Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Cinta tujuh bulan Afgan
TIADA privasi dalam kehidupan peribadi. Itu harga yang perlu dibayar apabila bergelar artis popular. Itu yang berlaku kepada penyanyi popular dari Indonesia, Afgan Shah Reza apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang ijazah pemasaran perniagaan dan muzik di Universiti Monash, Selangor, Malaysia, pada tahun 2011. Akui pelantun lagu Terima kasih Cinta itu, ketika mula-mula belajar dahulu, ramai yang tidak mengenalinya. Namun sejak akhir-akhir ini, jejaka yang memiliki lesung pipit menawan itu telah meraih perhatian ramai wanita di kampus pengajiannya. Dedahnya, ramai yang cuba mendekatinya bahkan ada juga peminatnya dalam kalangan pelajar yang merakam gambarnya secara bersembunyi. "Mula-mula belajar dahulu mereka tidak perasan kehadiran saya. Tetapi sekarang ramai yang ingin bergambar dengan saya. Semasa belajar juga ada yang cuba merakamkan gambar saya secara rahsia. "Sebenarnya saya tidak suka dia (peminatnya) bertindak begitu. Lebih baik jika dia beritahu saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, Live To Love, Love To Live di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Begitupun, jelas Afgan, peminat-peminat Malaysia lebih sopan kerana tidak bertindak keterlaluan seperti memeluk atau menciumnya. Cinta jarak jauh Bakal menamatkan pengajiannya pada bulan Jun ini, Afgan disoal sama ada telah menemui cinta di Malaysia sepanjang pengajiannya di sini. Mengakui pernah mempunyai kekasih sebelum ini, walau bagaimanapun, ungkap Afgan, hubungannya bersama wanita Indonesia itu hanya sempat bertahan selama tujuh bulan dan akhirnya putus disebabkan faktor cinta jarak jauh. "Sebelum ini, saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia. Tetapi, susah bercinta jarak jauh apabila kita tidak dapat memberi perhatian kepada pasangan. Kasihan pada kekasih. AFGAN memberikan persembahan yang mengujakan hadirin pada sidang akhbar album ketiganya, Live To Love, Love To Live di Kuala Lumpur baru-baru ini. "Akhirnya, kami sepakat untuk mengakhiri hubungan ketika saya mula-mula belajar dahulu," jelasnya yang mengambil keputusan untuk bercinta semula selepas habis belajar kelak. Berkongsi tentang ciri-ciri wanita pilihannya, luah Afgan, dia mahukan seorang kekasih yang cerdik, cantik dan mampu bercerita tentang apa juga perkara termasuk bidang muzik. Terlanjur bercerita tentang cinta, tutur Afgan, dia lebih selesa menulis lagu tentang cinta berbanding perkara lain. Malah, lagu-lagu yang dihasilkannya juga berdasarkan pengalaman cintanya. "Saya hanya boleh menulis lagu tentang cinta. Kebanyakan lagu saya berdasarkan pengalaman cinta saya terdahulu," ujarnya yang mula menulis lagu sejak empat tahun lalu. Menurut Afgan lagi, single pertamanya dalam album terbaharu berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah. Ujarnya: "Ketika sekolah menengah, buat pertama kalinya saya meminati seorang gadis tetapi malu untuk memberitahunya. Saya pasti ramai yang mempunyai pengalaman sebegitu. Jadi, saya mendapat idea untuk menulis lagu Pesan Cinta berdasarkan pengalaman cinta kali pertama". Selain itu, ungkap Afgan, dia turut menulis lagu berdasarkan pengalaman cinta jarak jauhnya yang tidak kesampaian menerusi lagu duetnya bersama penyanyi Sherina iaitu Demi Kamu dan Aku. Akuinya, ia juga merupakan lagu yang paling disukai menerusi album ketiganya itu. Sebagai tanda terima kasih dan sayang Afgan kepada peminatnya, penyanyi berketurunan Minangkabau itu juga menujukan sebuah lagu berjudul Untukmu Aku Bertahan buat peminat-peminatnya.
Matang Seiring dengan usianya yang kini mencecah 23 tahun, Afgan memberitahu, album terbaharunya itu lebih menonjolkan sisi matangnya berbanding album terdahulu. "Jika dahulu, peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu balada seperti Terima Kasih Cinta. Lain pula dengan album ketiga saya ini apabila ia menunjukkan sisi kematangan dari segi vokal, lirik dan juga susunan lagu. "Malah, saya juga lebih nyaman (selesa) dengan kemampuan menyanyi dan juga vokal saya sekarang. Mungkin dahulu saya menyanyi berdasarkan teknik tetapi sekarang saya menyanyi dengan jiwa," kongsinya. Tambah Afgan, susunan muzik untuk album terbaharunya juga lebih matang dan dia juga bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pengarah muzik hebat seperti Inu Numatadan Nino Ran. | ||
Posted: Penaja tarik diriOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SABERA (barisan tengah, lima dari kanan) dan Mohamed Juhari (barisan tengah, lima dari kiri) bersama karyawan pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road!. PENERBITAN sesebuah teater muzikal memerlukan kos perbelanjaan yang agak tinggi, apatah lagi sekiranya ia dipentaskan di tempat yang berprestij seperti Istana Budaya. Bagi mencari jalan untuk menampung kos pembikinannya, syarikat produksi yang menerbitkan teater muzikal akan mencari inisiatif terutama mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat. Baru-baru ini, syarikat produksi teater iaitu Masakini Theatre Company Sdn. Bhd. yang bakal mementaskan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! di Istana Budaya meluahkan rasa kecewa apabila pihak penaja mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menaja teater berkenaan. Pengarah syarikat produksi tersebut, Datin Sabera Shaik berkata, pihaknya tidak menjangka apabila beberapa penaja telah bertindak untuk menarik diri daripada memberi sokongan kepada pementasan tersebut yang bakal berlangsung pada bulan hadapan. "Proses pementasan teater ini sudah pun dijalankan separuh dan ini merupakan satu cabaran yang agak getir tanpa mendapat sokongan sebarang penaja memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi. "Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami untuk terus mementaskan teater ini dan para pelakon serta kru produksi tetap memberikan sepenuh komitmen mereka untuk menjayakan teater muzikal ini," ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini. Bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 19 Mei ini, Chow Kit Road! Chow Kit Road! memaparkan kisah tentang sebuah keluarga miskin yang tinggal di Chow Kit dan ia sarat dengan kisah 1001 perjalanan kehidupan manusia. Antara para pelakon yang membintangi teater muzikal tersebut seperti Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah. Ia turut diserikan lagi dengan persembahan 20 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Menurut Sabera, biarpun berhadapan dengan masalah ketiadaan penaja, namun pihaknya meluahkan rasa lega dan gembiranya kerana pihak Istana Budaya sudi untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka. "Buat masa ini pihak Istana Budaya telah memberikan ruang untuk kami menjalani latihan selama sebulan tanpa dikenakan sebarang bayaran serta menggunakan beberapa kelengkapan yang ada. "Bagi kami, dengan langkah sebegini sudah tentu kami dapat menjimatkan lagi kos produksi. Jika sebelum ini kos produksi menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, kini ia sudah turun kepada RM1.2 juta sahaja," ujarnya. Ujarnya, selaku penerbit pihaknya juga mengambil keputusan untuk menurunkan harga tiket. Bagi yang berminat untuk menyaksikan pementasan teater tersebut boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM170 dan RM110 serta RM50 untuk pelajar dan warga emas. TIGA pelakon utama teater Chow Kit Road! Chow Kit Road! (dari kiri), Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Anding. Tetap diteruskan Sementara itu, Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! akan tetap diteruskan, meskipun berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada salah satu tarikh tersebut. Juhari berkata, PRU sememangnya tidak memberi kesan terhadap kehadiran penonton dalam sesebuah pementasan teater dan pihaknya tidak bercadang untuk menukar ke satu tarikh yang lain. "Jika mengikut pengalaman yang lepas, semasa berlangsungnya PRU pihak Istana Budaya masih lagi meneruskan pementasan dan kami melihat masih ramai yang datang menonton. "Sebaliknya, kami terpaksa membatalkan sesebuah pementasan sekiranya berlaku perhimpunan haram seperti yang terjadi sebelum ini. Biarpun pementasan dibuat pada waktu malam, tetapi ia turut memberi kesan kepada kehadiran penonton," ujarnya. Berkenaan dengan kerjasama yang diberikan oleh Istana Budaya terhadap pementasan teater muzikal berkenaan, Juhari menyatakan, perlu diteruskan kerana kelainan jalan cerita yang ditampilkan. "Kebanyakan teater muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya banyak memaparkan kisah cinta. Jadi, kami mahu penonton dihiburkan pula dengan sebuah cerita yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan," ujarnya. | ||
Posted: Eksperimen Sabri berjayaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SETELAH anak didik Harun Salim Bachik, Achey mengungguli Kumpulan A dalam gelanggang program Bintang Mencari Bintang menerusi saingan Kumpulan A sebelum ini, kali ini tiba pula giliran kumpulan Titan dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan Kumpulan B. Dalam saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu itu, Titan yang merupakan anak didik kepada Sabri Yunus berjaya mengatasi peserta lain iaitu kumpulan Awok iaitu anak didik Raja Azura, Bocik (Afdlin Shauki), XOXO (Harun Salim Bachik), Gegau (Senario) dan Ajo (Faizal Ismail). Persembahan Titan dilihat agak berbeza apabila mereka menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi mereka sehingga mendapat markah undian yang tertinggi. Sabri Yunus selaku mentor kepada kumpulan berkenaan menyatakan, dia sendiri tidak menyangka persembahan anak didiknya itu dapat diterima ramai, meskipun tampil dengan persembahan komedi yang berbeza. "Membuat komedi semasa pementasan teater dan menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi merupakan dua perkara yang cukup berbeza. Sudah tentu saya agak risau dengan penampilan anak didik saya ini. "Dengan kejayaan yang diraih pada malam ini saya anggap ia merupakan satu eksperimen yang berjaya. Untuk persembahan yang seterusnya elemen sebegini mungkin akan diteruskan," ujarnya ketika ditemui selepas acara berakhir. Menurut Sabri, dengan kejayaan yang diraih, Titan masih lagi belum memberikan kepuasan kepada dirinya dan merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi. Ujarnya, tugas untuk membentuk seorang penghibur bukan satu tugas yang mudah buat dirinya kerana latar belakang kedua-dua ahli Titan iaitu Fazlisham Mat Hussin dan Azizul Ammar Abu Hassan yang bukan pelawak. Sebaliknya, mereka sangat aktif berlakon teater. "Sewaktu saya memilih dan menggabungkan mereka sebagai Titan, saya sudah mempunyai sasaran iaitu mahu meletakkan mereka dalam kelas yang tersendiri untuk menjadi penghibur yang berjaya. "Namun begitu, tugas yang saya pikul ini cukup mencabar kerana jiwa teater mereka berdua sangat tebal. Buat permulaan ini saya terpaksa memberikan semua idea dan konsep persembahan," jelasnya. Titan yang dinobatkan sebagai juara mendapat markah sebanyak 67.7 peratus, diikuti dengan Bocik (65 peratus), Ajo (63.1 peratus), Awok (41.6 peratus), Gegau (39.7 peratus) dan XOXO (28 peratus) BARISAN peserta yang bersaing dalam saingan Kumpulan B program Bintang Mencari Bintang pada malam Ahad lalu. Kekal momentum Bagi Titan pula, mereka turut tidak menjangka kelainan persembahan komedi yang ditampilkan mampu memikat hati juri tetap dan penonton sehingga mendapat markah tertinggi. Menurut Azizul, dia dan Fazlisham beranggapan saingan daripada peserta lain agak sengit dan melihat nasib lebih menyebelahi mereka untuk persaingan minggu pertama ini. "Kami langsung tiada pengalaman membuat persembahan komedi, sebaliknya suka membuat lawak dalam kalangan rakan-rakan. Sudah tentu buat permulaan ini kami berasa agak kekok. "Bagaimanapun, dengan kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kami lebih banyak keyakinan. Tugas kami sekarang sudah tentu mahu mengekalkan momentum persembahan untuk terus memberikan saingan," ujarnya. Ketika ditanya tentang pengalaman mendapat bimbingan daripada Sabri Yunus selaku mentor, Azizul menyatakan pengarah, pelakon dan pelawak itu seorang individu yang begitu bersifat terbuka serta banyak memberikan kritikan yang positif kepada mereka. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan