Isnin, 25 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Natasha sedia dikritik

Posted:

Natasha sedia dikritik

Natasha sedia dikritik

FIGURA jelita ini nekad melakonkan karakter Amanda dalam filem Langgar kerana baginya karakter itu tidak klise.


LANGGAR, sebuah lagi filem aksi yang bakal menyajikan kualiti lakonan aktor kelahiran Singapura, Adi Putra di samping barisan aktor tempatan berbakat besar antaranya Nam Ron, Hans Isaac, Khir Rahman, Zul Huzaimy dan Natasha Hudson.

Terselit antara pelakon-pelakon lelaki dalam sebuah filem yang menuntut banyak aksi atau babak intim, Natasha juga tidak terkecuali.

Menerusi tayangan awal sedutan 10 minit daripada filem Langgar yang bakal memasuki pawagam seluruh negara menjelang 11 April nanti, salah satu babaknya melibatkan aksi Natasha bersama Nam Ron yang diraba, dipegang dan dipukul di dalam sebuah kelab malam.

Hadir sama ketika sesi tayangan dan pelancaran filem itu di Restoran Carne y Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Natasha sekadar tersenyum menyaksikan babak terbabit.

Kata Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 31, dia tidak malu untuk menyaksikan lakonannya sedemikian dan perlu profesional terhadap kerjayanya.

"Ramai orang mengetahui perjalanan karier saya dan saya seorang yang profesional dalam menangani situasi begini. Insya-Allah peminat akan memahami keadaan dan kerja saya.

NATASHA HUDSON dan Adi Putra merupakan dua pelakon watak penting dalam filem Langgar.


"Saya tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan kerja saya kerana penggambaran filem ini berlaku sebelum saya berhijrah. Ini sebahagian daripada kehidupan saya sebelum ini.

"Babak itu agak kasar sebenarnya tapi saya tegaskan tiada elemen seksual pun cuma terdapat beberapa unsur ganas. Saya sedia menerima kritikan dan saya telah meletakkan sepenuh usaha saya untuk menjayakan watak itu, sudah pasti saya pun mahu menyaksikan kualiti lakonan saya," ujarnya yang baru pertama kali menyaksikan babak tersebut pada sesi tayangan tersebut.

Gadis liar

Natasha menjayakan watak Amanda, seorang bekas penagih dadah dan gadis yang dijumpai oleh Radzi (Nam Ron) kemudian dia dipaksa terlibat dengan bisnes haram sebelum bertemu dengan Nizam (Adi Putra) yang cuba menyelamatkannya.

Memilih untuk menerima tawaran berlakon filem Langgar, kata Natasha, dia sendiri mahu menguji keupayaan membawakan karakter yang tidak klise berbanding sebelum ini.

"Banyak misteri dalam cerita ini sebenarnya dan saya seronok berlakon bersama Nam Ron biarpun baru kali pertama.

"Saya menerima tawaran filem ini kerana watak Amanda. Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam filem aksi yang mempunyai jalan cerita yang menarik dan watak tidak klise," ujarnya.

ANAK kesayangan Natasha, Neesa Helena turut menemani ibunya pada majlis sidang akhbar filem Langgar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Melihatkan kesungguhan dan kelainan watak Amanda lakonan Natasha, pelakon filem Chermin itu mengakui dia membenarkan Nam Ron benar-benar memukulnya.

"Pukul tipu tidak akan memberikan mood yang sebenar dan saya meminta supaya Nam Ron memukul saya betul-betul.

"Sampaikan meninggalkan kesan lebam pada bahagian dahi dan muka kerana terkena cincin yang dipakainya. Tapi saya seronok kerana aksi betul-betul dipukul itu menyalurkan perasaan untuk memberikan yang terbaik," jelas pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.

Langgar mengisahkan Nizam yang ingin menuntut bela atas kematian isteri dan anaknya akibat dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan gengster.

Akhirnya, seorang demi seorang dibunuh oleh Nizam dengan bantuan Radzi demi mencari pembunuh keluarganya. Dalam masa sama Nizam secara tidak langsung terbabit dengan bisnes kelab malam, dadah dan pinjaman tanpa lesen yang diuruskan oleh Radzi.

Suami memahami

Ditanya mengenai respons suaminya apabila menyaksikan filem tersebut kelak, jawab Natasha suaminya yang merupakan seorang penyanyi hip hop, Carleed Khaza memahami situasi berkenaan dan tanggungjawab Natasha.

"Dia (Carleed) sangat memahami dan kami memahami kerja masing-masing. Susahlah kalau tiada persefahaman dan kami tiada kuasa untuk menghentikan apa-apa contohnya penayangan filem ini.

"Saya tidak takut untuk berdepan dengan kemungkinan selepas ini kerana hati saya tahu apa yang saya rasa. Tapi saya melihat situasi ini dalam perspektif berbeza dan meletakkan diri sebagai seorang pelakon yang ghairah terhadap kerjaya saya," katanya yang tidak akan berlakon babak sedemikian selepas ini.

Didie jadi Lady Didie

Posted:

Didie jadi Lady Didie

Didie jadi Lady Didie

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

DIDIE kini mengorak langkah menjadi penyanyi.


SEBELUM ini pelakon, pelawak dan pengacara Didie Alias cukup dikenali ramai sebagai Lady Gaga Malaysia, lantaran imej pelik yang sering ditampilkannya ketika menghadiri sebarang acara hiburan.

Biarpun ada yang cuba mempertikaikan imej selebriti yang sudah menjangkau usia 39 tahun itu, namun ia bukanlah penghalang buat Didie untuk terus mengekalkan penampilan sedemikian.

Baru-baru ini, selebriti yang mula dikenali ketika membintangi filem Kanta Serigala di samping aktor berwibawa, Faizal Hussein pada tahun 1991 itu melangkah setapak lagi apabila mula berkecimpung dalam dunia nyanyian pula.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran single pertamanya berjudul Ping! dengan kolaborasi bersama kumpulan Max 24:7 di Medan Ikan Bakar Indah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Didie mendedahkan impiannya untuk menjadi seorang artis yang serba boleh.

Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit tentang pembabitan Didie dalam nyanyian?

DIDIE: Ia merupakan satu bidang yang baharu untuk saya cuba ceburi, tetapi saya bukanlah mahu serius menyanyi sehingga mahu bertanding dalam Anugerah Juara Lagu kerana ia lebih kepada suka-suka.

Bagaimanakah pula Didie boleh berkolaborasi dengan kumpulan Max 24:7 menerusi lagu Ping! ini?

Sebenarnya saya sudah lama mengenali ahli kumpulan ini dan saya nampak bakat yang ada pada mereka. Jadi, saya merasakan agak rugi sekiranya bakat mereka tidak diketengahkan setelah menghadapi masalah dengan pihak pengurusan lama.

Mengenai lagu Ping! pula liriknya dihasilkan saya sendiri dan idea timbul setelah melihat semakin ramai orang yang menggunakan telefon bimbit. Genre lagu ini lebih menjurus kepada elemen dance music dan saya kini mahu dikenali sebagai Lady Didie.


KUMPULAN Max 24:7 berkolaborasi dengan Didie menerusi single berjudul, Ping!.


Apakah komen Didie apabila dikaitkan dengan konflik yang timbul antara kumpulan Max 24:7 dengan pihak pengurusan lama mereka iaitu Aesar Mustafa Studio?

Saya ingin tegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh kumpulan itu untuk keluar daripada Aesar Mustafa Studio dan menubuhkan syarikat pengurusan baharu iaitu Max Twenty Four Seven Events merupakan keputusan yang mereka buat sendiri.

Sebelum ini, mereka sudah banyak kali meluahkan kepada saya dengan menyatakan, mereka seolah-olah diabaikan apabila pihak pengurusan seperti mahu lepas tangan dan tidak bersungguh-sungguh untuk mengembangkan karier nyanyian mereka.

Setelah menceburkan diri dalam nyanyian, apakah lagi yang ingin Didie capai dalam dunia seni?

Sudah tentu saya ingin menjadi seorang artis serba boleh yang jarang dilakukan oleh artis lain seperti bergelar seorang pelakon, penyanyi, pengacara, pelawak dan penari. Pada masa yang sama, saya sangat berharap agar mempunyai rancangan bual bicara sendiri yang diberi nama Lady Didie In The House. Seboleh-bolehnya saya mahu jadi terkenal seperti Oprah Winfrey dalam bidang pengacaraan.

Apakah projek terbaharu Didie pada masa terdekat ini?

Pada hujung bulan Mac ini saya akan menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bersama Randy Pangalila. Selain itu, saya lebih banyak menumpukan kepada tawaran menjadi pengacara sesebuah majlis.

Kembara fantasi M. Nasir

Posted:

Kembara fantasi M. Nasir

Kembara fantasi M. Nasir

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


M. NASIR bersama Bombay (dua dari kanan), Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan barisan penaja Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 7 hingga 9 Jun ini.


BUKAN sekali, namun dua kali karyawan seni berwibawa Datuk M. Nasir diberi kepercayaan mengadakan konsert di pentas berprestij Istana Budaya.

Kali terakhir komposer, penulis lirik, penyanyi dan pelakon terkenal ini mengadakan konsert di Istana Budaya adalah empat tahun lalu yang diberi nama Konsert Alam Muzik.

Kali ini, dengan sambutan yang menggalakkan terhadap konsertnya yang lepas, M. Nasir kembali dengan konsert solo baharu pada tahun 2013 yang dikenali sebagai M. Nasir Sang Pencinta.

Konsert yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini di Panggung Sari dibawakan oleh Bombay Worldwide.

Ia juga mendapat kerjasama dan sokongan Red On Black, Belbis dan pihak Istana Budaya sendiri.

Apa yang menariknya, tidak seperti konsert solonya yang lain, M. Nasir bakal menampilkan kelainan dengan dijadualkan membawa penonton konsert itu nanti ke alam maya M. Nasir yang menyentuh jiwa.

"Konsert M. Nasir kali ini akan digabungkan dengan elemen fantasi yang mana kami akan membawa peminat mengembara bersama M. Nasir selama beberapa dekad dia bergelar penyanyi.

"Ia juga akan menjadi seperti semi-muzikal yang mana kami akan gunakan elemen visual dan audio untuk menyelam dan menjiwai karya M. Nasir yang akan dipersembahkan olehnya kelak," ujar peneraju Bombay Worldwide , Zamberi Shaari pada sidang akhbar di Restoran Istana Bambu, Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Selain itu, kumpulan muzik yang mengiringi konsert M. Nasir kelak ialah gabungan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), kumpulan muzik gamelan dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dengan Aznan Alias sebagai pengarah muzik.

Tutur M. Nasir pula, pada konsert kali ini, dia akan membuat persembahan solo sepenuhnya dan tidak turut menampilkan artis lain atau kumpulan yang dianggotainya suatu ketika dahulu iaitu Kembara.

"Konsert kali ini sememangnya akan membawa kelainan dan serta pembaharuan di mana saya boleh katakan ia sangat berbaloi untuk ditonton. Tentang lagu pula, saya akan gabungkan lagu lama dan baharu.

"Lagu-lagu yang dipilih juga akan mempunyai elemen pengembaraan," jelas M. Nasir yang turut akan berlakon dalam persembahannya kelak.

Tambahnya, dia memilih judul pencinta kerana mahu orang faham dengan apa yang dipaparkan. Ia juga lebih kepada kerohanian tentang diri manusia.

Sebanyak lebih 20 buah lagu yang bakal didendangkan oleh komposer, penulis lirik dan penyanyi terkenal ini yang dianggarkan berdurasi selama lebih dua jam.

Dengan itu, M. Nasir sendiri berharap akan dapat memberi ilmu kepada golongan muda mudi yang hadir menonton konsert ini kerana katanya ia merupakan pengalaman yang tidak akan didapati di tempat lain.

Justeru, bagi peminat M. Nasir yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan Sang Pencinta, boleh layari laman www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03- 4147 8600. Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved