Kosmo Online - Sukan |
Posted: Sudah tiba masanyaOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI RAJAGOBAL (dua dari kanan) dikecam hebat selepas Harimau Malaya dibelasah kelab Jepun baru-baru ini. BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh memberikan saranan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melantik individu yang benar-benar memahami Liga Malaysia (Liga M) sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu. Shukor berkata, kemerosotan prestasi skuad negara berpunca daripada pendekatan pengendali ketika ini, Datuk K. Rajagobal yang lebih gemar menguji para pemain. Situasi itu antara faktor menyebabkan Harimau Malaya gagal memberikan persembahan yang menyakinkan. Bekas pemain Pulau Pinang itu berkata, sudah tiba masanya FAM menilai latar belakang calon-calon yang akan menggantikan Rajagobal yang tidak akan disambung kontrak pada Disember depan. Jelasnya, persefahaman antara jurulatih dan pemain sangat penting demi menjamin kesinambungan persembahan skuad negara pada masa akan datang. "Kenapa nak uji pemain? Adakah Rajagobal masih belum arif dengan pemain-pemain yang beraksi di Liga M? "Adakah dia turun padang dengan menyaksikan perlawanan liga-liga tempatan? Sebenarnya, perkara ini telah banyak menimbulkan persoalan kepada pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat Harimau Malaya. "Pada pendapat saya, sudah tiba masanya FAM mencari individu yang betul-betul arif dengan Liga M. Bukan sahaja senang untuk berkomunikasi dengan para pemain tetapi ia turut memudahkan jurulatih membuat perancangan yang lebih teliti. "Jangan pula mengambil alasan prestasi jatuh disebabkan bulan Ramadhan, pada hal beliau sendiri yang merancang perlawanan persahabatan ini di Jepun dan persoalan saya, adakah skuad negara asyik menang selain beraksi di bulan puasa? "Carilah jurulatih yang berkaliber, merendah diri dan sentiasa mendengar pandangan orang lain. Tidak kisah sama ada jurulatih tempatan mahupun import, asalkan mereka arif dengan perjalanan Liga M," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Kosmo! sebelum ini melaporkan, skuad kendalian Rajagabol dikritik hebat selepas sekadar memenangi dua perlawanan dan satu seri sepanjang 13 aksi pemanas badan antarabangsa sejak 1 Februari lalu. Harimau Malaya mencatat tiga kekalahan ketika berdepan Shimizu S Pulse (0-2), Shonan Bellmare (0-5) dan Tokyo Verdy (0-5) dalam siri perlawanan persahabatan di bumi Jepun sejak 23 Julai lalu. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak berpuas hati dengan prestasi itu mengesahkan, pihaknya telah bersetuju untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali berusia 57 tahun itu dan kini sedang mengintai calon-calon berpotensi sebagai pengganti Rajagobal. Rajagobal masih diberikan kepercayaan oleh FAM dalam usaha meneruskan baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 sehingga kontraknya tamat pada Disember ini. Dalam perkembangan sama, Shukor menegaskan, semua pihak tidak boleh menuding jari terhadap Rajagobal di atas prestasi hambar tersebut. "Tidak adil untuk mengatakan semua ini berpunca dari Rajagobal tetapi pemain juga harus dipersalahkan. "Namun, beliau sendiri yang memilih pemain-pemain dan saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan nasihat kepada pemain generasi kini. "Sudah tiba masanya mereka mengubah mentaliti untuk beraksi dengan lebih baik," katanya. |
Posted: Debaran dunia bermulaOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH AKSI Pieler Kolding (kanan) dan Rytter Juhl dijangka mencuri tumpuan pada hari pertama Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Guangzhou, China esok. PERTEMBUNGAN antara dua beregu campuran, Chan Yun Lung-Tse Ying Suet dari Hong Kong dan pasangan Denmark, Mads Pieler Kolding-Kamilla Rytter Juhl bakal mencuri tumpuan pada hari pertama Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Guangzhou, China esok. Ia menjanjikan satu aksi menarik pada kejohanan terbesar sejak Sukan Oimpik 2012 di London itu kerana pasangan Hong Kong itu pernah mencatat beberapa kemenangan sejak tahun lalu setelah Chan Yun Lung mengubah haluan ke acara beregu lelaki daripada perseorangan. Pasangan itu berjaya melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Jerman dan Siri Super Seluruh England tahun ini. Bagaimanapun, beregu Denmark itu tidak kurang hebatnya apabila berjaya menghasilkan satu gandingan yang agak menarik. Kamilla Rytter Juhl berkata, kejohanan dunia ini adalah sesuatu yang istimewa kerana dia pernah bergelar juara ketika memenangi edisi 2009 bersama Thomas Laybourn. Namun, drama yang paling dinanti-nantikan oleh peminat badminton dunia dan tanah air sudah pasti pertemuan antara pemain sensasi negara, Lee Chong Wei dan musuh ketatnya yang juga juara dunia empat kali, Lin Dan dari China. Meskipun Chong Wei dan Lin Dan diletakkan selaku pilihan untuk bertembung di final acara perseorangan lelaki, mereka masih perlu berwaspada dengan ancaman lawan masing-masing pada pusingan awal. Kedua-duanya akan turun lebih awal apabila Chong Wei selaku pemain No. 1 dunia akan berdepan Scott Evans dari Ireland di gelanggang satu sebelum Lin Dan membuat penampilan di gelanggang yang sama dua perlawanan kemudian. Lin Dan dijadual berdepan Sattawat Pongnairat dari Amerika Syarikat (AS) dan meskipun Pongnairat berada di ranking lebih bagus iaitu No. 58 dunia berbanding pemain sensasi China itu (No. 100 dunia), tidak ramai peminat berasakan pemain AS itu mempunyai peluang yang cerah untuk menewaskan juara Olimpik 2012 itu. Antara episod lain ynag turut berlangsung pada hari pertama esok ialah pertemuan di antara pemain No. 3 dunia, Du Pengyu dari China dan pemain korea Selatan, Son Wan Ho. Pencapaian terbaik Wan Ho ialah memenangi Siri Super Terbuka India pada 2012, namun selepas itu dia dipaksa berehat panjang ekoran kecederaan. Pengyu pula mula menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lepas dan pencapaian terbaiknya ialah ketika memenangi gelaran Kejuaraan Asia, April lalu di mana dia menewaskan rakan senegaranya, Chen Long yang juga pemain No. 2 dunia dengan straight set. Pemain muda China ini juga memenangi dua rekod pertemuan dengan Wan Ho, sekali gus menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan ini. Sementara itu, pertembungan di antara Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark juga seharusnya menjanjikan pertarungan yang hebat. Sugiarto ketika ini dalam prestasi terbaiknya setelah memenangi Siri Suoer Terbuka Singapura, Jun lalu. Bagaimanapun, Vittinghus yang lebih berpengalaman juga masih mampu memberi masalah kepada pemain Indonesia tersebut. Kesemua perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di televisyen. Antara perlawanan menarik yang tidak akan disiarkan ialah Lee Dong Keun dari Korea Selatan menentang pemain Denmark, Jan O Jorgensen dan Ajay Jayaram (India) berdepan Wong Wing Ki (Hong Kong). |
Posted: kelate.net bidas RajagobalKELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net) menempelak sikap pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menjadikan bulan puasa sebagai punca kekalahan kepada pasukan berstatus kelab di Jepun pada perlawanan persahabatan baru-baru ini. Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, Rajagobal sepatutnya berfikir secara mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan dangkal tersebut kerana ia dilihat boleh menyentuh sensitiviti umat Islam yang sedang berpuasa. Menurutnya, tindakan Rajagobal menjadikan ibadah puasa sebagai alasan tidak masuk akal kerana beraksi di luar bulan puasa pasukan Harimau Malaysia tetap gagal mencatat kemenangan. "Apa yang dapat saya simpulkan, Rajagobal sudah tersepit dalam isu ini, lantas menjadikan puasa sebagai alasan. Semua orang tahu umat Islam akan berpuasa pada awal Julai hingga Ogos, kenapa perlawanan persahabatan tetap diatur. "Sekiranya, beliau tahu ia boleh menjejaskan prestasi pasukan, aksi persahabatan ini boleh ditunda. Saya harap Rajagobal lebih matang sebelum membuat kenyataan 'cerdik' seperti ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Tambahnya, peminat setia bola sepak negara sudah jelik dengan alasan yang diberikan oleh pengendali berusia 57 tahun setiap kali pasukan negara tumbang dalam aksi persahabatan. Dalam tiga aksi persahabatan, Malaysia bukan sahaja gagal menjaringkan sebarang gol tetapi kalah bermula dengan 0-2 kepada Shimizu S- Pulse. Ini diikuti dibelasah 0-5 kepada Shonan Bellmare, Sabtu lalu dan kelmarin giliran Tokyo Verdy pula membenam skuad negara dengan jumlah jaringan sama 0-5. Dalam perkembangan lain, Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) menganggap kekalahan skuad kebangsaan pada aksi persahabatan sepanjang bulan puasa ini memburukkan lagi imej bola sepak negara. Presidennya Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, Rajagobal perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut dan berhenti memberikan alasan serta menyalahkan pemain dalam isu ini. Katanya, tindakan Rajagobal tersebut mengeruhkan lagi imej bola sepak negara yang sebelum ini telah tercemar ekoran kedegilannya menerima kritikan yang diberikan oleh bekas pemain dan peminat. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan