Ahad, 17 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia ke final

Posted:

Malaysia ke final

Malaysia ke final

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

FAIZAL SAARI (dua dari kiri) dihalang dua pemain India pada aksi terakhir peringkat kumpulan PSAS di Ipoh malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan tersebut.


SKUAD hoki negara berpeluang melakar sejarah baharu pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2013 apabila beraksi menentang Australia pada final di Stadium Hoki Ipoh malam ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia layak ke final selepas gagal dalam tiga edisi sebelum ini iaitu pada 1985 (kalah kepada India), 2007 (kalah kepada Australia) dan 2009 (kalah kepada India).

Penantian selama 22 tahun peminat hoki tempatan untuk melihat Malaysia menjulang trofi PSAS kali ini, dilihat lebih realistik selepas menyaksikan penampilan yang lebih bertenaga daripada anak-anak buah Paul Revington dan Arul Selvaraj itu sepanjang edisi ke-22 di Ipoh ini.

Namun, skuad negara perlu bangkit daripada aksi hambar ketika seri 2-2 dengan India pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, sekiranya berhajat untuk menamatkan kemarau kejayaan pada kejohanan jemputan tertua di Asia itu.

Sepanjang kempen ini, Malaysia berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Korea Selatan 3-2, menang ke atas juara bertahan, New Zealand 2-1 sebelum mengikat Australia 1-1 dan Pakistan 2-2.

Berdepan Australia yang juga juara Olimpik dan dunia di final, sudah semestinya bukan satu tugas yang mudah, namun pemain negara telah membuktikan bahawa mereka mampu membuat kejutan selepas berjaya mengikat pasukan No. 2 dunia itu di peringkat kumpulan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia, menjamin tempat ke final setelah New Zealand (No. 8 dunia) yang memerlukan kemenangan ke atas Australia pada perlawanan terakhir, tumpas 2-3 kepada pasukan Kookaburra itu.

Justeru, pertemuan dengan India (No. 7 dunia) semalam tidak lebih kepada pelengkap jadual perlawanan, dan Malaysia bernasib baik untuk mencatat keputusan seri dengan juara PSAS lima kali itu.

Pada aksi semalam, skuad negara mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit keenam, namun Mandeep Singh menyamakan kedudukan buat India sebelum Rupinder Pal Singh memberi kelebihan 2-1 kepada India pada babak kedua.

Namun, Faizal sekali lagi muncul wira negara apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan, sekali gus menghampakan India untuk bertemu Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.

Rajagobal cabar pemain negara

Posted:

Rajagobal cabar pemain negara

Rajagobal cabar pemain negara


Rajagobal anggap perlawanan menentang Arab Saudi malam ini sebagai peluang terbaik bagi para pemain untuk membuktikan kebolehan masing-masing.


KETUA jurulatih, Datuk K. Rajagobal mencabar pemain skuad Harimau Malaya membuktikan kebolehan mereka pada aksi persahabatan menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam ini.

Beliau berkata, pemain yang diberi peluang perlu mempamerkan persembahan terbaik bagi mengukur persiapan mereka menjelang perlawanan menentang Yemen pada kempen Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di gelanggang sama 22 Mac ini.

Malaysia tewas 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pembukaan di Stadium Al-Sadd, Doha pada 6 Februari lalu.

"Saya tidak mahu pemain memandang ringan perlawanan ini kerana ia merupakan aksi penting untuk saya menilai prestasi mereka menjelang pertemuan menentang Yemen nanti.

"Perlawanan ini juga memberi peluang terbaik kepada anak-anak buah saya untuk membuktikan kebolehan mereka apabila menentang antara pasukan terkuat Asia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal berkata, tiga pemain Harimau Malaya tidak dapat beraksi pada perlawanan malam ini akibat kecederaan.

Mereka ialah pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor, pemain pertahanan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amiridzwan Taj Tajudin dan pemain pertahanan Kelantan, Nik Mohd. Shahrul Azim Abdul Halim.

"Wan Zack dan Amiridzwan mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pusat manakala Mohd. Shahrul cedera teruk di bahagian buku lali ketika beraksi pada Piala AFC dengan skuad Kelantan baru- baru ini," katanya.

Sementara itu, wakil Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Khalied Al-Woeiser berkata, perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada persiapan negara itu untuk menentang Indonesia bagi perlawanan Kumpulan C pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac.

"Kami pilih Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan kerana negara ini mempunyai persamaan dari segi cuaca dengan Indonesia.

"Jurulatih kami (Juan Ramon Lopez Caro) juga akan menurunkan barisan terkuat ketika menentang Malaysia sebagai persiapan menghadapi Indonesia," katanya.

Setakat ini, Arab Saudi menduduki tangga teratas dalam Kumpulan C setelah mengalahkan China 2-1 di Damman, Arab Saudi pada 6 Februari lalu.

MMO bakal dikuasai pemain Asia

Posted:

MMO bakal dikuasai pemain Asia

MMO bakal dikuasai pemain Asia

SEUNG-YUL menjadi pemain Asia terakhir menjulang trofi MMO.


KEJOHANAN Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2013 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) minggu depan, diramalkan bakal didominasi pemain-pemain Asia.

Sejak sembilan musim lalu, para pemain yang beraksi dalam Jelajah Asia pernah menjulang trofi MMO sebanyak enam kali termasuk kemenangan yang dilakarkan jaguh Thailand, Thongchai Jaidee yang memenangi dua gelaran berturut-turut pada edisi 2004 dan 2005.

Bagaimanapun, kempen pada musim 2010 menjadi musim yang terakhir buat trofi tersebut dimiliki daripada siri Jelajah Asia menerusi kemenangan pemain Korea Selatan, Noh Seung-yul yang melakukan pukulan birdie pada lubang ke-72, sekali gus menewaskan rakan senegaranya, Choi Kyung-ju.

Sejak itu, tiada lagi pemain Asia yang muncul juara apabila menyaksikan penguasaan pemain Eropah menerusi Matteo Manassero dari Itali dan Louis Oosthuizen (Afrika Selatan) yang menjuarai kempen 2011 dan 2012.

Begitupun, persaingan musim ini diramalkan bakal memihak kepada seorang lagi juara dari India, Anirban Lahiri yang merupakan pemenang Kejohanan Terbuka SAIL-SBI di lamannya sendiri pada minggu lalu.

Dia juga mungkin akan mendapat cabaran daripada pemain Thailand, Chawalit Plaphol iaitu pemenang Terbuka Zaykabar Myanmar, pada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung 21 hingga 24 Mac ini.

Lahiri yang pernah memenangi Jelajah Asia tiga kali, kini menyimpan hasrat untuk melakar kemenangan pertama pada kejohanan antarabangsa, malah berazam untuk mengikut jejak langkah rakan senegaranya, Arjun Atwal yang pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 2003 dan 2008.

"Kemenangan harus sentiasa dicatatkan jika mahu menjadi pemain terhebat. Prestasi konsisten yang dipamerkan pada setiap jelajah harus dipertahankan," kata Lahiri.

"Sudah ramai orang bertanya kepada saya sama ada saya dapat beraksi di luar negara dan saya dapat rasakan yang saya mampu melakar kemenangan.

"Saya berharap dapat memenangi kejohanan yang berlangsung di luar India pada tahun ini."

Chawalit pula berhasrat untuk mengubati kekecewaannya pada Terbuka Malaysia sebelum ini selepas sekadar menduduki tempat ketiga pada 2004.

"Empat gelaran Jelajah Asia sudah berada dalam genggaman dan saya berharap dapat menambah satu lagi kejuaraan dalam karier saya.

"Saya masih ingat lagi ketika saya hampir bergelar juara Terbuka Malaysia dan Terbuka China sebelum ini tetapi ia terlepas. Saya mendahului tiga pusingan di Malaysia tetapi tewas kepada Thongchai.

"Jika saya bertuah, saya mungkin mempunyai peluang untuk menang kali ini. Pada kejohanan seperti ini, anda sentiasa memerlukan tuah," ujar Chawalit.

Antara pemain Asia lain yang bakal beraksi di KLGCC tahun ini ialah Tetsuji Hiratsuki dari Jepun, Gaganjeet Bhullar (India), Arnond Vongvanij (Thailand), pendatang baharu dari Sri Lanka, Mithun Perera dan Scott Barr (Australia).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved