Jumaat, 22 Mac 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Wanita tulang belakang kejayaan syarikat

Posted:

Wanita tulang belakang kejayaan syarikat

Wanita tulang belakang kejayaan syarikat

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

WANITA Intel. Dari kiri: Muniswary, Rokiyah, Su Mi, Siti Evana dan Norsiah mengakui seronok menjadi sebahagian daripada keluarga besar Intel.


PEPATAH lama ada mengatakan, 'tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia'. Ayat itu begitu sinonim untuk menunjukkan kehebatan seorang wanita dalam melaksanakan pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan sehari-hari.

Sama ada sebagai seorang isteri, anak, ibu atau pekerja, wanita membuktikan mereka mampu melakukannya. Dalam dunia serba moden hari ini, peranan kaum Hawa semakin meluas dan ia tidak terhad dengan tugasan di dapur semata-mata.

Perkara ini diakui oleh Pengarah Sumber Manusia Intel Malaysia, Suresh Chandra, yang mengatakan bahawa golongan wanita merupakan sebahagian daripada tulang belakang yang menyumbang kepada kejayaan syarikat tersebut.

"Di Intel, kami tidak pernah membezakan antara pekerja lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri untuk memajukan syarikat.

"Malah, kami turut menubuhkan satu organisasi, Women @ Intel Network (WIN) yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan dan perkembangan kerjaya golongan wanita di sini," ujar Suresh ketika ditemui sewaktu sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2013 anjuran Intel di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.

WIN merupakan satu organisasi aktif yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja termasuk dalam aspek pembangunan kerjaya, kesihatan dan kemasyarakatan.

Sejak ditubuhkan pada 2004, Intel melalui WIN telah mengambil kira-kira 1,700 pekerja wanita dalam pelbagai bidang tugas antaranya pentadbiran, pengeluaran, kejuruteraan, pemasaran dan promosi.

"Kami sentiasa komited untuk mencipta persekitaran kerja positif bagi melahirkan pekerja yang berdedikasi demi masa depan dan kelangsungan syarikat," ungkap Suresh sambil memberitahu daripada 9,000 pekerja di Intel Malaysia cawangan Bayan Lepas dan Kulim, Kedah, 41 peratus daripadanya terdiri daripada golongan wanita.

SALAH seorang kakitangan wanita mengambil peluang mewarna kuku sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa oleh Intel Malaysia.


Meraikan Hari Wanita

Sementara itu, sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, Intel Malaysia tidak ketinggalan meraikan kakitangan mereka.

Memilih tema The Way We Work, pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang hari tersebut. Seawal pukul lapan pagi, para pekerja wanita sudah berkumpul untuk mengikuti sedikit taklimat sebelum dibawa menonton tayangan filem Girl Rising.

Pengarah Perhubungan Korporat Intel Malaysia, Loo Cheng Cheng berkata, filem arahan Richard E. Gobbins itu dipilih kerana ia menampilkan wanita sebagai subjek utama yang ditonjolkan.

"Filem ini memaparkan tentang kehidupan sembilan gadis dari sembilan negara berbeza yang mempunyai cita-cita untuk mendapatkan pendidikan sempurna kerana hanya melalui ilmu, mereka mampu mengubah kehidupan yang dijalani.

"Diharap ia mampu memberi inspirasi kepada semua kakitangan wanita di Intel Malaysia untuk mencapai kejayaan yang diinginkan," tutur Cheng Cheng.

Sewaktu tayangan berlangsung, setiap kakitangan dibekalkan dengan secawan jagung rebus dan sebotol air mineral yang ditaja oleh Intel Malaysia.

Selain itu, pihak syarikat turut menyediakan aktiviti khas untuk pekerja wanita iaitu sesi solekan wajah oleh SS Image, merias kuku kendalian Birthday Castel dan urutan yang dilakukan oleh penghuni Ft. Nicholas, Home for the Blind.

Kesemua aktiviti anjuran WIN tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kakitangan hingga sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran disolek dan diurut.


PUSAT kecergasan turut disediakan secara percuma kepada semua kakitangan.


"Saya rasa amat gembira kerana menerima layanan istimewa daripada syarikat sempena meraikan Hari Wanita Antarabangsa. Sebagai kakitangan wanita yang telah bekerja selama 15 tahun, saya bersyukur kerana terpilih menjadi sebahagian keluarga besar Intel Malaysia.

"Di sini, kami sentiasa berpeluang meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan melalui kelas-kelas yang disediakan pihak majikan.

"Sebagai contoh, dahulu saya sangat lemah untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggerist tetapi kini ia bukan satu masalah lagi," kongsi Siti Evana Abd. Wahab, kakitangan bahagian pentadbiran Pusat Perkhidmatan Sumber Manusia, Greater Asian Region (GAR) yang turut bertemu jodoh dengan kakitangan Intel Malaysia.

Bagi Juruteknik Pengeluaran, Penang Assembly Test, Muniswary Kalimuthu, 38, dia mula menyertai Intel Malaysia sebagai operator pengeluaran.

Namun, berkat kesungguhannya untuk memajukan diri, ibu kepada dua cahaya mata itu boleh berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi.

"Sepanjang 16 tahun berkhidmat di Intel Malaysia, banyak pengalaman berguna saya peroleh. Majikan juga sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap kakitangan.

"Paling utama, kami mempunyai fleksibiliti berkenaan waktu bekerja. Jika ada sebarang masalah, kami boleh berkongsi dengan pegawai atasan dan mereka akan memberi kelonggaran pada kami menyelesaikannya terlebih dahulu," ungkap Muniswary.

Karnival halal sebagai platform pendidikan

Posted:

Karnival halal sebagai platform pendidikan

Karnival halal sebagai platform pendidikan

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS


PENGUNJUNG karnival, Norzaini Ramli, 38, (kanan) menebus barangan yang berharga RM1 di gerai Dagang Halal.Com.


SUASANA pekarangan pusat beli-belah Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah meriah dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung yang tidak putus-putus mengunjungi 84 gerai sepanjang tiga hari penganjuran Karnival Halal Kedah 2013.

Karnival yang berlangsung pada Khamis hingga Sabtu lalu itu merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com manakala akhbar Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi.

Bertepatan dengan tema Halal Bukan Sekadar Logo, masyarakat didedahkan bahawa sijil dan logo halal bukan sahaja meletakkan sesuatu yang tidak halal menjadi halal, bahkan ia meliputi aspek kebersihan dan kualiti.

Didik masyarakat

Antara program menarik sepanjang tiga hari karnival berlangsung ialah bengkel Pembungkusan dan Penjenamaan serta Seminar Persijilan Halal Malaysia, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan jualan produk halal oleh usahawan tempatan.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, karnival itu dianjurkan untuk mendidik masyarakat khususnya dari utara Semenanjung tentang isu halal dan pensijilan halal.

Selain itu, kata beliau karnival tersebut juga dijadikan sebagai platform kepada syarikat-syarikat dan produk yang telah mendapat sijil Halal Malaysia yang kini berada di pasaran.


PARA pengunjung karnival turut menghulurkan sumbangan untuk Tabung Wira Lahad Datu di yang diedarkan di tapak karnival.


"Kita mahu mendidik masyarakat tentang isu halal di Malaysia dengan dua sasaran iaitu pengguna dan industri," katanya ketika ditemui.

Kata beliau, Jakim dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain berganding bahu dalam memastikan karnival itu berjaya meningkatkan kesedaran pengguna dan industri tentang isu berkaitan halal.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival berlangsung seperti pameran dan jualan barangan halal, Demo Masakan Chef Ammar, Demo Produk Peserta, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Kempen Derma Darah, Klinik E- Halal, Program Radio IKIM, Program TV Alhijrah dan Kuiz Halal 2013.

Lebih 50 gerai usahawan dibuka di tapak karnival. Ia dijadikan sebagai platform untuk memperkenalkan produk halal kepada para pengguna yang berkunjung ke situ.

Membuka jalan

Pengunjung, Radhiah Abdul Rashid, 24, berkata, karnival halal yang berlangsung selama tiga hari itu sangat menarik dan ia memberi banyak maklumat berkenaan halal kepada masyarakat pengguna.

"Selepas ini saya perlu lebih berhati-hati kerana banyak produk kosmetik dan barangan wanita yang dijual masih belum mempunyai sijil halal Jakim," katanya.

Radhiah berharap agar karnival seumpamanya dapat diadakan sekali lagi di Kedah selain tempoh penganjurannya dipanjangkan kepada seminggu.

Usahawan, Samsuddin Ahmad, 41, pula berkata, beliau bertuah kerana dapat menyertai bengkel dan seminar usahawan di Hotel Amanpura, Sungai Petani dan belajar cara-cara untuk mendapatkan sijil halal Jakim.

"Pada peringkat awal, seminar ini terhad kepada kira-kira 200 orang saja dan saya mungkin tidak berkesempatan untuk menyertainya, tetapi Alhamdulillah mereka terima sehingga 400 orang," katanya.

Samsuddin yang merupakan pengusaha kedai kek berkata, bengkel dan seminar yang diberikan secara percuma kepada usahawan kecil dan sederhana itu membuka jalan kepadanya untuk terus berjaya dalam perniagaan.

Karnival halal telah menjelajah ke enam buah negeri sebelum ini iaitu bermula di Masjid Negara, Kuala Lumpur; Perlis, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan yang terakhir Melaka pada Februari tahun lalu.

Lebihkan karbohidrat baik

Posted:

Lebihkan karbohidrat baik

Lebihkan karbohidrat baik


BIJIAN penuh merupakan makanan dengan indeks glisemik yang rendah.


BERBICARA mengenai karbohidrat, kita selalu mendengar orang memberitahu ada dua jenis karbohidrat iaitu karbohidrat baik dan karbohidrat tidak baik. Namun, ramai yang tidak faham mengenai kedua-duanya. Apa perbezaan antara kedua-duanya?

Karbohidrat baik adalah karbohidrat yang baik untuk kesihatan anda, manakala karbohidrat tidak baik adalah sebaliknya.

Karbohidrat yang sumbernya daripada roti putih, beras putih, pastri, air soda bergula dan banyak lagi makanan-makanan proses lain yang boleh membuatkan anda gemuk.

Jika anda makan banyak karbohidrat yang dikatakan tidak baik ini, ia akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit.

Sebaliknya, karbohidrat yang baik pula ialah bijirin penuh, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran membuatkan anda sihat dengan menyediakan keperluan vitamin, mineral, serat dan pelbagai nutrien lain.

Oleh yang demikian, diet yang sihat perlu menekankan pengambilan karbohidrat baik.

Karbohidrat merupakan sumber tenaga sangat penting bagi tubuh badan kita. Sistem pencernaan akan menukarkan karbohidrat kepada glukosa. Badan anda menggunakan glukosa dan menyimpan gula tambahan apabila anda memerlukannya.

Karbohidrat dahulunya terbahagi kepada dua kategori iaitu karbohidrat ringkas dan karbohidrat kompleks. Karbohidrat ringkas termasuk gula seperti gula buah-buahan (fruktosa), gula anggur atau jagung (dekstrosa atau glukosa) dan gula (sukrosa).

Karbohidrat kompleks pula merangkumi apa sahaja yang diperbuat daripada tiga atau lebih gula yang berkaitan. Karbohidrat kompleks telah dianggap sihat untuk makan. Sekarang terdapat soalan tentang andaian itu.

KEKACANG merupakan sumber protein yang baik.


Indeks glisemik

Satu sistem baharu, yang dipanggil indeks glisemik, mengklasifikasikan karbohidrat mengikut berapa cepat dan berapa tinggi ia meningkatkan gula dalam darah.

Makanan dengan indeks glisemik yang tinggi seperti roti putih, menyebabkan peningkatan drastik gula dalam darah.

Makanan dengan indeks glisemik yang rendah seperti oat bijian penuh, dicerna lebih perlahan, menyebabkan perubahan yang lebih rendah dan perlahan pada gula dalam darah.

Diet makanan yang mempunyai nilai indeks glisemik tinggi telah dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat kencing manis, penyakit jantung, obesiti, degenerasi makula yang berkaitan dengan usia, ketidaksuburan dan kanser kolorektum.

Makanan dengan indeks glisemik yang rendah pula dapat membantu mengawal kencing manis dan menurunkan berat badan.

Walau bagaimanapun, kajian-kajian lain mendapati bahawa indeks glisemik mempunyai sedikit kesan ke atas kesihatan dan berat. Lebih banyak penyelidikan mengenai indeks glisemik perlu dilakukan.

Anda tidak boleh berpandukan indeks glisemik sebagai asas diet semata-mata. Sebaliknya, ia dijadikannya sebagai panduan umum.

Universiti Sydney, Australia mengekalkan pangkalan data yang dikemas kini di www.glycemicindex.com yang mempunyai hampir 1,600 penyertaan sehingga kini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved