Isnin, 18 Februari 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Liku-liku menjadi figura masyhur

Posted:

Liku-liku menjadi figura masyhur

Liku-liku menjadi figura masyhur

Susunan HAFIZ AHMAD

KETIGA-TIGA personaliti yang menghiasi muka depan Stailo kali ini bersama jurugambar fesyen terkemuka, Nigel Baker, bukan nama asing dalam dunia peragaan antarabangsa. Kelibat dan pesona mereka sering kelihatan di pentas pertunjukan fesyen dan terpampang dalam majalah-majalah fesyen ternama.

Naomi Campbell, Karolina Kurkova dan Coco Rocha mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri yang menjadi signatur peribadi dalam dunia yang penuh glamor. Keunggulan mereka menjadi rebutan dan idaman para pereka fesyen juga jurufoto fesyen antarabangsa.

Atas kekuatan tersebut, mereka digabungkan dalam satu program realiti terbaharu untuk mencari pelapis muda dalam dunia peragaan untuk dijadikan sensasi terkini industri fesyen.

Perhubungan antara fesyen dan legenda pentas peragaan itu tidak boleh dipisahkan kerana wujud pertalian kukuh yang kekal dalam lipatan sejarah.

Ikon fesyen dan supermodel, Naomi Campbell, sudah memateri nama sejak 26 tahun lalu yang penuh dengan suka dan duka.

Memulakan karier pada usia seawal tujuh tahun apabila muncul dalam video muzik Bob Marley menerusi lagu Is This Love, wajah eksotik Naomi mula dikesan oleh seorang ejen bakat, Beth Boldt yang membawanya ke pentas peragaan.

Bermula detik itu, Naomi terus mendominasi industri fesyen bersama-sama enam lagi model yang digelar sebagai The Big Six.

Frasa supermodel telah diberikan kepada Christy Turlington, Linda Evangelista, Cindy Crawford, Tatjana Patitz, Kate Moss dan Naomi kerana mengungguli muka depan majalah dan pentas peragaan. Mereka juga boleh menentukan dengan siapa mereka mahu bekerja.

Tahun 80-an hingga 90-an merupakan saat kegemilangan para model kerana kuasa mereka melangkaui keanggunan selebriti filem dan nyanyian.

Mereka menguasai televisyen, filem, video muzik dan majalah seluruh dunia melalui pesona kejelitaan yang dianugerahkan.

Kurang bertuah

Walaupun berada di puncak kejayaan, Naomi kurang bertuah seperti rakan-rakannya yang lain. Dia berdepan dengan diskriminasi segelintir penggiat fesyen yang meminggirkan model berkulit hitam.

"Saya mungkin antara model terkenal dunia, namun saya tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti model lain," ujarnya kepada majalah Time sekitar tahun 2001. Dia hanya mendapat kontrak kosmetik kecantikan, Cosmopolitan Cosmetic sekitar tahun 1999.

Kemunculannya sebagai model kulit hitam pertama menghiasi kulit depan majalah Vogue edisi Perancis banyak dibantu oleh pereka busana, Yves St. Laurent (YSL).

Pereka berasal dari Perancis itu mengancam untuk menarik balik iklan-iklan jenamanya dalam majalah tersebut jika berterusan menolak kehadiran model kulit hitam sebagai penghias muka depan.

Selain itu, dua rakan baiknya yang digelar The Trinity iaitu Christy Turlington dan Linda Evangelista menolak untuk muncul dalam mana-mana pertunjukan fesyen jika penganjur tidak melibatkan Naomi.


NAOMI berjaya mencipta legasi tersendiri meskipun dihimpit pelbagai kontroversi.


"Tidak dinafikan, Amerika Syarikat mempunyai presiden berkulit hitam. Namun, sebagai wanita kulit hitam, saya masih lagi menerima prejudis dalam industri fesyen. Saya perlu bekerja keras untuk menerima layanan yang sama rata seperti model lain," luahnya.

Selepas hampir dua dekad dalam bidang peragaan, Naomi masih aktif melangkah di pentas peragaan dan terus mendapat permintaan majalah fesyen.

Model kelahiran Streatham, selatan London itu menjadi kegemaran pereka-pereka antarabangsa seperti Dior, Roberto Cavalli, Zac Posen dan ramai lagi.

Tubuh ideal

Sementara itu, pengarang majalah Vogue edisi Amerika menggelarkan seorang model kelahiran Decin, Czechoslovakia sebagai The Next Supermodel.

Jurugambar terkenal, Mario Testino pula mengatakan bahawa wajah dan tubuh badannya sesuai untuk sebarang sesi fotografi. Itulah aset Karolina Kurkova sebagai antara model terkenal dengan pendapatan tinggi.

Karolina pernah mendapat pengiktirafan Model Of The Year 2002 atas kesungguhan bekerja berterusan selama 23 minggu. Anugerah tersebut menjadikan Karolina sebagai model termuda menerima anugerah tertinggi di acara Anugerah Fesyen VH1/Vogue.

Kemunculan Karolina sebagai penghias muka depan majalah Vogue Amerika edisi Februari 2001 membuka peluang kepadanya untuk lebih dikenali dan meletakkan nama di peta dunia fesyen.

Pada usia yang baru menginjak 17 tahun, dia mula mendapat kontrak bersama YSL seterusnya menjadi model utama dalam lembaran-lembaran kempen rumah fesyen terkemuka.

Ia termasuklah jenama seperti Valentino, Louis Vuitton, John Galliano, Chanel dan Christian Dior yang meningkatkan lagi profil Karolina.

Meskipun mempunyai raut wajah yang jelita dan tubuh idaman wanita sehingga mendapat jolokan antara wanita terseksi di dunia, Karolina pernah berdepan dengan kritikan mengenai bentuk badan yang dikatakan terlalu gemuk untuk seorang model.

Karolina dilihat mempunyai lemak berlebihan dan selulit ketika melepasi pentas peragaan baju renang di Minggu Fesyen Sao Paulo, Brazil.

Mengulas peristiwa memalukan itu, dia menyatakan mengalami penyakit hipotiroidisme iaitu pengurangan aktiviti kelenjar tiroid daripada aras normal. Penyakit itu menyebabkan berat badan Karolina meningkat secara mendadak.

Pengajaran


DARI kiri: Linda Evangelista, Cindy Crawford, Naomi dan Christy Turlington pada pertunjukan fesyen musim luruh/sejuk Versace tahun 1991 di Milan, Itali.


Isu berat badan sudah menjadi masalah besar dalam dunia peragaan. Pada tahun 2006, model berasal dari Brazil, Ana Carolina Reston, 21, mati akibat penyakit anoreksia kerana tabiat makan yang tidak sempurna.

Ana mengamalkan diet teruk dengan hanya mengambil buah epal dan tomato selama beberapa tahun. Berikutan kes tersebut, kerajaan di negara Eropah membuat undang-undang untuk menghalang penggunaan model yang terlalu kurus di pentas peragaan.

Situasi tersebut mendapat perhatian model kelahiran Toronto, Kanada, Coco Rocha, 25. Dia lantang menyuarakan pandangan mengenai isu berat badan yang membelenggu industri fesyen sejak sekian lama.

Coco menzahirkan pandangan itu melalui surat yang dihantar ke akhbar New York Times. Dia menyatakan tekanan yang dilalui oleh para model muda memaksa mereka untuk tampil dengan saiz kosong bagi mendapat peluang kerjaya yang lebih luas.

"Saya pernah disuruh untuk menguruskan badan seperti seorang anoreksik kerana ia menjadi ikutan pada tahun itu.

"Dalam usia 21 tahun, ketinggian enam kaki dan saiz sepuluh kali lebih kecil daripada wanita biasa, saya masih dikatakan gemuk oleh industri fesyen," luah Coco dalam satu temu bual.

Pada masa sama, dia juga mencadangkan supaya remaja bawah umur seharusnya tidak memasuki industri fesyen kerana terlalu muda.

"Kalau ada yang berminat, mereka perlu ditemani oleh ejen atau wakil mereka ketika mengikuti penggambaran atau pertunjukan fesyen," tambah Coco yang memasuki dunia model pada usia 16 tahun.

Wajah unik

Coco atau nama asalnya Mikhaila Rocha menjadi sensasi dalam arena fesyen ketika kehangatan model berwajah seperti Barbie Doll. Pada tahun yang sama, model seperti Anja Rubik, Gemma Ward dan Jessica Stam turut mendapat perhatian ramai kerana rias wajah mereka.


NAOMI menjadi model kulit hitam pertama yang menghiasi kulit depan majalah Vogue edisi Perancis.


Selepas muncul dalam ruangan editorial fesyen bersama Anja Rubik dan Amanda Moore, kerjaya Coco terus melonjak dan menjadi sebutan ramai.

Coco mengakui, momen paling meninggalkan kesan dalam kerjayanya adalah ketika di pentas peragaan Jean Paul Gaultier. Dia yang menjadi model pembuka rumah fesyen Gaultier musim Luruh 2007 itu, telah menari tarian tradisi Ireland sehingga ke hujung pentas. Majalah Vogue Amerika mengatakan peristiwa itu sebagai Coco Moment, membuatkan industri fesyen merindui saat kegemilangan para supermodel.

Isteri kepada pereka dalaman, James Conran ini dikenali dengan gaya eksentrik ketika memperagakan busana pereka-pereka ternama. Dia menjadikan riak wajah yang aneh dan kekok berubah kepada gaya fesyen bercita rasa tinggi.

Walaupun Coco kini kurang mengikuti pertunjukan minggu fesyen, dia masih mendapat permintaan daripada rakan-rakan pereka seperti Zac Posen dan muncul dalam beberapa kempen fesyen seperti Longchamp, Banana Republik dan Diesel.

Selesa tatkala mengembara

Posted:

Selesa tatkala mengembara

Selesa tatkala mengembara


WARNA-WARNA alam semula jadi menjadi pertaruhan Esprit pada musim ini.


PENERAJU jenama fesyen antarabangsa, Esprit, memperkenalkan satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan dengan koleksi baharunya yang bertema Travel In Style, Travel In Company pada pelancaran media baru-baru ini di Galleria Concept Store, Pavilion Kuala Lumpur.

Esprit musim panas/bunga 2013 (Esprit SS13) memperkenalkan dua model utama untuk kempen kali ini iaitu ikon fesyen dan pelakon dari Amerika Syarikat, Dree Hemingway dan model terkenal dari China, Liu Wen.

Kolaborasi antara dua pesona itu melambangkan kesempurnaan Esprit SS13 yang asli dan bergaya. Jurugambar fesyen berprofil tinggi, Terry Richardson bergandingan bersama jurugaya terkenal, Camille Bidault-Waddington untuk menggalas peranan merealisasikan kempen Esprit musim ini.

Koleksi ini mempamerkan gaya tersendiri dan rekaan unik yang sesuai dipakai pada setiap majlis yang dihadiri.

GABUNGAN rona terang dan neutral memberi impak pada penampilan.


Penggemar Esprit digambarkan sebagai mempunyai sifat tenang dan hidup penuh keyakinan dalam mengekalkan pendirian. Mereka juga disifatkan sebagai berpengetahuan fesyen yang mampu memberikan keselesaan.

Dikenali dengan penggunaan fabrik berkualiti tinggi dengan perincian sempurna, koleksi terbaharu fesyen label dari Amerika Syarikat ini menggunakan pelbagai warna, fabrik dan tekstur yang diilhamkan oleh pelancong-pelancong dari seluruh dunia dalam ciptaan rekaannya.

Esprit sentiasa memberi inspirasi kepada penggemar fesyen agar menerokai gaya dan budaya ketika mengembara ke seluruh dunia.

Dalam persediaan untuk menyedarkan semangat percutian penggemar fesyen, rona-rona pastel, neutral dan warna-warna alam semula jadi seperti merah karang, biru firus serta hijau menghiasi koleksi ini.

Bersiar-siar di bandar pada hari panas sambil berseluar jean potongan sendat, blazer besar dengan lengan digulungkan dan berkasut pump runcing.

Sementara itu, sesi bersantai bersama teman-teman nampak relaks andai menyarungkan seluar pendek, baju T berjalur dan topi bowler.

Pertemuan waktu makan tengah hari tentunya nampak bersahaja apabila berpakaian blaus dan bertopi besbol.

Kosmetik teman harian wanita

Posted:

Kosmetik teman harian wanita

Kosmetik teman harian wanita

Oleh ZULHILMI JALIL


SOLEKAN natural menjadi prinsip utama COVO.


MENYENTUH soal kecantikan, ia sememangnya cukup sinonim dengan insan yang bergelar wanita.

Memiliki wajah jelita pasti menjadi idaman golongan Hawa. Tidak hairanlah jika ada individu yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mendapatkan produk kecantikan yang bersesuaian dengan diri.

Bagi mereka yang datang daripada golongan berada, wang ringgit mungkin bukan menjadi faktor penghalang memiliki set kecantikan berjenama terkenal.

Namun, tidak semua wanita mampu berbuat demikian ekoran masing-masing mempunyai latar belakang kuasa ekonomi yang berbeza-beza.

Inisiatif anak tempatan, Julie Wong memperkenalkan produk alat mekap terbaharu, COVO nyata memberi lebih pilihan kepada wanita yang ingin tampil cantik tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Nama COVO diilhamkan daripada rangkai kata bahasa Inggeris, cosmetic evolution.

Ia merupakan satu jenama yang mengetengahkan koleksi alat mekap terbaik kepada pengguna pada harga berpatutan.

"Alat solek COVO dicipta khas untuk kegunaan harian golongan wanita yang boleh digunakan pada bila-bila masa.

"Apa yang penting, kini wanita tidak perlu berbelanja besar untuk kekal cantik," ujar Julie yang ditemui pada majlis pelancaran produk itu yang menggunakan tagline Luxe for Less di Sunway Pyramid baru-baru ini.

Julie yang juga pengasas kepada produk COVO memberitahu, produk tempatan itu merupakan hasil cetusan idea sepanjang penglibatan dirinya dalam dunia kosmetik.


DARI kiri: Kerrie dan Julie menunjukkan beberapa produk COVO yang dilancarkan baru-baru ini.


"Ia lahir daripada pengalaman saya bertahun-tahun dalam penggunaan kosmetik selama ini.

"Malah, produk COVO turut memiliki ciri-ciri yang terbaik dalam evolusi kosmetik," ujar Julie yang memberitahu, produk COVO direka khas bagi wanita yang mahukan solekan yang tampak natural.

Sungguhpun begitu, produk COVO tetap mampu menutup cela di wajah tanpa perlu memakai alat solek yang terlalu tebal.

Produk COVO menyasarkan pengguna wanita berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun.

Rangkaian produk COVO terdiri daripada bedak asas cecair yang didatangkan dalam empat tona warna, bedak padat, maskara, gincu, penggaris mata dan pengilat kuku.

Menurut Julie, COVO dihasilkan dengan teknologi rekaan produk yang memudahkan pengguna.

"Sebagai contoh, gincu bibir COVO direka khas dengan cermin yang melekat di penutupnya bagi memudahkan pengguna ketika ingin memakainya.

"Selain itu, bedak tabur juga direka khas dengan alat yang membolehkan membolehkan pengguna menetapkan kuantiti yang ingin digunakan," ujarnya yang turut menggunakan khidmat pelukis ilustrasi jenama terkenal, Kerrie dalam menzahirkan idea produk COVO untuk tampak eksklusif dan mewah.


SETIAP produk COVO dihasilkan dengan teknologi rekaan produk bagi memudahkan pengguna.


Kerrie merupakan individu yang telah banyak memberikan khidmat kepada jenama besar bertaraf antarabangsa seperti Chanel dan Kate Spade.

Produk COVO dijual pada harga serendah RM29 sehingga lebih RM100.

Sehingga kini terdapat tiga cawangan butik COVO yang dibuka di pusat beli-belah, Sunway Pyramid, One Utama dan The Mines.

Dalam pada itu, menurut Julie, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk melebarkan lagi sayapnya dengan pelancaran jenama kosmetik itu di semua gedung beli-belah utama di Lembah Klang pada masa akan datang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved