Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Seni bercerita cara Hasniah
"BAGAIMANA bunyi itik?" Soal wanita tersebut kepada kumpulan kanak-kanak di hadapannya. Dengan penuh teruja, anak-anak kecil itu secara serentak mengajuk bunyi haiwan tersebut, "Kuek, kuek, kuek!" Wanita itu menyambung: "Salah! Itu bunyi Donald Duck. Itik kampung bunyi plap, plap, plap." Seraya jawapan itu disambut dengan anggukan dan hilai tawa kanak-kanak tersebut. Mereka kemudiannya disuruh menyebut bunyi sebenar itik itu beramai-ramai. Wanita yang mahu digelar Mama Tok itu kemudiannya meneruskan cerita tentang hikayat haiwan kepada anak- anak kecil itu. Tekun sungguh kanak-kanak tersebut mendengar kisah dongeng itu, walaupun sesekali ada dalam kalangan mereka yang mula hilang minat. "Bercerita kepada kanak-kanak berumur empat tahun ke atas sangat menyeronokkan. Mereka mudah dipancing dan mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi. Apabila mereka mula bosan, saya dengan pantas mencipta aktiviti seperti nyanyian dan tarian agar keseronokan itu dapat dikembalikan. "Aktiviti ini memerlukan seni dan pendekatan yang betul. Jika silap teknik, cerita yang menarik sekali pun akan gagal menangkap minat audiens," jelas Mama Tok atau nama sebenarnya, Hasniah Hussain. Meskipun sudah menjangkau usia 64 tahun, Mama Tok masih aktif memenuhi jemputan bercerita ke rumah-rumah anak yatim, sekolah dan majlis-majlis ilmu. Kepetahannya membutirkan bicara tatkala bercerita benar-benar memukau mata yang menonton. Cerita rakyat Paduan ekspresi wajah, intonasi suara dan pergerakan lincah Mama Tok saat bercerita, mudah menjadikannya tumpuan mereka yang berada di sekeliling. Tambahan pula, wanita kelahiran Perlis itu banyak mengangkat cerita-cerita rakyat klasik berkaitan haiwan atau pun kisah penglipur lara yang masyhur sejak zaman dahulu. Mama Tok sememangnya dikenali dalam kalangan pelajarnya sebagai seorang pendidik yang mesra dan pe nyayang. Sebab itulah dia membenarkan pelajar-pelajar memanggilnya mama bagi membentuk perhubungan yang lebih erat. "Selepas menerima cucu pertama, saya terfikir untuk menukar gelaran kepada Mama Tok. Ia kedengaran lebih mesra dan sesuai dipanggil kanak-kanak," ujarnya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu. MENANGKAP minat kanak-kanak terhadap cerita yang disampaikan memerlukan pengalaman dan kemahiran bercerita yang tinggi. Bakat semula jadi Mama Tok dalam dunia bercerita mula diasah sejak kecil. Selama tujuh tahun menjadi pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, Mama Tok aktif memasuki pertandingan bercerita di peringkat sekolah. Cerita Bahasa Inggeris berjudul The Milkmaid And Her Pail menjadi percubaan pertama Mama Tok dalam lapangan bercerita yang masih dikenang sehingga ke hari ini. Segala-galanya bermula daripada arwah nenek Hasniah. Secara peribadi, beliau beranggapan arwah neneknya sebagai pencerita terbaik yang pernah beliau temui. Waktu yang diluangkan dengan arwah antara momen paling indah ketika zaman kanak-kanaknya. "Saya masih ingat, waktu kecil dahulu saya dipertanggungjawabkan menemani arwah yang tinggal seorang diri di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah keluarga saya. "Sebelum Maghrib, saya sudah sampai di rumah arwah membawa bantal dan bersiap sedia untuk mendengar cerita. Sekitar pukul 8.30 malam, kami berdua duduk dalam kelambu dan arwah pun memulakan ceritanya," imbas Hasniah. Menurut Hasniah, pelbagai cerita rakyat disampaikannya dengan hebat. Walaupun usia arwah ketika itu hampir mencecah 100 tahun, memori arwah neneknya masih kuat dan pengetahuannya terhadap Hikayat Siti Zubaidah amat menakjubkan. Meskipun arwah neneknya buta huruf, kehebatannya ketika bercerita telah membentuk minat Hasniah terhadap dunia bercerita. Hasniah tidak malu untuk mengangkat bahawa arwah neneknya sebagai pencerita yang bijak mengekalkan keterujaan pendengar. Setiap cerita ditamatkan ketika klimaks dan menyambung kesudahan cerita pada hari berikutnya. "Secara jujur, saya mengakui arwah ialah inspirasi pertama saya," kongsi Mama Tok yang pernah bertugas selama sembilan tahun sebagai guru sekolah di Perlis sebelum bergelar pensyarah di Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. INTERAKSI antara audiens penting bagi menghidupkan sesi bercerita. Teknik Berbicara mengenai cabaran, Mama Tok menyatakan, pernah suatu ketika saat mula-mula menceburkan diri dalam dunia bercerita secara profesional, dia berasa gagal apabila cerita yang disampaikan tidak menarik minat pendengar. Menurut Mama Tok, respons hambar audiens dapat dinilai berdasarkan bahasa tubuh dan ekspresi wajah mereka. Sekiranya penonton teruja, mereka akan khusyuk mendengar cerita tersebut dan meminta agar cerita itu disambung sesudah tamat. Mungkin ramai tidak tahu, bercerita tidak hanya berkisar kepada menyampaikan cerita daripada buku. Ia juga bukanlah terhad terhadap sesuatu teknik seperti yang sering kita lihat pada pertandingan bercerita kanak-kanak. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis teknik bagi menyampaikan cerita dan ia mampu melibatkan ratusan objek yang boleh dijadikan bahan utama ketika bercerita. Ketika mengikuti kursus penyediaan pakej bercerita untuk guru sekolah rendah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999, Hasniah menyedari bahawa bercerita mempunyai skop penyampaian yang luas. "Saya diajar bercerita menggunakan sehelai kertas yang boleh dibentuk menjadi pelbagai watak dalam sesebuah cerita. Sapu tangan juga menjadi item yang efektif ketika bercerita, sebab itulah saya pastikan ia sentiasa berada di dalam beg tangan saya. "Buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh dibentuk menjadi karakter yang bersesuaian dengan fizikal watak sama ada haiwan atau objek bagi cerita yang disampaikan. "Misalnya, bagi melambangkan watak tikus, saya gunakan buah ciku kerana warnanya yang hampir sama. Serigala dan harimau pula ditampilkan dengan menggunakan buah yang lebih 'kasar' seperti nanas atau durian. "Watak pokok pula selalunya saya gunakan sayur brokoli," ujar Mama Tok yang telah mengeluarkan dua buku teknik bercerita bertajuk, Mama Ceritalah dan Mama Ceritalah Lagi yang kini boleh didapati di pasaran. Semangat kanak-kanak mendengar cerita dapat dilihat ketika mereka tidak henti-henti bertanya soalan kepada Mama Tok. Kebanyakan guru akan menjawab terus soalan yang diajukan anak murid atas naluri seorang pendidik. Bagaimanapun, terdapat juga pendapat meminta agar pencerita mengabaikan hujanan soalan yang diterima dan menumpukan kepada cerita yang disampaikan. Di sini terletaknya kebijaksanaan Mama Tok. Dia akan menyelitkan jawapan bagi soalan yang diterima dalam ceritanya. Jadi, jalan penceritaan akan menjadi lebih terperinci dan memudahkan kanak-kanak memahami cerita tersebut secara keseluruhan. "Cerita haiwan seperti siri sang kancil sangat seronok untuk disampaikan kepada kanak-kanak. Kita bertuah kerana mempunyai banyak hikayat yang boleh diketengahkan kepada generasi muda. "Namun kalau cerita yang ingin saya sampaikan itu berakhir dengan kematian, saya akan mengubah pengakhirannya menjadi penutup yang positif dan mampu menggembirakan hati pendengar terutama kanak-kanak. Mereka sangat tidak menggemari kisah yang tamat dengan kematian," kata Mama Tok yang turut bercerita di hadapan kumpulan ibu bapa. Kepada kumpulan pelajar sekolah menengah, Hasniah memancing mereka dengan cerita-cerita bercorak fantasi. Ia menepati personaliti diri mereka yang sedang meniti alam remaja.
Pengiktirafan Baru-baru ini, Mama Tok telah dicalonkan Perbadanan Kota Buku bagi mewakili Malaysia ke Festival Bercerita Antarabangsa Iran Ke-16. Profil cemerlang miliknya telah melayakkan Mama Tok terbang ke Iran dan bertarung dengan sembilan peserta lain dari serata dunia. Kisah Gagak Yang Malang (The Unfortunate Crow) menjadi taruhan Mama Tok. Lengkap dengan topeng bagi menggambarkan fizikal burung gagak dan diselang-seli dengan topeng berwarna putih untuk karakter burung camar, Mama Tok berjaya menarik perhatian penonton dengan penceritaan bersahaja yang menghiburkan. Tuah menyebelahi Mama Tok apabila dia dan tiga lagi peserta dari Singapura, Kenya dan Portugal dipilih sebagai empat pencerita terbaik kategori antarabangsa pada festival tahunan anjuran Institut Pembangunan Intelektual Kanak-Kanak dan Remaja (Kanoon) Iran. Lebih mengharukan apabila kejayaan itu merupakan pengiktirafan sulung yang diberikan kepada pencerita Malaysia yang sebelum ini kurang diberi pendedahan di peringkat antarabangsa. | ||
Karnival untuk belia Alor Setar Posted: Karnival untuk belia Alor SetarOleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR KARNIVAL itu menjadi peluang pengunjung mengenali seni budaya termasuk pencak silat. SUKAN dan belia sememangnya tidak dapat dipisahkan apabila ia seolah-olah menjadi sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan pada waktu petang atau waktu terluang. Menyedari situasi itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Setar telah mendekatkan golongan tersebut dengan mengadakan Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Alor Setar di pekarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah. Karnival tiga hari yang berlangsung pada 21 hingga 23 Mac lalu telah mencatatkan jumlah pengunjung hampir 10,000 orang. Bagi memastikan tujuan karnival dapat dicapai, pelbagai aktiviti berbentuk fizikal disediakan penganjur seperti futsal, bola keranjang dan sepak raga tuju selain acara dalam dewan iaitu pertandingan karom. Bicara Cinta Orang Muda oleh Imam Muda, Ammar Harun membuka tirai karnival pada hari pertama yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung. Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Setar, Mohd. Nizam Mat Daud berkata, karnival yang dianjurkan itu adalah untuk menerapkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan belia agar mereka dapat mengamalkannya. "Aktiviti yang diadakan sememangnya memenuhi cita rasa golongan belia. Kita dapat lihat mereka tidak melepaskan peluang menyertai acara yang disediakan dan sambutan amat menggalakkan. Kata beliau, memperkenalkan budaya masyarakat yang terdapat di Malaysia juga merupakan salah satu objektif karnival tersebut. "Persembahan silat, tomoi, kabbadi, tarian singa dan chingay turut disediakan kerana pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum. Karnival ini merupakan platform untuk mereka mengenali seni budaya kaum lain. "Kita juga mahu memupuk semangat patriotisme dalam diri belia supaya mereka mempunyai semangat cintakan negara," katanya. Karnival itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung pada hari kedua karnival tersebut berlangsung. Acara penutup pula dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Manipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Bakar Bata. Pameran oleh jabatan kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) memeriahkan lagi suasana karnival selain pengunjung boleh menambah pengetahuan. PARA peserta menunjukkan kehebatan masing-masing dalam pertandingan karom. Ubah persepsi Karnival itu juga tidak meminggirkan kanak-kanak dan golongan wanita apabila pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mereka. Bagi golongan wanita disediakan demonstrasi masakan manakala pertandingan mewarna disertai 150 kanak-kanak dari tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Parlimen Alor Setar. Selain itu, pertandingan memancing dan suara burung berlangsung pada hari terakhir karnival dan persembahan artis turut diadakan pada Malam Belia Budaya. Dalam pada itu, Presiden Alor Setar Offroad RC Club, Mohamad Hisham Othman berkata, karnival tersebut menjadi platform kepada kelab berkenaan untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa permainan itu dimonopoli golongan berpendapatan mewah sahaja. Pertandingan perlumbaan kereta kawalan jauh yang melibatkan tiga kategori iaitu off road 1.5 dan 1.8 skill dan drif. Turut diadakan pertunjukan aksi helikopter kawalan jauh dan pameran kapal terbang kawalan jauh. "Bagi yang baru hendak kenal dengan kenderaan kawalan jauh, kita menyediakan kaunter khidmat nasihat untuk menceritakan lebih terperinci mengenai permainan ini," katanya. Seorang pengunjung, Azilawati Farizan, 22, yang berasal dari Sungai Petani berkata, karnival seperti itu perlu digerakkan ke setiap daerah dan tidak hanya tertumpu di daerah besar sahaja. "Karnival ini amat baik kerana pelbagai input yang berbentuk pendidikan diperoleh menerusi aktiviti dan pameran yang disediakan. "Saya juga berharap agar karnival ini diteruskan termasuk mengadakannya di daerah Kuala Muda satu hari nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan