Isnin, 25 Mac 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Jovian cetus inspirasi coklat

Posted:

Jovian cetus inspirasi coklat

Jovian cetus inspirasi coklat

Oleh ALIF ABU BAKAR dan HAFIZ AHMAD

BUSANA anggun yang menggunakan 30 peratus coklat menjelaskan sisi kreatif Jovian menghasilkan karya avant garde.


SEPANJANG enam tahun berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, Jovian Mandagie sering mencabar diri menghasilkan rekaan di luar pemikiran normal. Bagaimanapun, tidak pernah sekali terlintas dalam akalnya menghasilkan persalinan berasaskan coklat.

Apabila dihampiri pihak jenama aiskrim Magnum, Jovian pantas menyambar tugas tersebut. Beliau yakin kerjasama itu bakal memecahkan tradisi fesyen tempatan dan menjadi langkah baharu kepadanya secara peribadi.

"Bekerja dengan coklat sangat mengujakan. Saya mampu membentuk siluet yang mustahil diolah pada fabrik kerana ia dibentuk ketika cair. Saya turut bekerjasama dengan pakar coklat antarabangsa iaitu Chef Christophe Morel dibantu pakar pastri daripada Akademi Seni Pastri Malaysia.

"Namun saya tidak melekatkan coklat kepada fabrik. Bagi dua dres yang merangkumi 30 peratus coklat, hanya beberapa bahagian baju seperti reben dan lengkungan pada bahagian belakang dibuat daripada coklat.

"Bagi 10 busana yang 100 peratus menggunakan fabrik seperti les Perancis, satin duchess dan sutera sifon, saya tambahkan aksesori seperti anting-anting bersalut coklat," jelas Jovian ketika ditemui Stailo di butiknya yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Daripada keseluruhan 14 rekaan Jovian bagi Koleksi Magnum Chocolatier, hanya dua dibentuk menggunakan 100 peratus coklat Belgium asli. Difahamkan, sebanyak 250 kilogram coklat digunakan dengan memakan masa selama 300 jam bagi merealisasikan rekaan imaginasi Jovian tersebut.

KREDIBILITI Jovian sebagai pereka fesyen disegani terus unggul melalui penciptaan adibusana coklat istimewa bersempena pelancaran produk baharu Magnum.


Masih praktikal

Menurut Jovian, meskipun gabungan fesyen dan coklat mampu mencetuskan sesuatu yang seksi dan sensual, seseorang pereka masih perlu mempertimbangkan logik rekaannya. Kreativiti bukan tiket untuk mencorakkan rekaan rumit tersebut membentuk busana merapu tanpa mesej jelas.

Apa jua fabrik yang digunakan, sama ada kain atau bahan seperti coklat, pakaian yang dihasilkan perlu berpaksikan asas semua pakaian iaitu praktikal!

Inspirasi

"Saya banyak bermain dengan unsur magis, mistik dan misteri untuk koleksi Magnum ini. Ia bertepatan dengan rekaan berasaskan coklat yang sering dikaitkan dengan elemen fantasi.

"Aksesori bersalut coklat pula saya ilhamkan daripada tekstur koko. Begitu juga dengan pemilihan warna, saya padankan rona asli coklat bersama palet emas, ungu, champagne dan merah jambu pudar," jelas Jovian.

Ketika tirai hitam dilabuhkan di satu sudut ruang hotel, kelihatan dua patung lengkap digayakan dengan adibusana penuh dramatik. Tepukan gemuruh menggegarkan ruang legar dewan utama Hotel Westin Kuala Lumpur kerana kekaguman melihat kreativiti di luar jangkaan seorang pereka biasa.

Segala pujian menggunung yang diterima turut dikongsi bersama dengan para pekerja serta tenaga profesional yang bertungkus-lumus selama berbulan lama untuk menghasilkan karya agung itu.

"Rasa kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi kerana segala usaha dan penat lelah dapat direalisasikan dengan jayanya," kongsi Jovian usai acara pertunjukan fesyen.

Menceritakan kembali saat-saat di belakang pentas, Jovian menzahirkan rasa kelegaan kerana tiada sebarang masalah atau kesilapan yang berlaku terutama ketika menyarungkan busana coklat tersebut.

"Tidak ada sebarang kerosakan kepada busana kerana ia dicipta oleh individu yang mempunyai kepakaran tinggi dalam pembuatan coklat.

"Pakar tersebut telah diterbangkan khas dari Perancis bersama-sama tenaga kerja tempatan semasa proses pembuatan busana dan aksesori untuk koleksi istimewa ini," jelas Jovian.


SELEKSI 10 busana koleksi Magnum Chocolatier mengambil masa selama 300 jam untuk dihasilkan.


Profil gah Jovian

Nama Jovian sememangnya sudah sebaris dengan pereka ternama lain. Beliau terkenal dengan rekaan menggabungkan ciri-ciri nusantara yakni Malaysia dan Indonesia. Namun, graduan Universiti Limkokwing itu melonjakkan profilnya ke tahap lebih tinggi melalui ciptaan adibusana coklat bersama Magnum.

Bakat seni Jovian tidak terhad dalam dunia fesyen sahaja kerana anak kelahiran Indonesia dan membesar di Malaysia itu turut mempertaruhkan kehebatan sebagai pengacara program berbentuk persiapan perkahwinan, Mahligai Cinta yang kini telah memasuki musim ke lima.

Keindahan rekaan Jovian tidak terhad kepada busana ribuan ringgit kerana dia turut mengeluarkan koleksi mampu milik melalui kerjasama butik jualan pakaian secara dalam talian, Zalora dan gedung pakaian butik First Lady.

Koleksi muslimah pertama yang dikeluarkan pada perayaan Aidilfitri mendapat sambutan menggalakkan sehingga ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Pernyataan feminisme moden

Posted:

Pernyataan feminisme moden

Pernyataan feminisme moden

SERLAHKAN keyakinan dengan padanan skirt pensel dan corak abstrak.


WANITA yang mementingkan penampilan luaran saat melangkah keluar dari pintu rumah menjadi inspirasi kepada pereka prolifik negara, Datuk Bernard Chandaran untuk koleksi musim luruh/sejuk 2013.

Setiap aura keyakinan, feminin dan sofistikated bersatu membentuk perwatakan secara semula jadi. Keupayaan seseorang wanita mengolah gaya dari segi pilihan pakaian sehingga kepada menyuaipadan aksesori membantu menonjolkan penampilan menarik.

"Koleksi kali ini mengangkat kelompok wanita yang menghargai kecantikan mereka dan yang tahu bagaimana menunjukkan kejelitaan tersebut," ujar Bernard.

Jaket singkat menjadi antara item hangat untuk digayakan. Penggunaan stail signatur seperti reka bentuk kepompong yang diperbaharui turut mencerminkan kreativiti Bernard.

Variasi dres

Pilihan turut diluaskan kepada pakaian berupa skirt pendek paras lutut dan seluar tapered iaitu celana panjang yang dipakai sedikit tinggi daripada pinggang, mengembang seperti belon di paha dan meruncing di buku lali.

Variasi dres kali ini pula sesuai digayakan wanita berani yang mahukan penampilan seksi. Dres yang mendedahkan belakang tubuh dihasilkan dengan kolar berganda mengikut bentuk leher.

REKAAN dres terdedah di bahagian belakang.


Sesetengah busana bercetak Bernard sesuai digayakan wanita korporat. Mereka yang bergaya ke pejabat dalam persalinan itu pasti menangkap pandangan rakan sepejabat dengan mudah.

Bagi acara malam, sarungkan dres tiga rona yang menggabungkan jingga, biru dan hijau. Paduan warna dan material pakaian itu mencipta gaya elegan dan mewah kepada si pemakai.

Mereka yang sukakan rona gelap, kekalkan sisi misteri anda dengan persalinan serba hitam. Jaket yang boleh dipadankan dengan skirt atau seluar panjang tersebut akan memperlihatkan ketegasan anda yang tidak gentar terhadap sebarang cabaran.

Fabrik dengan cetakan istimewa menjadi antara material yang digunakan Bernard untuk koleksi musim ini. Ia turut merangkumi penggunaan sutera, sutera mikado, bulu, organza, lurex, renda dan potongan kulit.

Sementara itu, Bernard selesa memilih rona-rona ringkas seperti hitam, hijau, biru, merah dan emas.

Sumber alam untuk kecantikan

Posted:

Sumber alam untuk kecantikan

Sumber alam untuk kecantikan


BAHAN semula jadi seperti lidah buaya dan bunga mawar sentiasa menjadi kandungan utama dalam penghasilan produk kecantikan.


KEBAIKAN sumber alam semula jadi telah dipraktikkan dalam rejim kecantikan sejak turun temurun. Ia diperakui secara lisan melalui petua-petua orang terdahulu, malah kini manfaatnya dipertingkatkan dengan kecanggihan teknologi. Terdapat banyak produk kecantikan yang berada di pasaran menggunakan bahan semula jadi sebagai ramuan utama.

Salah satu sumber alam yang sering digunakan dalam produk kecantikan ialah daun lidah buaya. Ia mempunyai kepekatan nutrien yang tinggi selain lengkap dengan kandungan air, vitamin dan lebih 20 bahan mineral. Ia memberi manfaat berkesan dalam perawatan wajah.

Gel yang terdapat dalam lidah buaya sebagai contoh mampu menghilangkan jerawat di samping memutih, menghalus dan melembapkan kulit wajah.

Bagi mereka yang ingin merasai kebaikan lidah buaya, campurkan ekstrak tumbuhan tersebut bersama air mawar dan oleskan ke seluruh muka selama 10 hingga 20 minit. Anda dapat melihat hasilnya melalui amalan secara tetap iaitu seminggu sekali. Atau, jika mahukan ramuan yang lebih mudah gunakan produk Gel First Aid Beauty (FAB) Aloe + Soothing yang diperkaya dengan bahan lidah buaya. Ia juga dapat membantu kulit terbakar akibat sinaran mentari secara berterusan.

Antioksida

Khasiat yang terdapat dalam daun teh melangkaui kesihatan tubuh. Kebaikan meminum teh boleh membantu kesegaran kulit wajah kerana mempunyai antioksidan yang tinggi. Selain itu, teh hitam mampu menangani masalah sakit jantung, barah dan melambatkan proses penuaan.

Sementara itu, campuran teh hitam yang telah dihancurkan bersama krim pelembap boleh dijadikan pupur dengan menyapu rata ke seluruh kulit wajah. Amalan itu menjadikan kulit mulus kerana kandungan antioksida dan vitamin E membantu menanggalkan sel kulit mati. Mineral yang meresap ke dalam kulit akan melancarkan perjalanan darah dan memberi kesan kepada kulit sihat dan berseri.

Manfaat campuran teh itu diperakui label Fresh yang memasarkannya menjadi produk Black Tea Instant Perfecting Mask yang memberi kebaikan kepada kulit wajah. Ia turut mempunyai campuran ekstrak biji buah laici yang meningkatkan kolagen wajah.


ANTIOKSIDAN yang terdapat dalam teh hitam membantu mengekalkan kesegaran wajah.


Selain itu, air mawar yang diambil daripada kelopak-kelopak bunga ros sering dijadikan bahan pelembap kepada kulit wajah. Kebaikan bunga itu telah digunakan sejak kurun ke-10 melalui penjualan sulingan air mawar sebagai bahan dagangan orang Parsi.

Selain itu, ia mempunyai sifat antiradang yang merawat iritasi kulit. Air mawar memiliki efek penenang yang boleh mengubati masalah stres, ketegangan saraf dan penyakit jantung. Produk Fresh memperkenalkan pencuci wajah menggunakan bunga mawar iaitu Rose Cleasing Foam yang mampu melembapkan wajah selama enam jam. Formula bebas sabun ini menggunakan air mawar asli untuk menghasilkan kompleksi kulit yang segar.

Tanpa disedari, gula perang sangat berguna kepada kulit terutamanya sebagai bahan pelulur. Ia kaya dengan vitamin B yang mampu merawat dan melindungi kulit daripada cahaya matahari dan masalah pencemaran lain. Ia bukan sahaja menjadi bahan pelembap malah mengekalkan tahap kelembutan kulit.

Jika ingin mencuba rawatan lulur di rumah, ambil tiga sudu gula perang dan sedikit minyak zaitun sehingga menjadi satu sebatian. Ratakan ke seluruh badan dan wajah selama 10 hingga 15 minit. Gosokan semasa proses pembersihan dapat mengecilkan pori-pori yang memerangkap minyak dan kotoran.

Basuh badan dengan air suam dan sapukan krim pelembap untuk mengembalikan kesegaran kulit. Mahukan kesan yang lebih baik, dapatkan produk Sugar Crush Body Scrub yang mengandungi ramuan limau, minyak kacang badam dan bijiran macadamia.

Kesemua produk boleh dibeli di butik-butik Sephora di seluruh negara. - HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved