Sabtu, 6 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia musnahkan Pakistan

Posted:

Malaysia musnahkan Pakistan

Malaysia musnahkan Pakistan

Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my

PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Pakistan 3-1 pada Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.


IMPIAN skuad negara untuk menghuni tangga kelima keseluruhan pada Liga Hoki Dunia semakin hampir menjadi kenyataan selepas menewaskan Pakistan 3-1 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Selepas mengalami kekecewaan gagal mara ke pusingan separuh akhir, sekali gus tidak layak ke Piala Dunia di Belanda tahun hadapan, skuad bimbingan Paul Revington kini mempunyai misi untuk menghuni tangga kelima bagi membolehkan mereka memperbaiki ranking dunia.

Pada aksi semalam, skuad negara dilihat cukup bersemangat untuk menewaskan Pakistan yang juga pasukan No. 1 Asia buat pertama kalinya selepas sekadar seri 4-4 pada peringkat kumpulan lalu selain seri 2-2 pada Piala Sultan Azlan Shah 2013 dan seri 3-3 pada Trofi Juara-Juara Asia 2012.

Gol pertama skuad negara diperoleh pada minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim sebelum Pakistan yang dibimbing Abdul Khan bangkit untuk menyamakan kedudukan dua minit kemudian melalui jaringan padang Shafqat Rasool.

Malaysia memperoleh jaringan saguhati selepas penjaga gol Pakistan, Imran Butt menjaringkan gol sendiri ketika cuba menahan pukulan kencang pemain negara, Faizal Saari dari luar kawasan D pada minit ke-19 untuk kedudukan 2-1.

Masuk babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berjaya membuat beberapa cubaan berbahaya terutama menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, penyerang negara, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil berjaya meletakkan Malaysia dalam kedudukan lebih selesa apabila menjaringkan gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-38.

Revington berkata, kemenangan itu adalah hasil daripada kerjasama berpasukan dan keyakinan yang tinggi kesemua anak buahnya.

"Memang saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia merupakan kemenangan pertama kami ke atas Pakistan. Walaupun pemain ada melepaskan beberapa peluang untuk menambah jaringan, secara keseluruhannya saya tetap gembira dengan keputusan ini.

"Saya harap, pemain akan terus menunjukkan komitmen tinggi pada perlawanan terakhir esok (hari ini)," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan semalam.

Pada perlawanan penentuan tempat kelima hari ini, Malaysia bakal bertemu Jepun yang terlebih dahulu menewaskan Afrika Selatan 1-0 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 setelah tamat permainan.

Pakistan dan Afrika Selatan pula akan bertemu bagi menentukan kedudukan ketujuh dan kelapan.

Selangor melayakkan diri ke Piala AFC 2014

Posted:

Selangor melayakkan diri ke Piala AFC 2014

Selangor melayakkan diri ke Piala AFC 2014


PEMAIN-PEMAIN Selangor meraikan kejayaan mereka melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2014 selepas seri 1-1 dengan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


PENYERANG import Selangor, Francis Forkey Doe memastikan pasukan itu beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan selepas meledak gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Lebih manis, pemain kelahiran Liberia itu membantu skuad Gergasi Merah menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga, manakala Harimau Selatan berada di tangga ketiga berdasarkan perbezaan jaringan meskipun berkongsi 40 mata dengan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Pada aksi tersebut, penyerang import, Leonel Nunez terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan menerusi jaringannya pada minit ke-22.

Selangor kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Forkey Doe pada minit ke-51.

Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu gol kemenangan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan Selangor apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

DI Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, impian Felda United untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super tidak kesampaian meskipun berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.

Ia gara-gara T-Team kekal berada di tangga ke-18 liga selepas berjaya mengikat Terengganu 2-2 semalam.

Felda terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain veteran, Rudie Ramli seawal minit ke-16.

Eddy Helmi Abdul Manan mengikat kedudukan dengan menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-52.

Begitupun, Rudie sekali lagi menjadi tumpuan apabila meledak gol kemenangan Felda United pada masa kecederaan.

Felda secara rasmi kini menyertai Negeri Sembilan yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

DI Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kejayaan T-Team mengikat Terengganu 2-2, sekali gus mengekalkan kedudukan pasukan berstatus kelab itu beraksi di kancah Liga Super musim depan.

Penyerang import skuad The Titans, Damir Ibric membuka jaringan pada minit ke-13 namun pemain Terengganu, Nasril Izzat Jalil menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Mohd. Fakhrurazi Musa kembali meletakkan Skuad Penyu di depan menerusi jaringannya pada minit ke-51, namun Ahmad Syamim Yahaya memastikan T-Team terus kekal dalam kempen Liga Super dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-60.

DI Stadium Shah Alam, empat gol daripada penyerang import Selangor PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh belum cukup untuk menjamin kebangkitan pasukannya selepas tewas 4-5 kepada Pahang.

Skuad pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal dan R. Gopinathan pada minit ke-11 dan 20.

Ronaldinho berkerja keras untuk mengurangkan defisit jaringan dan hasilnya, penyerang Liberia itu berjaya menjaringkan gol pertama PKNS pada minit ke-34.

Namun, penyerang import Pahang, Martias Conti terus meletakkan skuad Tok Gajah dalam keadaan selesa dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44.

Bersambung di babak kedua, Fauzi Roslan menjaringkan gol keempat pada minit ke- 49 sebelum Pahang 'dihadiahkan' satu jaringan sendiri dari pemain PKNS, Alyy Imran Samarkhan (m-54).

PKNS tidak menyerah kalah apabila Ronaldinho berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi tiga jaringan pada minit ke-70, 78 dan masa kecederaan, namun keputusan 4-5 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

DI Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menundukkan juara Liga Super, Lions XII 2-0 menerusi jaringan kapten, Mohd. Bahdri Mohd. Radzi dan Dickson Nwakaeme pada minit kelima dan 59.

DI Stadium Perak, Ipoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tewas kepada Perak 0-1 hasil jaringan tunggal penyerang import Seladang, Paulo Rangel.

Perlis sedia dana RM135 juta

Posted:

Perlis sedia dana RM135 juta

Perlis sedia dana RM135 juta

Laporan MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI, NOR AZIRAN YUNUS dan SHANIKA ABDULLATIB
sukan@kosmo.com.my


ABDUL JAMIL (kiri) mengumumkan Perlis memperuntukkan dana sebanyak RM135 juta sebagai kos untuk perbelanjaan persiapan penganjuran Sukma ke-17 tahun depan.


PERLIS menyediakan peruntukan sebanyak RM135 juta sebagai kos untuk perbelanjaan persiapan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 tahun depan.

Perlis menjadi tuan rumah Sukma buat pertama kalinya dan temasya itu dijangka membuka tirai pada 24 Mei hingga 7 Jun 2014.

Exco Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, jumlah itu termasuk pembinaan tiga venue baharu serta kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur sedia ada.

"Pembinaan venue baharu melibatkan acara badminton, skuasy dan lapangan sasar, manakala kerja naik taraf akan dimulakan pada minggu pertama bulan depan.

"Bagaimanapun, pembinaan velodrom mini yang dicadangkan sebelum ini tidak dapat diteruskan kerana kekangan masa dan masalah kewangan. Kami akan berbincang dengan persatuan negeri bagi mencari alternatif lain untuk acara lumba basikal," katanya pada sidang akhbar di pusat media di Bukit Jalil semalam.

Abdul Jamil berkata, Perlis akan memastikan semua venue yang berlangsung di Perlis tanpa melibatkan penggunaan venue di Kedah, manakala penginapan atlet akan ditempatkan di institut pengajian tinggi sekitar negeri itu.

Sehingga kini persiapan venue adalah 30 peratus.

Sementara itu, Perlis turut memperkenalkan empat acara baharu iaitu tenis, kenu, petanque dan golf.

"Tenis adalah antara acara yang dijangka mampu menyumbang pingat dan kami juga akan mempertaruhkan atlet kami iaitu juara remaja Asia.

"Bagi acara kenu, pencapaian pada Sukma sebelum ini amat memberangsangkan apabila kami berjaya mencuri beberapa pingat daripada Terengganu. Kerana itu, kami memperkenalkan acara ini pada temasya akan datang," kata Abdul Jamil.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved