Jumaat, 22 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Peluang kembali terbuka

Posted:

Peluang kembali terbuka

Peluang kembali terbuka

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PENJAGA gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat (tiga dari kanan) berjaya menyelamatkan gawangnya daripada diasak pemain Yemen pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam tadi. Malaysia menang 2-1 pada perlawanan Kumpulan D itu.


MALAYSIA menghidupkan sisa-sisa peluang apabila mengatasi Yemen dengan kemenangan tipis 2-1 dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga aksi antarabangsa selepas tersingkir pada separuh akhir Piala AFF Suzuki di tangan Thailand tahun lalu.

Untuk rekod, skuad negara tewas 0-3 dan 1-4 kepada Iraq dan Arab Saudi dalam aksi persahabatan sebelum ini termasuk tumpas 0-2 kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai kumpulan di Doha, bulan lalu.

Pada aksi semalam, Harimau Malaya terlebih dulu mengasak seawal minit kedua namun hantaran jarak jauh kapten pasukan, Safiq Rahim gagal dibaca Amri Yahyah.

Tersentak dengan asakan itu, pasukan pelawat kembali mengatur gerakan akhirnya berjaya memecah kebuntuan selepas rembatan Aiman Saleh Al-Hagri terus melepasi jangkauan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.

Di sinilah malapetaka skuad negara bermula. Anak-anak buah Rajagobal dilihat mula kehilangan konsentrasi sebaik ketinggalan, mujurlah kecemerlangan Khairul Fahmi menggagalkan beberapa percubaan merbahaya penyerang Yemen selepas itu meredakan perasaan cemas lebih 10,000 penyokong tuan rumah.

Begitupun, pemain sayap negara, Azamuddin Akil akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila mudah menolak masuk hasil kelam-kabut di depan pintu gol Yemen pada minit ke-26.

Jaringan penyamaan itu jelas menyuntik semangat juang Harimau Malaya yang kembali garang mengasak, namun beberapa percubaan merbahaya berjaya dipatahkan penjaga gol Yemen, Saleem Abdullah Saeed.

Peluang terbaik skuad negara menggandakan kelebihan hadir sebanyak dua kali pada minit ke-31 dan 42 namun percubaan Mohamad Fadhli Shas dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditepis Saleem Abdullah.

Yemen yang sekali-sekala mengasak sekali lagi dilihat berbahaya menerusi pergerakan Aiman Saleh dan kapten, Akram Hamood Al-Wrafi namun percubaan mereka berjaya dibaca Khairul Fahmi.

Keputusan pengadil dari Australia, Peter Green yang tidak memberikan sepakan penalti biarpun bola dilihat terkena tangan pemain pertahanan Yemen, Abdul Aziz Mohammed Al-Gumaei juga mengecewakan penyokong tuan rumah.

Keghairahan kedua-dua pasukan berbalas serangan sepanjang babak kedua juga gagal menepati sasaran.

Penyerang 'semula jadi' Norshahrul atau Mat Yo juga dilihat individu yang paling kecewa atas padang apabila beberapa kali mensia-siakan peluang keemasan menambah jaringan.

Percaturan Rajagobal membawa masuk pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri akhirnya menjadi apabila penyerang itu tenang menanduk masuk hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor untuk gol kemenangan Harimau Malaya pada minit ke-79.

Selepas ini, Harimau Malaya bakal membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Shah Alam (15 Oktober) sebelum berdepan lawan sama di tempat lawan pada 15 November depan.

Raikkonen catat masa terpantas

Posted:

Raikkonen catat masa terpantas

Raikkonen catat masa terpantas


RAIKKONEN membuktikan kehebatannya apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas GP Malaysia di Litar Sepang semalam.


BEKAS juara dunia, Kimi Raikkonen merakam masa terpantas dengan jentera Lotus F1 pada sesi latihan kedua perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia 2013 di Litar Sepang semalam.

Dalam keadaan separuh litar basah ekoran hujan selama lima minit sebelum sesi semalam berakhir, pemandu Finland itu mencatat masa satu minit 36.569 saat pada pusingan ke-28 dalam sesi selama 90 minit itu.

Pencapaian itu sekali gus meningkatkan keyakinan pelumba berusia 33 tahun itu untuk memburu gelaran kedua musim ini setelah mengungguli perlumbaan pembuka tirai pada Grand Prix Australia di Melbourne, minggu lepas.

Ketinggalan 0.109 saat di belakang Raikkonen, ialah pemandu pasukan Infiniti Red Bull Racing, Sebastian Vettel dari Jerman diikuti Felipe Massa (1:36.661s) dari pasukan Scuderia Ferrari.

Tempat keempat disandang oleh rakan Massa, Fernando Alonso dengan catatan 1:36.985s dan pemandu terpantas sesi pertama, Mark Webber dari Infiniti Red Bull Racing yang mencatatkan masa kelima terpantas dengan 1:37.026s.

"Saya fikir, ia agak luar biasa hari ini (semalam) apabila pada sesi kedua, sebahagian daripada trek basah dan sebahagian lagi kering, tetapi semuanya kering dengan cepat. Kami tidak dapat melakukan banyak perkara kerana cuaca.

"Pada sebelah pagi, semua nampak seperti biasa walaupun tayar tidak tahan lama. Kami perlu mencuba beberapa perkara lagi untuk memperbaiki jentera dan melangkah setapak lagi," kata Raikkonen, juara dunia musim 2007 itu.

Dalam pada itu, Webber berkata, sesi latihan itu berjalan lancar tetapi mereka perlu memperbaiki beberapa perkara lagi bagi mencari rentak.

"Tayar masih merupakan masalah utama," katanya.

Sementara itu, pemandu pasukan Caterham F1 Team, Charles Pic (Perancis) dan Giedo Van der Garde (Belanda) masing-masing mencatat masa ke-20 dan 21 terpantas dengan 1:40.757s dan 1:40.768s.

Indonesia goyah berdepan Malaysia

Posted:

Indonesia goyah berdepan Malaysia

Indonesia goyah berdepan Malaysia


MOHAMMAD AHSAN (kiri) tidak dapat beraksi dengan skuad Indonesia kerana meminta pelepasan untuk melangsungkan perkahwinan.


SURABAYA - Skuad Indonesia percaya pertemuan mereka dengan Malaysia dalam aksi ketiga Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 hari ini bakal menjadi penentu kepada pasukan yang akan menjadi pemimpin peringkat kumpulan pada pusingan awal minggu pertama.

Indonesia bagaikan semakin goyah untuk berhadapan dengan Malaysia apabila beberapa tonggak utama mereka, Sony Dwi Kuncoro dan Mohammad Ahsan tidak dapat beraksi pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM3.11 juta) itu.

Sony terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan, manakala Mohammad Ahsan memohon pelepasan kerana mahu melangsungkan perkahwinan pada minggu ini.

Jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bambang Roedyanto berkata: "Hampir separuh daripada pemain yang didaftarkan pada kejohanan ini tidak dapat beraksi atas masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Mereka yang boleh beraksi hanyalah pemain-pemain yang turun menentang Vietnam semalam (kelmarin) dan Singapura hari ini (semalam)."

"Hendra Setiawan, Muhammad Ahsan, Dionysius Hayom Rumbaka, Tontowi Ahmad, Liliyana Natsir, Lindaweni Fanetri merupakan antara pemain-pemain dalam skuad kebangsaan Indonesia yang diberikan tanggungjawab untuk beraksi pada pusingan awal selepas beraksi di Eropah baru-baru ini.

Begitupun, penangguhan jadual penerbangan membuatkan mereka tiba lewat di Surabaya pada pagi kelmarin.

Sementara itu, Bambang turut memberitahu bahawa ranking dunia yang dimiliki setiap pemain Indonesia dan Malaysia tidak akan menjadi pengukur buat kedua-dua pasukan itu.

"Ranking tidak memberikan apa-apa, semuanya bergantung kepada persembahan mereka pada hari perlawanan, dan bukan bergantung dengan apa yang tercatat dalam buku prestasi," tambahnya.

Setakat ini, Indonesia muncul sebagai pendahulu kumpulan setelah meraih mata penuh dalam dua aksi awal selepas menewaskan Vietnam dan Singapura 4-0.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved