Kosmo Online - Hiburan |
Jual filem, bukan cerita sensasi Posted: Jual filem, bukan cerita sensasiBERKESEMPATAN menonton filem Lemak Kampung Santan terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd. kira-kira dua minggu lalu, ternyata gandingan mantap antara pelakon Hans Isaac dan Noor Neelofa Mohd. Noor cukup menyerlah. Ironinya, mereka baru kali pertama berlakon bersama-sama. Bagaimanapun, sepanjang proses penerbitan filem berkenaan yang mengambil masa sehingga hampir dua tahun sebelum akhirnya ditayangkan di pawagam pada hari raya pertama yang dijangkakan 8 Ogos ini, Hans dan Neelofa tidak terlepas apabila dikaitkan mempunyai hubungan istimewa. Hans selaku pengarah filem tersebut menegaskan bahawa dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi kisah dirinya yang dikatakan bercinta dengan Neelofa terus dijadikan bahan sensasi ramai. "Secara jujurnya, saya tidak mahu cerita mengenai kami lebih menjadi tumpuan berbanding filem ini. "Lagipun beberapa bulan lalu saya sudah membuat satu sidang akhbar khas untuk menjelaskan perkara yang sebenar. "Tambahan pula, tidak lama lagi filem ini akan ditayangkan di pawagam dan saya tidak ingin penonton memberi tanggapan yang saya sengaja menjaja kisah cinta semata-mata mahu melariskan filem ini," ujarnya pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini. Menurut Hans yang juga bertindak sebagai penerbit Lemak Kampung Santan dihasilkan dengan begitu teliti sehingga mengambil masa yang lama. Ia turut membabitkan rombakan skrip yang dilakukan sebanyak 15 kali semata-mata untuk menghasilkan sebuah filem berkualiti dan memenuhi cita rasa penonton. Ujarnya, dia turut meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kejayaan filem terbaharunya itu serta dapat memberi kepuasan kepada penonton dengan kelainan jalan cerita yang ditampilkan. "Sebagai seorang penerbit sudah tentu saya ingin jual filem yang dihasilkan dan berharap supaya mendapat pula ngan yang setimpal. "Tidak dinafikan saya memang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk filem ini. "Namun begitu, saya tidak mahu cerita sensasi yang membabitkan diri saya dan Neelofa dijadikan sebagai pelaris untuk orang ramai ke pawagam. "Sebaliknya, saya yakin filem ini mempunyai kualiti tersendiri yang dapat menarik orang ramai untuk menonton filem ini," jelasnya. Mengenai pemilihan Neelofa untuk memegang watak heroin, secara jujurnya Hans memberitahu, sewaktu kali pertama bertemu setelah diperkenalkan oleh Aziz M. Osman, dia melihat pelakon tersebut mempunyai karisma dan tarikan yang tersendiri.
Bagaimanapun, Hans menegaskan bahawa sebelum diambil berlakon dalam filem tersebut, Neelofa perlu menjalani sesi uji bakat terlebih dahulu. Ia membabitkan penilaian oleh lapan orang rakannya yang sudah berpengalaman dalam bidang lakonan. "Sepanjang menjalani penggambaran filem ini Neelofa telah memberi komitmen seratus peratus. "Saya sangat berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkannya. Dia berjaya membawakan watak Tiqa dengan baik. "Secara jujurnya saya sangat senang bekerjasama dengannya kerana saya melihat dia bukanlah jenis wanita yang hipokrit. "Kalau ada perkara yang tidak memuaskan hati, dia akan berterus terang dan ia memudahkan lagi semua pihak untuk bekerja dan menghabiskan penggambaran tanpa timbul sebarang masalah yang besar," ujarnya. Menurut Hans lagi, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Neelofa pada masa akan datang, namun berharap agar mereka tidak terus dikaitkan mempunyai hubungan cinta lagi. Promosi Biarpun Lemak Kampung Santan ditayangkan ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, Hans menegaskan, ia bukanlah jaminan buat filemnya itu mampu mencecah kutipan yang tinggi. Tambahan pula katanya, filemnya itu terpaksa bersaing dengan sebuah lagi filem Melayu yang tidak kurang hebatnya iaitu Adnan Sempit 3 yang turut ditayangkan pada hari yang sama. "Buat masa ini, saya terpaksa menggiatkan lagi aktiviti promosi filem, malah telah memperuntukkan sebanyak RM750,000 sebagai kos membeli iklan di media cetak dan elektronik. "Selain itu, para pelakon yang terlibat dalam filem ini juga akan terbabit dengan rangka promosi menerusi siri jelajah di seluruh negara yang akan diaturkan dan akan bermula sama ada empat atau lima hari selepas sambutan Aidilfitri," ujarnya. Lemak Kampung Santan mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans) yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung penjual nasi lemak bernama Tiqa (Neelofa) dalam satu pertemuan yang berlaku tanpa diduga di Kampung Santan. Bagaimanapun, Tiqa tidak mengetahui bahawa Ridzuan merupakan ketua projek yang akan membina sebuah resort bertaraf antarabangsa di Kampung Santan dan memaksa semua penduduk kampung untuk berpindah.
Selain Hans dan Neelofa, filem tersebut turut dibintangi beberapa pelakon popular lain seperti Harun Salim Bachik, Awie, Nadia Mustafa, Khir Rahman dan Natasha Hudson. Mengaku bercinta Sementara itu, Neelofa yang turut hadir bersama Hans pada sesi fotografi tersebut meminta supaya tiada lagi pihak yang terus mengaitkan kisah cinta mereka berdua. Membuat pengakuan berani apabila mengesahkan dia memang bercinta dengan Hans, namun pelakon tersebut mendedahkan kisah cinta mereka sekadar menjadi realiti dalam Lemak Kampung Santan sahaja. "Selama ini orang melihat kami seperti pasangan bercinta tetapi hakikatnya kami sekadar teman rapat. "Seboleh-bolehnya biarlah tiada lagi cerita yang terus mengatakan kami ini menjalinkan hubungan istimewa. "Kalau ada mana-mana pihak yang ingin melihat kami bercinta, mereka boleh menyaksikannya dalam Lemak Kampung Santan yang akan memulakan tayangan di pawagam pada hari raya pertama nanti," ujarnya. Menceritakan tentang pembabitannya dalam filem berkenaan pula, Neelofa menjelaskan, semasa proses pembacaan skrip kali pertama, dia sudah tertarik dengan watak Tiqa, seorang gadis kampung. Ujarnya, dia begitu pasti para penonton akan melihat perbezaan dan peningkatannya dalam aksi lakonan yang ditampilkan apabila menonton filem terbaharu lakonannya itu. "Sebagai seorang gadis yang dilahirkan dan pernah dibesarkan di kampung, saya tidak mengalami sebarang kesukaran membawakan watak yang diberikan. "Malah, Hans selaku pengarah banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan," ujar pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu. Rumah terbuka Bercerita mengenai persediaan untuk menyambut bulan Syawal pula, Neelofa menyatakan, persiapan dibuat secara ringkas sahaja serta tiga pasang baju kurung yang sudah siap dibeli. Ujarnya, memandangkan jadual seninya yang cukup padat sepanjang bulan puasa ini, dia akan mula bercuti dua hari sebelum sambutan Aidilfitri yang diraikan pada 8 Ogos itu. "Pada tahun ini, saya cuma akan bercuti selama lima hari sahaja. Dua hari saya dan keluarga akan menyambutnya di Alor Setar, Kedah dan selepas itu kami akan pulang ke Pasir Mas, Kelantan pula. "Lagipun saya tidak boleh bercuti terlalu lama memandangkan filem lakonan saya akan ditayangkan pada hari raya pertama. Jadi, saya perlu pulang semula ke Kuala Lumpur untuk terbabit dengan aktiviti promosi," jelasnya. Menurut Neelofa, dia juga sudah merancang untuk mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kuala Lumpur khusus buat rakan- rakan dan peminat tetapi masih belum mendapatkan tarikh yang sesuai. | |||
Say Who ingin beraya di Malaysia Posted: Say Who ingin beraya di Malaysia
CUBA lari daripada kebiasaan barangkali, kumpulan pelawak terkenal Indonesia, Say Who mengakui ingin merasai kemeriahan menyambut hari raya Aidilfitri di Malay- sia. Ujar Bocil Bancin, biarpun sambutan Aidilfitri dikatakan hampir sama di Indonesia, anggota kumpulan Say Who yang genit itu teruja jika diberikan peluang beraya di Kuala Lumpur. "Kalau di Indonesia, sambutan raya meriah selama seminggu dan kalau ditanya rutin penduduk di sana beraya, sebenarnya hampir sama saja dengan Malaysia. "Selepas pulang menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara dan menikmati hidangan raya seperti lemang, rendang ayam dan ketupat," ujarnya yang ditemui di majlis berbuka puasa dan sambutan tahun kedua Indopek di Halaman Sekeping Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Bocil atau nama sebenarnya Muhammad Abdi Zein, 28, dek kerana kekerapan kumpulannya berkunjung ke Kuala Lumpur selepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2011, dia kini terasa lebih dekat dengan penduduk di Malaysia. Hafal jalan Hal itu disokong oleh Vicha yang hadir berdua bersama Bocil pada majlis itu. Kata Vicha, dia kini sudah boleh memandu dengan lancar dan meredah jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. "Saya jenis orang yang cepat belajar dan seka- rang jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan Puchong sudah mampu saya hafal. "Mahu sangat saya pindah ke Malaysia dan mem- bawa keluarga saya ke sini. Sebelum ini, saya sering diberitahu mengenai perkara negatif dan perbala- han antara dua negara. "Tapi apabila saya sendiri sampai ke sini (Malaysia), gambaran yang diberikan sama sekali tidak tepat. Mula-mula rasa takut tapi sekali sudah datang, rasa mahu pindah ke sini terus," kata Vicha. Ibu kepada tiga orang anak itu juga mengakui ingin mencari calon suami di Malaysia. Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 23, pernah mendirikan rumah tangga lima tahun lalu sebelum bercerai tahun lalu. "Sekarang apabila sering meninggalkan anak- anak saya, Aurael, Listiya dan Michele bersama ibu saya di Bandung, hari rasa rindu sangat. "Semoga suatu hari nanti apabila sudah betul- betul sukses, saya mahu membawa anak-anak saya menetap di sini (Kuala Lumpur)," katanya yang sering disalah anggap berasal dari Sabah. Ditanya akan populariti kumpulan Say Who di Malaysia selepas Maharaja Lawak Mega dua tahun lalu, kata Vicha, dia tidak mencari populariti, sebaliknya selesa bekerja seperti sekarang. "Saya bekerja sebagai artis sejak dari kecil lagi dan saya bukan mencari populariti. Saya senang hati untuk menghiburkan orang ramai sampai bekerja pun tidak rasa tapi saya tidak nafikan populariti itu bagus sebenarnya," ujar Vicha. Silap mata Selain bakat melawak dan menyanyi, Vicha memberitahu yang dia juga sering mempamerkan aksi silap mata apabila diundang mengacarakan majlis di Indo- nesia. "Bapa saya seorang guru silap mata dan saya berguru daripadanya selama tiga tahun. Kalau di Indonesia, hampir setiap acara saya akan melakukan persembahan magis. "Namun begitu, saya masih belum diberikan peluang untuk beraksi di Malaysia buat masa sekarang. Mungkin kerana belum ramai yang mengetahui bakat saya ini," tambahnya. Bagi yang tidak mengenali Say Who, kumpulan itu asalnya menggunakan nama Saehu ketika menyertai Maharaja Lawak Mega 2011, namun menukarkan nama Say Who ketika Maharaja Lawak Mega 2012. Say Who terbabit dengan rancangan Borak Ngomong Edisi Lebaran yang akan ditayangkan pada hari raya pertama pukul 11 pagi di saluran Astro Pelangi 142. - KHAIRUL AMRI HASSAN | |||
Posted: Riuh & rai raya di TV1, TV2Adik-beradik Azlina (kanan) dan Azliza Aziz bergabung dalam program Akustika Syawal yang akan bersiaran pada 7 Ogos di TV2 pukul 9.30 malam. KESYUKURAN mengakhiri Ramadan diserikan stesen televisyen RTM menerusi saluran TV1 dan TV2 dengan menyediakan genre rancangan khas raya seperti bicara wara, kanak-kanak, agama, muzikal dan telemovie. Baik TV1 mahupun TV2, masing-masing mempunyai program raya yang mampu menarik perhatian penonton. Berikut antara program-program menarik yang ditayangkan sepanjang Aidilfitri ini menerusi dua saluran tersebut. SORAK LEBARAN Hari: Sabtu, 10 Ogos Masa: 6 petang SORAK LEBARAN mengetengahkan atlet negara seperti Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat), Bryan Nickson Lomas (sukan terjun), Farah Ann (gimnastik) dan Rizal Tissin (basikal) menyambut Lebaran. DENTUM RAYA Hari: Sabtu, 10 Ogos Masa: 2 petang DENTUM RAYA menghimpunkan lima kumpulan muzik yang pernah dinobatkan sebagai juara dan juga finalis dalam pertandingan Rentak Juara terbitan RTM. Mereka ialah NRG - Naib Juara Rentak Juara 2004; Fenomena - Johan Rentak Juara 2006; Aisunam - Johan Rentak Juara 2008; E6 - Johan Rentak Juara 2010 dan Alternature - Finalis Rentak Juara 2010. Turut sama mengiringi persembahan mereka ialah Ernie Zakri (Juara Bintang RTM), Puteri Caroline (Juara Mentor), Rina Azhar (Juara Bintang RTM), Tasha Manshahar (YouTube) dan Tom (Juara My Star LG).
Sementara itu, menerusi slot Panggung Raya ia dimeriahkan dengan tayangan drama seperti Suatu Malam Di Malam Raya (8 Ogos, 12.35 tengah malam); Alahai Cucu Atuk (8 Ogos, 10 pagi); Ramadan Jangan Ambil Nyawaku (9 Ogos, 10 pagi); Siapa Aku Di Hatimu (11 Ogos, 9 malam) dan Chombi Kecom (11 Ogos, 10 pagi). Telemovie-telemovie tersebut sarat dengan nilai kasih sayang dan nilai-nilai murni dengan membariskan pelakon terkenal seperti Salina Saibi, Hamdan Senario, Sheila Mambo, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Radzali Buyong, Farahdhiya, Memey Suhaiza dan Didie Alias. BAPA-BAPA AIDILFITRI Hari: Sabtu, 10 Ogos Masa: 2 petang Pelakon: Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Mamat Sepah, Shakilla Koriri, Jon Raja Lawak, Man Belon dan Nor Azilah BAPA-BAPA AIDILFITRI mengisahkan tentang tiga orang bapa terdiri daripada Pak Wira, Pak Ngok dan Pak Pon yang tinggal di rumah kebajikan. Mereka berasa terpinggir oleh anak masing-masing dan pada tahun ini berhasrat menyambut hari raya bersama anak-anak. Namun, satu peristiwa yang menyayat hati telah berlaku yang berkesudahan dengan seribu erti kebahagiaan.
BUNOHAN Hari: Sabtu, 10 Ogos Masa: 10.30 malam Pelakon: Faizal Hussien, Zahiril Adzim, Namron, Amerul Affendi, Soffi Jikan BUNOHAN memaparkan sebuah kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik dan bapa mereka yang kian uzur. Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, beransur ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan. Filem ini bermula jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia. 'Bunga Lalang' atau Adil mengambil bahagian dalam pertandingan tinju tomoi yang melibatkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa. Sahabat lama Adil sempat menyelamatkannya daripada pinggir maut, mengubahkan mereka menjadi pelarian daripada penganjur pertinjuan haram tersebut. Ilham, seorang pembunuh upahan dihantar untuk memburu mereka sedangkan kedua-dua sahabat itu berada dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan. Kampung Bunohan juga merupakan kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan. Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya uzur. KONSERT SANGGAR LEBARAN SITI NURHALIZA Hari: Khamis, 8 Ogos Masa: 9 malam DATUK SITI NURHALIZA menghangatkan malam pertama Aidilfitri dengan sebuah konsert yang diberi nama KONSERT SANGGAR LEBARAN SITI NURHALIZA. Ia menyaksikan Siti mendendangkan lagu-lagu hit miliknya termasuk lagu raya. Selain itu, Siti turut menjemput beberapa teman artis sebagai tetamu undangan termasuk Nabil Ahmad. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan