Isnin, 18 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bukan harapan palsu

Posted:

Bukan harapan palsu

Bukan harapan palsu

DI sebalik pelbagai kisah sensasi yang membabitkan pelakon cantik Rozita Che Wan, 42, atau lebih sinonim dengan panggilan Che Ta, sudah tentu insan paling beruntung ialah Zain Saidin.

Masakan tidak, jika sebelum ini Che Ta sering kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki termasuk bergelar VIP, akhirnya Zain, 29, yang telah berjaya menambat hati pelakon berkenaan.

Menceritakan semula detik permulaan kisah cinta mereka berdua, Zain yang ditemui semasa rakaman program Masterchef Selebriti 2 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, semuanya bermula apabila mereka bergandingan bersama dalam drama Kiah Pekasam.

"Selepas setahun menjalinkan hubungan sebagai teman biasa, saya dan Che Ta kemudiannya menjadi semakin rapat kerana berasa sangat selesa sepanjang kami berkawan.

"Pada akhir tahun lalu ketika sama-sama membintangi drama telemovie Anak Ikan, saya telah meluahkan perasaan cinta kepadanya di lokasi penggambaran dan akhirnya dia menerima cinta saya," dedah Zain mengenai hubungannya dengan pelakon itu.

Berkenaan dengan jarak usia mereka yang agak jauh iaitu 13 tahun, Zain menjelaskan ia bukanlah satu halangan yang besar dan menganggap faktor umur tidak boleh dijadikan ukuran.

Ujarnya, ia bukanlah kali pertama dia menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lebih berusia kerana sebelum ini bekas kekasihnya juga setahun lebih tua daripadanya.

"Saya langsung tidak kisah tentang umur kerana apa yang lebih penting saya mahukan hubungan yang berkekalan. Selain itu, saya sangat yakin dengan keputusan yang dibuat apabila memilih Che Ta sebagai isteri.

"Tidak dinafikan ada yang beranggapan lelaki muda yang berkahwin dengan wanita berusia akan mencari perempuan lain setelah usia isteri semakin meningkat, tetapi saya bukanlah orang yang sebegitu kerana saya berpegang teguh kepada cinta terhadap seorang wanita sahaja," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada tidak timbulkah perasaan cemburu di hati apabila Che Ta selalu digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki lain, Zain mengakuinya terutamanya sewaktu hubungan mereka rapat.

Meskipun berasa cemburu terhadap Che Ta mengenai perkara tersebut, namun ia masih lagi mampu dikawal apabila dia sendiri akan meminta penjelasan sebenar daripada kekasihnya itu.

"Setiap kali timbul cerita yang mengaitkan Che Ta dengan seseorang lelaki, saya akan terus menghubunginya untuk mendapatkan jawapan dan dia akan menerangkan segala-galanya.


BUKAN lagi rahsia. Zain dan Rozita turut berkongsi gambar mereka dalam laman sosial Instagram masing-masing.


"Dengan sikapnya yang terbuka dan berterus terang membuatkan saya amat yakin bahawa semua cerita yang timbul itu tidak benar. Rasanya lebih baik saya bertanya kepada dia berbanding mendengar daripada pihak lain," jelasnya.

Selain itu, dia juga tidak ada memendam rasa cemburu apabila Che Ta sering kali menjadi tumpuan media berbanding dirinya memandangkan dia faham dengan status yang dimilikinya itu.

"Sudah lumrah menjadi seorang artis kita tidak akan dapat lari daripada kontroversi. Sebenarnya saya agak kasihan dengan Che Ta yang tidak sudah-sudah dihimpit dengan kontroversi," jelasnya.

Mengenai penilaian sesetengah pihak yang melihat Che Ta merupakan seorang wanita bercita rasa tinggi, Zain berpendapat kekasihnya itu sama seperti kebanyakan wanita lain yang tetap menjalani kehidupan normal.

Dia juga memberitahu, Che Ta bukan seorang wanita materialistik, jauh sekali suka meminta-minta untuk dimewahkan dengan pelbagai habuan.

"Orang hanya melihat penampilan luaran Che Ta yang bergaya dengan memakai barangan yang berjenama, tetapi itu adalah caranya untuk menjaga penampilan sebagai seorang artis.

"Lagipun itu haknya kerana apa yang dipakainya dibeli dengan menggunakan duitnya sendiri dan dia tidak pernah meminta saya membelikannya barangan yang mahal," jelasnya.

Akhir tahun

Sebelum ini terdapat sebuah laporan akhbar yang mengatakan bahawa Zain dan Che Ta dikatakan bakal mendirikan rumah tangga pada akhir bulan Julai ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah menafikan perkara tersebut memandangkan pada waktu itu umat Islam menjalani ibadah puasa, tetapi mereka memang merancang untuk berkahwin pada akhir tahun ini.

"Buat masa sekarang sebarang persiapan masih lagi belum dilakukan, malah kami tidak berkesempatan untuk memilih tarikh yang sesuai kerana sibuk dengan kerjaya.

"Walapun saya dan Che Ta sudah bertemu dengan keluarga masing-masing, tetapi kedua-dua belah keluarga kami masih lagi belum bertemu untuk perbincangan lanjut," ujarnya yang memberitahu hubungan dia dan Che Ta direstui kedua-dua pihak.

Menurut Zain, setelah membuat keputusan tentang pemilihan tarikh perkahwinan yang akan berlangsung, mereka bakal membuat satu sidang akhbar untuk mengumumkannya.

"Apabila tarikh sudah ditetapkan saya akan memanggil rakan-rakan media untuk ke sidang akhbar tersebut. Namun, kami akan mengundang mereka yang mempunyai hubungan baik dengan kami sahaja.

ZAIN kini terlibat dalam program masakan Masterchef Selebriti 2.


"Bagi saya ini merupakan keputusan yang paling tepat kerana tidak ada gunanya mengundang pihak-pihak yang selalu menghentam dan memburuk-burukkan kami sebelum ini," tegasnya.

Tidak minat

Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran Oh My English untuk musim kedua baru-baru ini, Zain kini terbabit pula dengan program Masterchef Selebriti 2 yang dibarisi ramai selebriti popular tempatan.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam program tersebut, semuanya bermula apabila diundang oleh pihak Astro. Kemudian dia menerimanya memandangkan jadualnya yang tidak padat buat masa ini.

"Program berbentuk masakan bukanlah sangat asing buat diri saya. Sebelum ini saya juga pernah menyertai sebuah program masakan iaitu Hot Guys Who Cook yang disiarkan di saluran Astro Diva Universal (702) pada tahun lalu.

"Secara jujurnya saya bukanlah seorang yang minat memasak dan setakat ini saya cuma pandai memasak pasta serta beberapa masakan lain seperti kari dan masak merah," jelasnya.

Menurutnya, sepanjang lebih seminggu menjalani rakaman program Masterchef Selebriti 2, dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon semata-mata mahu memberikan komitmen kepada program berkenaan.

"Saya terpaksa menolak tawaran lakonan yang diberikan kerana tidak pasti sehingga peringkat mana saya dapat bertahan dalam program ini. Pada masa yang sama saya akan membuat yang terbaik agar berjaya sehingga peringkat akhir," ujarnya.

Masterchef Selebriti 2 akan mula disiarkan pada 20 April ini setiap hari Sabtu hingga Selasa pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Mustika HD (134).

Impak Guns N' Roses

Posted:

Impak Guns N' Roses

Impak Guns N' Roses

AXL ROSE bakal hadir ke Malaysia bersama anggota baharu Guns N' Roses pada 24 Mac ini.


MENYEBUT nama grup Guns N' Roses, generasi yang lahir sekitar tahun 70-an dan 80-an, pasti mengenali grup yang ditubuhkan pada tahun 1985 di Los Angeles, Amerika Syarikat ini.

Jika tidak menjadi pengikut fanatik mereka pun, sekurang-kurangnya dua lagu hit mereka, Sweet Child O' Mine atau November Rain sudah cukup membuat nama Guns N' Roses gah.

Kini, berita baik buat pencinta mereka di Malaysia. Guns N' Roses akan mengadakan persembahan perdana di Malaysia pada 24 Mac ini di Helipad, Sepang, Selangor.

Mereka hadir sempena dengan edisi ke-15 tahun F1 Grand Prix Malaysia.

Biarpun grup yang pernah memenangi Anugerah Grammy dan menjual lebih 100 juta unit tersebut hanya akan hadir dengan seorang sahaja anggota asalnya iaitu Axl Rose, namun bersama anggota baharu mereka, Guns N' Roses dijangka meninggalkan impak tersendiri dalam persembahan sulung tersebut.

"Kami yakin, walaupun hanya AXL Rose sahaja yang merupakan anggota asal, namun nama Guns N' Roses itu sendiri sudah cukup kuat dan mampu menarik khalayak untuk hadir menyaksikan persembahan mereka," ujar Datuk Razlan Razali, Ketua Pengarah Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang.

Guns N' Roses kini dianggotai Ron 'Bumblefoot' Thal, DJ Ashba, Richard Fortus, Tommy Stinson, Frank Ferrer, Dizzy Reed dan Chris Pitman. Grup dengan barisan anggota baharu ini sedang dalam proses pembikinan album baharu di Los Angeles.

Kumpulan tempatan iaitu Estranged dan Twilight Action Girl akan menjadi pembuka acara bagi konsert Guns N' Roses yang julung-julung kali diadakan itu,

Sebelum ini, pada tahun 2009, grup British Jamiroquai pernah hadir dalam acara dan lokasi yang sama dan mendapat sambutan lebih 20,000 penonton.

Lebih istimewa, sempena F1 yang akan berlangsung pada 22 Mac hingga 24 Mac ini, pihak penganjur, SIC (Sepang International Circuit) menawarkan pakej 'One Ticket Unlimited (1TU)' yang pasti memberikan keistimewaan untuk khalayak menikmati keseronokan serta kehangatan acara sukan permotoran bertaraf dunia ini.

Tiket Konsert F1 Petronas Malaysia Grand Prix 2013 juga boleh dibeli menerusi online dengan melayari www.sepangcircuit.com atau datang terus ke kaunter di KL Sentral dan di KLCC yang akan beroperasi dari sekarang sehingga 24 Mac ini.

Istimewa untuk pemegang kad Maybank Visa dan kad Master Credit atau kad Debit, boleh dapatkan tiket-tiket dengan potongan harga 25 peratus.

Pertempuran Versus 2

Posted:

Pertempuran Versus 2

Pertempuran Versus 2

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


ESTRANGED menyertai Versus kerana mahu khalayak sedar bahawa mereka masih wujud.


VERSUS merupakan antara program realiti yang menampilkan kelainan dalam format program lain yang ada ditayangkan menerusi kaca televisyen.

Ini kerana ia akan menampilkan lima buah band yang hebat untuk bertanding sesama sendiri bagi merebut gelaran juara dan sekali gus memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM200,000.

Menempa kejayaan dalam musim pertama dengan menyaksikan Hujan telah menjadi juara, kini musim kedua bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan tema yang lebih menarik.

Menggunakan format program yang sama 100 peratus, Versus musim kedua bakal bermula pada 5 April ini setiap Jumaat, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV9.

Apa yang menarik, pesertanya kali ini merupakan band-band hebat iaitu Kristal, Oh Chentaku, Kyoto Protocol, Estranged dan Manifesto.

Jika musim pertama menyaksikan dua band yang baru ditubuhkan iaitu Black Parallax dan Go Gerilla bertanding meluahkan hasil kreativiti mereka, kali ini giliran Manifesto pula.

Manifesto merupakan band baharu gabungan penyanyi solo, Tomok dengan kumpulan underground yang menggelar diri mereka Modread.


SEMUA band yang menyertai Versus bergambar sewaktu sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Walaupun gabungan Tomok dan Modread masih baharu, namun ternyata, kedua-dua Tomok dan Modread sudah mempunyai peminat tersendiri.

"Rasa seronok dapat peluang sebegini dengan menyertai program yang dapat meluahkan kreativiti yang ada. Memang bagi saya agak mencabar kerana kami dilihat seperti sebuah band yang baharu.

"Namun, ia memang tugas berat dan apa yang boleh saya cakap, kami perlu menghabiskan banyak masa di studio untuk buat apa yang kami mahu persembahkan.

"Yang penting juga apa yang kami ingin buat sebagai band Manifesto dan bukan Tomok atau Modread," tutur Tomok selaku vokalis Manifesto ketika ditemui pada sidang akhbar Versus di The Stage, K Avenue, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara, bagi Estranged yang berpengalaman menjayakan sebuah program realiti TV, Mania, ia bagaimanapun tidak dilihat sebagai memberi kelebihan kepada mereka.

"Tidak dinafikan Estranged memang sudah agak lama menyepi dan ini merupakan seperti satu comeback buat kami juga. Walaupun sebelum ini kami pernah sertai program Mania, namun, Versus mempunyai format yang sangat berlainan.

"Ini kerana Versus merupakan pertandingan antara band dan tiada penyingkiran. Bagi Estranged untuk melibatkan diri dalam Versus adalah kerana kami rasakan ia sebuah platform yang menarik untuk meluahkan kreativiti dan kami akan buat yang terbaik kelak," jelas Estranged yang menggunakan peluang ini untuk memberitahu peminat mereka masih aktif.

LOQUE dan Jennifer Thompson masih menjadi juri Versus musim kedua.


Selain itu, Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd. Tahrim berkata, kejayaan tahun lalu menjadi pemangkin bagi mereka untuk menyajikan yang lebih mantap dan releven dengan keadaan muzik semasa.

Program realiti unik kolaborasi antara TV9 dan Hot FM ini masih mengekalkan dua orang figura yang arif dalam industri muzik iaitu Loque dan Jennifer Thompson sebagai juri tetap.

Selain itu, Aidid Marcello serta Hunny Madu masih diberi tanggungjawab sebagai pengacara Versus bagi musim kedua ini.

Sekali lagi, Versus akan ditayangkan secara langsung dari Space U8, Shah Alam, Selangor bagi konsert kedua dan seterusnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved