Isnin, 25 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aliff lelaki yang baik - Adira

Posted:

Aliff lelaki yang baik - Adira

Aliff lelaki yang baik - Adira

ADIRA dan Aliff kini selesa menjalinkan hubungan sebagai teman rapat.


HUBUNGAN rapat dan mesra antara penyanyi genit Adira dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz bukan lagi rahsia. Mereka berdua juga tidak lagi menyembunyi hubungan rapat itu, malah telah memuat naik gambar bersama di Instagram baru-baru ini.

Jika diselak lipatan sejarah, kedua-dua mereka sememangnya mempunyai rekod percintaan yang pernah mencetuskan kontroversi.

Adira pernah dikaitkan dengan Hafiz manakala Aliff sudah tentu 'meletup' dengan cintanya bersama pelakon Anne Ngasri yang musnah di pertengahan jalan.

Tidak mengambil pusing sejarah silam masing-masing, baik Adira mahupun Aliff mengakui serasi bersama.

Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi ketika ditemui pada majlis makan malam bersama peminatnya di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia cukup selesa berkawan dengan Aliff dan menyifatkan Aliff sebagai lelaki yang baik.

"Saya selesa berkawan rapat dengannya, bagi saya dia seorang lelaki yang baik, berfikiran terbuka dan mudah dibawa berbincang," akui Adira.

Bagaimanapun kata Adira, hubungan mereka menjadi rapat selepas kontroversi cinta Aliff dan aktres Anne Ngasri berakhir. Enggan mengambil pusing kata-kata orang sekeliling, Adira mahu menjalani kehidupannya dengan cara sendiri.

"Ya, orang pasti tidak berhenti bercakap tentang kisah silam saya mahupun Aliff kerana karier kami sebagai artis. Selagi kami selesa berkawan rapat, saya tidak lihat ia satu kesalahan," tutur penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah itu lagi.

Disoal tentang gambar mereka memakai cincin yang sama dimuat naik ke Instagram, Adira enggan mengulas lanjut kerana bimbang jawapannya akan dijadikan spekulasi pada kemudian hari.

"Itu hanyalah gambar biasa sahaja, jika saya ulas mengenainya, akan timbul pula spekulasi yang baharu. Saya hanya berkawan rapat dengannya, itu sahaja yang boleh saya beritahu," jelas Adira.

Ditebak lagi dengan soalan jika enggan mendedahkan hubungan rapat mereka kepada khalayak kenapa pula dia mengundang Aliff ke majlis makan malam bersama peminatnya yang turut dihadiri ahli keluarga termasuk ibu Adira sendiri?

"Memang saya yang jemput dia atas sebab dia kawan saya. Selain dia, saya juga jemput ramai rakan artis yang lain bukan dia seorang sahaja. Tidak ada sebarang agenda sebalik itu. Hubungan Aliff dengan keluarga saya biasa-biasa sahaja tidaklah terlalu rapat," ujarnya.

Idam konsert solo

Jika dilihat perjalanan kerjaya seni Adira, dia antara penyanyi yang cukup bertuah kerana mempunyai deretan lagu popular sejak keluar daripada program Akademi Fantasia musim kelapan.

Popular dengan lagu Ilusi dan Ombak Rindu, kerjaya Adira dilihat antara penyanyi yang berjaya berbanding rakan seperjuangannya yang lain.

Pada majlis makan malam yang pertama kali dianjurkan oleh kelab peminatnya itu, persembahan Adira persis mengadakan mini konsert solo dengan menyanyi lapan buah lagu.

Tersenyum mendengar pujian itu, anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu memberitahu sebagai penyanyi dia turut mengidam untuk mengadakan sebuah konsert solo suatu hari nanti.

"Memang saya simpan cita-cita dan impian untuk mengadakan sebuah konsert solo jika diberi peluang. Cuma sekarang saya tidak berani meletakkan sebarang sasaran untuk mengadakan konsert kerana belum ada sebarang perancangan ke arah itu.

"Kalau diberi peluang dan mempunyai penaja, memang saya teringin sangat. Itu kemuncak kerjaya seorang penyanyi, saya ingin berjaya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain yang berjaya mengadakan konsert solo. Mungkin perjalanan ke arah itu masih panjang tetapi saya tidak akan berhenti berusaha," ujarnya tegas.

Tahun ini, penyanyi putih melepak ini bertambah sibuk apabila album penuh pertamanya dijangka keluar pada tahun ini.

Ceria bercerita tentang albumnya, katanya, sudah lama dia menantikan kemunculan sebuah album sejak bergelar penyanyi.

"Akhirnya, album pertama saya akan berada di pasaran pada tahun ini juga. Terdapat lima buah lagu lama dan lima buah lagu baharu. Pembikinan album sudah hampir selesai, malah kulit album juga sudah ada.

"Jujurnya, memang saya tidak sabar untuk mempunyai album penuh sendiri. Saya harap apabila album ini keluar kelak, peminat akan menyukainya kerana saya telah meletakkan fokus saya seratus peratus ketika proses rakaman dan keseluruhan pembikinan album," luahnya.

Selain menyanyi, Adira juga telah bergelar pelakon selepas berlakon dalam beberapa drama khas untuk keluaran raya dan juga drama bersiri pertamanya iaitu Tiara lakonan bersama Aliff.

Masih belajar tentang ilmu lakonan beritahu Adira, dia hanya berlakon jika mempunyai kemampuan sahaja.

"Saya suka berlakon tetapi saya masih perlu banyak belajar tentang lakonan. Selepas Tiara saya belum terlibat dalam mana-mana drama kerana apabila berlakon saya harus memberi fokus seratus peratus.

Penggambaran drama Tiara dilakukan ketika bulan Ramadan, waktu itu jadual nyanyian saya agak kosong, sebab itu saya boleh berlakon.

"Buat masa sekarang disebabkan jadual saya yang padat, saya tidak mampu untuk beri komitmen. Saya tidak mahu menerima tawaran tetapi akan menyusahkan orang lain dan tidak mampu berlakon dengan baik.

"Sudahlah saya baharu nak belajar berlakon, kalau terikat dengan kerja lain, saya kepenatan dan tidak dapat beri fokus sebab itu buat masa ini saya fokus pada nyanyian terlebih dahulu," tuturnya.

Rai bersama peminat

Bercerita lanjut mengenai majlis makan malam bersama peminat, katanya itu adalah kali pertama majlis seumpama itu diadakan bersama kelab peminatnya, Adira Fans Club. Sudah lama dirancang sejak bulan Disember tahun lalu, Adira berpuas hati apabila dapat membuat persembahan khas buat peminatnya sahaja.

"Sebenarnya peminat yang beri cadangan untuk anjurkan majlis seperti ini. Melihat kepada sambutannya, saya terharu kerana ada yang datang dari Sabah dan negeri-negeri lain semata-mata untuk bersama saya dalam majlis ini," katanya lagi.

Meskipun bayaran RM80 dikenakan pada setiap orang, majlis itu penuh dengan 400 orang peminat, malah pada saat-saat akhir mereka terpaksa menambah meja untuk memenuhi kehadiran di luar jangkaan itu.

"Tidak sangka ramai yang datang hari ini sampai terpaksa ditambah meja. Bagi saya majlis ini sangat berjaya dan selepas ini saya akan mengadakan majlis yang sama di negeri kelahiran saya di Sabah. Rasanya sudah lama peminat di sana menantikan majlis seumpama ini," tuturnya.

Selain persembahan Adira, majlis malam itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi veteran Uji Rashid dan celoteh pengacara majlis Sharifah Shahora yang mencuit hati.

Cuma apa yang kurang disenangi adalah persembahan tidak sopan dan keterlaluan penari-penari maknyah yang dikenali sebagai paper doll.

Mengulas lanjut mengenai persembahan kurang sopan itu, kata Adira, dia sendiri tidak menyangka persembahan tersebut akan diadakan dan meminta maaf bagi pihak penganjur.

"Saya tahu akan ada persembahan paper doll tetapi kami tidak sempat nak berlatih kerana pada waktu siang dewan itu digunakan untuk sebuah majlis perkahwinan, Kami hanya masuk pada pukul 6 petang sahaja.

"Jadi, saya tidak tahu bagaimana corak persembahannya. Memang saya juga terkejut kerana pakaian mereka agak terdedah. Saya minta maaf sangat, selepas ini saya akan lebih berhati-hati supaya kejadian yang sama tidak akan berulang," ungkapnya.

Wings diiktiraf kali kedua

Posted:

Wings diiktiraf kali kedua

Wings diiktiraf kali kedua

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

MASIH berbisa. (Dari kiri) Eddie, Black, Awie dan Joe kembali menggegar Istana Budaya dengan konsert Rockestra yang bakal berlangsung dari 26 hingga 30 April ini.


PADA hakikatnya, diberi peluang mengadakan sebuah konsert di tempat berprestij seperti Istana Budaya adalah sesuatu yang dapat dibanggakan. Ini kerana ia boleh dianggap sebagai pencapaian tertinggi seseorang artis atau selebriti itu apabila dapat menghiburkan penonton di situ.

Wings tidak terkecuali. Setelah berkecimpung dalam industri muzik selama 27 tahun lamanya, pencapaian kumpulan rock legenda Malaysia itu cukup mengagumkan. Ini kerana, bukan sekali, tetapi dua kali Wings berjaya mendapat kepercayaan pihak Istana Budaya untuk mengadakan konsert.

"Dengan bangga saya mengatakan, Wings merupakan kumpulan rock pertama yang berjaya membuat persembahan di atas pentas Istana Budaya. Sejujurnya, kutipan tiket bagi konsert Wings dua tahun lalu adalah antara yang tertinggi bagi program yang dibuat di sini.

"Melihat kepada kejayaan yang dicapai, sekali lagi kami bakal mempersembahkan konsert Wings yang diberi judul Wings Rockestra pada bulan April kelak," ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejayaan konsert Wings yang diberi judul sebagai Opera Hidup pada tahun 2011 benar-benar mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat mereka di seluruh Malaysia.

Jika Opera Hidup menampilkan Superfriends dan bekas anggota Wings yang turut mewarnai persembahan, kali ini mereka tampil bersendirian.

"Konsert kali ini memang kami akan tampilkan kejutan buat peminat yang hadir. Jika dahulu kami bawakan beberapa orang di atas pentas untuk bersama kami, kali ini agak istimewa.

"Hanya kumpulan Wings sahaja yang akan beraksi di atas pentas dan saya seorang sahaja yang akan menyampaikan lagu-lagu daripada Wings," tutur vokalis Wings, Awie yang turut hadir bersama anggota lain iaitu Joe, Eddie serta Black.

Pada konsert Wings yang kali ini diberi judul sebagai Rockestra, vokalisnya, Awie bakal menyampaikan 20 buah lagu dalam konsert yang berdurasi selama 2 jam 30 minit ini.

Sama seperti lokasi dua tahun lepas iaitu di Panggung Sari, Istana Budaya, Wings juga sekali lagi akan bekerjasama dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer.

"Kali ini, kami akan menyampaikan sebuah lagu dari album baharu dan selebihnya merupakan lagu popular kami yang jarang dibawakan ketika konsert.

"Setakat ini, latihan telah pun dijalankan dan kami akan menggunakan konsep yang segar dan peminat pastinya akan terhibur dengan persembahan kami kelak," kata pula Joe yang menggalas tanggungjawab bersama sebagai Pengarah Muzik bagi konsert tersebut.

Konsert ini bakal menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya selama empat hari berturut-turut bermula dari tarikh 26 April hingga 30 April 2012 bermula pukul 8.45 malam.

Sesiapa yang berminat, tiket Wings Rockestra boleh dibeli secara online menerusi http://www.ticket2u.com bermula dari harga serendah RM69 hingga RM499.

Zul kekasih saya! - Gayatri

Posted:

Zul kekasih saya! - Gayatri

Zul kekasih saya! - Gayatri

Oleh HARYATI KARIM

REAKSI Gayatri ketika memberikan jawapan tentang hubungannya dengan Zul ketika dia ditemui media pada 22 Februari lalu di Kuala Lumpur.


HUBUNGAN cinta antara pelakon Zul Ariffin, 26, dan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an, bukan lagi rahsia selepas Zul sendiri mengakui mereka sedang bercinta.

Bagaimanapun selepas Zul membuat pengakuan bercinta dengan Gayatri kepada Kosmo! pada 25 Disember tahun lepas, Gayatri dilihat seolah-olah melarikan diri daripada memberi sebarang kenyataan mengenai hubungan mereka.

Bersua dengan Gayatri yang kebetulan turut menghadiri majlis tayangan perdana filem Lawak Ke Der 2 di Cathay Cineplex, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita ini mempunyai sebab tersendiri mengapa sebelum ini dia melarikan diri daripada pihak media.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Gayatri.

Kosmo!: Benarkah Zul merupakan kekasih Gayatri seperti yang didedahkan Zul kepada Kosmo! sebelum ini?

GAYATRI: Zul adalah kekasih saya dan kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Sebenarnya kami telah bersama sejak empat bulan yang lalu. Saya mula kenal dia ketika dia berlakon dalam filem Penanggal dan kami mula rapat selepas penggambaran filem Bikers Kental.

Apakah yang membuatkan Gayatri tertarik kepada Zul?

Dia seorang lelaki yang baik, kelakar, seorang yang matang dan amat menghormati keluarga saya. Apabila saya sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Saya telah membawanya berjumpa keluarga saya.

Bagaimanakah dengan jurang usia, adakah memberi kesan dalam hubungan kalian?

Soal usia saya tidak fikir sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi, usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih berusia, bukannya sesuatu yang pelik

Jika sudah suka sama suka, kenapa sebelum ini anda dilihat seperti melarikan diri dan enggan memberi kenyataan tentang hubungan ini?

Saya bukan sombong dan tidak melarikan diri. Cuma pada waktu itu bukanlah waktu yang sesuai untuk saya bercerita tentang kisah cinta pada semua orang. Saya terharu kerana dia mengaku cintakan saya dan apa yang dilakukan saya sangat hargainya.

Hubungan kalian telah diketahui umum, bagaimana pula dengan kerjaya Zul bersama Tayangan Unggul?

Hanya kerana dia kekasih saya dia akan dapat banyak tawaran daripada Tayangan Unggul? (ketawa). Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada Tayangan Unggul kerana syarikat mempunyai prosedur yang ketat dalam memilih pelakon.

Andai masih ada yang bercakap mengenai Zul menerima tawaran Tayangan Unggul kerana anda kekasihnya?

Saya sudah kerja sejak tahun 1996, rasanya semua orang tahu bagaimana cara kerja saya. Apabila saya bekerja tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved