Kosmo Online - Rencana Utama |
Lambang kehebatan pahlawan Iban Posted: Lambang kehebatan pahlawan IbanNGAJAT sememangnya tidak asing dalam kebudayaan Malaysia. Keistimewaan tradisi kaum Iban itu seringkali menangkap minat penduduk negara luar khususnya pelancong Barat. Secara dasar, ngajat dilihat sebagai tarian yang memaparkan gerakan ringkas disulami aksi-aksi berani penari lelaki. Keunikan pakaiannya juga memberi implikasi kepada penjajahan minda masyarakat terhadap ngajat. Berdasarkan kefahaman yang dipersetujui golongan ilmiah, ngajat pada asalnya bertindak sebagai simbol kejayaan pahlawan Iban menumpaskan musuh. Lelaki pula menjadi watak utama dalam tarian kemenangan itu. Ngajat Induk, Berbunuh/Pahlawan, Ngalu Temuai, Lesung, Pua Kumbu dan Kuta merupakan sub tarian kebanggaan masyarakat Iban tersebut. Hari ini, ia ditarikan menjelang sambutan Hari Gawai dan beberapa acara keraian. Biarpun dilihat mudah namun menguasai tarian ngajat memerlukan jangka masa tertentu. Artis budaya Kampung Budaya Sarawak, Dalila Dayana Miri, 20, mengambil masa lima bulan manakala sahabatnya, Connie Eli, 24, menghabiskan tempoh satu tahun bagi memahirkan diri dengan gerak tari ngajat. "Saya mula berjinak-jinak dalam tarian ngajat ketika usia tujuh tahun dan sebagai orang Iban, kefahaman tentang warisan agung itu telah saya kenali dan fahami sejak dulu. "Ia merupakan tarian tradisi masyarakat kami yang diperturunkan daripada generasi ke generasi. Walaupun tujuan persembahan itu kini lebih kepada sambutan perayaan seperti pesta menuai, keasliannya masih ada dan dikekalkan," cerita Connie yang berasal dari Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, Kuching. Sementara itu, perbezaan kaum jelas tidak membataskan Dalila untuk turut sama menyelami dunia ngajat. Wanita Melayu itu mendampingi tarian tradisi tersebut pada umur 10 tahun. Tambah Dalila, keindahan yang terkandung dalam ngajat memberi variasi terhadap suku kaum pribumi lain di Sarawak. Tanpa disangkal, ia turut diakui setiap penduduk Borneo sebagai identiti masyarakat Iban. Teknik dan kostum Seperti tarian-tarian lain, ngajat tidak terkecuali daripada penekanan beberapa teknik. Teknik titi tiong misalnya, menuntut penari meniru gerak langkah burung tiung seperti berjalan mahupun terbang. Kegagalan menguasai teknik itu dengan sempurna boleh mendorong penari terjatuh ketika persembahan. GABUNGAN penari lelaki dan perempuan dalam persembahan ngajat adalah bertujuan memberi nilai teaterikal yang menghiburkan. - Gambar hiasan Kesukaran teknik gigit lesung dalam Ngajat Lesung secara automatik menyekat penari wanita daripada melakukan aksi tersebut. Penari lelaki memerlukan kemahiran dan kekuatan gigi bagi menggigit lesung sepanjang gaya itu dipertontonkan dalam tarian. Nama-nama umpama niti (meniti) batang, ngelambai, ngauk ai, selamat datang dan burung enggang merupakan himpunan teknik ngajat terkenal dalam kalangan masyarakat Iban. Peranan kostum ngajat pula menjadi tarikan utama dalam setiap persembahan. Penari lelaki seringkali tampil berteraskan imej perkasa. Penggunaan cawat (sirat), baju pahlawan (baju gagong), topi Iban (ketapu) dan parang ilang cukup untuk membentuk karakter seorang wira kebanggaan ramai. Keayuan dan keaslian perawakan perempuan Iban mengalir sebati dalam persalinan baju tradisional (kain ngepan) dan marek empang. Lingkaran tali pinggang berjuraian ibarat duit syiling (gobeng), tali pinggang besar (lampit) dan rantai ujan dan sugu pula mencipta harmoni senada saat berayun. Ketiga-tiga aksesori tersebut diperbuat daripada perak. Muzik tradisional yang sering mengiringi ngajat ialah Taboh Alun Lundai (untuk Ngajat Induk), Taboh Bujang Gelau (untuk Ngajat Pahlawan) dan Taboh Ajat. Lazimnya, ngajat ditarikan selama tujuh minit namun terdapat juga durasi yang tidak tetap dan bergantung kepada individu atau kumpulan yang terlibat. Dampingi semangat Selama lima tahun berkecimpung dalam gelanggang tarian, Connie sudah mengenal pasti kriteria-kriteria penting bagi menjayakan ngajat. Ujarnya, seorang penari lelaki tarian ngajat perlu menyerap semangat yang kuat bagi membebaskan sisi keberanian dan agresif tatkala menari. "Pada zaman dahulu, mereka yang menari ngajat terdiri daripada pahlawan berjiwa berani dan gagah fizikalnya. Jadi penari lelaki hari ini mesti menguasai sifat-sifat pahlawan Iban lampau sebelum mempersembahkannya kepada umum," tutur lelaki itu yang mahu bergelar seniman berjaya kelak. Gemalai gerak tari ngajat wanita pula menuntut ketekunan. Setiap kali menonton tarian ngajat, senyuman pada bibir penari perempuan tidak pernah terpadam. Ciri tersebut memaku pandangan orang awam agar terasa asyik dibuai rentak indah. "Penghayatan dalam tarian menjadi kunci kejayaan. Selain itu, alunan muzik yang dimainkan, kreativiti, keyakinan melakukan pergerakan turut diambil kira," kongsi Dalila yang bercita-cita memahat namanya selaku guru tari. Sesudah semangat ngajat tertanam dalam diri, penari-penari tidak akan berdepan masalah menggerakkan tarian itu sama ada di atas pentas ataupun di rumah panjang. Begitupun, cara dan teknik tarian yang dipertontonkan di kedua-dua lokasi itu ada bezanya. TARIAN ngajat banyak mengisi sambutan pesta menuai yang disambut sekumpulan besar etnik di Borneo. - Gambar hiasan Connie dan Dalila sepakat mengelaskan tarian ngajat untuk persembahan pentas lebih seragam kerana para penari bergerak berpandukan koreografi yang diolah. Ngajat di rumah panjang pula bergantung sepenuhnya kepada kreativiti individu kerana seringkali dijayakan oleh seorang penari lelaki bagi menyambut tetamu. "Keistimewaan tarian ngajat rumah panjang terletak pada keasliannya kerana merupakan pusaka turun-temurun daripada nenek moyang mereka. Koreografi pentas pula telah mengalami perubahan bagi menyuntik nilai ekstra hiburan," jelas Dalila. Festival tarian Sementara itu, bagi memaparkan keunikan tarian dari Kepulauan Borneo, Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur dan Selangor telah mengadakan Festival Borneo Hornbill pada bulan Julai lalu. Acara tiga hari yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu menyaksikan sebanyak 12 kumpulan berentap mempersembahkan variasi tarian tradisional dan rampaian etnik Sabah dan Sarawak. Setiap kumpulan diwajibkan menyediakan dua jenis tarian dan rata-ratanya selesa menampilkan tarian ngajat. Juara pertandingan, Badan Kesenian Mindef 1 nyata menyerlah dalam tarian rampaian asli mereka yang menggabungkan empat jenis tarian termasuk ngajat. Kebanyakan persembahan berjaya menceritakan kisah sebenar di sebalik ngajat. Lengkap berkostum pahlawan Iban, beberapa aksi seperti menggigit lesung dan berlawan menggunakan parang sudah cukup memberi gambaran jelas tentang signifikan tarian kebanggaan suku kaum itu. "30 peratus daripada penari yang mengambil bahagian datangnya dari Semenanjung. Ini sesuatu yang amat membanggakan kerana tidak mudah bagi orang luar mempelajari dan mempersembahkan kebudayaan kaum lain dengan berkesan. "Festival tahun keempat ini akan terus diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang keagungan budaya orang Borneo dari segi makanan, pakaian dan tarian," ujar pengerusi Persatuan tersebut, Laurence John, 50, ketika berucap pada majlis penutup festival tersebut. |
Polisi satu anak mencengkam China Posted: Polisi satu anak mencengkam ChinaPOLISI satu anak yang dijalankan sejak berpuluh-puluh tahun kini mendatangkan kesan negatif kepada sistem sosial China. KETIKA Wu Rui kematian anak perempuannya yang berumur 12 tahun, dia bukan sahaja kehilangan satu-satunya anak yang boleh dimiliki malah turut kehilangan sumber jaminan dan sokongannya pada usia emas nanti. Kini, dalam usia 55 tahun, dia harus menjaga dirinya sendiri dan kedua-dua ibu bapanya yang sudah uzur. Mereka tinggal di sebuah rumah cabuk dua bilik berbekalkan wang pencen Wu yang tidak seberapa. Kehidupan tiga beranak itu sentiasa dirundung ketakutan jika terdapat sebarang kecemasan berlaku pada salah seorang daripada mereka kerana Wu tidak mampu menampung kos perubatan yang mahal. Polisi satu anak di China selalunya menyebabkan seseorang itu menyara keperluan ibu bapanya dan juga empat orang yang berstatus datuk dan nenek kepadanya. Jika si anak itu mendapat kecelakaan lalu mati, kebajikan ibu bapa dan datuk serta neneknya terabai begitu sahaja. Sejak polisi itu diambil pada tahun 1980, dianggarkan sejuta keluarga China telah kehilangan satu-satunya penyambung warisan mereka akibat kematian. Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, antara empat hingga tujuh juta keluarga di China dijangka mengalami nasib yang sama. Ramai yang mengalami nasib seperti Wu dan tidak ada orang boleh membantunya melalui waktu-waktu kecemasan atau menampung kos perubatan ketika lanjut usia. Wu bercerai pada tahun 1994 dan setahun kemudiannya dia kehilangan anak perempuan, Zhang Weina, yang menderita epilepsi. Dia kini banyak menghabiskan masa di rumah, mengait baju sejuk dan menyediakan makanan di dapur rumah yang juga dijadikan tempat tidur buat ibunya yang berusia 76 tahun. Ayahnya yang berusia 80 tahun semakin hilang deria pendengaran dan hanya mampu duduk di atas katil yang diletakkan dalam sebuah bilik sempit. Cat dinding yang sudah retak dan cahaya suram daripada dua buah mentol melatari suasana rumah itu. Bimbang berpindah Selain masalah kesihatan, ketakutan terbesar Wu adalah rumahnya yang kecil dan murah itu bakal dirobohkan sama seperti perumahan lama Beijing yang lain. Separuh daripada kawasan yang terletak di bahagian tengah kejiranan itu telahpun bertukar menjadi menara-menara moden. Bila-bila masa sahaja mereka mungkin terpaksa berpindah ke pangsapuri yang lebih mahal, berbanding pencen bulanannya sebanyak 2,000 yuan (RM970). Undang-undang kebangsaan 2001 mewajibkan kerajaan-kerajaan tempatan menyalurkan 'bantuan keperluan' kepada keluarga-keluarga yang kehilangan satu-satunya anak mereka. Begitupun, tiada perincian dilakukan. Peraturan berbeza terjadi mengikut kawasan. Wilayah Sichuan membenarkan keluarga memohon untuk memiliki seorang lagi anak manakala di Shanghai, sejumlah wang yang tidak dinyatakan perlu dibayar untuk anak kedua. BAYI lelaki masih menjadi dambaan banyak keluarga di China. - Gambar hiasan "Peraturan sentiasa ada tetapi tidak membawa sebarang erti," kata ahli akademik yang berpusat di Amerika Syarikat, Yi Fuxian. Dia merupakan penulis Big Country in an Empty Nest, sebuah buku yang mengkritik polisi perancangan keluarga China. Kira-kira 4.63 peratus keluarga satu anak di China dengan jumlah keseluruhan 218 juta dijangka kehilangan anak lelaki atau perempuan apabila mencecah usia 25 tahun, katanya memetik statistik rasmi. Yi dan penyelidik demografi lain mendesak China membantu keluarga-keluarga itu sekali gus memansuhkan penetapan satu anak serta-merta. Bagi mereka yang menyokong pula berkata, ia membantu masalah lebihan populasi dan mengurangkan bilangan rakyat China yang hidup dalam kemiskinan. Menurut anggaran bancian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun 2050 nanti, 30 peratus penduduk China akan berusia 60 tahun dan lebih, berbanding 20 peratus di seluruh dunia. Tanpa generasi muda, China tidak mempunyai ramai pewaris yang boleh memberi keperluan kepada orang tua atau pekerja dalam sistem keselamatan sosial kerajaan. Namun begitu, Ketua Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Populasi Negeri, Li Bin memberitahu, China cenderung untuk mengekalkan dan memperbaiki langkah-langkah yang ada serta memahami keperluan yang dikehendaki oleh populasi warga tua. Sekarang terdapat beberapa pengecualian pada peraturan satu anak iaitu melibatkan sesetengah petani yang melahirkan anak perempuan, pasangan yang berketurunan etnik minoriti dan ibu bapa yang juga merupakan anak tunggal dalam keluarga masing-masing. Pihak berkuasa semakin dapat mengesan masalah-masalah yang terhasil daripada polisi satu anak apabila generasi pertama ibu bapa itu menginjak usia tua, kata profesor di Universiti Renmin, Beijing, Gu Baochang. Dia memberi amaran, mereka sepatutnya bertindak bertahun-tahun dahulu kerana bahaya berkaitan demografi hanya dapat dilihat dengan peredaran masa. Luahan hati Seorang ibu yang kematian anak bercerita tentang kesedihannya dalam sebuah forum dalam talian untuk dikongsi dengan ibu bapa yang senasib dengannya. "Semua keindahan terasa seperti direntap jauh, kegelapan awan dan malam menyembunyikan kesakitan yang tiada penghujung," katanya yang dipetik daripada forum itu. Ibu bapa lain pula mengeluh dalam forum yang sama: "Kami mengikut arahan untuk mempunyai seorang anak. Mana penjagaan dan keprihatinan untuk kami? Tiada. Penyakit kanser, jantung dan otak selain tekanan serta penyakit serius lain datang menjengah. "Tiada institusi yang mampu menangani masalah yang wujud, tiada satu jabatan yang bersimpati dengan kedukaan ini. "Kami terperangkap dalam kesunyian, kepahitan dan keadaan yang tragik. Tiada seorangpun yang boleh kami berpaut." - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan