Jumaat, 12 Julai 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kawal hipoglisemia semasa berpuasa

Posted:

Kawal hipoglisemia semasa berpuasa

Kawal hipoglisemia semasa berpuasa

Oleh NIZHA PERIASWAMY

BAGI Rohimah Chewik, 57, dari Shah Alam, Selangor kedatangan bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun antara detik-detik paling sibuk dalam rutinnya sebagai suri rumah.

Pada waktu itu, selain memperbanyakkan ibadah, dia juga perlu mengemas, memasak juadah berbuka dan menyediakan persiapan lebaran.

Sungguhpun dibantu suami dan anak-anak, Rohimah tetap membuat kerja-kerja rumah dengan tekun bagi memastikan bulan Ramadan berjalan lancar dan Syawal disambut meriah.

Namun, sejak lima tahun yang lalu, selepas dia dikesan dengan penyakit diabetes Jenis 2, wanita yang sudah bergelar nenek itu terpaksa banyak berehat dan membuat kerja secara konsisten.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua, iaitu Jenis 1 dan 2. Diabetes Jenis 1 berlaku apabila seseorang terpaksa bergantung kepada insulin, manakala diabetes Jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) biasanya membabitkan individu yang mengalami masalah obesiti.

Bagi diabetes Jenis 2, apabila badan tidak mampu mengawal paras glukos dalam darah ia akan dipanggil hiperglisemia. Bagaimanapun disebabkan oleh agen antihiperglisemia seseorang pesakit boleh berdepan dengan masalah hipoglisemia iaitu gula rendah.

"Disebabkan kandungan glukos yang rendah, saya menghadapi hipoglisemia. Walaupun bukan teruk, saya masih boleh merasa situasi tersebut apabila tiba-tiba berasa letih, berpeluh dan rasa tidak senang," katanya yang menghadapi hipoglisemia tahap minimum.

Perubatan yang diambil Rohimah mungkin membantu beliau mengelak daripada terkena hipoglisemia teruk, namun, pada waktu pagi Rohimah mengakui tetap berdepan dengan fenomena tersebut.

"Waktu seperti itu, saya akan mengambil makanan bergula dalam kuantiti kecil. Gula-gula, biskut manis atau minuman. Kemudian saya mesti berehat. Kadangkala sekejap, adakalanya tidur lama," katanya yang tidak dapat menentukan jangka masa tertentu untuk berehat.


ROHIMAH tidak pernah ketinggalan mengambil ubat-ubatan bagi penyakit diabetes.


Bersahur elak hipoglisemia

Ditanya tentang masalah yang sama menjelang bulan Ramadan, Rohimah memberitahu, amalan bersahur mengelak dirinya letih pada waktu pagi namun, menjelang petang dia kepenatan.

"Bacaan gula saya tidak pernah turun kurang daripada enam, biasanya tujuh tetapi ditambah dengan faktor usia menyebabkan saya cepat penat dan terdesak untuk berehat," ujar Rohimah lagi.

Pesakit diabetes dikesan mengalami masalah hipoglisemia (kurang gula) atau hiperglisemia (kandungan glukosa tinggi) lazimnya pada bulan puasa disebabkan pola pengambilan makanan dan waktu makan yang berbeza.

Apabila pesakit diabetes tidak bangun untuk bersahur, tempoh berpuasa mereka direkod lebih lama iaitu melebihi 14 jam.

Pesakit tersebut meningkatkan risiko hipoglisemia yang mengundang kemerosotan kandungan glukosa dalam darah.

Periksa kandungan gula

Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Zanariah Hussein berkata, masalah hipoglisemia juga selalunya dikaitkan dengan jenis perubatan yang diambil. Terdapat dua jenis perubatan untuk diabetes iaitu metformin dan sulfonylurea.

Metformin tidak mengurangkan kandungan glukosa, namun ubatan seperti sulfonylurea pula mengalakkan peningkatan insulin menyebabkan pesakit berhadapan dengan masalah.

"Disebabkan itu, pesakit perlu dididik lebih awal untuk mengawal kandungan gula sebelum menjelang bulan puasa. Dengan itu, kadar turun naik kandungan glukosa dapat dielakkan," katanya.

Malah, beliau juga memberitahu, jika pesakit berhadapan dengan masalah hipoglisemia semasa sedang berpuasa, mereka boleh mendapatkan nasihat doktor. Doktor akan mengubah waktu atau dos ubat mengikut masa berbuka serta selepas bersahur.

"Jangan lupa membaca tahap gula semasa berpuasa. Jika bacaan glukosa berada pada tahap rendah, pesakit disarankan berbuka kerana takut akan berhadapan risiko hipoglisemia yang teruk seperti pengsan, tidak sedar diri, pitam, keliru, resah, palpitasi, loya dan pucat," katanya merujuk kepada kajian yang pernah dibuat terhadap fenomena hipoglisemia ketika bulan berpuasa.


PESAKIT diabetes dinasihat mengawasi pola pemakanan dan kadar glukosa dalam darah walaupun pada bulan Ramadan.


Malah, pesakit yang mengalami hipoglisemia teruk juga dilapor memberi tekanan pada jantung.

Berita baik mengenai kemampuan pesakit diabetes di Malaysia menurut Jurnal Diabetes Care Vol. 2 No. 10 2004, menunjukkan peratusan pesakit diabetes jenis dua yang berpuasa lebih daripada 15 hari di Malaysia adalah 95 peratus.

Ia antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara-negara Islam yang lain.

Menurut seorang lagi Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng, Kajian Epidiar daripada Jurnal Diabetes Care Vol. 27 No. 10 2004, purata kekerapan episod hipoglisemia sebelum berpuasa adalah pada 0.4, tetapi menjelang Ramadan, ia meningkat 7.5 kali ganda.

"Rawatan antidiabetes yang mengurangkan risiko hipoglisemia, mengurangkan kebimbangan tentang hipoglisemia dan mampu meningkatkan kadar kepatuhan serta membantu pesakit mencapai sasaran jangka panjang iaitu aras gula darah yang lebih terkawal," kata Siew Pheng.

Puasa bantu kecemerlangan diri

Posted:

Puasa bantu kecemerlangan diri

Puasa bantu kecemerlangan diri


BULAN Ramadan turut memberi peluang bagi umat Islam merapatkan hubungan kekeluargaan.


ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan Ramadan al-Mubarak. Salam Ramadan dan selamat berpuasa saya ucapkan khusus buat semua Muslimin dan Muslimat khasnya buat penggemar ruangan Cermin Diri.

Harapan saya, pembaca yang menepati syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak sama-sama menjalani ibadah puasa pada hari ini.

Puasa pada bulan Ramadan ini mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."

Berdasarkan ayat ini, jelas sekali pensyariatan puasa bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan malah kecemerlangan diri kita sebagai hamba kepada-Nya.

Kecemerlangan peribadi

Sama ada disedari atau tidak, ketika sebelum Ramadan, tidak ramai yang arif tentang masuknya waktu solat Maghrib.

Rata-rata menyedari waktu Maghrib tamat ketika slot berita ditayangkan di kaca televisyen. Berbanding ketika Ramadan, hampir segenap lapisan masyarakat maklum tentang masuknya waktu Maghrib yang juga waktu berbuka puasa.

Paling penting, kita menjadi seorang yang terlalu menepati masa. Azan belum lagi berkumandang, segala hidangan telah tersedia. Ketika lafaz azan dilaungkan, dengan pantas doa berbuka puasa disebut dan hidangan dijamah.

Sewajarnya sikap ini dipraktikkan terus, bukan saja ketika Ramadan, malah sepanjang 11 bulan lainnya.

Bukan saja ketika berbuka puasa tetapi dalam segala aspek hidup kita seperti bekerja, janji temu termasuk juga berhubungan dengan pasangan dan anak-anak.

Ketika Ramadan juga, ramai individu yang meninggalkan tabiat bergosip atau lebih maklum dengan mengumpat.

Ops! Jangan tidak tahu, lelaki pun dah ramai yang pandai mengumpat ya! Tabiat ini ditinggalkan ketika Ramadan bagi menjaga pahala puasa agar tidak cair menjelang petangnya dan hanya mendapat penat.

Sebaiknya sikap ini diteruskan juga pada bulan lain. Hakikatnya, tabiat bergosip atau mengumpat memang tidak wajar dilakukan.

Bukan saja dilarang oleh syariat tetapi tidak wajar menurut pertimbangan akal dan moral.

Sudah tentu individu yang digosip akan sakit hati, marah hingga boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan.

Jika sikap meninggalkan gosip ini diteruskan selepas Ramadan, hubungan sebagai rakan, saudara, handai dan taulan akan lebih mesra dan berkekalan.

Kecemerlangan kerjaya

Hampir semua institusi mempunyai jadual kerja yang baharu khususnya ketika Ramadan ini. Jika biasanya masuk kerja pukul 9 pagi dan balik pukul 6 petang banyak institusi yang mempercepatkan waktu masuk kerja dan memendekkan waktu rehat.

Ia dilakukan bagi memberi ruang agar para pekerjanya dapat balik lebih awal daripada biasa untuk berbuka puasa di rumah bersama ahli keluarga.

Ketika tiada lagi sesi bergosip dan kehendak untuk menyiapkan kerja lebih cepat agar tidak perlu kerja lebih masa maka ramai pekerja yang memberikan tumpuan dan fokus yang lebih baik berbanding waktu kerja biasa sebelum bulan puasa.

Bukan saja bertujuan dapat balik awal tapi ada yang menyimpan harapan agar diberikan imbuhan oleh ketua bagi kegunaan pada hari raya nanti.

Sewajarnya sikap begini dipraktikkan sepanjang masa, bukan hanya pada bulan puasa.

Syariat menetapkan setiap pekerja melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh majikan dengan sebaiknya pada setiap masa, bukan hanya ketika bulan puasa.

Rasa tidak bermaya untuk bekerja pada bulan puasa? Jika anda sematkan di fikiran anda dengan prinsip: 'Aku puasa, tak larat nak kerja', sememangnya anda akan mudah rasa lemah.


PUASA bertujuan untuk meningkatkan ketakwaan dan kecemerlangan individu.


Namun, jika anda sematkan: 'Puasa ke tak puasa, sama saja! Kerja macam biasa, boleh balik awal lagi!' Percayalah, anda akan memiliki kekuatan dan semangat luar biasa.

Tubuh badan kita sentiasa berinteraksi dengan minda kita. Jika anda fikirkan yang positif, hari-hari anda akan berlalu dengan positif juga.

Kecemerlangan hidup berkeluarga

Ramai yang maklum tentang keberkatan bulan Ramadan. Tahukah anda, bulan Ramadan bukan saja bulan menambah pahala tetapi juga boleh dijadikan sebagai masa untuk semarakkan kasih keluarga khususnya cinta kasih suami isteri.

Jangan salah faham pula, Ramadan bukan halangan untuk bermesra atau berhubungan suami isteri.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan campurilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu."

Ayat ini jelas mengizinkan pasangan suami isteri yang sah perkahwinannya menurut hukum syarak untuk melakukan hubungan suami isteri ketika bulan Ramadan tetapi bukan pada waktu siang hari.

Kalau melakukan hubungan seks suami isteri pada siang hari maka diwajibkan kafarah al-Uzma.

Bagi mereka yang menginginkan anak, boleh ambil kesempatan pada bulan mulia ini untuk menghasilkan zuriat yang diberkati, insyaAllah.

Dalam satu riwayat pula, Aishah RA berkata yang bermaksud: Nabi mencium dan menyentuh iaitu memeluk isteri baginda padahal baginda berpuasa. - Hadis Riwayat Bukhari.

Hadis ini menjelaskan, tidak ada salahnya untuk bermesra antara suami dan isteri ketika bulan Ramadan. Gunakan masa Ramadan ini untuk sama-sama bersahur, berbuka puasa dan berjemaah mengerjakan solat tarawih.

Para suami, boleh membantu isteri menyediakan hidangan berbuka puasa ataupun boleh tolong jaga anak-anak, berikan peluang kepada isteri untuk memasak dengan aman di dapur.

Kalau selalu isteri yang bangun pagi sediakan hidangan untuk bersahur, apa salahnya sesekali suami buat kejutan, bangun awal sikit dan sediakan hidangan sahur.

Cukuplah nasi putih dengan telur dadar, insyaAllah anda akan dipeluk oleh isteri awal-awal pagi tu. Tidak percaya? Cubalah dulu.

Moga Ramadan ini menjana ketakwaan dan kecemerlangan diri buat kita semua, amin.

Fabrik terbaik di Euro Moda Gulati's

Posted:

Fabrik terbaik di Euro Moda Gulati's

Fabrik terbaik di Euro Moda Gulati's


BAJU Melayu sedia pakai boleh didapati di semua cawangan.


"DALAM perniagaan runcit, kita mesti sentiasa merendah diri tidak kira dengan siapa pun kita berurusan," amanat arwah bapa mertua Pengarah Eksekutif Kumpulan Euro Moda Gulati's, Jasleen Kaur, dijadikan sandaran untuk mengekalkan kegemilangan legasi Euro Moda Gulati's sebagai kuasa industri tekstil dalam negara.

Berpandukan prinsip itu, tidak hairanlah cawangan terbaharu Euro Moda Gulati's yang ke-18 di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor berterusan mencapai sasaran jualan walaupun baru setahun dibuka.

"Sehingga kini, jualan sangat memberangsangkan. Ini membuktikan bahawa pembukaan cawangan di Bandar Baru Bangi adalah keputusan yang tepat selaras dengan kedudukan gedung itu yang menjadi tumpuan semua golongan untuk membeli-belah fabrik dengan mudah.

"Terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada kami. Kejayaan ini turut dibantu oleh 40 kakitangan tetap yang sentiasa menyambut mesra pelanggan yang bertandang ke gedung kami.

"Kami juga menggunakan konsep seorang jurujual untuk seorang pelanggan. Jurujual kami sedia melayan kehendak pelanggan bagi memenuhi cita rasa fabrik yang diingini mereka.

"Bagi kami, pelanggan ialah raja dan kami menghormati mereka kerana kuasa membeli terletak kepada mereka," katanya ketika ditemui di Euro Moda Gulati's, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Cawangan setinggi tiga tingkat ber keluasan 4,645 meter persegi itu kini menjadi mercu tanda baharu di bandar tersebut.

Euro Moda Gulati's juga menawarkan semua persiapan di bawah satu bumbung. Antaranya, pakaian tradisional, busana pengantin, langsir, koleksi tudung Aalia, baju kurung siap dan rekaan corak tertentu serta perkhidmatan tempahan jahitan untuk wanita mahupun lelaki.

Pelanggan juga boleh melihat koleksi fabrik pengantin daripada jenama terkemuka di semua cawangan Euro Moda Gulati's. Mereka yang gemarkan rekaan mewah boleh memilih fabrik dari Eropah di bawah rekaan masterpiece. Ia dicetak dengan rekaan terhad untuk sepasang sahaja.

Tambah Jasleen, Euro Moda Gulati's berupaya menyediakan fabrik bermutu tinggi pada harga kompetitif kerana mereka berurusan terus dengan pembekal tekstil dari luar negara.

Selain itu, mereka juga mempunyai pereka fesyen sendiri yang sentiasa menghasilkan rekaan baharu mengikut trend terkini.

Orang ramai bolehlah berkunjung ke gedung fabrik Euro Moda Gulati's untuk melihat sendiri rekaan fabrik yang berkualiti pada harga yang berpatutan atau layari laman Facebook rasmi facebook.com/euromodagulatispage.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved