Sabtu, 6 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nikita gembira popular di Malaysia

Posted:

Nikita gembira popular di Malaysia

Nikita gembira popular di Malaysia

BERKESEMPATAN bertemu artis cantik kelahiran Indonesia, Nikita Willy buat kali kedua baru-baru ini, timbul rasa kagum terhadap dirinya yang kelihatan semakin cantik.

Menariknya, kehadiran Nikita ke Malaysia kali ini bagi melancarkan album sulungnya, Lebih Dari Indah tidak keseorangan kerana dia turut ditemani ibunya iaitu Yora Febriana.

Menurut Nikita, dia sangat bersyukur kerana sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, peminat sentiasa memberikan respons yang positif dan kebanyakan sinetron yang dilakonkannya mendapat sambutan baik.

"Selain mempunyai ramai peminat di negara kelahiran sendiri, saya teruja kerana turut popular di Malaysia. Saya tahu kebanyakan sinetron lakonan saya ditayangkan di negara ini seperti Putri Yang Ditukar, Safa Dan Marwah dan Yusra Dan Yumna.

"Jadi, peluang untuk kembali hadir ke Malaysia sudah tentu tidak dilepaskan sama sekali dan album Lebih Dari Indah ini merupakan hadiah istimewa buat saya kepada peminat di sini," ujarnya yang didakwa sebagai antara artis yang menerima bayaran paling tinggi di Indonesia.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkembangan kerjayanya pula, Nikita memberitahu segala nikmat yang diperoleh itu bukanlah datang dengan cara yang mudah.

Utamakan lakonan

Ujarnya, dia terpaksa membayar harga yang cukup tinggi, terutamanya melepaskan usia remajanya memandangkan jadual penggambarannya yang cukup padat setiap hari.

"Kalau kebanyakan remaja dapat menghabiskan masa dengan rakan-rakan untuk bersosial, saya pula melalui kehidupan yang agak berbeza kerana setiap hari perlu berada di lokasi penggambaran dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

"Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa orang teman rapat yang memahami kerjaya saya ini. Biasanya kami akan pergi bersarapan bersama atau mereka akan berjumpa saya di lokasi penggambaran," jelasnya yang kini sibuk menjalani penggambaran sinetron Surat Kecil Untuk Tuhan.

Memandangkan kebanyakan sinetron yang dilakonkan Nikita kerap menampilkan dirinya membawakan watak-watak seorang gadis yang baik, dia turut ditanya sama ada pernah mendapat tawaran untuk membawakan watak antagonis.

NIKITA mesra di sampingnya ibunya, Yora.


Jelas pemilik nama sebenar Nikita Purnama Willy itu dia memang teringin untuk cuba membawakan watak yang berbeza, namun watak protagonis seolah-olah sudah sebati dengan dirinya.

"Secara jujurnya saya memang mempunyai keinginan untuk menjadi seorang antagonis dalam sesebuah sinetron, tetapi saya risau sekiranya peminat tidak suka dengan watak yang saya bawakan itu nanti," ujarnya.

Dikenali ramai sebagai seorang pelakon sinetron yang cukup popular, Nikita juga turut berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berusia 16 tahun dan telah menghasilkan album pertamanya iaitu Lebih Dari Indah.

Ujar Nikita, albumnya itu terpaksa dihasilkan selama dua tahun memandangkan jadual lakonannya yang padat dan telah dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu.

"Mengenai album Lebih Dari Indah ini ia mengandungi sebanyak 11 buah lagu. Menariknya, tujuh buah daripadanya merupakan lagu-lagu tema untuk sesebuah sinetron.

"Selepas album saya ini dilancarkan di Indonesia, baru sekarang saya berkesempatan untuk melancarkannya di Malaysia. Selain pelancaran saya turut terlibat dalam rangka promosi di radio dan televisyen," jelasnya.

Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Akibat Pernikahan Dini, Maafkan, Ku Tetap Menanti, Pantas Untukku, Lebih Dari Indah, Bohong, Luka, Cinta Putihmu, Tafakur, Pantas Untukku dan Nonton Bioskop.

Peluk Islam

Apabila ditanya sama ada dia kini mahu bergiat aktif dalam dunia nyanyian pula, Nikita menyatakan lakonan tetap menjadi keutamaan buat dirinya.

"Semasa mula-mula ditawarkan menyanyi dahulu saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan. Kemudian hasil perbincangan dengan ibu, akhirnya saya bersetuju menerimanya.

"Selama ini saya lebih dikenali sebagai seorang pelakon sahaja. Jadi, saya memikirkan tidak salah untuk cuba menerokai bidang baharu dalam kerjaya seni dan tidak sangka ramai yang memberikan sokongan kepada saya untuk menyanyi," ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini dia langsung tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sebelum memulakan rakaman untuk lagu pertamanya iaitu Ku Tetap Menanti, dia telah menjalani kelas latihan vokal selama sebulan.

Selain bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya, Nikita turut ditebak mengenai kisah percintaannya dengan pemain bola sepak kelahiran Belanda, Diego Muhammad Robbie Michiels.

NIKITA cukup sinonim dengan watak baik menerusi pelbagai sinetron lakonannya.


Menjawab pertanyaan wartawan, dia menjelaskan hubungannya dengan Diego sudah berlanjutan selama dua tahun. Namun begitu, mereka terpaksa berjauhan memandangkan kekasihnya itu menetap di Palembang kerana mewakili kelab Sriwijaya FC.

"Walaupun sudah lama menjalinkan hubungan cinta, tetapi kami masih belum merancang untuk berkahwin. Lagipun kami berdua masih lagi muda dan biarlah kami menumpukan kepada kerjaya masing-masing dahulu.

"Sepanjang dua tahun menjalinkan hubungan cinta saya sangat selesa dengan Diego kerana dia merupakan seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya sebagai seorang pelakon. Keluarga kami juga merestui hubungan yang terjalin ini," ujarnya.

Menurut Nikita, dia melahirkan rasa gembiranya apabila kekasihnya itu telah membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada Februari lalu.

"Memang ramai yang menyangka dia menukar agamanya semata-mata kerana saya, tetapi saya ingin menegaskan keputusannya itu tidak berkaitan dengan diri saya kerana ia dilakukan atas kerelaan hatinya.

"Dia ada memberitahu kepada saya bahawa keputusannya untuk menukar agama kerana sudah lama tertarik Islam memandangkan dia dibesarkan di kawasan kejiranan Islam semasa di Belanda dan mempunyai ramai rakan-rakan Muslim," jelasnya.

Dilema pelakon drama Tamil

Posted:

Dilema pelakon drama Tamil

Dilema pelakon drama Tamil

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM


BERPOTENSI. Dari kiri, Raja Ilya, Perlija Raj, Jasmine Michael, Anu Ramamoothy dan Kristina Vinokree.


KEHADIRAN pelakon yang menempa nama menerusi produksi Tamil dalam industri seni Melayu seperti Kenchana Dewi dan Pushpa Narayan boleh dibilang dengan jari.

Namun, kini muncul lima pelakon Tamil yang dijangka memberi impak kepada industri drama dan filem Melayu.

Bertempat di Rafflesia, Hotel Park Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, berlangsung majlis memperkenalkan empat aktres yang sebelum ini aktif berlakon dalam produksi Tamil iaitu Raja Ilya, Jasmine Michael, Kristina Vinokree, dan Anu Ramamoothy di samping penampilan khas aktor dari Sri Lanka, Pearlija Raj.

Mereka berlima muncul serba glamor dan penuh pesona memperagakan busana rekaan Albert King serta dilengkapi aksesori mutiara daripada Rafflesia.

Kelima-limanya Raja Ilya, Jasmine, Kristina, Anu dan Pearlija sepakat berpendapat bahawa untuk menembusi industri seni Melayu, mereka harus mencuba nasib dengan memperkenalkan diri kepada penonton Melayu.

Kebolehan bertutur dalam bahasa Tamil merupakan satu keistimewaan Raja Ilya yang berasal dari Ipoh, Perak. Ia menyebabkan dia kini terpaksa membahagikan masa untuk berlakon dalam produksi Tamil dan Melayu.

"Saya boleh berbahasa Tamil, Urdu, dan Hindustan, jadi saya berkeupayaan untuk aktif dalam dua industri seni yang berbeza iaitu Tamil dan Melayu.

"Namun, ia tidak semudah itu kerana untuk memulakan sesuatu, kita perlulah bermula dari bawah.

"Saya akui agak susah dan tiada platform yang betul untuk pelakon Tamil menceburi industri drama Melayu," ujar Raja Ilya membawa watak Haliza dalam drama bersiri Dahlia.

Heroin filem Estet, Jasmine Michael turut mengakui bahawa sukar bagi dirinya untuk terjun ke dalam industri drama Melayu. Ini kerana permintaan yang tinggi daripada produksi Tamil menyebabkan dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon drama Melayu.

"Saya ada terima tawaran berlakon drama Melayu. Namun setiap kali saya mahu menerima tawaran tersebut, dalam masa yang sama saya sibuk dengan penggambaran drama mahupun filem Tamil. Saya tidak boleh lari (ke produksi Melayu) kerana saya memegang watak utama dalam produksi Tamil," katanya

Jasmine berharap dia dapat menembusi industri Melayu sekali lagi pada tahun ini.

Dia turut berpendapat bahawa pelakon India di negara ini perlu mencari dan merebut peluang yang ada untuk lebih dikenali, malah jangan terlalu memilih watak atau produksi.

Sementara pengarah yang pernah mengarah drama Tamil, Anjali untuk siaran RTM pada tahun 2011, Along Kamaruddin berpendapat pelakon-pelakon Tamil harus diberi peluang sekiranya mereka memiliki bakat.

"Saya menyarankan pengarah-pengarah beri peluang kepada pelakon bukan Melayu supaya mereka boleh membuktikan bakat mereka.

"Selain itu, untuk pelakon Tamil, dapatkan pengarah yang bagus, penceritaan yang bagus, dan cerita yang akan meletup. Melalui platform tersebut ramai akan mengenali mereka," ujarnya.

DJ Lin tidak mahu lagu diputarkan

Posted:

DJ Lin tidak mahu lagu diputarkan

DJ Lin tidak mahu lagu diputarkan

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN

DEEJAY LIN kini mempunyai single berjudul Ranting Harapan.


BELUM ada lagi artis yang merakamkan lagu tidak mahu lagunya diputarkan di stesen radio, tetapi itulah yang berlaku pada seorang penyampai radio iaitu Deejay Lin.

Deejay Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 37, baru-baru ini telah melancarkan single pertamanya berjudul Ranting Harapan ciptaan Eddie Hamid.

Namun, dia tidak berharap lagu yang dirakamnya itu akan disiarkan di mana-mana stesen radio termasuklah stesen tempat dia bekerja iaitu Suria FM.

Menurut Lin, dia tidak mahu dengan memutarkan lagu sendiri di radio, timbul pula isu kontroversi deejay syok sendiri.

Katanya, rakaman lagu itu dibuat sekadar untuk memenuhi permintaan peminat yang mahukan dirinya menyanyikan lagu sendiri.

"Saya terlalu menghargai peminat, apa sahaja permintaan yang mereka mahukan saya akan cuba penuhi. Jadi, terciptalah lagu Ranting Harapan yang berkisar mengenai kisah sebenar tentang hidup saya yang terpaksa meninggalkan orang tersayang di Johor.

"Lagu itu dimuatkan dalam album kompilasi Persona Cinta sebagai single baharu. Baki 23 buah lagu lagi dalam album tersebut merupakan pilihan bersama saya dan pihak penerbit," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album itu yang berlangsung Red Box Ria, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, penghasilan Ranting Harapan bukan untuk bersaing dengan artis sedia ada kerana dia sedar dirinya tidak berbakat besar.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya ketika merakamkan lagu tersebut, Lin memberitahu, dia mengambil masa selama dua hari untuk merakamkannya.

Oleh kerana dia bekerja pada waktu malam sehingga lewat pagi, rakaman lagu tersebut hanya boleh dibuat selepas habis tugasannya di konti iaitu sekitar pukul 2 pagi.

Namun begitu, dengan bantuan Eddie Hamid, lagu itu dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Ditanya tidakkah dia takut untuk menerima kritikan daripada peminat, ujar Lin, apa sahaja respons sama ada positif atau negatif daripada pendengar akan diterima dengan hati terbuka.

"Saya terima apa saja respons. Namun, setakat ini semua tindak balas yang saya terima amat positif. Mereka menyokong kerjaya saya," jelas ibu tunggal kepada Nureen Areesya, 10, dan Nazreen Asyran, 8, ini.

Album Persona Cinta boleh didapati di semua cawangan kedai muzik pada harga RM25.50.

Kepada pembaca yang belum mengenali Lin, dia merupakan penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM setiap Isnin hingga Jumaat dan Ahad dari pukul 11 malam hingga 2 pagi.

Pengendali program Suria Cinta yang mempunyai lebih 70,000 peminat menerusi Facebook itu berharap kecemerlangan yang diperoleh pada tahun lalu akan terus berkekalan pada tahun seterusnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved