Kosmo Online - Hiburan |
Aspirasi dan cetusan inspirasi Posted: Aspirasi dan cetusan inspirasiDANG SURIA (kiri), Nurul Syuhada, Ras Adiba, Ashwad dan Wan K dipertemukan Sensasi Bintang buat pertama kali. WARNA diraja yang melatari segenap ruang Bilik Duta, bilik yang dahulunya menjadi tempat meraikan kunjungan menteri-menteri atau tetamu dari luar negara di Muzium Diraja Istana Negara Lama itu tetap kekal berkilau. Menumpangkan secarik cahaya yang masih bernyawa itu, lima personaliti televisyen, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, Ras Adiba Radzi, Dang Suria, Nurul Syuhada Nurul Ain dan Ashwad Ismail disatukan buat julung kalinya di ruangan Sensasi Bintang. Masing-masing bersemangat, nampak teguh dalam aura yang terbina dari dasar pengalaman masing-masing. Penceritaan yang dipersembah dalam wadah jurnal mahupun berita menjadikan kolaborasi lima personaliti penyiaran itu tampak berkredibiliti. Jarang mereka itu disatukan. Mungkin jurang generasi atau perbezaan saluran menggerakkan mereka dalam haluan tersendiri. Lantas fotografi istimewa sebegini boleh mendatangkan kemanisan terutamanya buat Wan Kamarudin, Dang Suria dan Ras Adiba. Kepada Ashwad dan Nurul Syuhada, pertembungan kali ini barangkali penuh bermakna. "Pada mulanya saya mempunyai rancangan lain tetapi memikirkan pelawaan ini disertai oleh kawan-kawan penyiaran, saya fikir seronok juga kerana peluang begini tidak selalu datang," letus Wan Kamarudin yang selesa dibahasakan Wan K itu sambil membetul-betulkan kain sampinnya. Wan K, Dang Suria dan Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad bukan nama asing dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan. Siaran Edisi Siasat, Bongkar dan Talian Hayat mempopularkan Wan K satu ketika dahulu menjadikan dirinya antara personaliti televisyen sensasi yang disegani. Begitu juga Dang Suria dan Ras Adiba yang meninggalkan impak dalam dunia kewartawanan penyiaran dan pengacaraan. Berbelas-belas tahun dalam bidang penyiaran telah membawa mereka mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia. Kembara karier yang mereka jalani mungkin hampir sempurna. Mereka tidak statik sebaliknya berkembang dan melompat dari satu fasa ke satu lagi fasa sehingga aura yang terpancar hari ini lahir daripada perjalanan tugas mereka. Mereka melaporkan realiti kehidupan kepada masyarakat. Bukan sahaja mencetuskan inspirasi kepada khalayak, kembara hidup yang mereka lalui juga membentuk peribadi Wan K, Dang Suria, Ras Adiba, Nurul Syuhada dan Ashwad seperti yang terlihat pada hari ini. Pengalaman "Saya tak banyak ke luar negara," ujar Wan K yang kini bertugas sebagai penerbit di stesen AlHijrah merendah diri. "Saya nak berkongsi pengalaman menemui dua wanita unggul negara. Seorang berada di Melaka dan seorang lagi di Selama, Perak. Di Melaka, ada seorang ibu yang menjaga empat orang anaknya yang terlantar dan tidak boleh menguruskan diri sendiri. Apa yang mengagumkan saya, keempat-empat anaknya cemerlang dalam akademik dan agama. Rutin hariannya tidak boleh saya gambarkan. "Menguruskan anak, memandikan, menghantar mereka ke sekolah, memasak, keluar berniaga dan begitulah ia berulang-ulang kali dilakukannya pada setiap hari. Suaminya berdepan kemurungan yang dahsyat kerana tidak boleh menerima hakikat kecacatan mereka. Duit saku suaminya juga dia yang sediakan hasil daripada berniaga di pasar dan bazar Ramadan. "Apa yang menyentuh hati, setiap kali waktu solat, anak lelaki yang sulung dibaringkan di saf paling depan, adik-adik lain pula di belakang. Anak lelaki yang terbaring itu menjadi imam kepada adik-adik ketika bersolat. Sayangnya si abang itu sudah meninggal dunia. Dia meninggal ketika sedang menduduki peperiksaan. "Bagi saya kisah wanita itu sangat hebat, tanpa akademik tapi pengalaman hidup menjadikan pemikiran dan tuturnya bagaikan profesor. Ya, jauh berjalan akhirnya saya menemui inspirasi di tanah air sendiri," kata Wan K. Sahabat lamanya, Dang Suria pernah bersama-sama dalam program Ziarah turut berkongsi nada yang serupa. "Sebagai pemberita atau pembaca berita, tugas itu mendekatkan kami kepada manis dan getir kehidupan. Itu juga mencorakkan pemikiran dan cara saya melihat kehidupan sendiri. "Semasa terlibat dengan Ziarah dahulu, negara luar porak-peranda, mereka bergaduh kerana kuasa. Mangsanya ialah rakyat, wanita, orang tua dan anak-anak kecil. Cerita mereka menyedarkan kita untuk berfikir dengan baik. "Saya juga pernah bertemu seorang ibu tunggal yang menyara 11 orang anak. Hendak beli baju raya sekali setahun pun mereka tak mampu. Kisah mereka itu menyedarkan betapa bertuahnya apa yang kita miliki," ungkap Dang Suria yang menyifatkan dirinya tidak pernah bersara dari dunia penyiaran. Seorang lagi personaliti yang tidak perlu diperkenalkan, kisahnya sahaja mudah menerbitkan kekaguman. Kehidupan normal Ras Adiba pernah diragut apabila separuh badannya lumpuh rentetan kemalangan jalan raya pada tahun 1996. Wanita yang baharu menemui sebuah kemanisan rumah tangga ini berkongsi pengalaman yang menghadirkan kekuatan dan jawapan untuk jati dirinya kini. Pengalaman itu hadir ketika dia menyempurnakan Kembara Kerusi Roda 2013. "Saya menolak kerusi roda sejauh 490 kilometer dari Johor Bahru merentasi Melaka dan Negeri Sembilan sehingga tiba di lokasi penamat, Putrajaya. Pengembaraan itu memberi kekuatan untuk saya mencari jawapan tentang keadaan diri saya kini. "Saya mula sedar bahawa Allah mahukan saya sebegini agar saya dapat memberi inspirasi dan semangat buat rakan-rakan kurang upaya yang lain. "Rasa marah dengan tohmahan yang dilemparkan serta mencari kekuatan untuk menjadi seorang yang 'baharu' dalam dunia Orang Kelainan Upaya (OKU), saya mula bangkit untuk hidup dengan lebih produktif malah lebih bersyukur dengan kurniaan Allah," jelasnya yang baharu mendirikan rumah tangga bersama kenalan sekolahnya, Ilias Yaakop minggu lalu. Menjengah dalam rasa dan jiwa Ras Adiba sebagai veteran dunia penyiaran, dia menyuakan pengalamannya. "Dulu orang kata dunia penyiaran sebagai jendela dunia. Tetapi dengan kemajuan teknologi dan internet, dunia penyiaran pada hari ini lebih mencabar. "Masyarakat lebih bijak menilai mutu seorang pembaca berita dan wartawan penyiaran. Masyarakat akan tahu sekiranya seorang pembaca berita itu pintar dan berkaliber, muka yang cantik tidak menjanjikan penonton akan menghormati kita," kata Ras Adiba. | ||
Selera Beego bertambah pada bulan ramadan Posted: Selera Beego bertambah pada bulan ramadan
BANYAK kisah manis yang mahu diceritakan oleh pasangan pengantin baharu ini pada sesi pertemuan yang diadakan sebelum waktu berbuka puasa di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika masing-masing bergaya dengan memakai busana rona hijau dan biru, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim tidak lokek bercerita tentang soal rumah tangga mereka yang dibina pada tanggal 7 Jun lalu. "Ia merupakan satu pengalaman yang manis buat kami, apatah lagi buat pertama kalinya kami meraikan bulan Ramadan dalam tempoh dua bulan bergelar suami isteri. Dalam sekelip mata, ahli keluarga masing-masing juga semakin bertambah," ujar Beego, 33, membuka bicara. Sambil tersenyum dan berwajah ceria yang mewakili perasaannya selepas bergelar suami, Beego rancak bercerita tentang cara dia menyambut Ramadan bersama buah hatinya yang berumur 29 tahun itu. "Ramadan kali ini begitu berbeza kerana hidup saya kini semakin terurus. Jika waktu bujang dahulu, saya lebih gemar melepak dan bersahur di kedai mamak sehingga waktu pagi sebelum pulang untuk tidur, kali ini (dalam bulan puasa) berbeza. Kini saya akan tidur dahulu dan bangkit untuk bersahur bersama isteri. "Walaupun saya yang sering mengejutkan Linda untuk menyediakan hidangan bersahur, ia tidak menjadi masalah buat saya. "Cuma, kami tidak berkesempatan untuk berbuka puasa bersama-sama pada 1 Ramadan kerana saya sedang menjalani penggambaran ketika itu," kata Beego yang bakal muncul dalam telefilem Lebaran Kasih sempena Aidilfitri nanti. Kata orang, sikap lengkap-melengkapi menjadi rahsia kebahagiaan rumah tangga. Ia turut diakui Beego dan Linda apabila makanan mengeratkan hubungan kedua-dua mereka. "Saya memang jenis orang yang suka makan. Semua saya bedal. Lebih bertuah apabila Linda pula seorang yang pandai memasak. Sebut sahaja makanan yang ingin dimakan, pasti dia akan menyediakannya. "Kadangkala saya sendiri yang meminta dia kurangkan memasak kerana risau berat badannya akan bertambah. Kalau diikutkan, dia memang suka memasak apa sahaja. "Mujurlah, saya sempat mengawal berat badan kerana bimbang ia boleh mengganggu karier jika tidak dijaga. Walaupun makan banyak, dalam tempoh berkahwin, berat badan saya telah turun sebanyak 1.7 kilogram," ujar Beego dengan nada bergurau. Sambil mencelah Linda yang pandai memasak pelbagai jenis hidangan kecuali pastri berkata: "Dahulu saya akan memasak apa sahaja yang dia minta, tetapi kini saya sudah faham. Saya perlu memasak dalam kuantiti yang sedikit dan menyediakan hidangan yang sihat. Kalau tidak, semuanya dia akan makan." Jika banyak pasangan lain pening kepala ketika membuat keputusan untuk balik kampung suami atau isteri, Beego dan Linda tiada masalah tentang perkara itu kerana mereka sudah membuat perancangan pada peringkat awal. "Mengikut perancangannya, kami akan berhari raya di Gopeng, Perak. Jadi, seminggu sebelum hari raya, kami akan pulang ke kampung saya di Bandar Baru Uda (Johor Bahru). "Ketika bulan Ramadan, ramai keluarga Linda yang berbuka puasa bersama di sini (Kuala Lumpur)," kata Beego yang tidak sabar untuk menikmati kelamai yang merupakan makanan tradisional pada hari raya di Gopeng. Bercerita tentang persiapan hari raya, pasangan itu memilih untuk meraikan Aidilfitri secara sederhana. "Duit sudah banyak habis untuk majlis perkahwinan tempoh hari. Justeru, hari raya pada tahun ini diraikan secara ala kadar sahaja," kata Beego. Pasangan itu turut merancang mengadakan rumah terbuka hari raya. Mengaku teruja untuk menganjurkan rumah terbuka itu buat rakan-rakan dan peminat, Beego berkata, majlis tersebut juga merupakan kali pertama yang akan dianjurkannya secara peribadi. "Insya-Allah kami hanya merancang cuma pelbagai perkara harus diberi perhatian termasuklah soal lokasi kerana kami tinggal di apartmen," kata Beego. | ||
Posted: Penyanyi berakustika rayaBARISAN anggota grup IamNeeta berdiri di sebelah Aizat Amdan (empat dari kiri) dan enam ahli kumpulan Hyper Act yang mengambil bahagian dalam program Akustika. SENTIASA mencari kelainan dalam industri penyiaran radio, saluran radio Hot FM pada tahun ini menampilkan sebuah program raya yang berkonsepkan alunan melodi secara akustik. Tidak hanya dapat didengari melalui frekuensi Hot FM di seluruh negara, program dengan nama Akustika itu juga boleh ditonton melalui saluran TV9 pada hari raya pertama dan kedua pada pukul 7.30 malam. Lantunan vokal hebat daripada barisan artis tempatan yang popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noh Salleh, Aizat Amdan, Hafiz, Dayang Nurfaizah, Salam Muzik, Raihan, Rabbani, Ning Baizura, Fourteen, Jaclyn Victor, Hazama, Tengku Adil, IamNeeta, Hyper Act, Sofazr dan Monoloque pasti mampu menjadi santapan telinga menerusi irama yang lunak dan merdu. Khalayak dapat mendengar nyanyian artis kegemaran mereka melalui radio Hot FM pada hari raya pertama bermula pada pukul 10 pagi. Setiap artis diberikan masa selama 15 minit. Berkongsi cerita buat kali pertama, grup yang terkenal dengan lagu Terima Kasih iaitu IamNeeta teruja dengan pengalaman pertama ini. "Melihatkan barisan artis yang turut terlibat dalam program Akustik kali ini, kami jadi teruja dan gembira. Ini kali pertama kami mengadakan acara raya bersama radio Hot FM," ujar Neeta mewakili rakan-rakannya. Grup itu menyanyikan tiga buah lagu iaitu Balik Kampung, Hari Raya dan Terima Kasih khas buat para peminat mereka. Sebagai artis paling junior dalam senarai, grup itu berpendapat ia merupakan pengalaman yang baik untuk mereka tempuhi. Ia juga dapat memperkenalkan muzik dan grup itu kepada para peminat hiburan tanah air. Program itu bertepatan juga dengan misi Hot FM yang menjemput grup itu dan beberapa artis baharu untuk memberi variasi dan warna muzik yang berbeza dalam program Akustika Raya tersebut. Neeta Manishaa selaku penyanyi solo, Patrick Anohada (gitar utama) dan Anas Zakwan Azhar (basis) yang menggawangi IamNeeta sempat menguar-uarkan bahawa mereka bakal muncul dengan album pada penghujung tahun ini. Penyanyi Aizat Amdan yang sedang sibuk dengan grup Go Gerila turut terlibat dalam program Akustika ini. Menurut Aizat, dia menyanyikan tiga buah lagu iaitu Next Aidilfitri, Balik Kampung dan In Love With You. "Selain Akustika, saya juga terlibat dengan program Dikir Style, FBI Raya Sakan dan Sampaikan. Bulan puasa ini saya banyak tumpukan perhatian terhadap persiapan album solo," jelas Aizat. Grup dengan nama Hyper Act yang meletup dengan lagu Hanya Aku dan Harapan juga turut terlibat dalam program Hot FM Akustika Raya yang dihoskan oleh Leya, Chad dan Deen. Menyanyikan dua buah lagu iaitu Selamat Hari Raya dan Menjelang Hari Raya, Toi mewakili grup ini mengucapkan rasa syukur dan bertuah kerana dapat terlibat dengan pelbagai program berbuka puasa dan raya. "Penglibatan kami dalam Akustika Raya itu sekali gus dapat memperkenalkan lagu-lagu kami selain menyanyikan lagu raya buat para peminat kami," jelas Toi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan