Jumaat, 12 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Banglo zaman kolonial jadi hotel

Posted:

Banglo zaman kolonial jadi hotel

Banglo zaman kolonial jadi hotel

BEBERAPA bulan lalu, Daniel Ramos melayari sebuah laman web di internet mengenai sebuah hotel warisan di George Town, Pulau Pinang lalu menempahnya untuk penginapan selama beberapa malam.

Bagaimanapun, pemuda berusia 24 tahun itu berasa tidak yakin hotel berkenaan mampu menawarkan percutian idamannya lalu bertindak membatalkan tempahan tersebut. Selang beberapa minggu kemudian, warga Australia itu mengubah pendirian dan menempah semula hotel sama iaitu 23 Lovelane, Pulau Pinang. Dia menempah untuk penginapan selama lima hari empat malam dengan kadar bayaran sebanyak RM1,300.

Pada bulan Mac lalu, buat pertama kalinya Daniel dan pasangannya, Monica Ramos, 25, menjejakkan kaki di hotel yang terletak di 23, Love Lane, George Town.

"Kami sangat terkejut dan teruja sebaik memasuki bangunan hotel kerana bukan sahaja masih mengekalkan bentuk asal bangunan, malah dihiasi pelbagai barangan dan perabot antik. Selain itu, terdapat banyak gambar yang tergantung di dinding menggambarkan tentang suasana, masyarakat dan budaya tempatan.

"Sebaik memasuki bilik yang ditempah, kami dapat menyaksikan perabot antik seperti kerusi, meja dan hiasan lama disusun rapi. Suasana dalam bilik juga terasa dingin," kata Daniel. Dia dan pasangannya baru berkahwin dan terbang untuk berbulan madu di Pulau Mutiara.


BAHAGIAN ruang tamu bersantai di 23 Lovelane.


Pengiktirafan

George Town merupakan ibu negeri Pulau Pinang yang dinamakan sempena Raja British, King George III, George. Berdasarkan statistik tahun lalu, ia dihuni seramai 720,202 orang.

Suatu masa dahulu, Pulau Pinang merupakan laluan perdagangan yang penting dan sibuk di rantau ini.

Pelbagai warisan budaya serta tradisi Asia dan Barat akhirnya bergabung di George Town, bahkan sebahagiannya masih terpelihara sehingga hari ini.

Ia merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian.

Pada Julai 2008, George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori tapak budaya. Pengiktirafan itu turut diberikan kepada Melaka.

"Apabila George Town mendapat pengiktirafan UNESCO pada 2008, kami telah memulakan kerja-kerja membaik pulih rumah banglo ini. Kerja-kerja itu mengambil masa selama dua tahun setengah sebelum dibuka sebagai hotel butik warisan," kata Pengurus Besar 23 Lovelane, Andy Fong.

Banglo lama

Menurut Andy, rumah banglo lama tersebut berusia 150 tahun dan pernah beberapa kali bertukar pemilik. Sejarah asal rumah tersebut kurang jelas, namun dipercayai dibina ketika Inggeris bertapak di Pulau Pinang.

"Kami membeli bangunan ini dan kerja-kerja baik pulih, menanam pokok-pokok, membina landskap telah dilakukan dengan teliti. Cat-cat yang digunakan juga khas untuk bangunan warisan kerana ia lebih tahan lama.

"Bahagian laman juga telah dikorek dan ketika itu kami turut menjumpai bekas perigi, cawan serta bekas-bekas makanan lama. Penemuan itu kami ambil dan pamerkan di dalam hotel ini," kata Andy yang juga Naib Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Bahagian Pulau Pinang.

Bangunan lama tersebut mempunyai seni bina yang mengutamakan pengaliran udara sekali gus menjadikan dalaman bangunan tidak panas. Selain itu, bahagian lantai dan dinding juga berfungsi menyejukkan bangunan.

Penanaman pokok-pokok juga turut membantu menyejukkan bangunan serta mencantikkan kawasan persekitaran.


SEBUAH bilik di 23 Lovelane yang dihiasi perabot antik dan gambar-gambar bertemakan kanak-kanak.


Barangan antik

Selain mengekalkan seni bina asal, keunikan utama 23 Lovelave adalah penggunaan perabot-perabot antik.

"Kebanyakan perabot merupakan koleksi peribadi kami yang berusia antara 20 hingga 30 tahun. Kami juga turut membeli perabot daripada pihak luar. Penggunaan perabot antik membangkitkan suasana klasik, tetapi memerlukan kos yang tinggi," jelas Andy yang turut membeli perabot dari Kuala Lumpur.

Usaha-usaha menggunakan perabot antik seperti kerusi, meja dan radio nyata berbaloi apabila berjaya menarik perhatian tetamu bukan sahaja dari Malaysia malah Australia, Singapura, Hong Kong, Indonesia, China, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Ujar Andy, salah seorang pelanggannya dari Hong Kong memberitahu, binaan banglo tersebut serupa dengan milik datuknya di Hong Kong, tetapi bangunan tersebut telah musnah.

"Kedatangan mereka ke 23 Lovelane umpama mengimbau kembali kenangan ketika berada di rumah datuknya dahulu," tambah Andy yang menyatakan, tetamu tersebut turut menunjukkan gambar rumah datuknya.

Para tetamu boleh memilih sebanyak 13 buah bilik merangkumi tiga buah rumah di sepanjang jalan tersebut pada harga antara RM800 hingga RM2,800 semalam.

Palanquinn Heritage Suites

Jika berkunjung ke Jalan Bangkok pula terdapat deretan rumah lama dengan seni bina kolonial era tahun 1920-an. Palanquinn Heritage Suites (Palanquinn) tidak kurang hebatnya dengan menawarkan penginapan yang pastinya berbeza dengan hotel-hotel kontemporari.

Pengurusnya, Cheah Leong Keah memulakan projek berkenaan pada tahun 2009 dengan menyewa bangunan tersebut.

Meninjau keadaan rumah-rumah tersebut, unsur-unsur asal masih dikekalkan dengan sedikit penerapan kemodenan. Bahagian lantai, dinding, tangga dan bumbung kelihatan klasik.

"Kami mengekalkan ciri-ciri klasik rumah ini tetapi menerapkan beberapa kemudahan moden seperti bilik mandi, pendingin hawa dan televisyen LCD bagi menambah keselesaan kepada para tetamu.

"Bilik mandi di tingkat atas dibina di bahagian luar agar para tetamu dapat menikmati suasana dan pemandangan luar yang indah serta dapat menikmati aliran udara segar. Birai disediakan di bilik air tersebut sekiranya mereka ingin menutup bahagian dinding yang terbuka.


SUASANA klasik dapat disaksikan di pintu masuk 23 Lovelane.


Cabaran dihadapi

Anak jati Pulau Pinang itu menjelaskan, untuk mengusahakan hotel berkonsepkan warisan beberapa cabaran perlu dihadapi kerana bangunan lama memerlukan kos penjagaan dan pengubahsuaian yang tinggi.

Bukan itu sahaja, cat yang digunakan juga mahal berbanding cat biasa dan sekiranya menggunakan cat biasa, cat tersebut akan cepat pecah dan rosak.

Selain itu, cermin-cermin tingkap lama juga dijual pada harga agak tinggi kerana beberapa corak atau warnanya sudah tiada di pasaran.

"Disebabkan kami mengusahakan sebuah perniagaan, ekoran itu terdapat sedikit ubah suai dilakukan terhadap rumah seperti ruang tamu di tingkat bawah dijadikan bilik, ruangan membaca serta bilik air lebih moden untuk keselesaan tetamu," katanya yang banyak menerima pelanggan dari luar negara seperti Singapura, Australia dan Indonesia.

Dalam pada itu, seorang pelancong, Monica mengakui penginapan di hotel warisan menyerikan lagi percutian mereka.

Ujarnya, tujuan utama percutian ke Pulau Pinang adalah untuk merasai pelbagai makanan tempatan yang sedap, namun penginapan tersebut sesuatu yang di luar jangkaannya.

"Saya tidak sangka 23 Lovelane mampu menawarkan penginapan yang sangat berbeza berbanding hotel mewah biasa. Penginapan di sini sangat selesa, tenang, dingin dan mengundang nostalgia," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved