Rabu, 16 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hiasan tradisi raja sehari

Posted:

Hiasan tradisi raja sehari

Hiasan tradisi raja sehari

PEMASANGAN sanggul lintang memerlukan nilai kesabaran dan ketelitian yang tinggi.KETIKA menghadiri majlis perkahwinan anak saudara perempuannya yang memilih konsep ala Barat sebagai tema, nostalgia dan detik-detik manis kala persandingannya tidak semena-mena menerjah minda.

Pada waktu itu, Noraini Ahmad, 53, tampak anggun dalam persalinan kurung broked merah bersulam emas dan bersanggul lintang di kepala.

Jauh di sudut hati wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu berputik sekelumit rasa bangga. Bangga dan bertuah kerana berpeluang menggayakan perhiasan tradisi yang suatu ketika dulu cukup popular. Bahkan, pernah menjadi kebanggaan kaum wanita Melayu di Melaka.

"Walaupun saya berasal dari Perak, ahli keluarga sebelah suami yang menetap di Melaka sangat kuat berpegang kepada adat dan tradisi.

"Selepas dicadangkan oleh arwah ibu mertua supaya menggayakan sanggul lintang pada hari persandingan, saya terus bersetuju," katanya mengimbau saat-saat indah sewaktu bergelar raja sehari tiga dekad lalu.


PEMASANGAN sanggul lintang memerlukan nilai kesabaran dan ketelitian yang tinggi.


Menceritakan pengalamannya memakai sanggul lintang Noraini memberitahu, selain perlu menempuh proses yang panjang, dia terpaksa menahan kesakitan dari awal proses pemakaian sehinggalah selepas sanggul itu ditanggalkan.

"Proses pemakaian sanggul lintang mengambil masa yang agak lama kerana banyak cucuk sanggul dan berutas-utas bunga pelbagai warna digunakan untuk mencipta lapisan demi lapisan supaya ia nampak bertingkat-tingkat," katanya menyifatkan pengalaman memakai sanggul lintang itu sebagai sesuatu yang sangat berharga.

Adat Melayu

Menurut Noraini, pada peringkat awal mak andam meletakkan sanggul lintang, kulit kepala saya terasa seperti ditarik-tarik. Jelasnya, batang pisang seberat 500 gram dan panjang 38 sentimeter disalut dengan rambut palsu. Kemudian ia diikat kemas pada rambut sebelum cucuk sanggul disemat kemas.

Akibat terlalu berat, kulit kepala Noraini sedikit bengkak dan kemerahan selepas sanggul itu ditanggalkan.

Bagi anak jati negeri Melaka, Suriani Muhammad, 23, yang akan melangsungkan majlis perkahwinannya awal tahun ini, bakal menggayakan sanggul lintang sebagai hiasan di kepala pada majlis malam berinai besar.

"Ibu bapa saya sangat mengutamakan adat Melayu lama.

"Dua orang kakak saya juga pernah menggayakan sanggul lintang pada hari perkahwinan mereka. Jadi, sebagai anak kelahiran Melaka, tidak salah rasanya bagi saya untuk meneruskan tradisi pemakaian sanggul lintang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


SANGGUL yang dijadikan perhiasan oleh kerabat Kesultanan Melayu Melaka ini menjadi simbol raja sehari.


Suriani mengakui dia berasa bangga kerana menjadi salah seorang daripada generasi muda yang bakal menggayakan perhiasan kepala itu pada majlis perkahwinannya.

"Bagi saya, sifat sanggul itu yang sarat dengan pelbagai aksesori dan motif bunga-

bungaan boleh menutup bahagian depan rambut saya.

"Saya hanya perlu meminta mak andam supaya menutup bahagian belakang rambut dengan hiasan lain seperti bunga kertas cina ataupun bunga melur segar," tambah Suriani.

Di Melaka, kelompok individu yang arif tentang pemakaian sanggul lintang boleh dibilang dengan jari. Justeru, perkakasan dan cara-cara pengendaliannya perlu diturunkan kepada waris yang sesuai agar ia tidak pupus di telan zaman.

Norazlinda Husin, 37, yang aktif dalam industri andaman di Melaka cukup sinonim dengan proses andaman secara tradisional terutama pemakaian sanggul lintang.

"Saya mula belajar mengandam selepas tamat zaman persekolahan kerana minat yang sangat mendalam terhadap dunia solekan dan kecantikan.

"Selepas tamat belajar, saya mengikuti kursus andaman yang dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada tahun 1993, lalu mengusahakan perniagaan andaman sendiri," ujarnya.

Warisi kepakaran

Ibu kepada lima orang cahaya mata itu menambah, ibu mertuanya yang juga pemilik sanggul lintang asli Melaka menjadi punca dia tertarik untuk mewarisi kepakaran andaman dan cara-cara memasang sanggul lintang mengikut teknik yang betul.

"Kebetulan ibu mertua saya memiliki set andaman sanggul lintang asli dan dia juga ada meminta saya untuk menjadi pewaris bagi ilmu mengandam menggunakan sanggul lintang. Disebabkan minat yang terlalu mendalam, saya bersetuju untuk mewarisi pusaka hiasan kepala itu," ujarnya yang ketika ini menjadi pembantu tetap ibu mertuanya.

Sementara itu, pengarah butik perkahwinan dan perancang majlis Lumiere Concept Wedding Planner, Anwar Arshad menjelaskan, pemilihan sanggul lintang yang lebih moden dan ringan menjadi trend masakini kerana ia mudah didapati, lebih murah dan menjimatkan masa.


NORAINI dalam persalinan kurung broked dan bersanggul lintang ketika persandingannya tiga dekad lalu.


"Ramai bakal pengantin yang mahu kelihatan anggun tanpa melalui proses andaman yang panjang, justeru pemilihan sanggul lintang moden sering menjadi ikutan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, menurut Anwar, dia turut mencadangkan kepada mereka untuk memakai sanggul lintang asli bagi memperlihatkan aura sebenar ketika memperagakannya pada hari perkahwinan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved