Isnin, 10 Disember 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Pesona pereka busana lelaki

Posted:

Pesona pereka busana lelaki

Pesona pereka busana lelaki

Oleh ALIF ABU BAKAR dan HAFIZ AHMAD

KETIADAAN acara Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) yang diadakan saban tahun tidak memadam gemerlapan dunia fesyen tempatan untuk terus memperjuangkan perjalanan seni pereka Malaysia.

Sudah menjadi adat setiap acara, di sebalik kegemilangan pasti terselit sedikit kelemahan. Namun, kesungguhan dan dedikasi setiap pereka yang berkampung di Menara Matrade, Kuala Lumpur sempena pertunjukan fesyen Passion for Fashion kelolaan Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) pada 27 hingga 29 November lalu harus diberi pujian.

Sedikit mengecewakan adalah rekaan-rekaan busana wanita yang terlalu eksentrik. Rata-rata pereka terlalu mengutamakan kreativiti sehingga mengabaikan matlamat sebenar sehelai pakaian, yang boleh dijual dan disarungkan wanita tanpa rasa ragu-ragu. Pemilihan fabrik dan potongan juga terlalu klise dan paling ketara adalah mainan warna yang kurang menangkap pandangan tetamu jemputan.

Dari satu sudut lain, tumpuan sebaliknya dipusatkan pada kebangkitan rekaan persalinan lelaki. Risiko yang diambil pencipta pakaian pada acara itu membuktikan bahawa negara ini tidak ketandusan pereka busana jejaka.

Kesukaran mencari gaya tersendiri seterusnya mencetuskan idea buat pereka baharu, Waridi Hamdan untuk mencipta rekaan yang seiring penampilan peribadi sang arjuna.

"Memang tidak dapat dinafikan, pasaran fesyen lelaki di Malaysia tidak sebesar golongan wanita. Disebabkan itu, saya mendapat ilham untuk mengembangkan ruang gaya lelaki agar lebih kontemporari," ujar Waridi.

Langkah berani


Rizal berpendapat gaya militari mudah menonjolkan ciri maskulin sang jejaka.


Percubaan julung kali Waridi itu masih boleh dibanggakan. Pada pertunjukan fesyen tersebut, dia mempamerkan tiga koleksi sut dan tiga lagi persalinan kasual khas buat kaum Adam. Suntikan warna-warna lembut melatari koleksi Waridi yang merangkumi pilihan rona ungu muda, merah jambu dan magenta.

"Saya banyak menggunakan material kapas, satin, sifon dan baldu kerana ia lebih sesuai dengan suhu badan lelaki," ujarnya.

Waridi yang sebelum ini memegang portfolio sebagai jurugaya bebas untuk beberapa iklan, filem dan drama tempatan berpendapat fesyen jejaka tidak perlu berlebihan kerana mereka harus mengekalkan aura maskulin.

"Walaupun trend semasa banyak menonjolkan pemilihan rona-rona kontra, namun tidak semua lelaki kelihatan menarik dengan gaya tersebut," tambah Waridi yang ketika ini menerima tempahan menerusi laman Facebooknya, WH Waridi Hamdan.

Gaya militari

Mempunyai pendapat yang sama, pereka busana lelaki, Rizal Latif berkata, gaya seorang lelaki bergantung kepada keadaan dan masa yang turut merangkumi beberapa faktor utama. Ia termasuklah warna, potongan, usia, warna kulit dan bentuk badan.

"Sayangnya mentaliti kebanyakan lelaki di negara kita masih belum terbuka dalam soal penjagaan keterampilan diri," ujarnya.

Rizal menambah, kurangnya pereka busana lelaki turut menyumbang kepada kebergantungan pembeli kepada jenama antarabangsa yang sedia ada.

"Kos yang tinggi menyebabkan ramai pereka kurang mengeluarkan baju sedia pakai. Pelbagai perkara harus difikirkan oleh pereka termasuklah dari segi pembuatan, stok penjualan dan pemasaran yang meluas," ujarnya.

Membawakan konsep Men in Taste of Soldier Style, Rizal cuba menonjolkan sisi maskulin melalui gaya ala askar pada pertunjukan fesyen BDA yang lepas.

"Saya memberi penekanan melalui penggunaan lima fabrik yang bersesuaian dengan imej peribadi jejaka seperti sutera kapas lembut, kain kapas Sea Island dan kapas Mesir, kain bulu putih Itali dan suave korduroi," ujarnya.


Karl Shafek dalam persalinan musim bunga/panas 2013 Fairuz Ramdan.


Fairuz curi perhatian

Pereka yang sinonim dengan koleksi lelaki tempatan, Fairuz Ramdan mencuri perhatian paling besar pada malam gala pertunjukan fesyen tersebut. Kesemua lapan rekaan Fairuz malam itu berjaya membentuk signatur Fairuz dalam konteks penghasilan persalinan lelaki di Malaysia.

Berada dalam kelas tersendiri, Fairuz mempertaruhkan paduan koleksi musim luruh/sejuk 2012 bersama musim bunga/panas 2013.

Membariskan pengacara dan pelakon popular, Karl Shafek dan penyanyi dan bekas peserta rancangan One In A Million (OIAM), Iz, slot Fairuz gamat saat kedua-dua figura itu melangkah penuh yakin dalam persalinan berani.

"Koleksi musim luruh/sejuk lepas dapat dilihat pada sut korduroi ungu dan persalinan yang banyak menggunakan kain tenun.

"Rekaan musim bunga/panas 2013 saya pula menawarkan warna-warna terang bersama fabrik bercetak. Material pula sarat dengan kashmir, kain bulu campur dan kapas korduroi. Saya menggunakan potongan vintaj Itali dan diberi sedikit sentuhan Inggeris.

"Pada pementasan tempoh hari, koleksi FR Bespoke saya diberi suntikan avant-garde dan elemen mewah. Ia bukan bertujuan mencipta gaya eksklusif malah lebih kepada membentuk elemen couture," jelas Fairuz.

Berpandukan inspirasi yang diperoleh ketika melalui zaman kanak-kanak di Scotland, Fairuz tampil berani dengan rekaan kilt yang diubah suai menjadi sehelai item sofistikated yang menguji kejantanan sang arjuna.

Mega Mendung Fiziwoo

Menyorot pandangan pada busana wanita, pujian harus diberikan kepada penerima Anugerah BDA Most Promising Designer yang diumumkan pada malam gala acara tersebut, Mohd. Hafizi Radzi Woo bersama gandingannya, Izree Kai Haffiz atau lebih sebati dengan nama Fiziwoo.

Ketujuh-tujuh rekaan Fiziwoo pada malam itu adalah himpunan koleksi musim bunga/panas 2013 yang bakal dibuka untuk tempahan menjelang Januari depan. Kasual menjadi penampilan asas rekaannya kali ini dan paling penting, ia praktikal untuk dijual dan dipakai orang ramai.


TAMPIL berani dengan sut merah jambu Waridi.


"Saya tidak menekankan apa-apa konsep dan banyak fokuskan kepada dres pendek, sut dan seluar. Istimewanya, saya cuba menjadikan ia gaya mewah (high end) menerusi pembentukan seluar bell bottom, baju berpanel dan dres dengan perincian stad logam. Ia agak maskulin tetapi masih feminin dari segi penggunaan warna dan potongan.

"Mega Mendung menjadi pusat rekaan saya kali ini. Sudah terlalu lama rasanya kita melupakan kehebatan Mega Mendung dan saya cuba mengembalikan kegemilangannya dengan penggunaan warna ungu gelap dan putih.

"Tiada teknik blok warna digunakan agar rekaan tidak kelihatan terlalu 'menjerit' dan keterlaluan. Paling penting, saya masih mengekalkan kekemasan dalam setiap rekaan saya," ujar Fiziwoo yang cukup bersyukur dengan kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini..

Orkid jelmaan feminisme

Posted:

Orkid jelmaan feminisme

Orkid jelmaan feminisme

Oleh ALIF ABU BAKAR


SILUET menjadi keutamaan Khoon Hooi bagi koleksi musim bunga/panas 2013.


KOLEKSI terbaharu Khoon Hooi sempena musim bunga/panas 2013 memetik inspirasi bunga orkid. Menggunakan obsesinya secara menyeluruh terhadap penumpuan teknik dan kraf, rekaan-rekaan kali ini ketara pada stail berstruktur tradisional yang melambangkan kekuatan feminisme dalam berpakaian.

Paduan cetakan orkid berona hitam, kuning burung kenari, biru kobalt dan hijau rimba antara mainan warna yang melatari keindahan hasil kerja Khoon Hooi kali ini.

"Saya suka bereksperimen dengan warna setiap kali tiba musim bunga. Sebagai pereka, tugas saya adalah memilih trend dan menghasilkan pakaian yang dapat memenuhi stail peribadi setiap pelanggan.

"Bagi koleksi kali ini, siluet menjadi fokus utama dan saya menggabungkan ropol berstruktur untuk memberi sedikit provokasi dalam membentuk stail moden," jelas Khoon Hooi ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyennya di KLPAC Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemahiran pereka tersebut terhadap penciptaan pakaian ringkas menggunakan tekstur dan material yang pelbagai terserlah dalam koleksi baharu itu. Khoon Hooi berjaya mengilhamkan busana artistik berkonsep tiga dimensi secara natural.


RINGKAS dan ceria, busana ini sesuai untuk gadis yang sentiasa positif dalam kehidupan.


Bagaimanapun, kehalusan rekaannya kali ini digambarkan sebagai yang paling rumit dari segi penstrukturan tetapi masih berupaya menegaskan nilai feminin dengan dinamik.

"Menghasilkan koleksi baharu pasti memberikan cabaran dan keterujaan yang berbeza kepada setiap pereka. Bagi saya, menyumbangkan inspirasi kepada wanita dalam membentuk gaya individual amat bermakna.

"Sempena musim bunga dan panas akan datang, saya memberi penumpuan pada jaket, peplum dan garisan zip yang dicampurkan bersama pelapik atau cetakan berbunga. Ia memberikan dimensi segar kepada keseluruhan koleksi," tambah Khoon Hooi.

Rangkuman dasar tentang koleksi musim bunga/panas 2013 Khoon Hooi boleh diterjemahkan sebagai busana berkonsepkan elemen moden, berpandukan trend, struktur bersama siluet elegan, menegaskan perincian feminin dari segi penggunaan orkid dan bergantung kepada idea idiosyncratic Khoon Hooi itu sendiri.

Enchanteur rai cinta abadi

Posted:

Enchanteur rai cinta abadi

Enchanteur rai cinta abadi

Oleh ALIF ABU BAKAR


SAZZY (kanan) bersama suaminya, Nazril dilantik menjadi wajah rasmi Enchanteur Love kerana komitmen cinta yang mereka tunjukkan.


BERSANDARKAN inspirasi frasa Perancis, célébrant l'amour pour toujours yang bermaksud meraikan cinta abadi, Enchanteur, jenama nombor satu dalam pasaran wangian di Malaysia dengan bangganya memperkenalkan Enchanteur Love, rangkaian wangian baharu yang didedikasikan khas buat wanita yang komited dalam percintaan.

Kelahiran Enchanteur Love meneruskan kesungguhan jenama tersebut dalam menghasilkan wangian yang bertujuan meraikan setiap detik romantik bersama yang tersayang agar cinta terus membara.

Enchanteur Love disediakan dalam dua haruman signatur iaitu Enchanteur Celebrate Love Eau de Toilette dan Enchanteur Forever Love Eau de Toilette.

Wangian Celebrate Love dihasilkan dengan percikan segar daripada bergamot, pic putih dan nanas. Diperkuatkan dengan sentuhan peony merah dan buah markisa, kombinasi bunga dan buah tersebut melambangkan cinta dan keterujaan hidup bersama.

Haruman Forever Love pula mengutamakan kemanisan nanas dan epal bagi melambangkan permulaan kepada kehidupan bersama. Ia ditambah dengan kesegaran bunga ros, melur, geranium dan freesia. Asas wangian itu, kasturi dan ambar menjadi elemen padu dalam melengkapkan perjalanan hidup bersama dan mengikat janji cinta abadi.

"Sempena pengenalan produk ini, Enchanteur memilih pasangan selebriti Sazzy Falak dan Nazril Idrus sebagai wajah rasmi ekoran sifat romantis mendalam yang ditonjolkan mereka.

"Sazzy dan Nazril adalah pasangan contoh terbaik yang sentiasa berusaha menyemarakkan ikatan cinta mereka dan nilai-nilai ini amat menepati tema yang dibawa Enchanteur Love," ujar Karen Poi, Pengurus Produk Kumpulan Enchanteur ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu itu di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedua-dua wangian itu dijual pada harga RM31.90 bagi setiap botol 50 mililiter. Ia boleh didapati di kedai-kedai utama, pasar raya, pasar raya besar dan farmasi. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web Enchanteur di www.enchanteur.com.my ataupun layari laman Facebook Enchanteur pada www.facebook.com/EnchanteurMY.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved