Ahad, 2 September 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Tertarik dengan kemudahan kejiranan

Posted:

Tertarik dengan kemudahan kejiranan

Oleh NIZHA PERIASWAMY

OPALYN Mok, 35, seorang ibu kepada dua orang anak sudah lama tinggal di kondominium di Jalan Greenlane, Pulau Pinang. Jenis kediaman itu bukan pilihan utamanya tetapi dia tiada pilihan lebih-lebih lagi harga rumah bertanah yang sangat mahal di negeri dengan jolokan Pulau Mutiara itu.

"Saya merasakan pilihan tinggal di kondominium satu idea yang baik. Ini kerana saya selesa dari segi ruang, kemudahan dan keselamatan. Kalau hendak keluar rumah, saya hanya perlu memastikan pintu dan gril depan dikunci.

"Tidak seperti rumah bertanah, saya perlu memikirkan tentang keselamatan pintu masuk, pagar dan juga jendela yang banyak. Ia agak melecehkan," katanya yang lebih 10 tahun tinggal di situ.

Ketika membeli rumah tersebut, ia berharga RM130,000 tetapi Opalyn memberitahu, kini rumahnya mencecah nilai RM400,000, impak daripada peningkatan harga hartanah di negeri itu. Dengan kenaikan harga rumah yang mendadak, termasuk rumah bertingkat, kebanyakan generasi muda memilih untuk tinggal di pangsapuri atau kondominium sahaja.

"Bagi orang tua, mereka tidak menyukai kondominium kerana faktor-faktor tertentu. Antaranya adalah tempat letak kereta yang jauh, terpaksa menaiki tangga dan lif, sukar bergerak bebas, kesukaran berkebun dan ruang yang amat terhad atau sempit.

GENERASI Y atau golongan muda sekarang memilih untuk tinggal di bandar raya.


"Meskipun demikian, saya merasakan ia sebagai satu kelebihan. Dari aspek kesihatan, ia menyebabkan saya perlu banyak berjalan untuk mendapatkan sesuatu di luar kediaman. Sementara itu, akses ruang dalaman yang dekat memudahkan saya mengemas rumah," tambah penulis bebas itu.

Masalah parkir

Lain pula pendapat seorang wanita berusia awal 30-an, Zanieyah Othman, yang memberitahu bahawa keadaannya yang tinggal di pangsapuri adalah suatu 'keterpaksaan' dan bukan pilihan utamanya.

Menurutnya, jika diberi peluang khususnya selepas berumah tangga, dia berharap untuk tinggal di rumah bertanah yang disifatkan lebih luas, mudah dan selesa," katanya yang bekerja di Petaling Jaya.

"Di sini, semuanya elok, cuma masalah letak kereta agak menjengkelkan kerana terlalu ramai orang dan banyak kereta. Jadi, kami terpaksa berebut tempat parkir. Ditambah pula dengan sistem kawalan keselamatan yang kurang mengambil berat dalam hal keselamatan kereta," kata Zanieyah merujuk kepada pangsapurinya yang berdekatan pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama.

Bagi seorang jurutera, P. Mageanthiran, 29, yang baru sahaja membeli unit kondominium pertama di Klang pula berpendapat, pelaburan terhadap hartanah bertingkat seperti apartmen atau kondominium sebenarnya amat berbaloi, sama ada untuk tinggal atau disewakan.

RUANG yang terhad dan kecil menjadi pilihan keluarga golongan muda kerana mudah dikendali dan didatangkan dengan pelbagai kemudahan.


"Buat masa sekarang, saya menyewakan unit itu kerana tinggal bersama keluarga di rumah teres dua tingkat. Mungkin selepas berkahwin, saya akan berpindah. Apapun, unit kondo tersebut mempunyai permintaan yang tinggi dari segi sewa dan nilai selain persekitaran yang baik untuk dihuni," katanya yang akui tinggal di kondominium memberikan ruang privasi yang lebih berbanding rumah bertanah.

"Kolam renang, pusat gim, kedai, dewan, taman permainan, gelanggang tenis dan badminton, dobi dan kafe - semua fasiliti itu terdapat di sini.

"Pusat beli-belah Centro Mall pula kurang 10 minit berjalan. Pusat bandar Klang hanya 10 minit memandu. Ia juga dekat dengan tempat saya bekerja dan rumah ibu bapa saya. Saya dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di sini," ujar Magaenthiran mengenai unit kondonya di Pelangi Heights.

LAZIMNYA kondominium dan apartmen didatangkan dengan kemudahan seperti kolam renang untuk menarik perhatian pembeli.


Dalam pada itu, Ketua Pembangunan Hartanah, Sime Darby Property, Ar. Zulkifli Tahmali memberitahu, kesenangan, kemudahan dan pilihan gaya hidup menyeluruh (integrated lifestyle) misalnya dari segi jarak dengan tempat kerja, tempat rekreasi, pusat istirehat, pilihan tempat makan dan sebagainya menjadi faktor pengukur dalam kalangan generasi Y dalam memilih kediaman.

"Oleh itu, apabila kondominium atau apartmen dilengkapi semua kemudahan dan ditambah pula dengan lokasi yang dekat dengan pusat beli-belah dan stesen komuter, ia menjadi pilihan unggul," kata beliau.

Tambah beliau, trend pilihan tinggal di apartmen atau kondo wujud kerana dua sebab utama, faktor harga dan faktor pemesatan pembandaran (city propagating). Faktor harga adalah sesuatu yang sangat biasa diketahui umum.

Kata Zulkifli, mana-mana rumah bertanah di sekitar Lembah Klang, bermula dengan RM700,000 hingga RM800,000. Maka, generasi muda yang masih baru memulakan kerjaya atau berkeluarga lebih selesa membeli rumah bertingkat yang lebih murah, apatah lagi yang dilengkapi kemudahan tambahan.

PEMAJU hartanah sangat peka dalam memajukan unit kediaman bertingkat dengan pilihan gaya hidup menyeluruh sebagai nilai tambah kepada pembeli.


"Dulu trendnya ialah bekerja di dalam bandar dan tinggal lebih di pinggir bandar. Kini muda-mudi memilih untuk bekerja dan tinggal di tempat yang sama.

"Di Sime Darby, selaku pembangun hartanah, kami terikat bukan sahaja membangunkan hartanah, kediaman tetapi melengkapkan pembangunan dengan nilai tambahan," kata beliau.

Ditanya mengenai kelebihan lain rumah bertingkat berbanding bertanah, Zulkifli berkata pembangunan strata (kondominium atau apartmen) lebih berpusat.

"Kepadatan unit kediaman memainkan peranan yang penting. Bagi rumah bertanah, lazimnya sistem keselamatan hanya ditawarkan dengan bayaran perkhidmatan mengikut kadar tertentu (tidak termasuk kemudahan lain).

"Tetapi bagi pembangunan strata, pemaju akan menyediakan pelbagai fasiliti untuk satu bayaran pengendalian yang standard dan murah," jelasnya.

Zulkifli juga mendedahkan, generasi muda sekarang lebih suka tinggal di ruang yang kecil, mempunyai pemandangan balkoni, ruang separa terbuka dan persekitaran kompak serta lengkap.

Laluan pejalan kaki dikhuatiri bawa risiko

Posted:

Laluan pejalan kaki dikhuatiri bawa risiko

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KENDERAAN awam mula memenuhi Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong seawal pukul 6 pagi untuk menurunkan penumpang ke stesen komuter Kepong.


SUASANA di hadapan sebuah rumah teres satu tingkat di Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong sudah mula sesak dan bising seawal pukul 6 pagi terutamanya pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat.

Deretan kereta yang diletakkan di hadapan rumah dan bunyi seretan kasut serta suara manusia memecah keheningan pagi.

Ti Thing Lai, 44, dan isteri, Yeap Lee Yoon, 50, serta anak-anak mereka sudah biasa dengan situasi tersebut pada setiap pagi. Dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana kediamannya terletak bersebelahan laluan pejalan kaki ke stesen komuter Kepong yang merupakan laluan utama penduduk taman tersebut untuk ke stesen pengangkutan awam tersebut.

Mangsa ragut

PIHAK DBKL bersetuju untuk mengalihkan anak tangga longkang ini yang dipercayai menjadi tempat persembunyian penjenayah.


"Pernah juga saya terdengar jeritan orang meminta tolong pada waktu pagi dan mungkin itu merupakan mangsa ragut yang sedang berjalan kaki ke stesen komuter," ujar Lee Yoon.

Walaupun bunyi bising itu menjadi masalah kepada keluarganya hampir setiap pagi, beliau beranggapan laluan pejalan kaki yang menjadi kepentingan penduduk di kawasan itu merupakan salah satu punca kejadian jenayah ragut dan pecah rumah di kawasan tersebut.

"Perompak dan penjenayah menggunakan laluan tersebut sebagai tempat berkumpul sebelum memecah masuk ke rumah saya. Tambahan pula, longkang besar bagi mengawal banjir di kawasan Taman Bukit Maluri dan Taman Kepong berdekatan dengan kediaman saya turut dijadikan sebagai tempat persembunyian mereka.

"Walaupun rumah saya berpagar sementara pintu dan tingkap dipasang jeriji besi, ia masih menjadi tumpuan golongan penjenayah itu untuk dipecah masuk," keluh Thing Lai.

Menurutnya, sudah berkali-kali kediamannya itu cuba dipecah masuk dan pernah sekali perompak itu berjaya melolos masuk seterusnya mencuri barangan berharga seperti telefon bimbit, kamera serta wang tunai.

WILSON (paling kanan) bersama beberapa penduduk Taman Bukit Maluri yang meminta laluan berbumbung ini dialihkan.


Memeranjatkan

Di sebalik kebimbangan soal kecurian dan jenayah pecah masuk kediaman, ada suatu insiden yang paling memeranjatkan beliau. Pada suatu hari, Thing Lai mendapati halaman rumahnya dicemari najis manusia.

Ia dipercayai perbuatan perompak yang gagal memecah masuk ke rumahnya lalu membuang air besar di situ. Apabila Thing Lai memberitahu kepada orang lain, ramai yang mengesyaki penjenayah tersebut menggunakan ilmu hitam dalam kegiatannya.

"Bersebelahan dengan pagar rumah saya juga dibina laluan berbumbung sebagai kemudahan berteduh pejalan kaki. Saya khuatir ia memudahkan perompak untuk memanjat masuk ke halaman rumah saya," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


THING LAI menunjukkan pagar besi rumahnya yang menjadi sasaran perompak untuk memecah masuk.


Sementara itu, dalam lawatan Pengerusi Biro Pengaduan Awam Gerakan, Wilson Lau ke kawasan tersebut, beliau mengulas bahawa kawasan sekitar Jalan Burung Garuda telah berlaku banyak kes kecurian dan rompakan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Pihak DBKL juga telah bersetuju untuk mengalihkan anak tangga longkang yang dipercayai menjadi tempat persembunyian penjenayah.

"Mengenai saranan pengalihan laluan berbumbung yang sering digunakan untuk memanjat masuk kediaman penduduk pula masih dalam dalam perbincangan dengan pihak DBKL.

"Kata putus mengenainya masih dalam perbincangan," ujarnya ketika mengadakan lawatan di kawasan tersebut bersama beberapa agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved