar laungan takbir Aidilfitri apatah lagi terpaksa berpisah seketika dengan suami dan anak-anaknya yang seramai tiga orang itu kerana tugas. "Siapa yang tidak sedih, ketika orang ramai sibuk bergaya dengan pakaian baharu dan menikmati juadah istimewa pada pagi raya, saya dan beberapa rakan lain pula bertugas menjaga keselamatan. "Mujurlah pengalaman bertugas pada hari raya selama tiga tahun berturut-turut ketika bekerja di pasar raya sekitar tahun 2003 dahulu menjadi penguat semangat. "Sungguhpun bertugas, saya masih boleh menikmati juadah hari raya bersama rakan-rakan hasil pemberian penduduk," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan