Isnin, 25 Mac 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sup power Port Dickson

Posted:

Sup power Port Dickson

Sup power Port Dickson

Oleh NASRI JAMALUDIN


RESTORAN Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.


PORT DICKSON cukup terkenal dengan pantainya untuk aktiviti mandi-manda. Justeru, tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, pantainya sesak dengan orang ramai.

Ketika ini, kawasan pantainya telah dinaik taraf dan selesa untuk anda sekeluarga berkelah atau sekadar bersantai. Jika tidak mahu mandi laut, kemudahan kawasan permainan kanak-kanak turut disediakan. Apa yang penting, anda dapat membawa seisi keluarga bercuti sekali gus merapatkan hubungan kekeluargaan.

Jika anda tidak membawa sebarang bekalan makanan, apa kata singgah menjamu selera di Restoran Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa.

Restoran yang diusahakan pasangan suami isteri, Ismail Mohd., 36, dan Suhaili Ahmad, 35, itu menyajikan pelbagai jenis hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan ala carte.

Dibuka secara kecil-kecilan sejak enam tahun lalu, kedai makan yang terkenal dengan hidangan sup lembu power itu terus meningkat menjadi sebuah restoran.

Resipi utara

"Pada peringkat awal perniagaan, kami hanya membuka gerai menjual sup lembu power di depan rumah. Tidak sangka sambutan sangat menggalakkan dan kini perniagaan semakin berkembang dan kami menawarkan pelbagai jenis hidangan.

"Sup lembu (gear box) yang kami tawarkan menggunakan resipi utara. Ia dijual RM25 semangkuk untuk hidangan empat orang," kata Suhaili ketika ditemui baru-baru ini. Pada hari biasa antara 15 hingga 20 mangkuk sup power boleh dijual.

Suhaili yang menjadi guru selama 12 tahun nekad berhenti kerja setahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan tersebut.

Sementara itu, Ismail yang sebelum itu bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berhenti kerja tiga tahun lebih awal daripada isterinya.

Melangkah masuk ke restoran tersebut terutama pada waktu tengah hari, anda pasti rambang mata memilih kira-kira 40 jenis lauk pauk. Antaranya, pelbagai jenis ikan bakar, masak lemak ayam dan ikan, asam pedas, ulam-ulaman dan sayur-sayuran.

Harga makanan di restoran ini juga berpatutan. Restoran itu bukan sahaja menjadi tumpuan pada hujung minggu malah pada hari-hari biasa.

Pesawat LIMA gegarkan ruang udara

Posted:

Pesawat LIMA gegarkan ruang udara

Pesawat LIMA gegarkan ruang udara

Oleh ZAKI SALLEH


JANGAN lepaskan peluang melihat aksi-aksi berani mati juruterbang pasukan aerobatik Tentera Udara Rusia menggunakan pesawat Sukhoi Su-27.


SEJAK minggu lalu, deruman pesawat-pesawat pejuang silih berganti membelah ruang angkasa Langkawi melakukan aksi-aksi aerobatik yang memukau ribuan mata termasuk lagak negeri di udara.

Sebanyak 26 buah pesawat akan membuat persembahan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2013 (LIMA '13) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dari 26 hingga 30 Mac ini.

LIMA '13 yang dianjurkan oleh HW Lima Exhibitons (HW Lima) diiktiraf sebagai antara pameran udara terbaik dunia setaraf dengan Farnborough International Air Show di United Kingdom, Dubai Air Show dan MAKS (Rusia).

Lima pesawat MiG-29N Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dari tim Smokey Bandits menggegarkan ruang udara Langkawi beraksi bersama sebuah pesawat F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM.

Tim aerobatik nasional, Aerotree Kriss Sakti yang muncul kali pertama pada LIMA dua tahun lalu sekali lagi akan memukau penonton menggunakan lima pesawat berkipas Extra 300L. Mereka dibarisi bekas juruterbang pejuang TUDM.

Biarpun pasukan aerobatik Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Red Arrows tidak hadir pada pada LIMA '13, kekosongan itu bakal diganti dengan kehebatan RusAF Russian Knight.

Bagi mereka yang pernah melihat aksi-aksi berani mati juruterbang pasukan aerobatik terkenal Tentera Udara Rusia ini pada LIMA edisi 1995 pasti tidak sabar-sabar menyaksikannya untuk kali kedua.

Enam buah pesawat Sukhoi Su-27 Russian Knight iaitu 4 Su-27P dan 2 Su-27UB Russian Knight akan membuat lima pertunjukan udara iaitu penerbangan solo dan formasi berbeza-beza.

Turut serta pada acara ini ialah tim aerobatik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) Jupiter Aerobatic Team (JAT) bersama lapan pesawat latihan jenis KAI KT-1 buatan Korea Selatan.

Keupayaan di udara

Sebagai persediaan beraksi di Langkawi, JAT giat berlatih di Pangkalan Udara (Lanud) Adisutjipto Yogyakarta akan mempersembahkan aksi-aksi manuver seperti jupiter roll, loop, xclover leap, mirror, tango to, dan jupiter roll back.

Pengurus Komunikasi Korporat HW Lima, Fairul Ramzi berkata, turut beraksi ialah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik RAF, Dassault Rafale (Tentera Udara Perancis), JAS Grippen (Tentera Udara Diraja Thailand) dan F/A-18F Super Hornet (Boeing).

Kata beliau, empat pesawat ini disebut-sebut berminat untuk merebut program menggantikan pesawat MiG-29N TUDM yang diumumkan Kementerian Pertahanan sebelum ini.

"Kecuali JAS Grippen, tiga pesawat yang lain telah pun digunakan dalam beberapa medan tempur berbeza. Eurofighter Typhoon dan Rafale semasa konflik Libya manakala F/A-18F pula di Iraq dan Afghanistan.

"Dua pesawat lain juga menunjukkan keupayaan di udara iaitu F-16 dan pesawat pengangkut strategik C-17 Globalmaster III milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF)," ujar beliau.


PASUKAN Aerobik Robatik Jupiter Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) bakal beraksi pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2013.


Menurut beliau, sebanyak 52 pesawat tempur dan komersial pula akan dipamerkan seperti F-16D dan helikopter penggempur Apache kepunyaan Tentera Udara Republik Singapura dan pesawat pengangkut CN-295 dari PT Dirgantra, Indonesia.

Turut dipamerkan ialah pesawat radar amaran awal (AEW&C) E-71 Wedgetail dari Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), pesawat rondaan maritim P3C Orion dan pesawat pembekal minyak McDonnel Douglas KDC-10.

Fairul memberitahu, segmen maritim di jeti Awana Porto Malai pula menampilkan persembahan tatoo Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pertunjukan pasukan khas dan demontrasi udara serta bot-bot tempur.

"Sebanyak 62 kapalperang dan bot peronda termasuk 13 kapal perang tentera laut dari sembilan negara pula akan berlabuh di perairan Langkawi.

"Kunjungan kapal pembinasa Marshal Shaposhnikov dari Rusia yang pertama kali berlabuh di sini pasti menjadi tarikan," katanya ketika dihubungi.

Marshal Shaposhnikov pula dilengkapi persenjataan terkini seperti peluru berpandu antikapal selam SS-N-14, pelancar roket anti kapal selam RBU-6000, peluru berpandu antipesawat SA-N-9 dan dua laras meriam.

"Kapal kelas Udayov dari Armada Pasifik Rusia seberat 7,900 tan ini pernah terlibat dalam misi melawan lanun di perairan Somalia," ujarnya memberitahu bot khas disediakan bagi membawa pengunjung melawat ke kapal-kapal perang.

Perjanjian Persefahaman

Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) pula menghantar kapal pembinasa Aegis, USS Chung Hoon daripada kelas Aleigh Burke.

Kapal seberat 9,200 tan ini dinamakan sempena pegawai kanan pertama USN berbangsa Asia iaitu Laksamana Pertama Gordon Chung-Hoon yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua.

USS Chung Hoon dilengkapi persenjataan, antaranya peluru berpandu BGM-109 Tomahawk, peluru berpandu antipesawat RIM-66 SM-2 dan torpedo antikapal selam Mk 46.

Lain-lain kapal tentera laut asing yang hadir ialah frigat RSS Steadfast dari Tentera Laut Republik Singapura (RSN), HMAS Parramatta dan HMAS Marryborough (Australia), INS Sahyadri (India) dan UMAS Bayintnaung (Myanmar).

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menghantar 12 kapal perang termasuk KD Jebat, KD Terengganu, KD Laksamana Tun Abd. Jamil dan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

Pada LIMA '13, sebanyak 421 syarikat dari 29 buah negara termasuk Malaysia akan memeriahkan pameran tersebut berbanding 403 syarikat dua tahun lalu termasuk penyertaan 231 syarikat tempatan.

Kehebatan LIMA '13 dijangka menarik lebih 40,000 pelawat perdagangan dan lebih 120,000 pelawat awam sepanjang lima hari pameran itu berlangsung.

Difahamkan, sebanyak enam perjanjian persefahaman (MoU) yang melibatkan pembelian aset yang setiap satu bernilai antara RM20 juta hingga RM50 juta juga bakal ditandatangani.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved