Isnin, 4 Februari 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Pemodenan pakaian tradisi Cina

Posted:

Pemodenan pakaian tradisi Cina

Pemodenan pakaian tradisi Cina

Oleh ALIF ABU BAKAR

KETIKA era pemerintahan Manchu pada zaman dinasti Qing di China, wujud satu sistem yang memperkenalkan kod pemakaian dalam kalangan masyarakat mereka. Qipao atau dikenali sebagai ceongsam mula popular dalam kelompok wanita daripada kerabat diraja.

Pada waktu itu, ceongsam direka dengan potongan lurus, sedikit longgar dan labuh sehingga mencecah lantai. Kebiasaannya ia dihasilkan daripada fabrik sutera dan keseluruhan busana itu disulam manakala kolar dan lengan baju dihiasi perincian les.

Menjengah rangka masa 1920-an, ceongsam mula digayakan hampir keseluruhan wanita di China. Menerima pengaruh stail dres Barat, pakaian klasik itu mula mengalami perubahan rekaan. Siluetnya lebih ketara manakala labuhnya disingkatkan bagi menampilkan sosok tubuh seorang perempuan.

Transisi ceongsam terus berlaku sekitar tahun 1940-an. Fungsinya lebih praktikal terutamanya menjelang musim panas. Ceongsam tanpa lengan dicipta malah rekaan tanpa kolar mula mendapat perhatian.

Akhirnya, ceongsam menjadi busana standard wanita Cina di Asia pada tahun 1960-an. Bagaimanapun, rekaannya mengalami evolusi apabila fesyen Barat mula meresap dalam peradaban manusia di seluruh dunia. Ceongsam dengan belahan pada bahagian sisi mencipta fenomena luar biasa, malah ia menjadi semakin pendek sehingga ke paras lutut.

Ironinya, busana indah kebanggaan kaum Cina itu seakan-akan tenggelam dek arus kemodenan. Generasi muda jarang dilihat menggayakan ceongsam pada acara-acara rasmi mahupun perayaan Tahun Baru Cina. Legasi ceongsam seolah-olah berkubur tanpa diperjuangkan golongan muda.

Perunding pemasaran dan pengiklanan bagi Living Social, G-When, 25, mengakui telah wujud jurang minat dalam kalangan wanita muda berketurunan Cina terhadap ceongsam. Bagaimanapun, busana itu masih menjadi pilihan majoriti perempuan setiap kali tiba Tahun Baru Cina.


CEONGSAM tanpa lengan bersama seluar tiga suku memberikan sedikit aura maskulin.


"Dahulu ceongsam dipakai secara seharian, tetapi hari ini ceongsam hanya menjadi pilihan ketika perayaan dan acara rasmi.

"Saya sendiri memiliki sehelai ceongsam yang diperturunkan daripada ibu. Disebabkan ceongsam itu diperbuat menggunakan material berkualiti tinggi, saya hanya memakainya pada Tahun Baru Cina kerana takut ia rosak jika kerap digunakan," kongsi G-When yang juga model separuh masa.

Tawaran ceongsam moden di pasaran pada masa kini dirasakan efektif bagi membentuk kembali minat remaja Cina terhadap busana itu. Tambah G-When, inisiatif tersebut mampu mengingatkan anak-anak muda terhadap asal-usul dan tradisi masyhur kaum Cina.

"Ia bukan sahaja menjadi perlambangan masyarakat Cina di seluruh dunia malah membentuk identiti unik kepada kami yang berada di Malaysia.

"Setiap bangsa di negara ini mempunyai pakaian tradisional tersendiri dan ceongsam memang dikenali sebagai busana rasmi kaum Cina," ujar G-When yang menyifatkan Tahun Baru Cina sebagai waktu terbaik bagi keluarga berkumpul selepas tidak berjumpa untuk tempoh yang lama.

Ceongsam batik

Sutera dan kapas sentiasa mendominasi pilihan pereka fesyen yang bercadang menghasilkan sehelai ceongsam. Motif flora dan pohon kecil antara simbol utuh dalam frasa ceongsam. Begitupun, olahan unik daripada cetakan berbeza pada ceongsam seperti corak geometri mahupun polos, telah membenarkan individu kreatif bereksperimen dalam penghasilan ceongsam.

Melvin Shah, pereka fesyen tempatan menjadi antara individu yang berani mereka ceongsam yang bertentangan daripada konsep asal. Ceongsam batik menjadi pertaruhan Melvin sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang hujung minggu ini.

Batik eksperimentasi yang disediakan dalam rona terang seperti merah, biru dan ungu gelap itu dikhabarkan menggunakan teknik shibori yang amat terkenal di Jepun. Perincian dari segi penghasilan batik itu menjadikan ceongsam unik Melvin sebagai busana kategori klasik moden.

Menurut Melvin, ceongsam batik turut mengangkat sentimen ketimuran dari segi penghasilan kolar mandarin. Ia juga menggunakan zip belakang yang mudah tanpa sebarang butang.

Selain rekaan baharu itu, Melvin turut menjadikan ceongsam sebagai panduan bagi mencipta koleksi musim bunga/panas 2013. Bertemakan Oriental Opulance, elemen Cina pada persalinan ciptaan pereka dari Kuala Lumpur itu jelas dilihat pada kolar Shanghai yang diterapkan.

"Kolar ceongsam mempunyai kategori yang berbeza dari segi ketinggian dan lebar. Pada dasarnya, kolar Shanghai memang direka tinggi kerana di luar negara, ia sangat berguna ketika musim sejuk.


CEONGSAM yang diperkenalkan Lady Aixingioro Hengxiang ini popular pada era pemerintahan Guangxu sekitar tahun 1875 sehingga awal 1900.


"Kolar yang tinggi juga membuatkan leher wanita tampak lebih jinjang. Koleksi saya kali ini memang dihasilkan dengan kolar tinggi agar nilai elegan dan eksklusif itu mampu ditonjolkan.

"Setiap helaian Oriental Opulance, kecuali dres, didatangkan bersama seluar kembang pada bahagian atas dan kecil di bawah (harem) tiga suku," jelas Melvin ketika ditemui Stailo.

Gemilang broked

Mungkin ramai pereka akan berfikir panjang apabila memilih material broked untuk menghasilkan rekaan mereka terutama sekali ceongsam yang natijahnya dikenali sebagai busana ringan.

Secara amnya, broked merupakan kain tebal yang diperbuat daripada sutera dengan tenunan benang emas atau perak. Jadi, berbalik kepada peradaban lampau Cina, memang diakui broked berasaskan sutera sangat sebati dalam penciptaan ceongsam.

Dalam konteks Malaysia, material broked pernah melalui era gemilangnya sekitar tahun 1960-an. Kemegahan kain tersebut terbukti menerusi gaya yang ditampilkan barisan artis pada era tersebut. Perlahan-lahan ia menjadi material wajib untuk busana perkahwinan menjelang tahun 1980-an dan 1990-an.

Hari ini, konsepsi broked sering dikaitkan dengan terma negatif. Istilah 'ketinggalan zaman' adalah antara konotasi biasa didengar tentang broked. Namun, usaha Melvin menaikkan semula ceongsam broked perlu diberi pujian.

Ujarnya, ketepatan konsep membuatkannya memilih broked sebagai fabrik utama. Hasilnya amat menakjubkan. Motif flora tampak berseri dalam lingkaran benang emas yang menghiasi busana indah itu. Corak yang melatari busana-busana itu juga dilihat berjaya menggendong simbol Tahun Baru Cina kali ini iaitu ular.

Ceongsam tersebut diolah seakan-akan jaket berbutang tengah dan setiap helaian ditampilkan dalam potongan berbeza. Busana berlengan panjang diberi potongan ramping pada pinggang bagi menyerlahkan sifat feminin pada si pemakai.


IKLAN sabun di Shanghai pada tahun 1930-an ini menunjukkan dua wanita dalam busana ceongsam.


"Ceongsam broked tanpa lengan pula menggunakan potongan lurus agar sisi kekuatan wanita itu dapat diterjemahkan dengan sempurna," tambah Melvin yang memberitahu, warna firus, hijau jed, oren dan fuchsia menjadi rona dominan dalam koleksi tersebut.

Disebabkan ceongsam broked itu sudah sarat dari segi mainan warna, motif dan material, pemilihan aksesori perlu diminimumkan. Kata Melvin: "Sekiranya ingin menambah aksesori, pakai anting-anting jed atau rantai mutiara agar sesuai dengan konsep busana tersebut. Pastikan solekan yang dikenakan juga nipis agar tidak membayangi pakaian.

Potongan klasik penyeri Tahun Ular

Posted:

Potongan klasik penyeri Tahun Ular

Potongan klasik penyeri Tahun Ular

Oleh HAFIZ AHMAD


TABURAN motif flora menambah seri pada potongan ceongsam paras lutut.


BERTUAHNYA Malaysia apabila seluruh masyarakat dapat merasai kepelbagaian budaya di samping bersama-sama meraikan sambutan hari perayaan setiap kaum yang terdapat di negara kita.

Tidak lama lagi, Tahun Baru Cina akan disambut dan ia bakal dimeriahkan lagi dengan busana rona merah terang. Tentunya persalinan tradisional ceongsam menjadi pilihan pada hari tersebut.

Persalinan tradisi sememangnya indah dipakai bagi mengekalkan aura klasik bersempena sambutan perayaan. Jika renyah dan tidak selesa, pilih busana dengan gaya kontemporari dan dipadankan dengan seluar atau skirt mini.

Bagi memberikan gambaran pengolahan gaya tradisi yang diberi sentuhan terkini, Mayfair hadir dengan tujuh persalinan yang dipercikkan rona-rona ceria dan sederhana terang, bersesuaian konsep perayaan Tahun Baru Cina.

Ciri-ciri keaslian terserlah dalam koleksi istimewa Mayfair yang mengambil inspirasi gaya era 20-an hingga 40-an.

Seimbas lalu, pesona yang diketengahkan itu ibarat gaya wanita molek yang terdapat dalam poster kalendar Shanghai pada era tersebut. Ia jelas kelihatan pada rekaan, potongan, fabrik, motif dan kemasan butang buatan sendiri.

Koleksi tersebut banyak menggunakan motif-motif klasik seperti bunga-bungaan. Selain itu, rekaannya beralun cantik dan mengikut badan tampak menarik dipadankan bersama kasut bertumit tinggi atau bertumit rata.


USAH segan menyarungkan busana tradisi kerana padanan yang menarik memberi impak menawan.


Pemilihan fabrik perlu diambil kira agar bersesuaian dengan keadaan suhu tempatan. Mayfair menggunakan material seperti kapas halus kerana sifatnya yang selesa dipakai selain fabrik kait yang fleksibel menghasilkan siluet yang cantik mengikut alur tubuh badan.

Rangkaian ini merangkumi pakaian yang direka untuk perayaan biasa dan acara formal, dengan jahitan kemasan yang rapi, top berwarna terang yang sesuai dipakai ke mana-mana sahaja.

Mayfair tidak sekadar menyajikan variasi pilihan rekaan terbaharu malah pemakai boleh memilih untuk membuat ukuran sendiri memandangkan butik tersebut menerima tempahan eksklusif.

Kardigan kimono

Posted:

Kardigan kimono

Kardigan kimono

Oleh ALIF ABU BAKAR


BUSANA dengan rona senada menyerlahkan imej keayuan.


PERKEMBANGAN fesyen muslimah semakin rancak dalam pasaran tempatan. Kemunculan pelbagai rekaan berciri Islamik mendorong ramai wanita muda mencuba nasib dalam bidang perniagaan butik pakaian.

Umum mengetahui, fesyen muslimah telah berkembang selari dengan peredaran zaman. Tiada lagi definisi sempadan bagi kaum Hawa yang berhijab, malah kebijaksanaan mereka membentuk imej muslimah ranggi, sedikit sebanyak membuka mata dunia bahawa perempuan Melayu mampu tampil dengan rekaan ikonik tersendiri.

Daripada tudung kepada turban, blaus kepada kaftan dan kini kardigan sendat mampu diolah menjadi kardigan dengan potongan separuh berkonsep kimono.

Seorang arkitek, Sufiah Muhadzir, 27, yang senang dipanggil Suezir, antara individu kreatif yang menghasilkan rekaan tersebut. Niat ingin mencuba pada awalnya mencetuskan idea Suezir bagi mengetengahkan rekaannya untuk dipasarkan.

"Jarang orang tampil dengan kardigan singkat yang kembang dan saya mendapat inspirasi daripada kimono Korea. Ringkas, selesa dan mudah disuai padan menjadi fungsi utama pakaian ini.

"Selalunya kardigan perempuan agak ketat dan menunjukkan potongan badan. Memandangkan rekaan ini untuk wanita bertudung, saya jadikan ia kembang agar menepati etika kesopanan.

"Kardigan kimono merah misalnya, saya gunakan kain sifon dengan tiga jalur warna. Si pemakai perlu pakai inner atau blaus polos yang bersesuaian dan padankan bersama seluar seakan-akan palazzo rona merah. Lengkapkan gaya dengan tudung dwiwarna senada.

"Seluar pula menggunakan material satin dan singkat pada paras buku lali dan mempunyai poket dan ruang tali pinggang," ujar Suezir.

Kardigan kimono potongan kelawar (batwing) juga menarik untuk dicuba si gadis genit. Pilihan 10 warna seperti kuning mustard, coklat, kelabu, hitam dan firus pasti menyerlahkan imej remaja.

Bagi penampilan yang lebih elegan, cuba sarungkan kimono serong labuh yang kelihatan seperti kaftan potongan separuh. Fabrik sutera sifon yang digunakan membuatkan pakaian tersebut selesa dan sesuai digayakan pada acara makan malam atau santai.

Sekiranya anda seorang yang suka bermain dengan warna blok, padankan bersama seluar rona terang seperti kuning mustard. Gantikan tudung dengan turban supaya aura glamor baju itu tidak tenggelam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved