Jumaat, 12 April 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Ferrari paling pantas di Malaysia

Posted:

Ferrari paling pantas di Malaysia

Ferrari paling pantas di Malaysia

Oleh SHAWKATH AZDE

KOLABORASI Ferrari Styling Centre dan Pininfarina berjaya menghasilkan satu lagi rekaan model Ferrari yang cukup menawan dan eksotik.


TANGGAL 21 Mac lalu merupakan tarikh signifikan buat Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia). Ia menandakan ulang tahun kelimanya selaku pengedar tunggal kenderaan Ferrari di negara ini.

Bagi meraikan sambutan hari jadinya, anak syarikat Kumpulan Naza itu memperkenalkan model baharu iaitu Ferrari F12berlinetta ke pasaran tempatan.

Itulah jentera yang pernah memegang gelaran kereta atas jalan paling pantas keluaran Ferrari S.p.A di Itali. Rekod itu bagaimanapun hanya mampu dikekalkan selama setahun sahaja.

Kedudukan itu kini diambil alih oleh LaFerrari, model terbaharu yang telah dipertontonkan di Geneva Motor Show 2013 di Switzerland baru-baru ini.

Model Ferrari kelima

Sejak dianugerahkan kepercayaan daripada pengeluar kenderaan supermewah dari Maranello itu, Naza Italia sudah menjual kira-kira 100 unit jentera eksotik tersebut.

Kemasukan F12berlinetta menjadikan tawaran produk Naza Italia kepada lima model. Model sedia ada merangkumi 458 Spider, Ferrari California, 458 Italia dan Ferrari FF.

F12berlinetta yang dipertontonkan kepada khalayak di Geneva Motor Show tahun lalu ialah pengganti kepada model 599GTB Fiorano.

Ketua Pegawai Operasi Ferrari, Amedeo Felisa pernah berkata, Ferrari akan melakukan keajaiban setiap kali memperkenalkan sebuah kereta sport dengan enjin 12 silinder.


SETIAP aspek dalam ruang kabin mencerminkan nilai kemewahan dan sifat eksklusif hasil solekan jurutera-jurutera Ferrari S.p.A, Itali.


"Kali ini, cabaran kami adalah untuk mengalahkan jentera 12 silinder terbaik yang pernah dihasilkan Ferrari iaitu model 599.

"Saya dengan bangganya mengatakan, F12 (F12berlinetta) berjaya mendahuluinya," kata Felisa dalam laporan The New York Times.

Dari aspek ujian masa di litar Fiorano milik Ferrari di Itali, F12berlinetta merekodkan pusingan terpantas iaitu 1 minit 23 saat. Catatan masa terbaik dengan 599GTB Fiorano adalah 1 minit 26.5 saat.

LaFerrari memegang rekod catatan masa terpantas iaitu 1 minit 20 saat pada litar sepanjang tiga kilometer (km) itu. Pemandunya ialah Fernando Alonso, pelumba pasukan F1 Ferrari.

F12berlinetta menggunakan enjin sama seperti model Ferrari FF iaitu enjin 6.3 liter, tetapi dengan talaan berbeza.

Susun atur rangkaian kuasanya berbeza. Enjin ditempatkan di hadapan. Kotak gear pula dipasang berhampiran roda belakang.

Kereta dua pintu itu berupaya menghamburkan kuasa sehingga 740hp dan tork setinggi 690Nm. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 340km sejam (km/j).

Pecutan dari titik pegun ke 100km/j hanya memerlukan masa 3.1 saat. Jika mahu mencapai paras 200km/j, ia mengambil masa selama 8.5 saat.

Bagi memperlahankan pecutan model Prancing Horse itu, tugas tersebut disandarkan kepada sistem brek cakera karbon seramik CCM generasi ketiga dengan ABS.

Suhu brek F12berlinetta dikawal dengan bantuan Active Brake Cooling. Ia diaktifkan secara automatik apabila mengesan kepanasan pada komponen itu.

Bolong dengan gril aktif pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan dibuka secara automatik untuk menyalurkan udara terus ke bahagian brek hadapan.

Satu lagi ciri menarik ialah Aero Bridge. Ia merupakan seni kejuruteraan aerodinamik yang lahir daripada ujian terowong udara.

Aero Bridge mengalirkan udara di atas bonet ke bahagian tepi kereta menerusi keluk unik atas dapra hadapan. Ia membantu meningkatkan downforce F12berlinetta kepada 123 kilogram (kg) pada kelajuan 200km/j.


ENJIN F12berlinetta mampu menjana kuasa output sehingga 740hp dan mencapai kelajuan 100km/j dalam tempoh 3.1 saat sahaja.


Kombinasi Aero Bridge dan Active Brake Cooling juga mengurangkan koefisien seret kepada 0.299. Inilah model Ferrari dengan seretan aerodinamik terbaik.

Reka bentuk F12berlinetta adalah hasil kerjasama antara Ferrari Styling Centre dan Pininfarina S.p.A. (Pininfarina). Pininfarina ialah firma reka bentuk kenderaan terkemuka di Itali.

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dalam ucapan perasmian mengunjurkan jualan sebanyak 10 unit F12berlinetta bagi tahun ini.

Percaya atau tidak, tempahan bagi model itu sudah mencapai 19 unit. Harga permulaan tidak termasuk cukai bagi F12berlinetta ialah RM1,288,800 seunit.

Model itu ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu merah dan perak (aluminium). Turut diberikan adalah jaminan penyelenggaraan berjadual percuma selama tujuh tahun.

Range Rover Sport: Lasak, Sporty dan Premium

Posted:

Range Rover Sport: Lasak, Sporty dan Premium

Range Rover Sport: Lasak, Sporty dan Premium

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


MULAI tahun 2014, barisan enjin Range Rover Sport akan ditambah dengan 3.0 liter TDV6 berkuasa 258PS dan enjin berprestasi 4.4 liter SDV8 diesel berkuasa 339PS.


SEKADAR untuk berkongsi, semasa saya kecil dahulu, ada sebuah kereta yang langsung saya tidak gemar. Reka bentuknya kurang cantik, berkotak dan rasanya tiada ruang langsung untuk saya menyukai kereta tersebut.

Tidak berapa lama kemudian kereta itu berada di bawah bumbung parkir rumah selepas seorang saudara meminjamkannya. Sempatlah juga menjadi kenderaan rasmi keluarga saya untuk beberapa bulan.

Nama kereta itu ialah Range Rover dan waktu itu tidak wujud lagi terma SUV. Pada waktu itu, Range Rover ialah sebuah SUV yang canggih dan mewah. Saya yang masih hingusan begitu kagum dengan teknologi yang ada pada SUV itu. Kagumnya saya hinggakan siap bertanya pada guru bahasa Inggeris apa maksud Range Rover.

Land Rover yang menjadi pengeluar model tersebut kemudian melalui zaman peralihan pemilik. Daripada satu ke satu syarikat hinggalah sekarang ia dimiliki oleh Tata Motors, India.

Selepas kejayaan dizahirkan oleh model Range Rover Evoque, kini Land Rover memperkenalkan pula Range Rover Sport yang katanya merupakan model Land Rover paling pantas, lincah dan responsif.

Dibangunkan bersama-sama Range Rover standard, model Sport itu mempunyai ciri pemanduan dinamik dan masih mengekalkan kemampuan untuk meredah permukaan off-road.

Ruang dalamannya pula semakin mewah. Lebih menarik lagi, Range Rover Sport mempunyai konfigurasi tempat duduk 5+2. Bukan itu sahaja, model baharu itu juga lebih ringan berbanding model Sport lama hasil daripada penggunaan struktur yang diperbuat daripada aluminium.

"Range Rover Sport baharu ialah kenderaan yang telah direka dan dijuruterakan tanpa kompromi. Dengan kebolehan Land Rover sebagai paksi utama, ia merupakan kenderaan paling fokus kepada pemanduan yang pernah kami hasilkan. Pada masa yang sama tetap mengekalkan keupayaan off-road.

"Inilah kenderaan yang direka untuk dipandu. Kami telah meningkatkan pemanduan, pengendalian dan kelincahan ke tahap yang lain bagi memberi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Di samping kemewahan, kemampuan dan versatility," jelas Pengarah Jenama Land Rovel Global, John Edwards.

Peralatan unik

Dengan reka bentuk baharu, Range Rover Sport kini lapan peratus lebih aerodinamik berbanding Range Rover Sport lama dengan bacaan Cd sebanyak 0.34. Model baharu itu adalah 149mm lebih pendek, kurang 55mm daripada model Range Rover standard.

Menariknya, perbandingan yang dibuat menyaksikan model sport lebih ringan berbanding model biasa. Walaupun dibangunkan bersama-sama Range Rover standard dan berkongsi peralatan, hakikatnya model sport mempunyai 75 peratus peralatan unik, satu jumlah signifikan yang membezakan rasa dan reka bentuk berbanding model standard.


RUANG dalaman SUV premium ini memang sangat mewah.


Buat permulaan, pelanggan diberi dua opsyen enjin iaitu 5.0 liter supercharged V8 petrol berkuasa 510PS dan 3.0 liter SDV6 diesel berkuasa 292PS.

Mengikut perkembangan semasa, enjin diesel hibrid juga akan turut ditawarkan kepada pembeli.

Dari segi pecutan ke 97km/j pula, masa yang diambil bermula dari lima saat untuk kesemua varian enjin. Semua enjin petrol dan diesel Range Rover Sport dipadankan dengan transmisi canggih kawalan elektronik ZF 8HP70 lapan kelajuan automatik.

Teknologi casis yang digunakan pada model itu tidak kurang canggihnya. Sebagai contoh, Adaptive Dynamics yang menggunakan continuously variable dampers (CVD). Bagi model yang lebih berkuasa, sistem Dynamic mode pada Terrain Response(R) 2 System dipasang untuk pemanduan yang lebih jitu di atas jalan raya.

Sistem itu digabungkan dengan twin-channel Dynamic

Response Active Lean Control, Dynamic Active Rear Locking Differential dan Torque Vectoring by Braking pula mengalihkan tork pada tayar bahagian luar semasa selekoh dan mengurangkan understeer.

Model baharu itu turut mempunyai sistem kamera digital yang memberi bantuan kepada pemandu menerusi ciri seperti Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition dan Automatic High Beam Assist. Satu lagi ciri inovasi unik pada model Sport ialah Wade Sensing yang memberi informasi tentang kedalaman sewaktu mengharung air.

Range Rover Sport dengan kombinasi prestasi dan versatiliti dikatakan bakal menjadi penerus populariti model sebelumnya yang mana sejak diperkenalkan pada tahun 2005 sudah terjual sebanyak 380,000 unit.

Model baharu itu bakal dijual di 169 pasaran di seluruh dunia. Sebelum lahirnya SUV seperti Porsche Cayenne, Audi Q5, BMW X5 atau Volvo XC90, model Range Rover adalah pilihan buat mereka yang mahukan SUV premium.

Tambahan pula Land Rover ialah pakar kenderaan off-road. Pengeluar itu tidak mempunyai kereta penumpang atau yang seumpamanya.

Pakej yang menarik bukan? Kenderaan off-road yang digabungkan dengan ciri-ciri mewah dan sporty.

Nissan Juke n-tec

Posted:

Nissan Juke n-tec

Nissan Juke n-tec


SUV kompak ini dilengkapi sistem infotainmen Nissan Connect yang canggih.


NISSAN baru-baru ini menambah tarikan kepada model Juke menerusi varian baharu dikenali sebagai Juke n-tec. Model itu dikatakan padat dengan gajet dan lebih bergaya untuk pengguna berjiwa muda.

Juke n-tec dilengkapi sistem infotainmen Nissan Connect generasi baru sebagai ciri standard. Sistem tersebut dikawal melalui paparan skrin sentuh bersaiz 5.8 inci. Nissan Connect mengintegrasikan sistem navigasi Juke dengan ketersambungan Bluetooth untuk telefon bimbit dan pemain MP3.

Versi baharu itu juga mengandungi teknologi Google® Send-To-Car yang membolehkan pemilik Juke untuk merancang dan menghantar laluan kepada kereta sebelum meninggalkan rumah.

Tidak cukup? Nissan Connect ada manawarkan beberapa ciri inovatif lain yang direka untuk memudahkan pemandu. Misalnya, pemandu boleh mengakses sepenuhnya pangkalan data lokasi menarik (Points of Interest, POI) Google® yang komprehensif, selain ramalan cuaca, harga bahan api dan maklumat penerbangan.

Ingin tampil berbeza, jentera yang dibina berdasarkan kepada model Acenta Premium itu dipasang dengan rim aloi n-tec berwarna perak dan hitam bersaiz 18 inci. Pada ruang dalaman pula, kemasan konsol tengahnya berwarna hitam berkilat. - Newspress

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved