Isnin, 4 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kehidupan etnik Lundayeh

Posted:

Kehidupan etnik Lundayeh

Kehidupan etnik Lundayeh

Oleh SITI ZUBAIDAH ABDULLAH

LONG Pasia yang bermaksud mulut Sungai Merah dalam bahasa etnik Lundayeh merupakan sebuah kampung di daerah Sipitang, Sabah.

Kampung ini bersempadanan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia. Long Pasia mempunyai 85 rumah dengan kira-kira 500 orang penduduk.

Satu-satunya jalan darat ke kampung ini terletak kira-kira 125 kilometer dari Sipitang ialah melalui jalan hutan balak. Dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sekurang-kurangnya dua jam melalui jalan raya ke Sipitang. Dari Sipitang mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam dengan pacuan empat roda melalui jalan hutan balak ke Long Pasia.

Penulis disambut dengan hidangan air sejuk apabila sampai di perkampungan ini setelah melalui satu perjalanan yang amat mencabar iaitu jalan hutan balak yang tidak berturap.

Kedamaian diselubungi dengan keindahan rimba semula jadi yang masih belum tercemar memberikan suatu pengalaman yang cukup indah.

Suasana dingin ketika angin sepoi-sepoi bahasa meniup seolah-olah membawa penulis berada di Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Menurut Ketua Kampung Lundeyeh yang mentadbir kampung itu selama dua dekad, Mudin Sia, 60, perkampungan Lundayeh kini berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.

Suasana sunyi

Mudin berkata, penduduk kampung kemudiannya berpecah kepada empat buah kampung iaitu Sungai Bunggaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

Kepada mereka yang biasa dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, kunjungan ke Long Pasia ternyata memberikan kesan sebaliknya.


KAMPUNG Long Pasia bersempadan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia.


Selain suasana sunyi pada awal pagi, sesekali kedengaran bunyi salakan anjing. Anjing merupakan haiwan yang paling disayangi di sekitar kawasan berhawa dingin itu.

Kebanyakan penduduk berada di kebun atau berkurung di dalam rumah melakukan rutin harian.

Sukar untuk bertembung mereka sama ada di jalan atau di mana-mana saja pada waktu pagi. Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli.

Sekolahnya tidak begitu jauh dan agak sepi. Melihat kepada kehidupan mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu padi, lada dan pelbagai jenis sayuran.

Jika hendak dikatakan maju dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.

Meskipun hanya mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan, kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Benar, jika berpeluang menjamu selera, tidak cukup sepinggan makan nasi untuk mengenyangkan perut walaupun menu sekadar sardin dengan tiga jenis sayur.

Semuanya kerana keenakan dan kelembutan nasi daripada beras yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas cili api. Masakan mereka ringkas tetapi menyelerakan.

Namun, itulah yang menjadikan perkampungan Lundayeh unik. Ia jauh daripada bunyi deruman kenderaan dan hingar-bingar kehidupan kota, sebaliknya menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar digambarkan.

Long Pasia dan masyarakat Lundayeh berada dalam dunia tersendiri. Mereka melakukan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal yang membabitkan kanak-kanak hinggalah ke dewasa, lelaki mahupun wanita untuk mengisi masa.


PENDUDUK Kampung Long Pasia berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bergerak.


Hakikatnya, meskipun perjalanan ke kampung itu agak memenatkan, namun apa yang pasti ia cukup berbaloi. Bahkan, ia menjadi tarikan pelancong untuk mengunjungi perkampungan itu sekali gus mendekati masyarakat Lundayeh.

Berjalan kaki

Jika dahulu penduduk Long Pasia tidak mampu memiliki kenderaan dan terpaksa berjalan kaki selama lima hari membawa bekalan dengan menggantung beras serta terpaksa bermalam di hutan.

"Pengalaman itu memang perit, kadang-kadang muncul haiwan seperti rusa dan gajah, kami juga sering dibasahi hujan.

"Selain itu, kami juga perlu mendaki jalan yang berbukit-bukit dan menyeberang sungai," kata seorang penduduk Joseph Lakong Angang, 67, yang juga guru pertama di perkampungan terpencil itu.

Angang berkata, pembangunan dan kemajuan mula dirasai di Long Pasia sekitar tahun 1996 dengan kemudahan jalan balak. Mereka yang mahu ke pekan Sipitang boleh membayar tambang antara RM20 hingga RM30.

Antara kemudahan lain di kampung tersebut termasuklah bekalan air paip tenaga solar.

"Perkembangan dahulu dan sekarang dari segi perumahan sudah banyak berubah," katanya yang pencen pada tahun 2003 dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bapa kepada sepuluh anak itu berkata berkata, kehidupan di Long Pasia juga sudah banyak berbeza berbanding ketika beliau mula-mula menjejakkan kaki ke kampung itu pada tahun 1963.


PETA menunjukkan kedudukan Long Pasia iaitu 125 kilometer dari Sipitang.


"Ketika itu, saya berusia 19 tahun dan saya sudah mengajar anak-anak di sini," katanya kepada penulis.

Angang berkata, Sekolah Kebangsaan Native Voluntary School merupakan satu-satunya sekolah di kampung tersebut.

Sekolah yang berdinding buluh itu terletak berhampiran lapangan terbang lama Sipitang yang kini ditukar nama sebagai SK Long Pasia.

"Sekolah yang berlantaikan simen dan menggunakan atap zink itu dibuat dengan bantuan askar dan guru . "Pada masa itu hanya ada empat orang guru termasuk askar sebelum guru tetap dari Kementerian Pelajaran datang," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris dalam kalangan pelajar yang berumur lingkungan 11 hingga 14 tahun.

Beliau mendapat upah RM1 untuk setiap murid selain makan minum daripada orang kampung sebelum kerajaan mengambil alih. Gaji yang beliau peroleh selepas sekolah tersebut diambil alih kerajaan ialah RM105 sebulan sekitar tahun 1971 dan meningkat dari semasa ke semasa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved