Sabtu, 16 Februari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pinjam McLaren hanya untuk drama

Posted:

Pinjam McLaren hanya untuk drama

Pinjam McLaren hanya untuk drama

Oleh NOR SYARIZA MUHD. TAHIR
norsyariza.tahir@kosmo.com.my

GAMBAR yang didedahkan sebuah blog hiburan menunjukkan Rosyam (berdiri kanan) bersama kereta McLaren MP4-12C.


KUALA LUMPUR - Pelakon dan penerbit drama terkenal, Rosyam Nor semalam menafikan dakwaan bahawa dia membeli sebuah kereta mewah jenama McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta di negara ini.

Rosyam, 46, ketika dihubungi memberitahu, kereta yang dibina dengan menggunakan teknologi Formula 1 itu sebenarnya dipinjam daripada seorang rakan untuk sebuah drama lakonannya yang bakal ditayangkan di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi.

"Sumpah kereta itu bukan milik saya. Ia berharga lebih RM3 juta, mana mungkin saya mampu membelinya," tegas pelakon filem Castello itu.

Menurut beliau, meskipun syarikat penerbitan miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. telah banyak menerbitkan drama dan filem tempatan, namun dia menyifatkan kejayaan tersebut belum cukup untuk membolehkan dirinya membeli super car seperti itu.

"Saya bersyukur atas segala rezeki yang telah dikurniakan kepada saya melalui pengiktirafan serta kejayaan yang diperoleh melalui Suhan Movies, namun belum tiba masanya untuk saya memiliki kereta tersebut.

"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa segala kejayaan yang saya peroleh melalui syarikat penerbitan itu adalah hasil daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk para pelakon dan pengarah yang telah banyak memberikan sumbangan serta idea dalam usaha kami menerbitkan drama-drama tempatan," katanya.

Semalam, sebuah blog hiburan tempatan melaporkan bahawa Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin telah membeli sebuah kereta McLaren MP4-12C yang dianggarkan berharga RM3.6 juta.

Turut dimuatkan dalam blog tersebut ialah sekeping gambar yang menunjukkan dia sedang berada di pekarangan sebuah rumah sambil melihat ke arah kereta McLaren yang berwarna hitam itu.

Dalam perkembangan yang lain, Rosyam memberitahu, bahawa dia akan terbang ke Bangkok, Thailand pada minggu hadapan bagi menyiapkan proses terakhir pembikinan filem terbaharu terbitan Suhan Movies iaitu Balistik yang diarahkan oleh Silver.

"Selepas kejayaan filem Castello pada 2006, kini saya kembali di layar perak untuk filem ala gangster yang kedua terbitan Suhan Movies.

"Selain itu, sebuah lagi filem terbitan Suhan Movies berjudul Isyarat Cinta sedang giat disiapkan dan ia diarah oleh pengarah KL Menjerit, Bade Azmi," ujarnya.

Filem pertama terbitan syarikatnya, Castello yang ditayangkan pada tahun 2006 berjaya mencatat kutipan mencecah RM1.56 juta.

Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu juga telah memenangi pelbagai anugerah dalam dunia lakonan.

Robert Kuok masih paling kaya

Posted:

Robert Kuok masih paling kaya

Robert Kuok masih paling kaya

KUALA LUMPUR - Robert Kuok, (gambar), bilionair Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion pada tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda yang menduduki tempat kedua sejak 2004 telah mengalami penyusutan kekayaan apabila ia merosot 23.5 peratus berbanding tahun lepas dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn. Bhd. bernilai RM32.9 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari 2013.

Hong Piow pula mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business terbitan 16 Februari.

Pada 20 Januari lalu, kaji selidik yang dilakukan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan sebagai orang paling kaya di Malaysia mengatasi kekayaan yang dimiliki oleh Kuok.

Menduduki senarai keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan yang melonjak daripada kedudukan keenam pada tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Leng Chan melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group bernilai RM11.09 bilion pada tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya dengan kekayaan berjumlah RM10.6 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.

Tan Sri Lee Shin Cheng melalui syarikatnya IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan.

Kekayaan Kok Thay bertambah sebanyak 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion, manakala Kim Hua bertambah sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King melalui Rimbunan Hijau Sdn. Bhd., berada di tempat kesembilan dengan aset bernilai RM6.35 bilion manakala jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng melalui Hotel Properties Ltd., menduduki tempat kesepuluh dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion. - Bernama

Xenophon mudaratkan Malaysia

Posted:

Xenophon mudaratkan Malaysia

Xenophon mudaratkan Malaysia

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
dan MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA
berita@kosmo.com.my

XENOPHON dihalang daripada memasuki Malaysia ketika tiba dari Melbourne di LCCT, Sepang pagi semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang Senator Australia, Nick Xenophon telah ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dan dihalang daripada memasuki negara ini semalam setelah didapati mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.

Xenophon yang namanya terkandung dalam senarai hitam Jabatan Imigresen tiba dari Melbourne, Australia pada pukul 6.50 pagi ditahan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad yang mengesahkan penahanan itu berkata, akta tersebut melarang orang-orang yang tidak dikehendaki daripada memasuki Malaysia kerana boleh menjejaskan keharmonian, ketenteraman, tatasusila dan norma masyarakat.

"Apabila kita semak sistem, Xenophon merupakan golongan yang tidak diingini dan dilarang masuk ke negara ini kerana mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.

"Xenophon sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan kepada media antarabangsa kononnya Malaysia sebuah negara tidak bertamadun, tidak demokratik dan tidak mengamalkan hak asasi manusia," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Justeru Alias menegaskan, tindakan pihak imigresen menghalang Xenophon daripada memasuki Malaysia adalah wajar kerana beliau boleh menimbulkan suasana tidak baik selain pernah mencemar imej Malaysia.

Katanya, undang-undang seperti itu turut diamalkan negara lain termasuk Amerika Syarikat bagi menyekat individu yang boleh merosakkan ketenteraman daripada memasuki negara mereka.

Menurut beliau, Xenophon yang tiba di LCCT pagi semalam tidak ditahan dimana-mana lokap tetapi ditempatkan di pejabat imigresen sementara menanti penerbangan pulang ke Melbourne pada pukul 10.30 malam tadi.

Tegas Alias, lelaki berusia 55 tahun tersebut menerima layanan baik termasuk diberi makanan dan minuman serta tidak dihalang daripada membuat sebarang panggilan dan turut menerima lawatan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa.

Sementara itu, sekumpulan ahli politik Australia yang menjadi delegasi senator terbabit bagaimanapun membatalkan lawatan ke Malaysia selepas Xenophon tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Delegasi tersebut terdiri daripada Xenophon, Ahli Parlimen parti Liberal, Mal Washer; Senator John Williams dan Ahli Parlimen parti Buruh, Steve Georganas dijadual melakukan lawatan tidak rasmi menjelang pilihan raya umum di Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved