Ahad, 24 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nilai estetika rumah kayu

Posted:

Nilai estetika rumah kayu

Nilai estetika rumah kayu

S UASANA Kampung Sijangkang yang terletak di Kuala Langat, Selangor pada pagi itu agak dingin dan lembap gara-gara hujan lebat. Perjalanan yang mengambil masa selama satu jam dari ibu kota itu terbantut seketika setelah memasuki laluan kecil di kampung itu.

Meskipun percubaan mencari Jalan Seri Tanjung gagal, akhirnya menemukan kami dengan pemilik rumah kayu yang popular di kampung tersebut iaitu bekas seorang usahawan, Ahmad Ali, 50.

Bergerak 50 meter ke kawasan rumah tersebut, kelihatan sebuah binaan kayu berwarna coklat gelap yang tersergam indah di atas hamparan rumput yang menghijau.

Kehadiran kami disambut mesra oleh seorang lelaki yang tampil ringkas berkemeja rona biru, seluar panjang dan bersongkok. Sambil mengukir senyuman dan menundukkan kepala tanda hormat, dia memperkenalkan diri lalu mempelawa masuk ke dalam rumah.


RUMAH ini seringkali menjadi tumpuan orang ramai kerana sarat dengan elemen tradisional.


Ketika melangkah masuk hawa sejuk dan nyaman menyapa kami. Perasaan kagum menyelubungi tatkala melihat keunikan jubin lantai yang berwarna-warni diselangi kepingan papan dan batu sungai.

Setiap inci dalam rumah tersebut pasti mengingatkan seseorang pada ciri sebuah rumah kampung kerana selain reka bentuk, ia siap dengan kelengkapan dan barangan antik seperti kipas, suis lampu, penghias dinding dan lampu.

Selain itu, keunikan ukiran dan bentuk kayu di bahagian dinding, atap, tingkap dan tangga nyata menyerlahkan keaslian rumah berkenaan. Kediaman yang diperbuat daripada kayu mempunyai keistimewaan dan nilai estetika yang tersendiri.

TANGGA belakang untuk memudahkan anak dara naik ke atas rumah.


Apatah lagi dikelilingi pohon-pohon yang menghijau di halaman rumah dan dihiburkan dengan kokokan ayam. Kedamaiannya meresap ke dalam hati. Diajak bercerita mengenai rumah itu, Ahmad memberitahu, dia terpanggil untuk mendirikan rumah tradisional itu kerana tidak mahu unsur-unsur Melayu lenyap begitu sahaja.

Hasrat untuk membina rumah kayu itu bermula selepas salah seorang rakannya yang berasal dari Perancis mengunjungi Malaysia. Warga Perancis itu meluahkan perasaan janggal kepada Ahmad selepas melihat sebuah lukisan rumah kayu tradisional yang tergantung di dinding.

HASIL ukiran kayu membangkitkan nostalgia.


"Dia bertanya kepada saya, kenapa sukar untuk melihat rumah kayu di ibu kota sedangkan ia melambangkan identiti orang Melayu," ujarnya yang terkesima dengan pandangan tersebut.

Anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu mula merancang untuk membina rumah kampung tradisional lalu membuat keputusan menjual kondominiumnya yang terletak di Shah Alam.

Daripada maklumat yang diperoleh daripada seorang rakannya, Ahmad kemudian membeli sebuah rumah kayu yang berusia 70 tahun di Teluk Intan, Perak yang bernilai RM2,000. Menurut Ahmad, rumah lama yang dibeli itu dirobohkan untuk dibina semula di Sijangkang menggunakan kayu sedia ada.


SEBAHAGIAN dinding di ruang tamu dihiasi dengan kelarai.


"Saya kitar semula kayu lama itu kerana ia lebih kering, tahan lama dan lebih keras kerana kayu baharu memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk kering," tutur bapa kepada tiga anak itu.

Bagaimanapun, hanya sebahagian kayu lama boleh digunakan, selebihnya menggunakan kayu baharu. Bagi membina istana idamannya, hampir 20 tan metrik kayu digunakan.

Antara jenis kayu yang digunakan ialah cengal dan resak kerana kualitinya yang tinggi. Menurut anak jati Tanjong Karang, Selangor itu pembinaan rumah tersebut mengambil masa selama empat tahun. Pembinaan rumah yang didirikan di atas tanah yang berkeluasan satu ekar (0.4 hektar) itu mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan kerja-kerja yang rumit selain memerlukan ketelitian yang tinggi.

Malah, sebahagian rumah tersebut didirikan tanpa paku selain sambungan tanggam iaitu kayu kecil untuk menampung binaan dan pasak.

Ilham kembara

Ahmad yang gemar melancong sentiasa mengambil kesempatan itu untuk mencari idea-idea baharu dengan mengunjungi kedai-kedai kayu.

"Saya akan berbincang dengan tukang kayu dan berkongsi idea-idea yang diperoleh sepanjang pengembaraan. Jika tiada masalah mereka akan membina mengikut cita rasa saya," katanya.

Menyentuh mengenai ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, kayu ukiran itu terdiri daripada kayu-kayu yang terpakai. Selain untuk tujuan hiasan, ia juga menggalakkan aliran udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah. "Itu mungkin dulu," pintas Ahmad.


UKIRAN Asma Ul Husna menghiasi hiasan dalaman rumah Ahmad menjadi ciri-ciri yang menarik.


Tatkala melangkah masuk ke ruang tetamu yang terletak di atas tingkat itu kedengaran bunyi keriut papan lantai yang bergesel antara satu sama lain.

"Bunyi itu biasa bagi lantai kayu tetapi jangan khuatir kerana rumah ini mampu menampung lebih 100 orang," katanya sambil tersenyum.

Kepingan papan segi empat panjang yang berwarna merah dan hijau yang terletak di ruang tamu menarik perhatian mata yang memandang. Sangkaan penulis ia tulisan kaligrafi Cina tetapi ia sebenarnya ukiran nama-nama Allah.

"Saya beli ukiran ini pada harga RM12,000 di Changlun, Kedah kerana pembeli asalnya menghadapi masalah kewangan," jelasnya yang menyifatkan hiasan itu menarik perhatian sesiapa sahaja yang bertandang ke rumahnya. Ghairah bercerita tentang kepingan tulisan Asma Ul Husna itu, dia memberitahu 'istananya' itu turut mempunyai tiga tangga.

Berasa agak janggal dengan jumlah tangga itu, Ahmad menjelaskan, ia memudahkan anak dara naik ke atas rumah itu melalui laluan belakang.

"Seorang saudara terdekat menasihatkan supaya mendirikan tangga yang berselindung untuk memudahkan kaum wanita masuk ke rumah jika tetamu bertandang ke rumah," ungkapnya sambil memberitahu terdapat empat buah bilik di rumah tersebut.

Antara cabaran memiliki rumah kayu ialah serangan anai-anai dan haiwan pemusnah lain. Namun, Ahmad tidak menganggap ia sebagai satu cabaran sebaliknya menganggap ia merupakan fitrah alam.

PERALATAN elektrik lama seperti suis lampu ini menambah rasa nostalgia pada rumah kayu ini.


Kaedah semburan

"Manusia mempunyai otak dan teknologi, jadi kita perlu mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sebarang masalah yang datang dalam kehidupan. Begitu juga dengan masalah anai ini," sambung Ahmad penuh falsafah.

Beliau hanya menggunakan kaedah semburan bagi menghapuskan perosak kayu itu selain melakukan pemerhatian berkala di kesemua sudut rumah. Selain masalah itu, jelas Ahmad, terdapat kesan kayu reput akibat hujan lebat.

Begitupun, tidak banyak kesan kebocoran. Dalam pada itu, dia memberitahu rumahnya juga sering kali menjadi pilihan ramai pengarah untuk penggambaran drama yang melibatkan suasana kampung dan sambutan hari raya.

"Saya tidak tahu bagaimana mereka tahu tentang rumah saya ini. Namun, saya tidak pernah menolak permintaan mereka kerana memang sukar untuk mendapatkan rumah tradisional Melayu," katanya yang percaya setiap tetamu membawa rezeki yang berbeza-beza.

Walaupun telah menghabiskan ratusan ribu ringgit, dia mengakui puas memiliki rumah itu kerana beranggapan ia khazanah berharga yang tiada tolok bandingan.

Menyentuh tentang perancangan masa depan, beliau bercadang mendirikan chalet di kawasan kediamannya kepada sesiapa yang ingin meraikan majlis perkahwinan di rumahnya.

Pemulihan Sungai Pasig

Posted:

Pemulihan Sungai Pasig

Pemulihan Sungai Pasig

Kerajaan pusat Filipina mengambil langkah drastik mengubah imej sungai utama Manila, Sungai Pasig yang tercemar teruk. Namun, ia dikhuatiri mengambil masa yang lama kerana kerajaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah setinggan yang membanjiri sepanjang Sungai Pasig.


PELBAGAI jenis sampah sarap memenuhi Sungai Pasig menyebabkan air sungai itu tidak mengalir sekali gus mengeluarkan bau busuk.




KERJA-KERJA pembersihan Sungai Pasig telah mula dijalankan sejak dua tahun lalu.




SEORANG kanak-kanak berdiri di sebuah jambatan sambil menunjukkan air Sungai Pasig yang hitam.


BEBERAPA orang budak lelaki menjerit dalam kegembiraan sambil melompat dari atas jambatan ke dalam sungai. Tidak jauh dari situ, nelayan tetap setia dengan mata kail masing-masing mencari rezeki di sungai berkenaan.

Ia merupakan gambaran suasana kehidupan penuh gembira penduduk suatu ketika dahulu, sebelum Sungai Pasig di Filipina bertukar menjadi toksik.

Namun, semua itu sudah lenyap di Sungai Pasig.

"Cuaca sangat panas. Kami tidak mempunyai tempat lain untuk berenang dan melarikan diri daripada haba panas ini," kata Christian Ivanes yang berusia 16 tahun.

Ivanes merupakan antara ratusan penduduk setinggan haram yang membina kediaman daripada kayu dan plastik di bawah jambatan serta tepi Sungai Pasig.

Mereka adalah tanda komuniti terdesak di mana-mana bandar besar Asia yang terkenal kerana kemiskinan melampau.

Tanpa pilihan, mereka terpaksa hidup di tepi Sungai Pasig, seolah-olah sungai itu masih bersih seperti dahulu.

Adakalanya mereka terpaksa meredah plastik dan sampah sarap yang terapung di dalam air hitam untuk bergerak dari satu rumah ke satu rumah.

Tidak terkecuali bau busuk yang kuat membuktikan betapa limpahan air kumbahan dan sisa perindustrian tidak dirawat di sungai itu.

"Pernah juga terjadi, ada orang yang mempunyai luka yang belum bertaut meredah masuk ke dalam sungai ini. Tidak lama kemudian dia sakit kerana mendapat jangkitan teruk lalu meninggal dunia," kata Gina Lopez, seorang penggerak kempen alam sekitar yang memacu usaha terbaharu kerajaan untuk membersihkan Sungai Pasig.

Sistem perairan

Pihak pemerintah membelanjakan 10 bilion peso (RM743 juta) setahun untuk mentransformasi sistem perairan dan kesemua 47 anak sungainya, ujar Gina.

Separuh daripada wang tersebut sedang diusahakan untuk memindahkan kira-kira 300,000 penduduk setinggan yang tinggal di sepanjang tebing dan anak sungai, yang dikenali penduduk tempatan sebagai esteros.

"Selagi terdapat penduduk haram yang hidup di sepanjang esteros, menggunakan tempat itu sebagai tandas dan membuang sampah sarap, usaha pembersihan tidak dapat dilakukan. Jadi kami perlu bermula dari situ," tegas Gina.

Suruhanjaya tersebut telah membersih dan memulihkan empat esteros sejak 2010, apabila Presiden, Benigno Aquino mengambil alih kuasa dan melaksanakan program itu, terangnya.

Suruhanjaya itu berhasrat untuk memulakan tugas yang sama di lebih 16 anak sungai lagi tahun ini.

Di Estero de Paco, sebatang anak sungai sepanjang 2.9 kilometer yang merupakan sungai paling dicemari beberapa tahun dahulu di bandar Manila, rumah-rumah pondok telah diganti dengan laluan pejalan kaki dan dipenuhi pokok-pokok, manakala mesin rawatan air kini dipasang di tengah-tengah tumbuh-tumbuhan.

Lebih daripada 1,300 keluarga atau kira-kira 6,500 setinggan, yang tinggal dalam jarak kira-kira tiga meter daripada saluran itu telah dipindahkan, manakala penjual di pasar berhampiran telah berhenti membuang sampah ke dalam air.

Berpindah

Program dengan syarikat-syarikat air tempatan demi meningkatkan kemudahan kumbahan juga telah dilaksanakan.

"Kami kini boleh berjoging di sepanjang laluan ini dan anak-anak kami tidak perlu pergi ke tempat lain untuk bermain," kata Evelyn Quitala, 51, yang menggelarkan Estero de Paco sebagai rumahnya sepanjang hayat.

Walau pun esteros kelihatan jauh lebih baik hari ini namun, airnya masih teruk tercemar, kata Javier Coloma Brotons, seorang pakar pembangunan bandar di Bank Pembangunan Asia.

Beliau menambah, transformasi seluruh sistem air itu boleh mengambil masa beberapa dekad untuk diselesaikan.

Antara pelbagai masalah yang diutarakan beliau ialah kekurangan loji rawatan kumbahan dan pekerja-pekerja terlatih untuk mengendalikan loji, gerai-gerai niaga kecil yang bertindak membuang sisa ke dalam air dan pencemaran daripada industri.

Coloma Brotons juga memberitahu bahawa Sungai Pasig sepanjang 27 kilometer yang menghubungkan Laguna de Bay, tasik terbesar di Filipina, dengan Teluk Manila mengalami pasang surut.

Ini bermakna pencemaran dari Teluk Manila yang luas, termasuk sisa dari pelabuhan urut memberi kesan kepada sungai itu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved