Jumaat, 16 November 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Apresiasi seni dan sastera Orang Asli

Posted:

Apresiasi seni dan sastera Orang Asli

Apresiasi seni dan sastera Orang Asli

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


PENARI wanita mengetuk buluh centung di atas sebatang buluh panjang bagi menghasilkan muzik tarian sewang.


TERDAPAT kira-kira 140,000 Orang Asli di negara ini dengan kebanyakan mereka tertumpu di Semenanjung Malaysia.

Suku kaum itu membentuk tiga puak utama iaitu Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.

Etnik itu kemudiannya berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil mereka sendiri. Negrito, Senoi dan Proto-Melayu masing-masing mempunyai enam etnik yang berbeza seperti Jakun, Temuai, Lanoh dan banyak lagi.

Sehingga sekarang masyarakat Orang Asli masih memelihara keunikan asal-usul dan budaya mereka yang diamalkan sejak turun-temurun.

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Radio Televisyen Malaysia menganjurkan Pertandingan Peringkat Kebangsaan Apresiasi dan Sastera Bersama-sama Masyarakat Orang Asli serta Pertandingan Seni Budaya Masyarakat Orang Asli baru-baru ini.

Kategori-kategori yang dipertanding termasuklah deklamasi puisi peringkat pelajar sekolah menengah, deklamasi puisi peringkat dewasa, bercerita peringkat sekolah rendah, mengeja dengan betul peringkat sekolah rendah dan persembahan budaya masyarakat Orang Asli mengikut negeri.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek, beliau amat menyokong usaha tersebut dan berharap agar agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dapat meneruskan program seumpama itu.


KATEGORI deklamasi sajak turut dipertandingkan bagi mengasah bakat dan memartabatkan bahasa kebangsaan.


"Saya percaya program ini dapat menjadi medan yang sesuai kepada para pelajar khususnya, untuk mengasah bakat dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

"Saya berharap lebih ramai lagi agensi yang sudi mengadakan program untuk mereka," katanya ketika sidang media penyampaian hadiah pertandingan itu baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan.

Hadiah wang tunai

Awang berkata, pertandingan itu merupakan satu usaha untuk memartabatkan bahasa dan persuratan kebangsaan dalam kalangan Orang Asli.

"Pertandingan ini dapat meningkatkan keupayaan dan memahirkan para peserta dalam menguasai bahasa kebangsaan," katanya.

Pertandingan itu menawarkan hadiah menarik kepada para pemenang kategori Seni Budaya Masyarakat Orang Asli. Wang tunai sebanyak RM5,000 sehingga RM3,000 diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga. Mereka juga diberi trofi dan sijil penyertaan.

Bagi pertandingan Apresiasi Bahasa dan Sastera pula, wang tunai berjumlah RM300 sehingga RM100 beserta piala dan hadiah diberikan. Bagi pemenang saguhati pula, mereka pulang dengan wang tunai sebanyak RM100 dan hadiah.


PASUKAN dari Kampung Pos Dipang, Perak berjaya menjuarai Pertandingan Seni Budaya Masyarakat Orang Asli 2012.


Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Mohd. Sani Mistam pula melahirkan rasa bangga dengan pencapaian masyarakat Orang Asli yang semakin memberangsangkan.

"Seramai empat orang daripada mereka mempunyai kelulusan doktor falsafah atau PhD, manakala seramai 250 orang menjadi pelajar di Institusi Pengajian Tinggi dan kira-kira 11 orang telah berada di luar negara seperti Jepun, London dan Australia untuk melanjutkan pelajaran," katanya pada sidang media yang sama.

Tambahnya lagi, Jakoa akan memastikan anak-anak pelbagai etnik itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain.

"Kami akan terus menjalankan usaha-usaha mempertingkatkan taraf kehidupan mereka.

"Kami akan mengadakan rombongan ke New Zealand untuk melihat bagaimana masyarakat Maori di sana memperbaiki kehidupan mereka. Saya berharap input yang akan dibawa pulang itu nanti dapat membantu masyarakat Orang Asli di sini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved