Jumaat, 5 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Annuar tewas

Posted:

Annuar tewas

Annuar tewas

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

ANNUAR MUSA


TAN SRI ANNUAR MUSA gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam untuk mencabar penggantungan selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadapnya.

Hakim Hadariah Syed Ismail ketika membuat keputusan di kamarnya berkata, tindakan FAM ke atas Annuar adalah sah, betul, dan tidak cacat kerana persatuan itu mempunyai budi bicara untuk berbuat demikian.

"Mahkamah juga mendapati bahawa FAM telah mematuhi semua prosedur dalam statut dan kod disiplin yang digunakan persatuan itu adalah betul," katanya yang menolak permohonan itu dengan kos.

Peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Annuar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak mahkamah berpuas hati dengan hukuman ke atas anak guamnya itu, yang dilaksanakan dengan sempurna.

Bagaimanapun, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Annuar akan meneliti alasan penghakiman terlebih dulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku plaintif, memfailkan saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa, hukuman yang dikenakan oleh badan induk bola sepak negara itu tidak sejajar dengan pertuduhan asal, dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (niat jahat).

Dakwa beliau lagi, Azzuddin melalui surat bertarikh 2 April 2012, melarang beliau daripada menghantar wakil ke mesyuarat khas ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua yang akan mewakili beliau.

Menurut Annuar, Azzuddin tidak sepatutnya menjadi wakil, kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.

Sehubungan itu, Annuar menuntut 10 pengisytiharan berhubung tindakan FAM yang membawa kepada penggantungan beliau, antaranya, pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.

Annuar juga mendakwa, perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 4 April 2012 dan hukuman terhadapnya pada keesokan harinya tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Selain itu, beliau memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesemua tindakan yang membawa penggantungan itu tidak mematuhi statut dan kod tatatertib FAM sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.

Annuar turut memohon perintah injunksi menghalang defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan jawatan lain, serta melibatkan diri dalam aktiviti bola sepak.

Pada 4 April 2012, Annuar dikenakan hukuman gantung 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas jawatankuasa itu mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar yang negatif mengenai skuad bola sepak negara pada 12 Februari 2012.

Annuar dihukum di bawah Artikel 88 Statut FAM yang hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung sahaja boleh membuat kenyataan kepada pihak media.

Rajagobal tetap akan disiasat

Posted:

Rajagobal tetap akan disiasat

Rajagobal tetap akan disiasat

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan, jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin.

Surat pertuduhan telah dihantar kepada Rajagobal semalam ekoran kenyataannya yang mempersoalkan lambakan penyerang import dalam Liga Malaysia.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud memberitahu, kes Rajagobal disiasat di bawah Artikel 18 Statut FAM dan beliau diberikan masa sehingga 12 April untuk menjawab pertuduhan ke atasnya.

"Surat pertuduhan kepada Rajagobal telah dihantar hari ini (semalam).

"Kes Rajagobal tidak disiasat di bawah Artikel 88. Bagaimanapun, jika Jawatan- kuasa Tatatertib FAM mendapati dia bersalah, dia bakal berdepan hukuman denda RM8,000 serta penggantungan selama enam," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, Rajagobal dikatakan mengkritik Liga Malaysia (Liga M) selepas mendakwa lambakan penyerang import yang beraksi dalam liga berkenaan menjadi punca ketiadaan penyerang tempatan semula jadi dalam skuad negara.

Beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut selepas pasukan negara tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, Fuad turut mendedahkan bahawa FAM telah mengadakan satu mesyuarat khas mengenai keputusan untuk menjatuhkan hukuman ke atas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail yang digantung selama enam bulan dan didenda RM18,000 oleh FAM selepas didapati melanggar Artikel 88 Statut FAM sebelum ini, dilaporkan berada di bangku simpanan skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi menentang Terengganu, 30 Mac lalu.

Begitupun, baginda telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PBNJ kelmarin dan menyerah tugas tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

"Kita sudah mengadakan mesyuarat khas dan FAM akan berbincang menge- nai perkara itu. Mungkin Isnin ini kita akan tentukan," katanya.

Guiza, Del Nero tinggalkan Johor DT

Posted:

Guiza, Del Nero tinggalkan Johor DT

Guiza, Del Nero tinggalkan Johor DT

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


DEL Nero (kanan) ditamatkan kontrak lebih awal oleh Johor DT.


AKSI suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor malam ini bakal menjadi penampilan terakhir buat dua pemain import Johor Darul Takzim (Johor DT), Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Kedua-dua pemain itu akan meninggalkan Johor DT selepas berakhirnya perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membuat keputusan untuk menamatkan kontrak mereka lebih awal.

PBNJ dalam kenyataannya semalam menjelaskan, keputusan untuk melepaskan Guiza dan Del Nero dibuat selepas mengambil kira kedudukan pasukan dan juga prestasi kedua-dua pemain setelah tamatnya pusingan pertama Liga Super minggu lepas.

Pemangku Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, kontrak pinjaman Guiza daripada kelab asalnya, Getafe FC akan berakhir dalam tempoh empat bulan lagi dan dia tidak boleh membantu Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia, Ogos nanti.

Del Nero pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan ini sedikit sebanyak menjejaskan prestasi- nya dalam pasukan.

"Tidak dinafikan bahawa kedua-dua pemain, Daniel Guiza dan Simone merupakan pemain bertaraf antarabangsa yang telah banyak membantu pasukan berada di kedudukan sekarang tetapi keputusan ini terpaksa diambil.

"Memandangkan musim perpindahan pemain akan dibuka pada 8 April ini, pihak pengurusan mengambil keputusan melepaskan kedua-dua pemain bagi membolehkan kami mencari pemain pengganti yang berkaliber untuk menggantikan mereka," kata Obet dalam kenyataannya semalam.

Menurut Obet, pemain tengah pasukan Johor dalam Liga Premier, Andre Francisco Rocha Da Silva telah dikenal pasti untuk mengambil alih tempat Del Nero manakala beberapa pemain lain sedang diuji jurulatih pasukan, Fandi Ahmad bagi menggantikan tempat Guiza.

Katanya, tiga pemain telah disenarai pendek dan pihak pengurusan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Guiza dan Simone atas jasa mereka kepada pasukan.

"Saya akan pastikan bahawa pengganti mereka akan mempamerkan mutu persembahan yang lebih baik dan cemerlang berbanding pemain-pemain import sebelum ini bagi memastikan visi transformasi pasukan Johor DT tercapai," katanya.

Guiza yang merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007-2008 ketika mewakili Mallorca, berjaya menyumbat lapan gol untuk pasukan Johor DT dalam 13 perlawanan bagi membolehkan skuad Harimau Selatan berada pada kedudukan ketiga Liga Super dan mara ke pusingan suku akhir Piala FA.

Sementara itu, Del Nero yang pernah membantu pasukan bawah 21 tahun Itali bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama, sering kali memanaskan bangku simpanan Johor DT kerana masalah kecederaan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved