Jumaat, 16 November 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Dalami penyakit diabetes secara aktif

Posted:

Dalami penyakit diabetes secara aktif

Dalami penyakit diabetes secara aktif

Oleh NURUL IZZA ROSLY

SEBUT sahaja diabetes, pasti ramai yang sudah maklum akan penyakitnya. Kebanyakan kita mengetahui bahawa ia merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit yang kini semakin mengancam kehidupan berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan.

Percaya atau tidak, diabetes merupakan wabak yang terus menular di peringkat global. Pada masa kini, diabetes membelenggu hidup kira-kira 285 juta orang di seluruh dunia.

Dalam tempoh masa 20 tahun akan datang, dianggarkan bahawa bilangan pesakit akan meningkat sebanyak 50 peratus iaitu mencecah angka hampir 438 juta.

"Bilangan pesakit diabetes akan mencapai 500 juta di seluruh dunia menjelang tahun 2030. Setiap 8 saat akan berlaku satu kematian iaitu bersamaan 4 juta kematian setahun," kata Pakar Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussien.

Ujarnya, terdapat 2.6 juta pesakit diabetes di Malaysia. Satu daripada lima dewasa berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit ini.

"Penularan diabetes di Malaysia terus meningkat pada kadar yang membimbangkan. Setakat ini Malaysia telah mengatasi perangkaan unjuran kelaziman diabetes daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Berdasarkan Tinjau Selidik Kesihatan dan Penyakit IV 2011, bilangan dewasa Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang menghidap diabetes berjumlah 2.6 juta," jelasnya.

Jangan diam diri

Peningkatan mendadak graf tersebut terjadi kemungkinan disebabkan pemahaman yang kurang mengenai penyakit yang semakin popular mengintai golongan muda kini.

Pesakit diabetes sering menderita dalam diam. Dek kerana berat hati untuk mendedahkan ketidakselesaan atau gejala luar biasa yang dialami, penyakit mereka mungkin tidak dikesan untuk tempoh yang lama.

Seseorang itu mungkin menyembunyikan perasaan atau gejala penyakit sehingga berlaku kecemasan dan pada waktu itu segala-galanya mungkin sudah terlewat.

"Kelaziman diabetes di Malaysia amat membimbangkan.

"Kita perlu berusaha lebih gigih untuk membabitkan pesakit, penjaga kesihatan dan penjagaan kesihatan profesional untuk berbincang tentang diabetes supaya kefahaman lanjut tentang rawatan serta pengurusan boleh dipupuk," kata Pakar Runding Endokrinologi di Pusat Penjagaan Diabetes Sau Seng Lum, Dr. Arlene Ngan.

Komunikasi merupakan kunci kepada usaha menjayakan pengurusan diabetes. Maka disebabkan itu sebuah program yang disusun khas dan ditaja oleh sebuah syarikat produk farmasuetikal, Lily Diabetes untuk golongan tersebut.


DARI kiri: Zanariah, Arlene dan Feisul Idzwan menunjukkan Peta Perbualan Diabetes yang dapat membantu pesakit mengetahui lebih mendalam mengenai penyakit mereka.


Ia dinamakan sebagai Peta Perbualan Diabetes dengan tujuan meningkatkan kefahaman pengguna, pengurusan diri dan menggalakkan interaksi antara pesakit dan penjagaan kesihatan profesional.

Menerusi program tersebut, Lily Diabetes berusaha mencari dan berkongsi kemajuan terkini dalam pendidikan diabetes.

Berbual tentang diabetes

Program Perbualan Diabetes merupakan usahasama antarabangsa selama tiga tahun dengan Healthy Interactions dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa Eropah bersama tokoh pemikir lain.

Kesemuanya berganding bahu untuk menyusun dan mengetengahkan kaedah unik berasaskan perbualan dan berunsur pendidikan.

"Direka untuk digunakan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga 10 pesakit, Peta Perbualan berfungsi sebagai visual atas meja yang menarik menggunakan soalan-soalan perangsang minda.

"Ia menggalakkan perbualan antara penghidap diabetes dan profesional penjagaan kesihatan bagi mewujudkan suasana yang terlindung serta mesra untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurusan penyakit," ujar Arlene yang juga merupakan jurulatih pakar Peta Perbualan Diabetes.

Peta Perbualan Diabetes tersebut amat berbeza daripada kaedah pendidikan diabetes yang lazim. Ia memberikan pengalaman pembelajaran berasaskan penemuan dan dilaksanakan dalam kumpulan kecil.

"Aktiviti ini menggalakkan proses perbualan dua hala mengenai penyakit dan memberi peluang kepada pesakit untuk berinteraksi dengan orang lain yang mengalami penyakit yang sama.

"Manfaat besar dapat diperoleh daripada perbualan dengan orang yang senasib. Ini kerana anda sedar bahawa anda tidak keseorangan mengharungi pengalaman dan emosi tersebut," jelasnya.

Peta Perbualan Diabetes menggunakan prinsip pendidikan dewasa bagi mewujudkan proses pembelajaran.

Berpandukan peta tersebut, pesakit mempelajari maklumat relevan, belajar cara mengawal tingkah laku dengan lebih baik dan mendapatkan sokongan berterusan.

"Menerusi dialog dan perbualan peribadi, pesakit akan menyedari fakta penting mengenai diabetes, kepercayaan serta sikap utama yang mencorakkan persepsi tentang penyakit.

"Visual kreatif dan soalan menarik yang disediakan menghiburkan dalam masa yang sama memperkasakan pesakit untuk berbincang mengenai diabetes secara terbuka," katanya.

Jelasnya, kaedah peta interaktif tersebut mampu mewujudkan suasana positif kerana pesakit boleh mendedahkan dan berkongsi pengalaman tanpa bimbang dengan tanggapan negatif.

Program Perbualan Diabetes akan dilancarkan di lebih 40 negara dalam lebih 25 bahasa berbeza.

Menerusi program tersebut, berjuta-juta orang yang menghidap dan menjalani rawatan diabetes akan memanfaatkan sumber inovatif untuk membantu mereka mengatasi cabaran kehidupan seharian.

Hargai negara bangsa

Posted:

Hargai negara bangsa

Hargai negara bangsa

Oleh NURUL IZZA ROSLY


KETIBAAN Raja Nazrin disambut meriah bagi menzahirkan Syarahan Perdana Budaya di Hotel The Royale Bintang Damansara baru-baru ini.


BERTEMAKAN rona hitam, keemasan dan elegan, atmosfera dewan utama Hotel The Royale Bintang Damansara, Selangor tanggal 7 November lalu berbeza daripada biasa.

Menjadi lokasi program berkonsep eksklusif, berprestij dan intelektual, ia mengundang ramai hadirin yang mahu mendengar serta mendalami Syarahan Perdana Budaya dizahirkan oleh tetamu istimewa iaitu Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Syarahan berjudul Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa yang dizahirkan cendekiawan diraja itu benar-benar memberi kesan kepada hadirin.

Semua sedia maklum bahawa institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi payung kedaulatan negara, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama.

Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudannya menjadi sebahagian daripada identiti negara dan dilindungi oleh perlembagaan. Titah Raja Nazrin, institusi raja adalah subjek istimewa dan amat menghidupkan minda.

"Sebagai pewaris takhta dan sering kali diamanahkan menyempurnakan tanggungjawab Pemangku Raja, beta tidak terlepas daripada melakukan penilaian bersifat peribadi.

"Namun, ia sebenarnya memberi kelebihan, membolehkan beta melakukan penilaian dari perspektif dalaman serta mengupayakan beta melakukan tafsiran, berfakta pengalaman sebenar tentang dinamisme institusi tersebut," titah baginda.


PARA hadirin mendengar ucapan aluan program Syarahan Perdana Budaya daripada Rais yang menyeru orang ramai menghargai tradisi dan sejarah.


Tambah baginda, lebih banyak peranan yang disempurnakan oleh Raja itu berlaku secara tersirat, tetapi amat menghidupkan lagi mencabar.

Kebiadaban politik kepartian

Cabaran-cabaran yang perlu ditangani berpandukan hikmah, kebijaksanaan, kearifan dan kematangan. Peranan yang perlu disempurnakan seadil dan sesaksama mungkin tanpa perlu diuar-uarkan.

"Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja. Kelangsungan yang dianggap ketinggalan zaman dalam kalangan setengah pihak yang rabun sejarah, lalu melakukan tafsiran dangkal, memilih untuk tidak mahu mengakui dan kurang mahu mendalami salasilah serta falsafah di sebalik institusi ini," ujar baginda.

Titah Raja Nazrin, kesungguhan hasrat membina negara bangsa perlu dilandaskan atas minda serta melalui hati terbuka, diperkukuhkan dengan keikhlasan mahu mencipta penyatuan dan bekerja untuk mencapai penyatuan.

"Dalam apa juga krisis dan dalam setiap konflik, tidak ada pihak yang betul semua dan tidak ada juga pihak yang salah semua.

"Perdamaian akan hanya tercapai apabila ego bersifat betul semua dan menang semua dapat digugurkan. Cahaya damai akan ditemui jika kekalahan dalam persaingan dapat diterima dengan keredaan," titah baginda.

Ujar baginda, bumi dan tanah air milik kita bukan untuk dibolot secara rakus oleh segelintir warga bersifat haloba hingga kerosakannya perlu dibayar dengan harga tinggi oleh generasi pewaris.

"Kini peristiwa yang semakin meningkatkan kegelisahan warga masyarakat kian bertambah. Warga masyarakat ketara kecewa, hampa, kesal dan mual dengan gelagat politik yang semakin keterlaluan. Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa.

"Lebih membimbangkan, apabila institusi-institusi utama negara kini kelihatan mula terseret dalam kancah politik kepartian. Akibatnya integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi diraja semakin dipertikaikan," titah baginda.


RAJA NAZRIN bertitah baginda bimbang melihat gelagat politik yang semakin melampau hari ini sehingga sanggup mengheret sama institusi raja.


Jelas baginda, istana mungkin berpagar tinggi, namun ia tidak menghalang kepada berita serta peristiwa menembusi jendela dan pintu istana.

"Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan serta diimbangkan beritanya.

"Ketika dilambung ombak globalisasi, warga masyarakat perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan pemodenan agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit," ujar baginda.

Hasilkan buku

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Syarahan Perdana Budaya merupakan satu tradisi pembuka tirai kepada jendela tamadun masa depan.

"Syarahan ini akan diteruskan pada masa depan dan akan memberi lunas tentang idea-idea baharu.

"Kami berbangga dapat menyempurnakan majlis seperti ini oleh kerana ia membawa pembaharuan minda kepada kita. Syarahan ini akan kita zahirkan dalam bentuk buku kecil dan diedarkan seluas mungkin kepada khalayak," katanya sambil memberi ingatan kepada semua pihak supaya melihat sejarah, menghargai tradisi dan berwaspada terhadap masa hadapan.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan diselia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu bertujuan mengetengahkan kepentingan institusi raja berperlembagaan dalam pembangunan dan pembinaan sebuah negara bangsa.

Ia juga mewujudkan ruang dan platform bagi perkongsian maklumat dalam kalangan tokoh-tokoh pelbagai bidang, malah pada jangka masa panjang melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.

Hukum bekerja sebagai pelayan bar

Posted:

Hukum bekerja sebagai pelayan bar

Hukum bekerja sebagai pelayan bar


HARAM bagi umat Islam bekerja di bar kerana bersubahat menjual sesuatu yang dilarang agama.


SAYA bekerja di kelab malam sebagai pelayan bar. Adakah saya berdosa kerana menyediakan minuman tersebut kepada pelanggan yang beragama Islam?

JAWAPAN:

Soalan ini jelas dan jawapannya juga jelas bahawa haram pekerjaan ini walaupun si pelayan tidak meminum arak tersebut.

Menghidangkan arak itu juga bermaksud bersubahat dengan perbuatan yang telah jelas haram di sisi syariat.

Barang siapa yang meredai kekufuran maka dia telah melakukan kekufuran walaupun tidak melakukannya.

Ayuh bertaubatlah kerana ia merupakan perbuatan dosa dan berdoalah agar Allah membantu untuk mendapatkan pekerjaan halal.

Pendapatan yang halal adalah penting kerana ia menjadi darah daging yang memberkati hidup dan menyelamatkan kita daripada azab neraka Allah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved