Jumaat, 4 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Urusan fardu kifayah lebih sistematik

Posted:

Urusan fardu kifayah lebih sistematik

Urusan fardu kifayah lebih sistematik

KEHIDUPAN dalam dunia yang serba moden ini menyaksikan bermacam-macam kemudahan perkhidmatan ditawarkan kepada masyarakat oleh pelbagai pihak.

Tidak terkecuali, terdapat syarikat yang menawarkan perkhidmatan bagi menguruskan mereka yang sudah meninggal dunia.

Perkhidmatan pengurusan mayat yang dikendalikan syarikat swasta kebiasaannya ditawarkan kepada masyarakat bukan Islam sahaja. Ia mencakupi segala hal berkaitan pemilihan keranda, majlis penghormatan terakhir serta lokasi perkuburan yang sesuai.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan tersebut kini mula ditawarkan kepada masyarakat Islam di negara ini yang meliputi semua aspek daripada memandikan jenazah sehingga proses pengkebumian mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.

Lengkap dengan khidmat rundingan, syarikat bumiputera MyJenazah.com antara yang terawal menawarkan khidmat seumpama itu di negara ini.

Syarikat itu juga turut mengendalikan urusan dokumentasi termasuk pendaftaran kematian dan permit perkuburan serta hal pengangkutan jenazah ke tanah perkuburan tidak kira jarak jauh mahupun dekat.

"MyJenazah.com ditubuhkan untuk mewujudkan sistem pengurusan jenazah berlandaskan prinsip Islam yang sistematik dan bersepadu serta menjadi pelengkap badan khairat sedia ada.

"Di samping memberi perkhidmatan, ini juga merupakan salah satu cara kami berdakwah kepada orang awam khususnya kepada ahli keluarga atau waris si mati", kata Ketua Pegawai Eksekutif MyJenazah.com, Mohd. Yusni Ismail yang berhasrat untuk menjadikan pengurusan jenazah sebagai pekerjaan yang profesional.

Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu walau bagaimanapun tidak terhad kepada memandikan, mengkafan dan pengkebumian.

Ia juga menawarkan khidmat bernilai tambah seperti majlis khatam al-Quran, zikir tahlil, upah haji, pengurusan tanah wakaf, pembuatan batu nisan serta wang saguhati untuk diberikan kepada waris bagi meringankan beban keluarga si mati.


PENGURUSAN jenazah lengkap hingga ke liang lahad.


Wakil seluruh negara

Syarikat yang mengendalikan antara 15 hingga 20 jenazah sebulan itu mempunyai lebih 1,000 wakil di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Wakil yang dilantik dalam kalangan qariah surau atau masjid itu bertanggungjawab menguruskan jenazah bagi pihak MyJenazah.com di kawasan tersebut atau yang berhampiran.

Walaupun segala urusan dilakukan oleh wakil yang telah dilantik, namun MyJenazah.com tidak mengabaikan tanggungjawab yang patut dilaksanakan waris kepada jenazah dengan meminta mereka turut serta dalam pengurusan tersebut.

"Kami tidak mahu segala urusan diserahkan seratus peratus kepada pengurus jenazah kerana tanggungjawab mengurus jenazah juga terletak di bahu anak-anak terhadap ibu bapa mereka yang telah pergi dan untuk mereka berbakti kepada ibu bapa buat kali terakhir," ujarnya.

Selain memberikan perkhidmatan yang lengkap , masa yang diambil untuk menguruskan jenazah juga dapat dilakukan dengan cepat dan efisien.

Seorang wakil pengurus jenazah dari Masjid Bukit Indah, Ampang, Habidin Rashidi, 60, memuji inisiatif yang dilakukan oleh Yusni kerana ia dapat menjimatkan masa dan dapat meringankan beban waris.

"Apa yang dilakukan oleh MyJenazah.com adalah sangat bagus kerana ada pihak yang sanggup menolong menguruskan jenazah dan tidak semua masjid menawarkan khidmat tersebut. Jika ada pun, yang tidak berapa lengkap.


MELALUI perkhidmatan MyJenazah.com, pengurusan si mati dapat dilakukan dengan lebih efisien.


"Sebelum ini, saya menguruskan jenazah secara sendirian dan masa yang diambil untuk menyelesaikannya agak lama kerana segalanya perlu diuruskan sendiri tetapi kini dengan kemudahan yang mereka ada, proses pengurusan jenazah menjadi lebih mudah," ujarnya.

Menurut Habidin lagi, kekurangan orang mendekati masjid menjadikan seseorang itu sukar untuk mendapatkan bantuan daripada pihak masjid jika berlaku kematian.

Ia terjadi kerana pihak yang diminta untuk menguruskan jenazah itu tidak mengenali individu yang patut dihubungi untuk sama-sama menguruskan si mati.

Menjadikan pengurusan jenazah satu perniagaan bukan suatu kesalahan pada Habidin kerana ia dianggap sebagai usaha untuk menjalankan tuntutan fardu kifayah yang wajib diketahui oleh umat Islam.

"Bagi saya, perniagaan seperti ini bagus kerana pada zaman sekarang sudah kurang orang yang boleh menguruskan jenazah. Ia juga boleh mewujudkan satu sistem pengurusan yang lebih cekap, moden dan efektif.

"Sekarang ini memang ramai yang pergi mengikuti kursus pengurusan jenazah, tetapi apabila diminta untuk menguruskan jenazah, mereka tidak berani dan tiada keyakinan.

"Apabila ada syarikat seperti ini, sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah seperti itu," tambah Habidin.

Persediaan awal

Bagi Kaswadi Kamaruddin, 43, mengambil pakej yang disediakan oleh MyJenazah.com adalah langkah yang baik bagi dirinya sebagai persediaan apabila meninggal kelak.

"Segala perkara yang kita lakukan perlu ada perancangan, sama seperti majlis perkahwinan. Maka, kita perlu ada perancangan dan persediaan untuk menghadapi kematiani.

"Kita tidak tahu masa, tempat dan keadaan ketika kita meninggal kelak, jadi persediaan awal sangat penting. Sekurang-kurangnya, keluarga tidak perlu bersusah payah mencari orang yang boleh menguruskan jenazah kita.


SIJIL pengurusan jenazah yang menghidap HIV/AIDS daripada Jabatan Kesihatan Negeri.


"Jika saya meninggal di luar kawasan qariah tempat tinggal, keluarga tidak perlu fikir tentang siapa yang perlu dihubungi untuk membawa jenazah saya pulang tetapi hanya menghubungi MyJenazah.com dan mereka akan menguruskan segalanya," jelasnya.

Pendapat beliau disokong oleh Adriana Chin Abdullah, 39, seorang mualaf yang memeluk Islam sejak 1998. Adriana yang juga seorang ibu tunggal mempunyai tiga orang anak bimbang sekiranya anak-anaknya tidak boleh menguruskan jenazahnya kelak.

"Saya dapat tahu terdapat perkhidmatan seperti ini ketika ibu saudara saya meninggal dunia suatu masa dahulu. Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu, seorang sepupu menjumpai laman web MyJenazah.com.

"Pada hari ibu saudara saya meninggal dunia, saya berfikir mengapa tiada orang Islam yang menjalankan perniagaan seperti yang ditawarkan oleh orang bukan Islam.

"Ia amat berguna kepada mualaf seperti saya yang tidak berpengalaman dalam hal pengurusan jenazah," ujarnya.

Jelas Adriana, bayaran yang dikenakan oleh MyJenazah.com semasa pengurusan jenazah ibu saudaranya adalah berpatutan jika dibandingkan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh orang bukan Islam yang mampu mencecah ratusan ribu ringgit.

"Jika orang sanggup membeli telefon pintar sehingga RM2,000 lebih, mengapa mereka tidak boleh memperuntukkan sejumlah wang yang lebih rendah daripada itu untuk menguruskan jenazah keluarga dengan sempurna.

"Berkonsepkan takaful, pakej yang ditawarkan oleh MyJenazah.com memudahkan kita membuat persediaan menghadapi kematian dengan bayaran bermula serendah RM80 setahun," katanya dengan tenang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved