Sabtu, 3 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mood Diana berubah selepas bersalin

Posted:

Mood Diana berubah selepas bersalin

Mood Diana berubah selepas bersalin

PERTAMA kali menatap wajah anak sulungnya, pelbagai perasaan yang menerjah jiwa dan raga pelakon dan pengarah Farid Kamil.

Kagum dan gembira tetapi dalam masa yang sama sedih melihat ciptaan Allah yang cukup sempurna keluar dari rahim isterinya, Diana Danielle di depan mata seterusnya memangku dan melaungkan azan di telinga anak lelakinya itu.

Hasil perkongsian hidup Farid bersama pelakon jelita Diana Danielle, pada 2 Julai lalu seorang bayi lelaki seberat 4.39 kilogram dilahirkan di sebuah hospital di Sydney, Australia.

"Saya masuk melihat proses kelahiran tersebut. Selama empat jam Diana berasa sakit akhirnya anak kami selamat dilahirkan dengan sempurna.

"Kali pertama tatap wajah anak saya, pelbagai perasaan muncul - kagum, gembira dan sedih. Baru saya faham perasaan kasih sayang seorang ayah," tutur Farid Kamil buat kali petama kepada media tentang kelahiran anaknya itu.

Semasa kelahiran anaknya itu, Farid sekadar berkongsi perasaan gembiranya menerusi laman sosial Twitter.

Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 di Hotel Falmingo Ampang, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa bulan berumah tangga, Diana berhijrah sementara ke Sydney, Australia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu.

Sementara Farid pula, berulang-alik dari Malaysia dan Australia memandangkan dia mempunyai beberapa projek lakonan dan juga pengarahan di Malaysia.

DIANA bakal kembali ke Malaysia bersama bayinya pada Aidilfitri ini.


Mengulas lanjut mengenai anaknya itu, ujar Farid, dia belum memberikan nama kerana masih mencari nama yang sesuai.

"Ada beberapa nama yang kami senaraikan tetapi saya mahu tunggu sehingga 15 malam terakhir Ramadan, manalah tahu ada satu nama yang akan muncul dan ia menjadi pilihan saya untuk anak itu nanti," ungkapnya yang menggelarkan dirinya babah sementara Diana pula ibu.

Farid juga memberitahu, anak yang dipanggil baby sementara belum mempunyai nama itu belum didaftarkan kelahirannya.

Berkemungkinan besar, kata Farid, dia akan mendaftar bayinya itu ketika pulang berhari raya nanti.

"Di Sydney, orang luar memang tidak digalakkan mendaftar kelahiran di sana dan ia memang sukar untuk berbuat demikian," jelas Farid lagi.

Diana murung

Panjang bercerita tentang anaknya itu, Farid turut disoal mengenai keadaan Diana.

Luah pelakon filem Lagenda Budak Setan itu, Diana tidak mengalami sebarang komplikasi sebelum dan selepas bersalin.

"Cuma moodnya bertukar sehingga 360 darjah. Dia mengalami mother blues. Dia terlalu menjaga anaknya sehinggakan dia tidak benarkan saya memegang anak terlalu lama.

"Malah, dia juga takut orang mendekati anaknya," tuturnya yang memberitahu Diana dijaga saudaranya ketika berpantang di Australia.

Bicara Farid lagi, Diana bagaimanapun tidak melalui rejim pantang yang serius. Dia tidak bertungku atau menggunakan herba-herba.


PERKAHWINAN Farid dan Diana kini sempurna dengan kelahiran bayi sulung mereka.


Jelas Farid, Diana cuma mengenakan bengkung dan memakan makanan tambahan sahaja.

Disebabkan keadaan Diana itu, Farid meminta agar Diana berpantang sehingga 100 hari bagi memulih dan menguatkan dalaman pelakon filem Magika itu.

Ditebak adakah ibu mertuanya sudah ke Australia menjenguk Diana dan cucunya, Farid yang pada mulanya enggan mengulas mengenai perkara itu akhirnya membuka mulut.

"Saya sebenarnya enggan komen lebih-lebih. Pada saat-saat akhir Diana ingin bersalin, dia ada meluahkan rasa kecewa terhadap ibunya.

"Apa yang saya boleh cakap, jika dia (ibu mertua) ingin berjumpa dengan anak dan cucunya, dia harus berjumpa dengan saya dahulu," tegas Farid.

Bukan berdendam, jelas Farid, dia mahu ibu mertuanya berjumpanya terlebih dulu bagi menyelesaikan segala kemelut yang berlaku antara dirinya dan wanita bernama Norsiah Ramli itu.

Ujarnya lanjut, banyak cerita yang dia dengar yang keluar daripada mulut ibu mertuanya mengenai dirinya dan Diana.

"Saya risau berlaku perkara yang tidak diingini terhadap Diana dan bayi kami. Jadi, baik dia berjumpa saya terlebih dulu sebelum bertemu Diana dan cucunya," jelas Farid.

Tambahnya, kekecewaan Diana bermula sejak ibunya tidak merestui perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Farid juga pernah menyuarakan kekecewaannya dengan sikap ibu mertuanya menerusi laman sosial Twitter.

Patah tangan

Farid yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Jodoh Itu Milik Kita di Restoran Teeq, Pusat Beli-Belah Lot 10, Kuala Lumpur, turut disoal mengenai lengannya yang dilihat berbalut.

Dedah Farid, pada bulan lalu dia mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal.

Akibat daripada kemalangan itu, kata Farid, bahu kirinya patah dan dia terpaksa menjalani pembedahan bagi menyambungkan semula tulangnya itu.


KENANGAN. Pasangan Farid dan Diana bersama ibu Diana (kiri) dan ibu Farid (kanan) pada majlis perkahwinan mereka yang berlangsung 2 Julai tahun lepas.


"Awal bulan depan saya akan menjalani satu lagi pembedahan bagi memulihkan tulang bahu kiri saya," ujarnya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Bagi Farid, kemalangan tersebut merupakan kejadian paling kritikal yang pernah dilaluinya.

Sebelum ini, Farid pernah mengalami kecederaan di tempurung lutut kirinya ketika melakonkan babak aksi dalam filem Dampak.

Ungkap Farid lanjut, kerana kecederaannya itu, penggambaran drama Jodoh Itu Milik Kita yang turut dibintangi oleh pelakon Tiz Zaqyah dan Nabila Huda terpaksa ditangguhkan seketika.

Mengulas mengenai wataknya dalam drama Jodoh Itu Milik Kita yang diadaptasi daripada novel popular Sara Aisha itu, ujar Farid, dia bersyukur watak Aariz Danial tidak memerlukannya melakukan adengan lasak.

Jelasnya, watak Aariz mengisahkan tentang seorang lelaki yang terpaksa menggantikan tempat adiknya, Syafiq yang sepatutnya berkahwin dengan Dahlia.

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Posted:

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TAUFIK BATISAH mengakui lagu-lagu dendangannya sebelum ini belum memikat pendengar di Malaysia.


MELIHAT kepada perkembangan industri hiburan di Malaysia, kehadiran ramai artis luar seperti dari Singapura telah merancakkan lagi persaingan dengan artis tempatan.

Ketika ini, terdapat segelintir artis Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra yang mampu menambat hati peminat, manakala dalam bidang seni suara nama-nama seperti Aliff Aziz, Awi Rafael dan Sleeq turut mencuri tumpuan.

Sehubungan itu, juara Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah berkata, dia sememangnya berbangga apabila semakin ramai artis Singapura yang mencipta nama di negara ini.

"Mencari rezeki dan mengembangkan bakat seni di negara orang bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi usaha keras perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai peminat.

"Berkenaan kejayaan rakan-rakan artis dari Singapura yang kini sudah bertapak kukuh di Malaysia, saya anggap ia merupakan rezeki masing-masing dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Madagascar 3 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila ditanya sama ada pernah terlintas di hatinya untuk mengikut jejak langkah rakan-rakan senegaranya itu, Taufik menyatakan keinginan itu selalu bermain di fikirannya.

Tambahnya, dia pernah cuba melakukannya dengan melancarkan beberapa buah album di negara ini dahulu, namun lagu-lagunya belum mampu memikat pendengar di Malaysia.

"Secara jujurnya saya tidaklah mencemburui rakan-rakan artis yang sudah menempa nama, tetapi kejayaan mereka itu telah menjadi pembakar semangat untuk saya mengikut jejak langkah mereka," jelas penyanyi berusia 32 tahun itu.

Menurut Taufik, biarpun belum berhasil mencipta kejayaan di Malaysia, dia mengakui buat masa ini dia lebih selesa untuk terus bertapak di negara sendiri.

Jelasnya, tawaran untuk membuat persembahan dalam pelbagai acara di Singapura tidak putus-putus, malah berasa bangga kerana mempunyai peminat yang selalu menyokong kerjaya seninya.

"Setakat ini saya mahu terus mengembangkan lagi karier nyanyian saya di negara sendiri. Lagipun, saya bukan sahaja diterima oleh masyarakat Melayu, malah saya mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada kaum-kaum lain.

"Apatah lagi jadual kerjaya seni saya juga sentiasa padat dengan pelbagai undangan nyanyian diterima. Jadi, saya tidak kisah sekiranya lebih popular dan diterima di negara sendiri," ujarnya.

Album baharu

Bercerita lebih lanjut berkenaan dengan karier nyanyiannya pula, kata Taufik, dalam tempoh terdekat ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu.

Ujarnya, memandangkan kali terakhir dia menghasilkan album ialah pada tahun 2008 dengan judul Suria Hatiku, penyanyi berkenaan memberitahu, sudah tiba masanya dia lahir dengan produk terkini.

"Kalau dilihat kepada industri hiburan di seluruh dunia menyaksikan penjualan album memang mengalami penurunan. Bagaimanapun, saya tetap memberanikan diri menghasilkan album baharu demi memenuhi permintaan peminat.

"Untuk album baharu ini ia masih dalam peringkat proses rakaman dan mengandungi sebanyak 10 buah lagu. Ketika ini saya baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu," jelasnya.

Album itu dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Posted:

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Ana Dahlia doakan kebahagiaan bekas suami

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ANA menegaskan buat masa ini dia belum terdesak untuk berkahwin kali ketiga.


SEBELUM ini pelakon Ana Dahlia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Nadzri atau Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan.

Namun begitu, jodoh mereka tidak berpanjangan. Kedua-duanya mengambil keputusan untuk bercerai tahun lalu setelah berkahwin tidak sampai setahun.

Berpeluang bertemu dengan Ana ketika rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada cerita terbaharu tentang pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Pilih Kasih musim pertama itu.

Kosmo!: Bagaimana kehidupan anda setelah hampir setahun bergelar janda?

ANA DAHLIA: Setakat ini tiada perubahan besar yang berlaku terhadap diri saya, malah saya selesa dengan kehidupan sekarang di samping fokus kepada kerjaya lakonan.

Segala kejadian yang menimpa diri saya sebelum ini menjadi pengajaran yang paling berguna. Sekurang-kurangnya pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati.

Setelah dua kali gagal dalam perkahwinan, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?

Sudah tentu saya tidak serik untuk berkahwin lagi kerana dalam Islam pun perkahwinan itu merupakan suatu perkara yang sangat dituntut. Namun begitu, setakat ini saya belum lagi bertemu dengan lelaki yang sesuai.

Lagipun, jodoh dan pertemuan ini sudah ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya belum rasa terdesak untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

FIGURA ini mengambil sikap enggan bermusuh dengan orang lain.


Macam mana pula hubungan anda dengan Chef Wan?

Bagi saya Chef Wan merupakan seorang bapa yang sangat baik dan dia cukup menyayangi saya.

Malah dulu, dia tetap menerima saya sebagai menantu meskipun dia tahu saya seorang janda sebelum berkahwin dengan Chef Riz.

Apa yang membuat saya lebih terharu ialah apabila beliau meluahkan rasa sedihnya dan seperti tidak percaya bahawa saya dan Chef Riz sudah bercerai.

Begitu juga apabila saya bertemu dengan Chef Riz dalam mana-mana acara, kami masih bertegur sapa kerana saya enggan bermusuh dengan sesiapa. Dia juga pernah menjadi suami saya dahulu.

Boleh komen tentang khabar angin yang mengatakan Chef Riz akan berkahwin?

Sekiranya khabar angin tersebut benar, saya cuma boleh cakap alhamdulillah dan tahniah serta meminta dia fokus kepada rumah tangga. Sebagai bekas isteri, saya cuma mampu mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Sepanjang bergelar janda, adakah ada mana-mana lelaki yang ingin rapat dengan anda?

Tidak dinafikan ada yang ingin menjalinkan hubungan serius dengan saya.

Namun begitu, pengalaman lampau membuatkan saya kini lebih matang dan selalu timbul perasaan syak wasangka terhadap mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.

Apa aktiviti anda sepanjang bulan puasa ini?

Biasanya ada artis yang mengambil keputusan untuk berehat, tetapi saya masih meneruskan aktiviti lakonan.

Sekarang saya tengah sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mat Cepat sebanyak 13 episod untuk siaran RTM.

Tahun ini, saya akan menyambut hari raya di kampung halaman di Taiping, Perak bersama keluarga.

Untuk persiapan Aidilfitri pula saya lebih banyak menempah kuih raya kerana tidak ada masa untuk membuatnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved