Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Jentera teknologi pintarOleh SHAWKATH AZDE
TANGGAL 27 Mac lalu, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) secara rasminya memperkenalkan senjata 1,000cc terbaharunya. Jentera supersports itu sudah pasti memberi saingan sengit kepada pengeluar-pengeluar motosikal Jepun dan Itali. Apa lagi jika bukan HP4. Secara umumnya, HP mendokong maksud High Performance. Produk dengan lencana itu bukan sekadar sebuah motosikal berprestasi tinggi. Ia sebenarnya telah disuntik dengan teknologi termaju ciptaan pengeluar kenderaan dari Jerman itu. BMW HP4 ialah model keempat dalam keluarga HP selepas HP2 Enduro, HP2 Megamoto dan HP2 Sport. Bezanya, motosikal terbaharu itu menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris. Model sebelumnya dipasang enjin boxer. Ia telah dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Cologne, Jerman. Sekali pandang, anda akan mengetahui model itu adalah versi model S 1000 RR dengan pakej penambahbaikan. Jentera dengan salutan cat berwarna biru, hitam dan putih itu menduduki tangga teratas dalam kategori satu liter berhubung soal berat. Berat keseluruhan HP4 jika mengambil kira sistem brek Race ABS, tangki petrol 90 peratus penuh dan semua bendalir adalah 199 kilogram (kg). Jika berat kering, ia cuma 169kg. Penurunan berat itu disumbang oleh dua komponen utama. Pertama, penggunaan sistem ekzos titanium penuh Akrapovic yang mengurangkan berat sehingga 4.5kg. Ekzos itu berperanan meledakkan tork pada peringkat pertengahan (mid-range torque). Keduanya, rim aloi tempa tujuh jejari berserta spoket yang mengikis berat sebanyak 2.4kg berbanding model S 1000 RR. Selain mengurangkan berat, rim ringan itu membantu mempercepatkan pengemudian roda, sekali gus meningkatkan aspek kawalan jentera. DARI kiri: Ketua Motorrad BMW Malaysia, Fazli Hisham Shukor dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Gerhard Pils pada majlis pelancaran model HP4 di Sepang, Selangor baru-baru ini. Teknologi DDC HP4 merupakan motosikal pertama yang mempunyai sistem suspensi semi-aktif yang dikenali sebagai Dynamic Damping Control (DDC). Sistem itu akan menyesuaikan serapan hentakan secara automatik dalam tempoh 10 milisaat sewaktu tunggangan. Maknanya, DDC akan mengeraskan suspensi hadapan mengikut kesesuaian apabila anda membrek mengejut. Monoshock belakang pula dikeraskan ketika memecut. Suspensi bertukar menjadi lembut apabila terpaksa meredah laluan tidak rata dan berlubang. Penyerap hentak juga diselaras apabila mengambil selekoh. Pengubahan tahap redaman dibuat secara elektrik. DDC dihubungkan kepada empat jenis mod enjin sedia ada iaitu Rain, Sport, Race dan Slick. Pilihan mod dibuat dengan menekan butang pada hendal. Rain untuk permukaan basah, Sport untuk jalan biasa dan Race untuk litar lumba. Mod Slick boleh juga digunakan di litar jika mengguna pakai tayar jenis licin. Andai memilih mode Rain dan Sport, DDC mengubah tetapan redaman suspensi ke peringkat maksimum untuk keselesaan apabila menyusuri laluan luar bandar. Pantulan redaman bertukar keras gaya tunggangan sport jika memilih mode Race dan Slick. Ia lebih sesuai digunakan jika berada di atas litar lumba. INSTRUMEN meter HP4 analog dan digital memaparkan pelbagai maklumat dan tetapan enjin kepada penunggang. HP4 ialah model pertama dalam rangkaian produk motosikal BMW yang didatangkan bersama ciri Launch Control bersama pengesan wheelie. Apabila Launch Control diaktifkan, tork enjin akan dikurangkan jika sistem mengesan roda hadapan terangkat. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya wheelie (tunggangan dengan tayar depan terangkat) semasa memecut atau pada saat-saat memulakan perlumbaan. HP4 menggunakan enjin S 1000 RR. Hasil ledakan kuasa kuasa maksimumnya mencecah 193hp pada 13,000rpm. Kuasa kilas yang mampu dijana adalah setinggi 112Nm pada putaran 9,750rpm. Kelajuan boleh melebihi paras 200 kilometer sejam. Untuk pasaran Malaysia, jentera itu didatangkan dalam dua varian itu HP4 dan HP4 Competition. Perbezaannya melibatkan beberapa perkara. Versi HP4 Competition dilengkapi komponen gentian karbon pada badan, spoiler enjin (bahagian bawah enjin) dan alas kaki. Ia kelihatan lebih sporty. Tuil brek dan klac pula boleh dilipat. Rim aloinya berwarna biru. Untuk HP4, kedua-dua tuil tidak boleh dilipat dan rimnya berwarna hitam. Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans bagi BMW HP4 ialah RM144,444 seunit. Bagi HP4 Competition pula, harganya 158,888 sebuah. Peruntukan kedua-dua varian HP4 untuk Malaysia hanya 55 unit bagi tahun ini. Percaya atau tidak, 42 unit sudah ditempah sebelum hari pelancarannya. Inilah motosikal pintar yang berjaya menetapkan standard baharu dalam industri motosikal global. | |
Posted: Perdana kelabuRUANG kabin tidak menerima perubahan drastik. ASALKAN pilihan enjinnya tepat, Perdana ialah model Proton yang lebih bernilai untuk wang kalau dibandingkan dengan kereta-kereta Proton lain. Enjin yang tepat maksudnya enjin yang berkuasa, tidak berat dan tidak banyak omboh. Sudah tentu 4G63 ialah enjin paling cocok untuk memulihkan Perdana yang selalu buat hal dengan kotak gear automatik yang tersengguk-sengguk dan hilang gear. Kalau mahu lagi untung, jangan beli body yang mahal. Sebaliknya cari model Sei empat silinder. Lebih untung lagi, beli model dengan transmisi manual. Tidak penat kerja dan banyak belanja cari pedal, konsol dan sebagainya. Kereta ini milik Fitri dari Kepong, Kuala Lumpur. Ia dibeli dalam bentuk model terpakai tahun 1997 yang harganya masih boleh dianggap sebagai murah. Daripada beli Proton Wira masuk enjin Evo yang kemudian susah untuk didaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ada baiknya beli Perdana yang memang sama sesaran enjinnya. Bahagian teknikal pun tidak banyak tanya, malah mounting pun sama sahaja. Enjin Evo 3 dipasang dengan turbin TD05H. Tidak perlu menggunakan penapis udara dan biarkan sahaja mulut turbin itu ternganga. Kemudian paip ditukar dengan jenis stainless steel, radiator Greedy, injap blow-off Greedy, injektor 1050cc, surge tank, plug Iridium dan wastegate Tial yang dipateri pada ekstraktor asal kereta. Akhir sekali, ECU asal digantikan dengan jenis yang senang diprogram, pilihan Fitri ialah Microtech LT10S. Ekzos dipadankan dengan paip bersaiz tiga inci dan peredam bunyi HKS SR. Apabila bunyi enjin sudah kuat, bersedialah untuk mengalihkan kuasa ke permukaan jalan. Dilema sebuah Perdana ialah transmisi automatik yang lemau. Maka, penyelesaiannya adalah dengan menggunakan kotak gear manual. Kereta itu dipasang dengan kotak gear Evo yang dikunci pada roda belakang. Klacnya pula menggunakan produk Quarter Master twin plate.
Rim 17 inci Sistem suspensinya pula mendapat khidmat daripada Gab jenis boleh laras tinggi rendah dan keras lembut. Setelah berkali-kali membuat talaan, Fitri mendapati pegas gegelung yang ideal untuk sebuah kereta laju, tetapi boleh dipandu setiap hari ialah yang memiliki keanjalan 8kg/mm di depan dan 6kg/mm di belakang. Setakat ini, semuanya bagus dan tidak ada rungutan. Rim P1 Buddyclub kalau saiznya 15 inci tidak nampak istimewa sangat. Tetapi apabila saiznya melonjak kepada diameter 17 inci ke atas, memang boleh kenal sama ada ia original atau cap ayam. Di Jepun, mereka gemar mengguna pakai rim jenis offset kecil bagi boleh menampakkan hub tengah terperosok ke dalam. Tidak seperti rim TE atau Type C yang mana spoke mengikut alur ukuran offset, batang-batang rim P1 tetap menegak, cuma dibezakan pada tengah hubnya sahaja. Tayar yang digunakan pada Perdana ini ialah Achilles bersaiz 225/45 pada setiap sudutnya. Syarikat pembuat tayar dari Indonesia itu memang cukup agresif. Jadi tidak hairanlah jika dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, namanya sudah lebih terkenal berbanding Sumitomo, GT Radial, Kumho atau Federal. Bahagian dalaman kereta adalah tipikal pelumba jalanan atau lagi sedap bunyinya street racer. Meter Defi dengan link display itu wajib. Tempat duduknya daripada SSCUS yang meniru reka bentuk Recaro dan warna hitam memang padan dengan karektor kereta. Sistem audio nampaknya tidak ketinggalan dengan pemain Pioneer, selain semua pembesar suara dan amplifier jenama Mohawk. Bahagian luar sebuah Perdana tidak memerlukan bodykit yang merepek untuk jadikannya cantik. Lebih baik minimalis. Bonet depan kereta ini dipasangkan dengan vent Evo III, Sunroof dari Galant VRG dan skirting Waja yang lebih tebal dari Perdana. Akhir sekali spoiler Mirage, nampak serasi pula duduk di atas bonet Perdana ini. | |
Posted: Jelmaan semula DinamikOleh SHAWKATH AZDE DINAMIK hanya ditawarkan dalam tona hitam kelabu dengan hiasan pelekat badan berwarna oren. SEKITAR Oktober lalu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) secara diam-diam mengedarkan semula model Modenas Dinamik ke dalam pasaran tempatan. Dinamik dilancarkan pada Ogos 2003 untuk pasaran domestik. Namun jualannya ditamatkan beberapa tahun kemudian kerana gagal meraih sambutan ramai. Berbeza pula senarionya di luar negara. Modenas Dinamik dapat permintaan tinggi di Greece dan Indonesia. Aktiviti eksport model itu berlangsung selama lima tahun. Ia dihentikan pada tahun 2008 kerana tidak memenuhi piawaian Euro III. Dinamik menepati standard piawaian Euro II sahaja. Jumlah eksport Dinamik ke Greece dan Indonesia masing-masing adalah sebanyak 5,600 dan 700 unit. Jentera itu dipasang enjin dua lejang silinder tunggal bersesaran 118cc. Moped itu didatangkan bersama kotak gear enam kelajuan berserta klac tangan. Enjin Dinamik dibina oleh Kawasaki Motor Thailand. Sementara casis dan komponen plastik Dinamik datangnya dari Malaysia. Ia dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah. Kemunculan semula Dinamik dalam pasaran domestik berkait rapat dengan dua faktor utama. Pertama, ada permintaan semula bagi model itu. Kedua, stok eksport masih berbaki. Baru-baru ini, dengan kerjasama Modenas, sebuah Dinamik dibawa khas dari Gurun untuk sesi tunggang uji Garaj! LAMPU isyarat membelok dan brek belakang menawarkan pencahayaan yang cukup baik sewaktu tunggangan malam. Untuk menghidupkan motosikal ini, kunci dimasukkan dan butang Engine Stop pada bahagian kanan hendal perlu ditekan. Selepas itu, kena gunakan khidmat penendang kaki. Dinamik tidak didatangkan dengan ciri butang pemula enjin. Klac tangan perlu ditarik sebelum memasukkan gear. Sistem gear Dinamik sama seperti jentera dua lejang konvensional. Maksudnya, untuk memasukkan gear pertama, anda perlu pijak tuil ke bawah. Bagi gear kedua hingga keenam, tuil perlu disungkit ke atas. Unit terhad Jentera itu dilengkapi tangki petrol berkapasiti 4.6 liter. Pengisian penuh RON95 hampir mencecah RM9. Bekalan petrol sebanyak tiga perempat tangki membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 80 kilometer. Kelajuan tunggangan pada ketika itu dikekalkan antara 80 kilometer sejam (km/j) hingga 120km/j. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 140km/j. Panel meter Dinamik mempunyai petunjuk kedudukan gear dan gear neutral. Turut dipaparkan ialah meter laju, odometer dan bahan api. Masih tiada meter pusingan enjin seminit (rpm). Saya tidak berdepan sebarang masalah sewaktu mengemudi motosikal seberat 98 kilogram ketika menempuh kesesakan lalu lintas. Pinggang dan lengan tidak terasa lenguh. Apabila menyusuri laluan tidak rata, didapati jentera itu menawarkan kestabilan dan keseimbangan yang agak memuaskan. Kombinasi fork hadapan dan penyerap hentak tunggal belakang satu padanan pintar. Jentera tidak mudah membuai apabila mengambil selekoh. Tidak terlalu keras juga. Untuk memperlahankan atau memberhentikan Dinamik, tugas itu diserahkan kepada dua set brek cakera yang dipasang pada kedua-dua rim berukuran 17 inci. SET brek cakera hadapan dengan pengatup omboh kembar menawarkan kuasa membrek yang cukup baik. Cengkaman pada cakera brek tidak menghampakan apabila khidmatnya diperlukan secara spontan. Tiada sebarang bunyi geseran cakera dan pad brek sepanjang sesi tunggang uji. Penghadang udara sisi pada bahagian kiri dan kanan jentera agak 'ramping' dan pukulan angin masih boleh dirasa dengan jelas. Kekurangan komponen pada motosikal itu hanyalah bakul untuk simpanan barang dan tongkat kembar. Jika mahu menyimpan barang, dinasihatkan memasang kotak simpanan barang yang ada dalam pasaran. Dinamik dijual pada harga asas RM5,749 seunit. Jaminan diberikan pula selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu). Kuantiti motosikal Dinamik adalah terhad. Jika berminat, tindakan segera perlu diambil. Rajin-rajin berkunjung ke premis para pengedar Modenas berdekatan anda. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan