Khamis, 28 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Perry lebur impian Wee Wern

Posted:

Perry lebur impian Wee Wern

Perry lebur impian Wee Wern

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

WEE WERN (kanan) terpaksa melupakan impian untuk mara ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013.


BINTANG skuasy negara, Low Wee Wern terpaksa melupakan impian untuk mara ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013.

Wee Wern gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 12-10,7-11,8-11,11-8,11-4 kepada Medeline Perry dalam tempoh 96 minit.

Lebih malang, Wee Wern terpaksa bermain dalam kesakitan akibat mengalami kekejangan pada kaki kiri sejak memasuki set ketiga perlawanan.

"Perry seorang pemain yang berpengalaman dan dia berjaya menafaatkan setiap peluang yang ada," kata Wee Wern yang masih berada dalam kesakitan ketika ditemui pemberita.

"Mungkin tempoh perlawanan yang panjang menyebabkan kaki saya mengalami kekejangan dan saya akui agak kecewa."

Sementara itu, pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David menepati ramalan apabila mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan pemain dari Mesir, Omneya Abdel Kawy.

Nicol melakar kemenangan dengan 11-9,11-7,11-8 dalam aksi yang mengambil masa selama 48 minit.

"Seumpama perlawanan akhir. Dia (Omneya) langsung tidak memberi laluan mudah kepada saya untuk mengutip mata dan apabila ia berlaku, ia cukup hampir," ujar pemain dari Pulau Pinang itu.

Untuk aksi suku akhir di gelanggang kaca di Berjaya Times Square hari ini, Nicol nyata tidak sabar beraksi di venue baharu itu.

"Saya menjangkakan penonton akan ramai hadir menyaksikan perlawanan di situ esok (hari ini). Saya sendiri, tidak sabar bersaing di tempat baharu," tambah Nicol.

Rajagobal fokus Piala Asia 2015

Posted:

Rajagobal fokus Piala Asia 2015

Rajagobal fokus Piala Asia 2015

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (tengah) bakal disiasat mengikut Artikel 88 Statut FAM selepas mengkritik saingan Liga Malaysia.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal 'mengunci mulut' berhubung kontroversi yang melanda dirinya.

Rajagobal bakal disiasat mengikut Artikel 88 Statut FAM selepas mengkritik saingan Liga Malaysia (Liga M) sejurus menyaksikan skuad negara tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.

Bekas jurulatih Selangor itu didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai lambakan penyerang import antara punca skuad negara tidak memiliki penyerang tempatan berwibawa.

Rajagobal berkata, beliau lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada persiapan skuad kendaliannya bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2015.

Begitupun, pengendali berusia 57 tahun itu tetap tenang kerana beliau masih belum menerima sebarang surat pertuduhan dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak boleh memberikan sebarang komen kerana saya masih tidak menerima surat (pertuduhan dari FAM).

"Buat masa ini, saya hanya mahu menumpukan persiapan skuad negara berbanding isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan, Rajagobal dijangka berdepan hukuman sama ada direhatkan atau dipecat daripada mengendalikan Harimau Malaya selepas didakwa mengkritik Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak mengesahkan bahawa ketua jurulatih skuad negara itu akan disiasat mengikut Artikel 88 berdasarkan kenyataan tersebut.

Katanya, surat pertuduhan akan dikemukakan kepada Rajagobal selewat-lewatnya pada minggu depan.

Sekiranya didapati bersalah, Rajagobal dijangka akan dipecat atau direhatkan oleh FAM yang mana beliau tidak akan dapat mengemudi skuad kendaliannya masih beraksi dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Antara yang pernah berdepan hukuman atas kesalahan melanggar Artikel 88 termasuk Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Skrip yang sama juga pernah menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan yang digantung mengikut artikel berkenaan ekoran mengkritik saingan liga tempatan pada 2009.

Untuk rekod, Harimau Malaya yang tunduk 0-2 kepada Qatar di Doha (6 Februari lalu) dan menang 2-1 terhadap Yemen di Stadium Shah Alam (22 Mac lalu) berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengutip tiga mata.

Skuad negara bakal berdepan Bahrain di laman sendiri untuk aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober depan.

Boon Huat optimis

Posted:

Boon Huat optimis

Boon Huat optimis

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

BOON HUAT yakin KLHC masih memiliki segala ramuan untuk bergelar juara berganda pada musim ini.


PENYERANG kebangsaan, Chua Boon Huat optimis Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berada di landasan yang tepat untuk mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia Tenaga Nasional Berhad (TNBMHL) 2013.

Boon Huat, 32, menyuarakan keyakinan itu selepas KLHC berjaya mengumpul empat mata daripada dua perlawanan setakat ini.

Boon Huat berkata, KLHC masih memiliki segala ramuan untuk bergelar juara berganda musim ini walaupun mereka bukan lagi disebut-sebut antara pasukan pilihan akibat penghijrahan beramai-ramai pemain bintang bagi menyertai pasukan baharu dalam Liga Perdana, Terengganu Hockey Team (Terengganu HT).

"Apabila berlaku perpindahan terlalu ramai pemain sebelum musim bermula, ramai berpendapat bahawa malapetaka bakal menanti KLHC.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan tidak panik dan mereka membuat satu perubahan drastik bagi membawa masuk enam pemain import yang sangat membantu dalam usaha kami untuk mengekalkan kejuaraan musim ini," kata Boon Huat.

Boon Huat berkata, pemilihan enam pemain import itu sangat tepat kerana mereka memiliki pengalaman serta gaya permainan yang sangat baik untuk membantu KLHC bersaing dalam TNBMHL musim ini.

Jelasnya, KLHC kehilangan enam tonggak kebangsaan yang berhijrah ke Terengganu HT yang diketuai oleh Mohd. Shahrun Nabil, Tengku Ahmad Tajuddin, Azlan Misron, Ismail Abu, Mohd. Ameerullah Aziz dan Fitri Saari.

"Bagi mengisi kekosongan itu, kami membawa masuk enam pemain import. Lima daripadanya adalah pemain kebangsaan Pakistan seperti Muhammad Imran, Waseem Ahmad, Fareed Ahmad, Muhammad Umar Bhutta dan Akhtar Ali manakala seorang lagi adalah pemain kebangsaan Australia, Tim Deavin," jelas Boon Huat.

Sementara itu, KLHC bermula garang dalam perlawanan pembukaan TNBMHL minggu lalu apabila mereka membelasah pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 5-0.

Untuk perlawanan kedua pula mereka terikat 3-3 dengan TNB yang juga merupakan aksi Piala Sumbangsih 2013 dan perlawanan itu telah dimenangi TNB 3-2 menerusi pukulan penalti.

Hujung minggu ini, tugas berat menanti KLHC apabila terpaksa berhadapan dengan pendahulu liga ketika ini, Maybank pada hari Jumaat kemudian mereka akan bertandang ke Ipoh bagi membuat perhitungan dengan Nur Insafi Warriors.

"Maybank membuat satu permulaan terbaik setakat dua perlawanan ini dan empat pemain import mereka dari Pakistan juga memainkan peranan sangat besar buat pasukan itu.

"Kami perlu berhati-hati dalam perlawanan itu nanti dan dua tonggak mereka, Shafqat Rasool dan Shakeel Abbasi perlu dirantai bagi membolehkan jentera tengah Maybank gagal berfungsi dengan baik dalam perlawanan itu nanti," kata Boon Huat yang telah bermain bersama KLHC sejak 2003 yang ketika itu dikenali sebagai Ernst & Young.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved