Jumaat, 12 April 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Edwin lupakan 'nostalgia' lama

Posted:

Edwin lupakan 'nostalgia' lama

Edwin lupakan 'nostalgia' lama

Oleh NURUL IZZA ROSLY

LEBIH tiga dekad lalu iaitu sekitar tahun 1979, ketika masih di alam persekolahan, Edwin memulakan episod baharu hidupnya dengan mencuba marijuana secara suka-suka.

Tiada paksaan dan tiada sesiapa yang mengajarnya, cuma perasaan ingin tahu jiwa remajanya meronta-ronta untuk merasai kononnya 'kenikmatan' yang mampu diberikan oleh marijuana.

"Tidak dinafikan pada mulanya, ia memang menyeronokkan, namun selepas empat hingga lima tahun kemudian, kesakitan akibat pengambilan marijuana bermula.

"Saya mula membenci diri sendiri kerana terpaksa bergantung dengan dadah tersebut," katanya yang kini berusia 50 tahun.

Dia mengambil dadah tersebut bukan untuk keseronokan lagi, tetapi mahu menghilangkan kesakitan dan menjadi normal semula.

"Sekali terjebak memang sukar untuk pulih seperti sediakala. Mujur ahli keluarga terutamanya ibu banyak membantu saya untuk keluar daripada kancah najis dadah.

"Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak dapat hidup dengan tenang, aman dan bahagia seperti hari ini," ujar bapa kepada empat orang anak yang benar-benar insaf dengan keterlanjurannya itu akibat terlalu mengikut kata hati.

Menurutnya, dadah telah menjejaskan kerja dan menghancurkan kehidupannya.

Pemulihan diri

Edwin kemudiannya telah diperkenalkan dengan program Medication-Assisted Treatment (MAT) oleh Dr. P. Balaeswaran, seorang doktor di Klinik Tenaga Baru, Taman Tenaga, Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 2002.

Dua tahun kemudian, barulah Edwin tekad meninggalkan episod gelap kehidupannya. Dia mengikuti program MAT dengan menjalani rawatan terapi penggantian dadah di sebuah klinik swasta.

Dia yang tidak pernah memasuki mana-mana pusat pemulihan dadah, pernah mencuba untuk berhenti menagih tanpa bantuan sesiapa, namun hanya bertahan selama enam bulan.


KAUNSELING amat penting dalam pengukuhan mental penagih dadah yang mahu meninggalkan dunia gelap mereka.


"Program MAT berjaya memulihkan diri saya. Sungguhpun begitu ia perlu diiringi dengan kaunseling bagi memantapkan ketahanan mental diri.

"Dos dadah gantian yang diberikan juga sudah semakin kecil. Mengikuti program MAT sahaja tidak memadai, perlu disokong dengan program kaunseling selain menerapkannya dengan elemen spiritual," katanya yang kini bekerja sebagai vendor akhbar.

Sokongan keluarga

Ujarnya, ramai penagih menagih semula berikutan kurang atau tiadanya sokongan daripada ahli keluarga semasa rawatan.

Proses pemulihan mengambil masa dan ia tidak berlaku sekelip mata sahaja. Sokongan berterusan diperlukan bagi membantu para penagih kembali pulih.

Walaupun seseorang penagih itu sudah berhenti, pandangan serong masyarakat sekeliling masih ada. Oleh itu, penting untuk para penagih di luar sana menguatkan diri dan berfikiran positif supaya tidak kembali menagih.

"Saya sendiri pernah mengalaminya. Walaupun telah berhenti menagih, ibu pernah menanyakan keadaan diri saya yang kelihatan lain macam dan mata kelihatan merah.

"Walhal, mata saya merah kerana dimasuki habuk ketika menunggang motosikal. Kita harus bersikap positif. Pertanyaan ibu itu menunjukkan dia amat mengambil berat keadaan diri saya," ujarnya yang kini aktif bermain muzik di gereja.

Kenangan lama

Bagi memastikan dirinya konsisten mendapatkan rawatan dan tidak mahu pisang berbuah dua kali, Edwin tidak lagi bercampur dengan rakan-rakan 'seperjuangannya' dahulu. Dia khuatir 'benteng' yang dibina teguh sekian lama runtuh sekelip mata.

Tempat-tempat yang mengembalikan nostalgia lama turut dielak untuk dikunjungi. Baginya, ia satu risiko kerana kenangan bersama rakan-rakannya dahulu sangat kuat.

"Ia umpama cinta pertama, sukar untuk dilupakan walaupun kita sudah beralih arah.

"Sebagai contoh, apabila berada dalam ketagihan, jika diminta membuat pilihan antara wanita cantik dan heroin, seseorang penagih itu akan memilih heroin," katanya yang berhabis RM50 sehari untuk dadah suatu ketika dalu.

Dek kerana itulah, ada yang sanggup membuang keluarga dan melakukan sesuatu di luar batasan fikiran gara-gara pengaruh dadah.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Penagihan Malaysia (AMAM), Dr. Steven Chow memberitahu penagihan dadah telah dilabel sebagai kebejatan moral oleh masyarakat.

Sungguhpun begitu, dalam terma perubatan ia dilabel sebagai keadaan kesihatan yang kronik.

"Pengambilan dadah secara berterusan akan menyebabkan perubahan kepada struktur dan fungsi otak sekali gus mencetuskan ketagihan yang kuat.

"Oleh yang demikian, rawatan perubatan merupakan satu langkah penting dalam pemulihan," katanya pada taklimat media mengenai MAT di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


DADAH hanya memberikan 'keseronokan' sementara yang menghancurkan masa depan seseorang individu yang terjebak dalam kancah najis dadah.


Kempen Jiwa Baru

Bagaimanapun, persepsi negatif yang dikaitkan dengan penagihan dadah sering menghalang penagih untuk mendapatkan rawatan.

"Kita perlu memberi tumpuan dan menyusun semula kaedah rawatan. Ia perlu digabungkan dengan kaunseling supaya pesakit tidak terasa tersisih dan menyebabkan mereka menagih semula.

"Di Malaysia, MAT menggunakan buprenorphine-naloxone menunjukkan kadar pembendungan ketagihan melebihi 80 peratus dengan pengawasan perubatan," ujarnya.

Dalam usaha untuk mengurangkan stigma negatif masyarakat satu kempen dipanggil Jiwa Baru telah dilancarkan pada tahun 2008. Kempen itu turut mempunyai objektif membanteras pergantungan kepada dadah melalui rawatan yang tepat.

Sejajar dengan itu, Jiwa Baru menyediakan satu talian khas iaitu 1300-80-7777 bagi membantu golongan berkaitan mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan.

Pada tahun 2012, Malaysia mempunyai 707 doktor terlatih dalam merawat ketagihan dadah berbanding 300 orang pada tahun 2006.

Penggunaan buprenorphine-naloxone dalam program MAT merupakan kejayaan farmakoterapi untuk merawat penagihan dadah.

Pada dasarnya ubat tersebut dicipta untuk melegakan ketagihan dan kesan sampingan akibat penyalahgunaan dadah. Ia juga dapat mengurangkan risiko kemurungan serta kematian akibat dos yang berlebihan.

Ubat tersebut lebih selamat berbanding agonis opiod seperti heroin dan metadon pada dos yang lebih tinggi.

"Program MAT merupakan cara selamat lagi berkesan untuk mengatasi penagihan dadah.

"Di samping mendapat manfaat daripada farmakoterapi, fleksibiliti penyesuaian rawatan dan penjagaan psikososial meningkatkan kemungkinan untuk pesakit kekal dalam rawatan," kata Pakar Perubatan Penagihan di Northern Sydney Local Health Network, Dr. Mark Hardy.

Ujarnya, menahan diri secara berterusan di bawah pengawasan perubatan bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti hidup dengan ketara, bahkan meningkatkan kejayaan dalam integrasi semula bersama masyarakat.

Malam Amal Tahajjud Cinta

Posted:

Malam Amal Tahajjud Cinta

Malam Amal Tahajjud Cinta

Oleh NURUL IZZA ROSLY


FAREEDA turut mempersembahkan barisan koleksi tudung baharu rekaannya.


SUASANA ruang legar Grand Ballroom, Grand Hyatt Kuala Lumpur pada malam tanggal 3 April lalu umpama majlis anugerah bintang popular memandangkan ramai hadirin bergaya sakan untuk tampil anggun bagi menjayakan majlis Makan Malam Amal Tahajjud Cinta.

Diwarnai dengan pelbagai rona pakaian ceria, Malam Amal Tahajjud Cinta dianjurkan secara eksklusif oleh Fareeda dan Yayasan Aids Malaysia.

Ia diadakan bagi meraih dana untuk Yayasan Aids Malaysia serta sebuah lagi pertubuhan kebajikan, Yayasan Ihtimam Malaysia.

Ramai yang hadir memberikan sokongan pada majlis tersebut termasuk beberapa selebriti tanah air seperti Lisdawati, Wan Sharmila dan Riz Amin.

Menurut Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta, Yazlan Yahya, kehadiran tetamu pada malam tersebut membawa pengertian yang amat besar kepada usaha meringankan beban orang yang hidup dengan HIV di negara ini.

"Dana yang terkumpul akan digunakan sebaiknya bagi memberikan kesempatan kepada mereka yang hidup dengan HIV menikmati kehidupan yang normal, berkeluarga dan membina kerjaya sekali gus menyumbang kepada masyarakat.

"Sehubungan dengan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa stigma serta diskriminasi berkaitan AIDS dan HIV tiada tempat dalam masyarakat kita," katanya.

Komitmen Fareeda

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Fareeda, Aminuddin Basirron berterima kasih kepada Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia kerana memberikan peluang kepada Fareeda menyertai inisiatif Malam Amal Tahajjud Cinta.


SITI NURHALIZA begitu bersemangat menghiburkan hadirin menerusi tujuh buah lagu.


"Penglibatan Fareeda dalam program malam amal ini merupakan usaha ikhlas bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

"Kami melihat perjuangan untuk membantu meringankan beban orang yang hidup dengan HIV dan AIDS sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh anggota masyarakat," ujarnya.

Tambahnya, penglibatan dalam kerja-kerja amal telah membuka mata pihaknya tentang erti sebenar di sebalik HIV dan AIDS seperti cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka. Ia menguatkan lagi iltizam Fareeda untuk terus menghulurkan bantuan.

Pertunjukan fesyen

Pada malam itu, hadirin dipersembahkan dengan tayangan video mengenai Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia disusuli dengan alunan muzik instrumental oleh Mohram yang terkenal dengan tiupan seruling dan rebana Melayu.

Sambil menjamu selera, hadirin dihidangkan dengan pertunjukan fesyen menampilkan koleksi terbaharu tudung Fareeda yang turut mengetengahkan konsep tudung labuh, sesuai untuk mengerjakan umrah.

Antara koleksinya ialah Zaynab V Shape, Zaynab saiz L bunga di badan, Zaynab Sabreena Warna Putih, Zaynab Sabreena warna hitam dan Selendang Suraiya Zaynab.

Usai melihat peragaan tudung yang digayakan oleh para finalis Pencarian Model Tudung Fareeda 2012, para tetamu pada malam itu dihiburkan dengan nyanyian oleh Bob Yusof yang merupakan salah seorang Selebriti Sokongan Riben Merah.

Selepas itu, pertunjukan fesyen kedua tudung Fareeda menampilan pula koleksi Suzanna 3 layer printed, Sofiya 3 layer tone, Sara 3 layer plain dan selendang Mawar Tone.

Acara lelong

Timbalan Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan Aids Malaysia, Fahrin Ahmad yang segak berjubah putih kemudian mengambil tempat bersama Bob Yusof memulakan acara lelongan tudung.

Lelongan pertama merupakan tudung rona hitam merah yang pernah dipakai oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ketika majlis sidang media Malam Amal Tahajjud Cinta yang ditatah dengan batu Swarovski.

Dibuka untuk bidaan pada harga RM500, hadirin yang rata-ratanya wanita saling membida bagi memastikan tudung tersebut menjadi milik mereka.

Akhirnya, tudung tersebut dimenangi Noaryati Ahmad, 34, dari Bangi, Selangor selepas berjaya membida pada harga RM1,100.

"Saya mahu memiliki tudung tersebut memandangkan ia pernah dipakai oleh Siti Nurhaliza dan pada masa yang sama, saya turut meminati koleksi tudung Fareeda," ujarnya.


SEORANG petugas mengikat reben merah di pergelangan tangan seorang tetamu sebagai tanda sokongan kepada kempen Yayasan Aids Malaysia.


Persembahan Siti Nurhaliza

Malam Amal Tahajjud Cinta sampai ke kemuncaknya apabila tepat pukul 10.15 malam, penyanyi kesayangan ramai, Siti Nurhaliza muncul di atas pentas untuk membuat persembahan.

Menyarung busana gaun labuh rona biru, penampilan Siti Nurhaliza pada malam itu begitu memukau, apatah lagi saat dirinya mula mendendangkan lagu.

Berpadu suara dengan iringan muzik instrumental dari Mohram dan susunannya oleh Aubrey Suwito, Siti Nurhaliza begitu bertenaga membawakan tujuh buah lagu antaranya Lagu Rindu, InsyaAllah, Kepadamu Kekasih, Ayat-ayat Cinta, Nirmala dan Padamu Ku Bersujud.

Pusingan kedua lelongan tudung Siti Nurhaliza menyaksikan tudung rona biru hitam itu dibuka untuk bidaan pada harga RM1,500.

Walaupun agak mahal, namun peminat penyanyi nombor satu negara itu iaitu Fauziah Syeikh Omar sanggup meletakkan harga tertinggi RM2,800 untuk menewaskan pembida lain.

Selain itu, lukisan potret Siti Nurhaliza hasil karya pelukis tersohor Abdul Rahman Sulaiman berjaya dibida oleh S. Svasann daripada KP Marketing Sdn. Bhd. pada harga RM2,500.

Lelaki sebagai ketua keluarga

Posted:

Lelaki sebagai ketua keluarga

Lelaki sebagai ketua keluarga


ISTERI harus menghormati suami sebagai ketua keluarga walaupun mungkin suami berpendapatan lebih rendah daripadanya. - Gambar hiasan


DALAM kepesatan pembangunan negara tatkala wanita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki, ada pendapat mengatakan carta organisasi sebuah rumah tangga tidak memerlukan si suami lagi sebagai ketua.

Alasan yang diberikan kerana rata-rata para isteri hari ini bekerja dan mampu membiayai diri sendiri. Malah, ada kes, suami pula dibiayai sebahagian keperluannya oleh si isteri. Lantaran itu, masih sesuaikah si suami menjadi ketua keluarga?

Jawapannya ialah ya, si suami masih dan tetap sesuai menjadi ketua keluarga hingga ke akhirat.

Tidak kiralah suami itu mempunyai latar belakang pendidikan dan pendapatan lebih rendah atau pekerja bawahan kepada isterinya, dia tetap menjadi ketua keluarga.

Suami wajib dihormati, ditaati dan si isteri perlu meminta izinnya untuk melakukan apa juga tindakan dalam kehidupan harian kecuali perkara berkaitan kewajipan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Perintah Allah dan Rasul

Dalam satu firman Allah yang bermaksud: 'Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita.' - Surah al-Nisa, ayat 34.

Di dalam satu hadis lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud: 'Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.' - Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.

Dua dalil tersebut adalah antara beberapa dalil yang menunjukkan dan membuktikan keperluan seorang isteri mentaati suaminya selagi tidak melanggar hukum dan kehendak syarak.

Setiap perkara yang ditetapkan Allah mempunyai alasan tersendiri. Begitu juga pemilihan lelaki sebagai ketua keluarga dalam sebuah rumah tangga.

Penyumbang nafkah keluarga

Suami mempunyai tanggungjawab utama iaitu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Zaman sekarang sudah ramai isteri yang bekerja dan menanggung diri sendiri, malah ramai juga yang menanggung suami.

Saya akui kebenaran tersebut, namun hukum asal tetap mengatakan suami yang wajib memberikan nafkah.

Jika berbeza daripada ketetapan asal, anda diberikan jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Paling utama, syariat menetapkan suami wajib membiayai keperluan keluarga mengikut kemampuannya selepas berusaha tahap maksimum.

Firman Allah yang bermaksud: 'Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.' - Surah al-Talaq ayat 7.

LELAKI sebagai ketua keluarga perlu mendidik isteri dan anak-anak ke jalan diredai Allah. - Gambar hiasan


Mendidik ke jalan diredai Allah

Suami juga berperanan dan bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarga berada di landasan betul sesuai dengan firman Allah bermaksud:

'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada Allah dalam setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.' - Surah al-Tahrim ayat 6.

Perintah Allah tersebut meletakkan peranan dan tugas berat suami sebagai ketua keluarga.

Suami yang gagal menjalankan peranan dan tanggungjawab itu, bukan saja membawa ahli keluarganya ke jalan yang tidak diredai Allah, malah dirinya turut terjebak sama.

Kenapa? Ini kerana suami yang gagal mendidik isteri dan anak-anak melaksanakan setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan Allah dan Rasul-Nya, akan turut sama menerima dosa yang dibuat oleh mereka.

Jika isteri dan anak-anak tidak menutup aurat seperti kehendak syarak, dosa mendedahkan aurat itu turut ditanggung oleh suami.

Tidak cukup dengan dosa sendiri, kaum lelaki berstatus suami dan ayah turut membawa dosa isteri dan anak-anak mereka ke akhirat.

Lantaran itu, status sebagai ketua keluarga bukan satu kemegahan sebaliknya satu tanggungjawab dan amanah besar kepada seorang lelaki.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved