Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Tuisyen online percumaKAEDAH tuisyen online itu mudah kerana ia hanya perlu menghasilkan video tutorial dengan menggunakan komputer dan kemudian dimuat turun ke YouTube. SUDAH menjadi lumrah dunia, ramai orang yang berminat untuk menggunakan pelbagai bentuk perkhidmatan di internet yang boleh membantu mereka melakukan urusan seharian. Urusan seharian itu semakin mudah selepas internet dicipta yang menyebabkan semua maklumat dan perkhidmatan boleh diperoleh menerusi hujung jari anda. Justeru, pusat tuisyen secara online yang mengenakan bayaran turut diperkenalkan menerusi internet. Cuma ibu bapa perlu mempunyai wang yang mencukupi untuk menggunakan perkhidmatan itu. Namun, bagi seorang lelaki, Edmond Yap yang berumur 33 tahun, dia telah memperkenalkan platform unik iaitu pusat tuisyen online secara percuma sejak pertengahan tahun 2012. Menerusi laman web www.edunation.my, para pelajar sekolah menengah tingkatan dua hingga lima dapat mempelajari subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Akaun, Biologi dan Kimia secara tutorial di internet tanpa dikenakan sebarang bayaran. Laman web www.edunation.my mengandungi video untuk para pelajar dan diajar dalam bahasa Melayu. Pertemuan dengan Edmond baru-baru ini di pejabatnya merungkaikan segala persoalan tentang perkhidmatan itu. Suasana di E203A, Tingkat 2, Sayap Timur, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Selangor tempat pejabat tuisyen online itu cukup sunyi. YouTube Hanya Edmond, isterinya, Tasha Ong dan Ketua Pendidikan Edunation, Sugain Maniam yang kelihatan. "Guru-guru atau sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah atau pelajar universiti hanya menghantar video kepada kami. "Mereka tidak perlu datang ke sini, mudah bukan," jelas Edmond. Menerusi kaedah itu, para sukarelawan akan menghasilkan tutorial dengan menggunakan komputer meja, komputer bimbit atau tablet yang menggunakan perisian Camstudio, Smooth Draw, Quick Time atau Cam Studio. "Sejurus sahaja siap, mereka akan menghantar video tutorial itu menerusi e-mel kepada kami. "Video itu akan dimuat turun ke laman perkongsian video YouTube untuk diakses oleh orang ramai terutamanya pelajar secara percuma," jelas Edmond. Setakat ini terdapat lebih 30 orang sukarelawan separuh masa yang membantu menyiapkan video tutorial ini di samping lapan orang pekerja sepenuh masa. Namun, bagaimana lelaki yang gemar tersenyum ini memperoleh idea untuk mewujudkan tuisyen online secara percuma ini? Kata lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam, Universiti Adelaide, Australia ini, dia pernah bekerja sebagai seorang jurutera selain memiliki perniagaan sendiri dalam bidang konsultan. Kekurangan "Walaupun gaji dan wang yang diterima agak lumayan tetapi dalam hati saya seperti terdapat kekurangan yang tidak boleh saya jelaskan kepada orang lain. "Saya bekerja dan mempunyai bisnes tetapi masih tidak mendapat kepuasan,' katanya. Sejarahnya bermula sejak lelaki ini bersekolah menengah lagi. Dia sering datang ke rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. "Namun terdapat satu peristiwa yang melibatkan seorang remaja lembam bernama John yang memerlukan bantuan saya untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun 2009. "John memerlukan bantuan tetapi saya tidak cekal malah melarikan diri dan sehingga sekarang saya tidak pernah pergi ke mana-mana rumah kebajikan kerana rasa bersalah yang menghantui diri. "Entahlah, apa nasib John sekarang," katanya dengan nada sedih. Namun, selepas menonton laman ucapan inspirasi www.ted.com mengenai Akademi Khan membuatkan dia teruja. "Video itu agak ringkas iaitu kurang 15 minit tetapi ia adalah mengenai akademi itu yang menyediakan tuisyen online secara percuma kepada para pelajar di seluruh dunia. "Saya tergamam selama 10 minit sambil merenung kembali video itu selama beberapa kali," cerita Edmond. Tidak lama selepas itu, dia menubuhkan tuisyen edunation secara percuma iaitu pada Mei 2012. Bagaimanapun, bukannya mudah untuk memperoleh dana bagi menjayakan cita-citanya itu. Kata Edmond, dia perlu menjual perniagaan untuk memperoleh modal permulaan. "Malah, untuk menjimatkan perbelanjaan, saya dan isteri hanya makan makanan di gerai yang harganya murah selain kami amat mementingkan setiap barangan yang kami beli. "Perbezaan harga beras sebanyak 50 sen pun diambil kira,' katanya. Dia juga hanya mempunyai aset iaitu sebuah kereta Honda Accord tahun 1996. Edmond turut menumpang kondominium ayahnya. Lebih 30 buah syarikat yang dikunjungi lelaki ini untuk mendapatkan dana. "Ada wakil syarikat yang menyatakan saya gila dan melakukan perkara yang sia-sia. "Pada akhirnya, saya menemui pengasas Kolej Asia Brickfields iaitu Raja Singam. "Saya hanya membentangkan kertas kerja selama 10 minit. Dia (Raja Singam) diam sejenak sebelum bersetuju untuk memberikan bantuan. "Dia menghulurkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit setahun untuk membantu saya," katanya. "Selain itu, dia juga berusaha mendapat bantuan dana daripada beberapa buah syarikat korporat. Justeru, tuisyen secara online itu kemudian masih kekal bertahan sehingga kini. Menyentuh dengan lebih lanjut tentang tuisyen itu, Maniam berkata, pihaknya akan memperkenalkan beberapa subjek video tutorial untuk pelajar sekolah rendah pada hujung tahun ini. "Selain itu, kami juga akan memaksimumkan penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi membolehkan para pelajar bertanya mengenai mata pelajaran tertentu secara maya. "Lebih mudah, lagipun laman sosial itu dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah dan bukan sia-sia," katanya. | |
Posted: Cerita berbeza dua wanitaOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
WANITA ini tidak lekang mengukir senyuman serta ketawa yang mampu memikat sesiapa sahaja. Namun, dalam senyum, ketegasannya memperjuangkan kepentingan alam semula jadi di negara ini seharusnya dipuji. Malah, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) EcoKnights, Yasmin Rasyid yang berumur 38 tahun itu menyatakan wang ringgit tidak menjadi keutamaan. "Memang wang ringgit itu perlu, saya mengasaskan EcoKnights tanpa mengharapkan imbuhan cuma bertekad ingin memupuk semangat sukarelawan terutama kepada golongan muda," katanya. Bertempat di pejabatnya yang terletak di 41, Lorong Burhanuddin Helmi 11, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, wanita yang berasal dari Pasir Putih, Ipoh, Perak ini teruja bercerita mengenai kisah hidupnya. Wanita yang mempunyai dua orang zuriat ini dilahirkan dalam keluarga campuran Cina dan India Muslim. Kata Yasmin, minatnya terhadap NGO alam sekitar mula berputik semasa menuntut di Universiti Duke, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS). "Saya mengambil ijazah dalam bidang berkaitan biologi marin. Semasa cuti semester, saya sering terlibat dengan aktiviti NGO di AS. "Tidak dinafikan di AS para aktivis NGO lebih aktif. Namun, banyak NGO di negara ini telah mengikut langkah yang serupa," ujarnya. Jelasnya, dia kurang berminat untuk bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Zaman internet Menurutnya, pada zaman internet, dia boleh membuat kerja di luar pejabat. "Sekarang zaman internet. Urusan kerja bukan sekadar boleh dilakukan di pejabat semata-mata tetapi juga di mana-mana sahaja. "Kediaman malah di kedai kopi pun boleh kerja atau tugasan boleh dilakukan asalkan rajin dan ada semangat," ujarnya. Prinsip wanita bertubuh langsing itu adalah untuk menyelesaikan setiap urusan secepat mungkin. "Jika ditangguh berkali-kali, apa sahaja yang kita lakukan tidak dapat diselesaikan," katanya. Sepanjang menjadi isteri, ibu dan Pengasas EcoKnights itu bersyukur kerana dia boleh membahagikan masa antara kerja dengan keluarganya. "Malah, saya mempunyai suami, anak-anak dan rakan sekerja yang banyak mendorong saya," kata Yasmin. Lucu YASMIN banyak belajar menguruskan NGO alam sekitar semasa menuntut di Universiti Duke, Amerika Syarikat. Ada cerita lucu mengenai Yasmin untuk dikongsikan. Dahulu, wanita ini tidak mahir berkebun malah untuk menjaga pokok kaktus pun dia tidak tahu. "Cangkul pun saya anggap sesuatu yang agak aneh," katanya. Namun, pengasas NGO alam sekitar itu sanggup belajar dengan mengetepikan perasaan malu. "Kini, saya mempunyai kebun mini yang sarat dengan pokok-pokok hiasan di rumah," katanya. Selain itu, beliau juga boleh memasak makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api. Lain pula kisahnya dengan seorang lagi wanita, Asmahan Sulaiman apabila dia tidak sabar menunggu produk sulungnya iaitu telefon bimbit Chili 5 bakal dipasarkan tidak lama lagi. Sebuah kilang pembuatan telefon itu terletak di Johor. "Saya sedar Instant Communication yang mengeluarkan telefon pintar Chili perlu bersaing dengan jenama terkenal sedia ada seperti Samsung, HTC dan BlackBerry "Namun Chili 5 juga hebat, ia ada aplikasi khidmat pesanan ringkas percuma iaitu x-Com sama seperti WeChat, WhatApp dan Line," ujarnya. Tambah Asmahan, bateri telefon pintarnya mampu bertahan 40 peratus lebih lama berbanding telefon pintar yang lain. Menurutnya, ia juga boleh digunakan untuk membuka pintu. "Malah, perisian yang terdapat dalam telefon itu membolehkan pembayaran dibuat untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan tambah nilai telefon bimbit," katanya. Dia juga memberikan jawapan tentang soalan kenapa dia menggunakan nama Chili. Nama itu menggambarkan cabai yang menyebabkan si pemakannya akan berasa pedas. "Mudah untuk diingati," katanya. Menurutnya, dia mendapat idea itu secara kebetulan semasa menjamu selera di sebuah restoran makanan segera bersama suaminya. Tambah bekas peguam ini, harga yang ditawarkan untuk Chili juga berpatutan iaitu RM550 seunit. "Warna dan logo telefon pintar itu juga boleh dihasilkan mengikut cita rasa pelanggan," ujarnya. | |
Posted: Kemunculan bangkai anehSusunan SYALMIZI HAMID BENTUK kepala makhluk ganjil yang ditemui di Pantai Pukehina, Teluk Penty, New Zealand baru-baru ini. PENEMUAN pelbagai bangkai haiwan aneh di seluruh dunia menimbulkan pelbagai spekulasi tentang kewujudan haiwan misteri. Antara yang mencuri tumpuan termasuklah bangkai haiwan yang digelar sebagai raksasa laut yang mempunyai gigi besar yang ditemui di sebuah pantai di New Zealand baru-baru ini. Seorang wanita, Elizabeth Ann telah merakamkan video penemuan bangkai itu di Pantai Pukehina, Teluk Plenty, New Zealand dengan sebahagian tubuh haiwan itu telah hilang. "Adakah sesiapa yang boleh memastikan apakah makhluk ini? Ia memiliki kepala yang besar serta gigi kacip yang panjang. Badannya mungkin sepanjang sembilan meter. Tetapi, sebahagian tubuhnya sudah terputus," kata Ann. Wanita itu berkata, makhluk tersebut mungkin telah diserang haiwan lain sebelum ia mati. "Makhluk besar itu terdampar selepas ribut kuat. Penduduk sekitar juga tidak tahu tentang makhluk pelik itu dan ia menimbulkan pertanyaan (kemunculan bangkai makhluk itu) dalam kalangan mereka," katanya. Ada pihak yang mengandaikan bahawa ia mungkin bangkai buaya air masin, ikan lumba-lumba, belut laut gergasi atau dinosaur. Bagaimanapun seorang pakar haiwan mamalia, Anton van Helden menolak kesemua andaian itu dengan menyatakan bahawa ia hampir menyamai bentuk ikan paus pembunuh yang kerap ditemui di Fiji dan Teluk Plenty. Gambar-gambar bangkai itu turut dihantar ke Jabatan Konservasi dan Akuarium Hidupan Laut Kelly Tarlton's di Auckland, New Zealand untuk dikenal pasti spesiesnya. Seterusnya, beberapa keping foto makhluk menyerupai ikan paus yang dijumpai oleh anggota-anggota tentera laut Iran di Teluk Parsi turut menimbulkan persoalan orang ramai. Hodoh Berdasarkan gambar yang dilihat itu, seorang pengguna internet yang mengaku bahawa dia merupakan pakar biologi menjelaskan bahawa begitu sukar untuk mengenal pasti jenis makhluk tersebut. Menurut pengarah di Institut Sains Marin, Universiti California, Amerika Syarikat, Dr. Gary Griggs, haiwan itu diandaikan sebagai ikan paus. "Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya tentang ikan paus dan tulangnya, ia merupakan ikan paus. Bagaimanapun dengan keadaan tubuhnya yang semakin mereput itu, sukar juga untuk mengesahkan bahawa ia adalah haiwan berkenaan," kata Gary. Dalam pada itu, seekor haiwan misteri yang hodoh dan sering menyerang lembu penternak telah berjaya dibunuh oleh penternak di Belarus baru-baru ini. Haiwan itu dikatakan menyamai gambaran tentang makhluk legenda di Amerika Latin, chupacabra yang menghisap darah haiwan ternakan. Chupacabara menghisap darah selepas ia menggigit kaki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing. Penemuan haiwan ganjil itu dikatakan boleh menjadi kunci untuk menyelesaikan misteri seekor haiwan yang ditemui oleh seorang petani Ukraine pada tahun lalu. Haiwan yang ditemui itu dikatakan mutasi musang yang berlaku akibat keracunan radiasi selain teori lain menyatakan bahawa ia adalah haiwan hibrid yang menjadi bahan ujian kimia dan biologi yang dilakukan di sebuah kilang pembangunan senjata milik bekas Kesatuan Soviet. Ahli-ahli biologi pernah mendedahkan bahawa ia merupakan anjing rakun yang dibiakkan di sebuah kilang Soviet pada tahun 1939. Haiwan itu dikatakan telah dilepaskan ke hutan ketika Perang Dunia Kedua bermula. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan