Isnin, 18 Februari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Shahidan tetap tidak selamat

Posted:

Shahidan tetap tidak selamat

Shahidan tetap tidak selamat

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan membicarakan kes membabitkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, tindakan Shahidan melepaskan dua jawatan kecil yang disandangnya dalam FAM masih tidak dapat menyelamatkan bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu daripada dibicarakan.

Pada 2 Februari lalu, Shahidan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kewangan Dan Pengurusan dan AJK Bola Sepak Wanita FAM.

Shahidan berbuat demikian sehari selepas selepas menerima surat mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Azzuddin.

Bagi pertuduhan pertama, Shahidan berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain yang ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Statut FAM.

Untuk pertuduhan kedua, Shahidan berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan mempunyai niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM.

Bagi pertuduhan ketiga, Shahidan berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000 kerana didakwa membuat kenyataan bercanggah, mempertikaikan, mempersoalkan atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014.

"FAM telah menghantar surat pertuduhan pada 1 Februari lalu dan memberikan tempoh sehingga 8 Februari untuk beliau (Shahidan) menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya..

"Namun, beliau membalas surat pertuduhan itu dengan mengaku tidak bersalah lewat sehari selepas masa yang ditetapkan oleh FAM.

"Jadi, beliau tidak akan terlepas daripada perbicaraan kes tatatertib yang mana ia akan dijalankan minggu ini," kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Shahidan menyifatkan tindakannya melepaskan jawatan dalam FAM dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan dirinya daripada dikenakan sebarang tindakan disiplin oleh badan induk itu.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin turut melahirkan rasa kesal dengan segelintir pihak yang masih menuding jari terhadap kewibawaan FAM ekoran insiden pergaduhan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu.

"Mengapa tuding jari kepada FAM mengenai kes Selangor dan ATM sahaja sedangkan kes insiden penyokong baling mercun dan botol di Terengganu dan Kelantan (pada pertengahan Januari lalu), mengapa mereka tidak bising?

"Dakwaan yang menyatakan FAM melambatkan proses perbicaraan itu (kes pergaduhan pemain Selangor dan ATM) disebabkan kepentingan (Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor) Datuk Hamidin (Mohd. Amin) cukup tidak berasas.

"Pihak kami tetap menjalankan prosedur dengan profesional dan berusaha mencari jalan dengan memutuskan hukuman berdasarkan bukti kukuh, bukan secara politik," katanya.

ATM, Selangor kembali bertempur

Posted:

ATM, Selangor kembali bertempur

ATM, Selangor kembali bertempur


IMBAS KEMBALI... Aksi antara Selangor dan ATM pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lalu.


INSIDEN pergaduhan membabitkan Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lalu pasti belum dapat dilupakan oleh pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

Tatkala insiden panas itu masih belum reda dan dalam pemerhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum sebarang tindakan diambil, kedua-dua pasukan akan kembali 'bertempur'.

Kali ini, ATM akan melayan kunjungan Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Menyedari pertembungan kali ini juga bakal berlangsung penuh sengit, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan anak-anak buahnya agar mengawal emosi sepanjang perlawanan.

"Ia bakal menjadi satu perlawanan sengit kerana kedua-dua pasukan sudah pasti masih mengingati insiden di Stadium Shah Alam bulan lalu.

"Bagaimanapun, saya berharap perlawanan itu nanti berjalan dengan lancar dan usah kita kenangkan insiden pergaduhan itu demi semangat kesukanan.

"Apa yang pasti, kami akan menampilkan aksi terbaik dalam usaha untuk mengekalkan status kami selaku pendahulu liga," kata Irfan kepada Kosmo! kelmarin.

Dalam pada itu, Irfan tidak mahu anak- anak buahnya terlalu leka dengan kejayaan menduduki tangga teratas liga sehingga menyebabkan mereka hilang fokus di tengah padang.

Menyedari laluan Selangor masih berliku, Irfan menuntut anak-anak buahnya bekerja lebih keras bagi mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga.

Ini kerana Irfan menyifatkan kelebihan Selangor tidak akan bertahan lama sekiranya mereka mengambil mudah dalam setiap perlawanan akan datang.

"Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini (menduduki tangga teratas liga) tetapi kita harus ingat bahawa perjalanan liga masih jauh.

"Saya juga menasihatkan pemain-pemain Selangor supaya jangan cepat gembira sebagai status pendahulu," jelasnya.

Awasi taktik kotor pelumba Eropah

Posted:

Awasi taktik kotor pelumba Eropah

Awasi taktik kotor pelumba Eropah

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
Norzasrudin@kosmo.com.my


BARISAN pelumba skuad kebangsaan yang bakal membuat penampilan pada LTdL 2013.


BARISAN pelumba negara perlu sentiasa berwaspada pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang akan membuka tirainya di Kangar, Perlis, Khamis ini.

Ketua jurulatih pasukan lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman berkata, kehebatan anak-anak buahnya dijangka terbantut ekoran taktik kotor pelumba Eropah.

"Anak-anak buah saya perlu bijak membaca corak perlumbaan setiap hari. Memang saya akui ada taktik kotor yang akan digunakan oleh pelumba Eropah.

"Mereka dijangka berpakat antara satu sama lain untuk menyekat kemaraan pelumba Asia," kata Aminuddin baru-baru ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu berdasarkan sejarah dalam dua atau tiga edisi sebelum ini apabila pelumba berpotensi negara seperti Anuar Manan sering kali menjadi mangsa permainan penuh muslihat pelumba Eropah.

"Mereka akan membantu antara satu sama lain, selepas melihat pasukan mereka tidak mampu untuk pergi jauh lagi. Saya akui pakatan antara pasukan Eropah memang wujud, namun pelumba kita harus waspada.

"Kami perlu ada taktik dan kena bijak mengatasi masalah ini. Yang paling berkesan adalah pelumba negara perlu mencari jalan untuk meloloskan diri, itu sahaja yang mampu dilakukan. Permainan kotor tidak ada dalam perancangan saya," katanya.

Aminuddin berkata, pelumba Eropah akan menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki untuk menghimpit pelumba Asia ini kerana mereka tidak mahu berasa malu tewas kepada pelumba yang bukan dari Eropah.

"Hanya satu tolakan sahaja ia mampu untuk mengganggu rentak kayuhan pelumba negara tetapi pelumba saya tidak gentar walaupun ada antara mereka yang kali pertama beraksi pada LTdL tahun ini.

"Susah untuk melihat pelumba basikal berasa takut walaupun mereka kali pertama beraksi dalam sesuatu kejohanan. Sukan ini bukan beraksi di tempat yang dilihat penonton secara beramai-ramai seperti sukan lain," katanya.

Tambahnya, memang perasaan gementar itu wujud tetapi mungkin pada waktu-waktu tertentu seperti mengambil selekoh terakhir sebelum tamat perlumbaan, jadi kemahiran pelumba perlu digilap bukannya disebabkan ketakutan.

Skuad kebangsaan mempertaruhkan empat pelumba berpengalaman diketuai Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Nur Rizuan Zainal, diikuti dua muka baru Zulhilmie Afif Ahmad Zamri dan Yusrizal Usoff.

Seramai 16 pelumba Malaysia akan menyertai edisi ke-18 perlumbaan paling berprestij di Asia yang memegang status Hors ini.

Sebanyak 22 pasukan termasuk lima pasukan profesional akan menyertai LTdL 2013 melibatkan 10 peringkat perlumbaan meliputi jarak sejauh 1,471.4 kilometer.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved