Jumaat, 4 Januari 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Jamu selera paling aneh

Posted:

Jamu selera paling aneh

Jamu selera paling aneh

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID

MAKAN dalam keadaan gelap gelita dan mata ditutup dengan pengikat khas seperti di restoran di New York ini meningkatkan ketajaman rasa.


DIA selamba mengambil sekeping keropok ikan, lalu di atasnya diletakkan gumpalan rumpai laut yang digoreng garing. Lelaki yang berasal dari Montreal, Kanada itu kemudian mengambil secebis isi ketam lelabah Alaska dari pinggan hidang lain lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas rumpai tersebut.

Sebagai tambahan, beberapa potong cili api turut ditaburkan ke atas kepingan 'resipi' spontan tersebut sebelum diakhiri dengan sos manis berhalia yang menyengat tunas rasa di lidah.

Tanpa menunggu lama, dia menyuapnya sekali gus ke dalam mulut hingga mengundang ketawa kecil orang lain yang melihat teletahnya di meja makan sebuah restoran makanan laut di Petaling Jaya, beberapa bulan lalu.

Begitulah Bob Blumer, pengembara kulinari bertaraf selebriti yang popular melalui beberapa rancangannya sebelum ini seperti The Surreal Gourmet dan Glutton for Punishments.

Menilai sifat dan minat Bob, soal makanan baginya adalah suatu keseronokan dan kegembiraan. Setiap yang dirasainya merupakan sebuah perjalanan merentasi dimensi gastronomi dan lapisan budaya yang bervariasi.

Kunjungannya ke Kuala Lumpur sedikit masa lalu adalah untuk mempromosikan rancangan terbaharunya iaitu World's Weirdest Rastaurants yang bakal menemui penonton pada pukul 9 malam setiap Isnin, bermula 7 Januari 2013 di saluran TLC (Astro 707).

"Ia adalah sebuah program yang diedit mengikut gaya klip pantas MTV. Setiap episod bersiaran selama 30 minit dan anda akan menyaksikan empat segmen menarik mengenai kunjungan saya ke beberapa buah restoran di destinasi berbeza," ujarnya yang sudah menginjak usia separuh abad.

World's Weirdest Restaurants merupakan program 13 episod yang menyaksikan Blumer dan kru penerbitannya meneroka keunikan 52 buah restoran di banyak lokasi menarik. Antara negara yang dilawati untuk menjayakan rakaman program itu ialah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jeppun, Taiwan, Thailand, Jerman, Republik Czech dan England.

"Setiap satunya menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana yang ekstrem dan luar biasa.

"Daripada restoran yang menjadikan monyet-monyet sebagai penghantar hidangan hinggalah kepada restoran bogel di New York. Seterusnya, menikmati kari yang dihidang dalam mangkuk tandas di Taiwan dan makan malam di dalam rumah agam berhantu di England," kongsi Bob.

DI restoran Jepun ini, monyet-monyet ditugaskan untuk menghantar sashimi, ayam goreng dan bir kepada pelanggan.


Ayam meriam

Tambah lelaki yang kini menetap di California, AS itu, penonton pasti menzahirkan pelbagai emosi tatkala menonton rancangannya - ketawa, jijik, terkejut mahupun terdiam tanpa mampu mengulas apa-apa.

"Dalam kunjungan ke sebuah restoran di Bangkok, saya sangat tertarik pada gaya salah satu menu dihidangkan. Sajian menu ayam seekor itu bermula dengan ia disumbatkan ke dalam sebuah meriam.

"Ayam itu seterusnya ditembakkan ke udara dalam keadaannya yang terbakar. Ia 'melayang' ke satu sudut restoran seperti bola api yang marak menyala.

"Bukan disambut dengan pinggan, sebaliknya ayam itu ditusuk dengan pencucuk daging yang terlekat di atas topi seorang lelaki yang menantikannya. Lebih hebat, lelaki itu perlu menusuk ayam itu sambil mengimbangkan dirinya di atas unicycle (ekasikal atau basikal satu roda)," cerita Bob teruja.

Asia istimewa

Benua Asia memang sentiasa menakjubkan orang Barat, termasuk Bob sendiri. Selain kekayaan warisan tradisi dan keistimewaan rempah ratus yang menyuntik 1,001 palet rasa, orang Asia juga menurut Bob, kreatif dalam menjalankan bisnes berkaitan makanan.

"Di Jepun, saya singgah pula di sebuah restoran yang memerlukan pelanggan memancing sendiri menu makan malam mereka. Kedengarannya biasa, tetapi ada kelainannya.

"Terdapat sebuah kolam 'misteri' di tengah-tengah restoran. Berbekalkan joran, mereka akan mula memancing. Jika umpannya mengena ikan yang biasa, mungkin memadai untuk bajet yang dirancang pada malam itu.

"Namun, jika umpan itu disambar ikan yang besar dan berharga mahal, pelanggan itu perlu membayarnya juga!" Kata Bob yang pernah menghasilkan enam judul buku masakan terlaris sepanjang kariernya.

GAYA jenaka Bob yang menikmati ketam lelabah Alaska di sebuah restoran makanan laut di Petaling Jaya, sedikit masa lalu.


Suka teh

Dengan wajah dan aksi seperti orang muda, ramai juga yang bertanya tentang rahsia Bob menjaga kesihatan. Mengakui dirinya seorang yang gila makan, Bob mendedahkan bahawa dia akan mengimbangkannya dengan membuat senaman walaupun dalam kesibukan jadual kerjaya dan penerbangan.

"Saya sentiasa membawa bersama peralatan senaman ringkas berupa tali regangan. Ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis rutin yang melatih keanjalan dan kekuatan otot.

"Walau sedang berehat dalam bilik hotel, saya boleh lakukan beberapa set ulangan untuk kekal bertenaga. Tentunya saya tiada pantang dalam soal makan, cuma saya tidak minum kopi," ujarnya yang lebih menggemari teh.

Bob sempat memuji betapa Malaysia beruntung kerana memiliki latar etnik yang berbeza dan kepelbagaian itu banyak menyumbang kepada eksperimentasi dunia kulinari.

Dia menambah, walau lidahnya berteraskan selera ruji daging, sayur dan kentang seperti yang lazim dinikmati di negara asalnya, Bob mengakui resipi yang pedas dan berempah seperti yang ditemui di Thailand dan Malaysia bukan masalah buatnya.

"Anda ada cadangan mengenai restoran yang pelik di Malaysia? Kalau ada, tolong beritahu saya. Musim kedua penggambaran World's Weirdest Restaurants sedang berjalan dan kami perlukan idea lagi," usiknya namun menunggu jawapan positif.

Pesona suri rumah tambat hati juri

Posted:

Pesona suri rumah tambat hati juri

Pesona suri rumah tambat hati juri

DARI kiri: Biruntha, Harvinderjit dan Alwizah masing-masing tersenyum bangga dan bergaya dengan replika cek kemenangan mereka.


MENJELANG penghujung tahun lalu, 26 wanita yang bergelar ibu menanti dengan penuh debar. Bukan kerana menantikan kelahiran cahaya mata baharu tetapi debaran menantikan siapakah antara mereka bakal dinobatkan sebagai juara dalam saingan Glowing Youthful Mother Contest 2012 yang diadakan di KLCC Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Walaupun sudah berusia 30 tahun ke atas, para ibu yang bertanding tampil anggun bergaya kelihatan sebaya dengan Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/2011, Nadia Heng dan pelakon, Corinne Adrienne yang bertindak selaku pengacara pada malam gala tersebut.

Menyarungkan busana 26 pereka fesyen daripada Bumiputera Designer's Association (BDA), para ibu tersebut begitu yakin mengatur langkah di pentas peragaan laksana ratu cantik.

Saat para peserta memperkenalkan diri dan mendedahkan usia masing-masing, kedengaran para hadirin melahirkan rasa tidak percaya kerana fizikal serta raut wajah mereka kelihatan jauh lebih muda daripada usia.

Para ibu yang bertanding pula bukan calang-calang orang kerana dalam kalangan mereka merupakan peguam, penganalisis perniagaan, pensyarah, guru, setiausaha, pengarah pegawai bank, eksekutif dan suri rumah.

Selain mengenakan gaun menarik, para finalis juga turut mempersembahkan gerak tari ala senaman. Ketika inilah, anak-anak dan suami dapat melihat bakat terpendam ibu dan isteri masing-masing mengatur langkah tari mengikut ritma lagu.

Persaingan sengit menyukarkan barisan juri selebriti undangan yang terdiri daripada Amber Chia, Bon Zainal, Daphne Iking dan Noniswara Baharuddin membuat keputusan.

Begitupun, berdasarkan pemerhatian juri terhadap keyakinan dan penampilan finalis ketika beraksi di pentas, tiga daripada 26 finalis telah dipilih untuk mara ke pusingan akhir.

Tiga finalis yang berjaya tersebut ialah Harvinderjit Kaur Dharm Singh, 31, Biruntha Letchumi Mooruthi, 32, dan Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal, 38. Mereka kemudian diuji dengan beberapa soalan mengenai penjagaan kecantikan dalaman yang perlu diselesaikan dalam masa satu minit.

Jika tahun lalu gelaran Glowing Youthful Mother 2011 dinobatkan buat ibu kepada dua anak, Toh Mi Mi yang juga seorang peguam, bagi tahun ini gelaran tersebut menjadi milik seorang suri rumah popular iaitu Harvinderjit Kaur.

Ternyata pesona Harvinderjit yang ceria dan yakin membuatkannya lebih menyerlah berbanding yang lain.

Kemenangan tersebut melayakkan ibu beranak satu dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

Tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Alwizah dan Biruntha Letchumi yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000.

Dalam pada itu, Pengarah Serantau Mega Lifesciences Sdn. Bhd., Sudhir Gandhi memberitahu, peraduan tersebut dianjurkan untuk para ibu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang memainkan peranan besar dalam pembentukan keluarga.

"Kesemua finalis peraduan ini berjaya membawa mesej gaya hidup sihat luaran dan dalaman serta pentingnya mikronutrien dalam kehidupan," ujarnya. - NURUL IZZA ROSLY

Lee Kum Kee beri sumbangan

Posted:

Lee Kum Kee beri sumbangan

Lee Kum Kee beri sumbangan


SEBAHAGIAN daripada penghuni rumah kebajikan yang gembira menerima lawatan daripada pasukan jenama Lee Kum Kee.


JIKA sebelum ini, syarikat-syarikat korporat menghulurkan bantuan berbentuk barangan mahupun kewangan kepada pusat-pusat jagaan kanak-kanak, lain pula pendekatan yang diambil jenama pengeluar sos dan perasa asli terulung, Lee Kum Kee (Malaysia).

Pada lawatan ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, syarikat tersebut membawa seorang chef untuk menyediakan makanan kepada 120 kanak-kanak yang menginap di pusat berkenaan.

Chef Wilson menyediakan tiga hidangan iaitu nasi ayam belanga, ayam udang goreng rangup dan nasi goreng sos XO.

Program yang berlangsung pada pukul 10 pagi itu bukan sekadar membawa chef untuk memasak kerana golongan kanak-kanak dan penjaga pusat di situ turut diberi panduan untuk menyediakan makanan yang berkhasiat dan lazat dengan menggunakan sos Lee Kum Kee dengan cara mudah dan cepat.

Menurut Pengurus Jenama Lee Kum Kee, Yvonne Teh, pihaknya sebelum ini menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dalam bidang pendidikan.

"Pada kebiasaan, kami akan membina sekolah untuk pelajar-pelajar yang kurang kemampuan supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

"Namun, kali ini kami membawa tukang masak dan nyata mereka gembira kerana dapat melihat program memasak secara lebih dekat," katanya ketika ditemui di pusat jagaan itu baru-baru ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan beg sekolah dan enam karton sos tiram kepada pusat itu.

Selain pusat berkenaan, empat lagi rumah kebajikan menerima empat karton Sos Tiram Panda serta buku resipi Chef Wan. Rumah berkenaan adalah Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, PJ Caring Home, Agathians Shelter dan PJ Sunshine Home.

Sehubungan itu, pihaknya juga bercadang menganjurkan lebih banyak aktiviti bersama masyarakat menerusi demonstrasi masakan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved