Rabu, 16 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Salam Musik lali kritikan

Posted:

Salam Musik lali kritikan

Salam Musik lali kritikan

SEBUAH gabungan antara muzik moden dan rentak tradisional disulam lirik sarat makna tersirat lalu menghasilkan sebuah komuniti pejuang muzik yang dikenali sebagai Salam Musik.

Pengenalan yang amat ringkas, imej unik dan ideologi muzik untuk rakyat diperjuangkan sejak awal penubuhan kumpulan yang kini sudah mengandungi 10 orang anggota tetap.

Salam Musik barangkali masih asing kepada telinga yang biasa mendengar lagu-lagu bergenre pop, rock atau muzik underground sementelah punk.

Ini kerana hala tuju kumpulan itu sebenarnya memperjuangkan muzik bersifat reggae dan santai.

Bercerita mengenai matlamat Salam Musik, ujar vokalisnya, Ashraaf Salam A. Azlan atau lebih dikenali dengan nama Salam, kedua-dua buah album kumpulan itu yang telah diterbitkan memberi fokus yang sama iaitu mencipta muzik untuk rakyat.

"Memandangkan usia kebanyakan ahli kumpulan Salam Musik hampir sama, kami lalu menumpukan kepada elemen unification (kesatuan). Apabila menghasilkan sesebuah album, objektif kami adalah untuk menghasilkan lagu untuk rakyat dan paling tinggi harapan kami semoga seluruh masyarakat mendengar lagu-lagu kami.

"Jika ditanya mengenai anugerah atau apresiasi seperti Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) baru-baru ini, kami bersyukur sekiranya rezeki kami masih ada lagi untuk tahun ini.

"Sejujurnya, kami tidak mengharapkan penghargaan kerana kami ikhlas memperjuangkan lagu untuk rakyat," katanya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran album kedua Salam Musik berjudul, O di The Bee, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai impak selepas pengiktirafan Album Terbaik AIM 19 tahun lalu itu, tambah Salam, kumpulannya kini lebih dikenali dan muzik mereka lebih kerap didengari umum.

"Apabila lebih banyak pendengar, kami boleh memohon geran daripada kerajaan untuk membuat album ketiga, klip video dan siri jelajah kelak," ujar Salam penuh berharap.

Siri jelajah Eropah

Menghuraikan lebih lanjut perancangan Salam Musik pada masa akan datang, katanya, kumpulan itu bakal menjayakan konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah sebagai persediaan awal menembusi pasaran antarabangsa.


SALAM MUSIK mempertaruhkan album keduanya berjudul O yang berkisar mesej dan muzik yang lebih padu.


"Insya-Allah, pada bulan Julai ini kami akan membuat konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah antaranya London dan Belanda. Alasan kenapa mahu ke sana adalah kerana negara mereka lebih kecil dan pengangkutan di sana, tidak seperti di Amerika Syarikat serta ada rangka perjalanan yang sesuai untuk konsert kami.

"Tambahan, genre kami sangat asing di sana dan mereka lebih tertarik dengan produk yang kami persembahkan walaupun mereka tidak biasa mendengar muzik yang diselitkan dengan bunyi irama tradisional seperti alat muzik gamelan, tabla dan gambus," kata Salam yang pernah membuat persembahan bersama seorang anggota kumpulan itu iaitu Pisang di Belanda pada bulan Julai tahun lalu.

Bercerita mengenai progres Salam Musik, ujar Salam, kumpulannya telah berkembang daripada tiga orang ahli dan kini menjadi 10 anggota tetap, malah kadang-kadang boleh melibatkan sehingga 15 orang ahli pada satu-satu masa.

"Salam Musik ini ibarat sebuah komuniti yang terdiri daripada ahli-ahlinya berlatar belakang berbeza contohnya pelukis, penari dan penulis. Hasrat kami adalah satu - memperjuangkan muzik irama tradisional yang menjadi akar umbi kita tapi diselitkan dalam notasi moden," ujar Salam yang memulakan kerjaya seninya sebagai penari latar sebelum ini.

Selain Salam, kumpulan itu dianggotai oleh Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar) dan Kamal Razali (gitar).

Sejajar dengan perjuangan muzik rakyat seperti yang disifatkan Salam sebelum ini, album kedua mereka itu juga menerapkan penekanan serupa sepertimana prinsip Salam Musik.

Kata Salam: "Album kedua kami ini berdasarkan kisah sebenar dalam bentuk metafora, diharapkan pendengar boleh menjalinkan makna itu sendiri."

Album O

Memperincikan penjelasan tentang kenapa huruf O dipilih sebagai judul album kedua Salam Music itu, ujar Salam, ia merupakan simbol yang menginterpretasikan banyak maksud, antaranya sifat universal huruf itu sendiri yang berorientasikan kesatuan.

"Simbol O mewakili metamorfosis kehidupan yang bercorak sebuah pusingan, sesebuah bulatan itu tidak akan berhenti berpusing dan akan statik dalam kedudukan yang sama selamanya. Lebih jelas juga O itu mewakili maksud kesatuan dan kebarangkalian infiniti serta diterjemahkan sebagai satu unsur yang bebas," jelasnya.

Sangat mendalam dan mempunyai justifikasi tersendiri yang terkandung makna, begitu juga lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu. Ia mengandungi 12 buah lagu yang dikumpulkan daripada ratusan karya ahli kumpulan Salam Musik sejak tahun 2006.

Kata Salam, mereka tidak akan berhenti berkarya menghasilkan pelbagai lagu setiap hari dan hasilnya tidak mustahil untuk memiliki sejumlah lagu yang sangat banyak untuk dipilih.

"Kami konsisten hasilkan lagu setiap hari. Timbul sahaja idea pasti akan diterjemahkan ke dalam lagu. Oleh kerana koleksi lagu sudah banyak, maka kami hanya perlu memilih yang terbaik untuk dikompilasikan ke dalam sebuah album.


AHLI kumpulan Salam Musik sentiasa berubah-ubah tetapi antaranya terdiri daripada (dari kiri) Payung, Kamal, Djambul, Bulya, Salam, Ammar, Eyza, Ezzad dan Adri)


"Album kedua ini juga sebenarnya lebih kurang sama usianya dengan album pertama kami," katanya yang menyifatkan muzik mereka sentiasa berevolusi mengikut peredaran waktu.

Album tersebut, tambah Salam, sebenarnya dihasilkan tahun lepas namun hanya sempat diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Salammusik pada tahun ini.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Arus, Rela, Kotor, Aku Pelat (feat Zion Dread), Your Place, Penawar (feat Pita Hati & Sayla), Jangan Nangis dan Bangkit (feat Altimet).

Debaran Memey, Norman

Posted:

Debaran Memey, Norman

Debaran Memey, Norman

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ROMANTIS. Biarpun sedang sarat hamil, Memey tetap meluangkan masa menemani Norman ke acara rasmi hiburan.


BIARPUN usia kandungan pelakon Memey Suhaiza sudah mencecah lapan bulan, namun dia dilihat masih begitu setia menemani suami tercinta iaitu aktor Norman Hakim ke acara hiburan.

Baru-baru ini pelakon tersebut muncul bersama suaminya ke acara pratonton episod akhir drama bersiri Adam Dan Hawa yang diadakan di The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur minggu lalu.

Menurut Memey, sejak kandungannya mencecah usia lima bulan dia sudah mula menghentikan aktiviti lakonannya dan kini sekadar menghitung hari untuk melahirkan anak sulung.

"Kali terakhir saya berkesempatan berlakon dalam dua telefilem iaitu Aku Bukan Julaibib dan Anakku Kahwin Lagi. Selepas itu, saya tidak lagi berlakon memandangkan perut pun sudah semakin membesar.

"Sepanjang tidak terlibat dalam dunia lakonan saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau menemani suami ke acara-acara hiburan seperti sekarang ini," ujarnya.

Mengenai persiapan menanti kehadiran cahaya mata sulung pula, Memey memberitahu, segala persiapan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dengan bantuan suami.

Ujarnya, menjelang menunggu kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada pertengahan Februari ini dia berasa sangat teruja, tetapi tidak menyembunyikan perasaan berdebarnya.

"Kalau diikutkan perasaan takut itu memang ada kerana ini pengalaman pertama melahirkan anak, namun suami banyak memberikan nasihat memandangkan dia sudah mempunyai pengalaman.

"Setakat ini, keadaan kesihatan saya juga sangat memuaskan dan selepas tujuh bulan mengandung, saya tidak lagi mengalami sebarang masalah termasuk alahan," jelasnya yang akan bersalin di Pusat Perubatan Kohilal, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

Mengenai jantina anak pula, pelakon berkenaan memberitahu, dia dan Norman tidak kisah mengenainya. Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila doktor mengesahkan jantina anak dalam kandungan Memey adalah lelaki.

Sementara itu, Memey menyatakan sepanjang berehat dia sangat merindui dunia lakonan dan sudah merancang untuk kembali berlakon semula selepas bersalin.

Menurutnya, dia beruntung kerana masih diberikan keizinan oleh suami untuk meneruskan kerjaya lakonan.

Cuma sebagai pelakon yang sudah bergelar seorang ibu, kata Memey, dia akan lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon.

"Walaupun suami tidak kisah saya terus berlakon saya tetap perlu menghormati kepercayaan yang diberikan olehnya.

"Apa yang penting saya perlu menjaga kelakuan dan penampilan sebagai seorang isteri dan ibu," ujarnya.

Tidak halang

Norman yang turut ditemui semasa majlis berkenaan berkata, permulaan tahun 2013 ini sangat positif buat dirinya apabila dia meraih tawaran dua drama bersiri sekali gus.

Ketika ini Norman sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Arka dan Tanah Merah, manakala dia juga akan turut membintangi drama KL Drift The Series untuk musim kedua pada bulan Mac ini.

"Meskipun gembira dengan rezeki yang diperoleh ini, perasaan risau itu tetap ada apabila terpaksa meninggalkan isteri yang ketika ini sedang sarat mengandung.

"Apatah lagi kebanyakan penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur dan disebabkan itu saya sentiasa menghubungi isteri sepanjang masa. Namun begitu, saya bernasib baik kerana isteri mampu menguruskan dirinya sendiri," ujarnya.

Pada masa yang sama, Norman menjelaskan dia langsung tidak menghalang isterinya untuk terus berlakon memandangkan mereka berdua menceburi bidang kerjaya yang sama.

"Saya tidak boleh halang apa yang isteri saya minat termasuk berlakon. Cuma apa yang saya harapkan supaya dia dapat membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," ujarnya.

Roslan Shah enggan dedah identiti bakal isteri

Posted:

Roslan Shah enggan dedah identiti bakal isteri

Roslan Shah enggan dedah identiti bakal isteri

Oleh MAHFUZ MOHAMAD


ROSLAN, Syed Ali dan Atu kini muncul sebagai satu pakej khusus untuk persembahan pada majlis-majlis korporat.


PENGACARA dan penghibur yang menjadi peserta pertama tersingkir (bersama pelakon Azam Pitt) daripada program realiti televisyen, Fear Factor Selebriti Malaysia, Roslan Shah tampil dengan imej baharu tahun ini sempena hari lahirnya pada 17 November yang lalu dengan berkepala botak.

Sibuk dengan undangan majlis-majlis korporat, selebriti berusia 41 tahun itu juga mempunyai azam untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini dengan gadis pilihannya.

Bermacam-macam reaksi diterima daripada orang ramai dan peminat mengenai hasrat dirinya untuk mendirikan rumah tangga. Pasti ramai yang terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Roslan.

Adakah ini satu realiti atau sekadar kontroversi yang sengaja dibuat-buat Roslan bagi menarik perhatian masyarakat umum?

Ikuti temu bual Kosmo!, bersama dengan pengacara dan penghibur yang berasal dari Singapura ini ketika dia hadir untuk sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bersama pelakon Syed Ali dan Atu Raja Lawak.

Kosmo!: Bolehkah Roslan ceritakan sedikit tentang imej baharu ini? Mengapa pilih untuk tampil dengan imej sebegini?

ROSLAN: Imej baharu ini sebenarnya adalah nazar yang sudah lama saya simpan dengan membotakkan kepala sempena hari jadi saya pada 17 November yang lalu. Selama ini saya sudah lalui bermacam-macam kontroversi, hinaan, fitnah serta kejian daripada masyarakat dan ini adalah cara saya untuk menonjolkan diri saya yang baharu sempena tahun 2013 ini.

Benarkah Roslan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini?

Ya, berkat doa keluarga dan juga peminat serta sokongan dan semangat yang diberikan, saya akan mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh dedahkan siapakah calonnya. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Kelantan dan sudah tiga tahun saya mengenali dia.

Dia adalah peminat saya dan kali pertama kami berjumpa, dia jemput saya datang ke rumahnya untuk makan tengah hari bersama keluarganya. Semenjak itu kami mula berhubung dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat.

Mengapakah Roslan mahu sorok bakal isteri daripada pengetahuan umum?

Saya bukan nak sorok tetapi tidak mahu perkara lalu berulang. Saya pernah bertunang tetapi sudah putus pada tahun 2004. Ketika itu saya terlampau mendedahkan bekas tunang kepada khalayak sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya terjadi. Biarlah ini menjadi pengajaran buat saya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan lalu. Selain itu, saya menghormati permintaan keluarga dia supaya tidak mendedahkan identiti dirinya kepada umum. Saya juga tidak mahu dia tertekan dengan kutukan dan hinaan orang yang pandang serong terhadap kami.

Bagaimanakah penerimaan dia dan keluarganya terhadap Roslan?

Dia menerima saya seadanya walaupun saya seorang yang panas baran. Paling penting, dia kenal siapa saya yang sebenarnya. Saya sudah bercakap dengan kedua-dua ibu bapa serta adiknya mengenai hasrat saya untuk melamar dia dan mereka setuju. Saya dah anggap mereka macam keluarga angkat.

Keluarga dia terima Roslan dengan tangan yang terbuka, tetapi bagaimanakah pula reaksi orang ramai setelah mendapat tahu Roslan akan berkahwin?

Banyak yang memberikan maklumbalas. Ada yang mengutuk, menghina dan mengeji, tetapi ada juga memberikan semangat dan perangsang terhadap saya dan memberikan sokongan untuk saya terus berkahwin.

Bagaimanakah persiapan majlis perkahwinan itu buat masa ini?

Setakat ini, saya sedang mengumpul duit untuk mengukuhkan lagi kewangan saya. Bukan tiada duit, tetapi untuk menambah lagi simpanan yang ada sekarang. Kemungkinan pada bulan Mac nanti saya akan berkunjung ke rumahnya sekali lagi untuk berbincang mengenai hal-hal perkahwinan kami dan saya bercadang untuk mengadakan majlis itu secara sederhana dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga terdekat sahaja serta media.

Adakah dengan perkahwinan ini dapat menutup persepsi negatif orang ramai terhadap Roslan selama ini?

Mulut orang kita tidak boleh nak tutup, orang akan tetap mengata sepanjang masa. Apa yang saya harapkan hanyalah doa daripada peminat dan sesiapa yang mengenali diri ini untuk menjadi manusia yang lebih baik. Kalau orang mengata, saya akan diamkan diri sahaja. Jika saya melawan semula nanti, boleh jadi pergaduhan pula dan saya tidak mahu ia berlaku. Saya buat benda baik orang mengata, saya buat perkara yang tidak baik lagi orang akan menghentam saya. Jadi, saya akan buat tidak tahu sahaja.

Selain perancangan untuk berkahwin, apakah pula perkembangan terbaharu karier Roslan pada tahun ini?

Tahun ini saya sibuk dengan persembahan pentas untuk majlis-majlis korporat di seluruh negara bersama dengan Syed Ali dan Atu Raja Lawak. Sebenarnya saya ada menawarkan pakej persembahan bersama mereka untuk memberi kelainan dalam persembahan dengan bakat terpendam Syed Ali yang boleh menyanyikan lagu 60-an dan Hindustan ditambah dengan lawak Atu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved