Ahad, 2 September 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Arsenal malukan Liverpool

Posted:

Arsenal malukan Liverpool

LONDON – Arsenal memalukan Liverpool di gelanggang sendiri apabila mencatatkan kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Perdana England di Stadium Anfield malam tadi. Ia merupakan kemenangan sulung yang diraih skuad kendalian Arsene Wenger itu musim ini. Sebelum ini, skuad The Gunners sekadar seri tanpa jaringan dengan Sunderland dan Stoke City dalam dua perlawanan awal.

Pada aksi malam tadi, bintang baharu skuad The Gunners, Lukas Podolski mula menunjukkan taringnya apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-31. Seorang lagi muka baharu yang dibawa masuk Wenger musim ini, Santi Cazorla turut berjaya mencetuskan impak positif apabila meledak gol kedua buat Arsenal pada minit ke-68. Kemenangan itu sudah pasti memberikan kelegaan buat Wenger yang sebelum ini resah dengan persembahan tidak menentu anak-anak buahnya apabila gagal meledak gol dalam dua perlawanan awal.

Ketiadaan bekas kapten, Robin van Persie yang membuat keputusan untuk berhijrah ke Manchester United juga sudah boleh dilupakan berdasarkan prestasi membanggakan Podolski dan Cazorla. Sementara itu, kekalahan di laman sendiri yang dialami Liverpool sudah pasti membuatkan pengendali kelab itu, Brendan Rodgers tidak senang duduk. Selepas dimalukan dengan kekalahan 0-3 oleh West Bromwich Albion pada aksi pembukaan liga 18 Ogos lalu dan sekadar seri 2-2 dengan Manchester City minggu lalu, Rodgers masih belum mampu mencetuskan impak positif buat skuad The Reds selepas dilantik selaku pengurus bagi menghadapi saingan musim ini. Sesuatu perlu dilakukan Rodgers agar anak-anak buahnya tidak terus kemarau kemenangan atau beliau perlu bersedia untuk dipecat. – Agensi

Wan Zack ketepi sentimen peribadi

Posted:

Wan Zack ketepi sentimen peribadi

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

WAN ZACK (kiri) turut mencatat nama sebagai penjaring pada aksi menentang Singapore Armed Forces pada saingan Liga Singapura semalam.


PELEDAK berbisa Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor jelas tidak memikirkan sentimen 'luar padang' berhubung masa depannya bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu.

Buktinya, Wan Zack, 21, berjaya meledak satu gol ketika membantu Harimau Muda 'mengerjakan' Singapore Armed Forces dengan keputusan 4-1 dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun, Singapura malam kelmarin.

Menurut Wan Zack, dia sentiasa percaya kepada rezeki yang dianugerahkan Tuhan, justeru tidak bermakna konsentrasinya terjejas meskipun belum mendapat sebarang pengesahan 'hitam-putih' daripada kelab yang berpangkalan di Okinawa itu.

"Sejujurnya saya gembira dengan pengalaman yang diraih sepanjang berada di Jepun tetapi jika dipilih sudah tentu ia cukup mengujakan.

"Saya percaya rezeki berada di mana-mana tidak kira di Jepun mahupun di Eropah, seandainya masa masih belum tiba saya mahu fokus bersama Harimau Muda dalam saingan Liga S terlebih dahulu," katanya kepada Kosmo!.

Misteri mengenai masa depan Wan Zack bersama rakan sepasukannya, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, 21, bersama FC Ryukyu masih belum ternoktah biarpun latihan pemilihan selama 19 hari bersama skuad kendalian Takeo Matsuda itu telah pun berakhir pada 28 Julai lalu.

Dalam pada itu, Wan Zack juga tidak meletakkan sasaran tertentu untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Liga S musim ini biarpun telah meledak empat gol bersama Harimau Muda setakat ini.

"Kalau sentiasa menjaringkan gol sememangnya bonus, cuma saya lebih menumpukan perhatian membantu Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tangga kelima liga musim ini," jelasnya sambil memberitahu tidak lagi dibelenggu kecederaan harmstring paha kanannya sebelum ini.

Dalam perlawanan kelmarin, seorang lagi penyerang berbisa negara, Ahmad Hazwan Bakri juga kembali menemui sentuhan selepas meledak hatrik sekali gus muncul penjaring terbanyak Harimau Muda dalam aksi Liga S dengan enam gol setakat ini.

Gol saguhati Armed Forces pula dijaringkan Mislav Karoglan pada masa kecederaan. Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Ong Kim Swee kini melonjak ke tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan.

Ia merupakan aksi terakhir anak-anak buah Kim Swee dalam saingan Liga S sebelum 'berehat seketika' bagi menyertai kejohanan jemputan Piala SCTV di Indonesia selama lima hari bermula 6 September depan.

Mereka hanya akan kembali meneruskan perjuangan dalam saingan Liga S menentang Home United di Stadium Yishun pada 15 September depan.

Kesibukan jadual Harimau Muda juga tidak berakhir di situ sahaja apabila mereka bakal menyertai satu lagi kejohanan jemputan iaitu Newspaper Cup di Vietnam pada Oktober depan.

Padah menanti Sharbinee

Posted:

Padah menanti Sharbinee

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

KESILAPAN penjaga gol Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee yang membenarkan Kedah menyamakan kedudukan 1-1 dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin bakal mengundang padah kepada dirinya.

"Saya memang sangat kecewa dengan tindakannya (Sharbinee). Saya juga kecewa bagi pihak seluruh rakyat Terengganu serta Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) di atas tindakannya itu.

"Apa yang dia buat itu memang salah. Ini bukan kali pertama dia melakukan kesilapan seperti itu dan ia memang dilihat keterlaluan," kata pengendali Penyu, Peter James Butler.

Mengulas lanjut, Butler berkata, skuad Penyu tidak akan maju sekiranya pemain seperti itu terus kekal dalam pasukan.

"Saya tidak perlukan pemain yang tidak jujur (dalam pasukan), saya mahu yang berdisiplin.

"Keputusan malam ini (kelmarin) sangat tidak relevan. Tidak kira menang atau kalah. Mungkin selamat jika saya katakan dia (Sharbinee) tidak akan berada dalam kesebelasan utama lagi selepas ini," katanya.

Pada perlawanan malam kelmarin, Terengganu bermain dengan cukup baik apabila mendahului seawal minit ke-20 hasil tendangan percuma daripada luar kotak penalti oleh penyerang import, Francis Forkey Doe.

Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-62 hasil tendangan penjuru yang gagal ditangkap penjaga gol tuan rumah, Sharbinee Allawee.

Ia sekali gus telah membuatkan Butler menggantikan Sharbinee dengan penjaga gol simpanan, Md. Sharmiza Yusof.

Dalam pada itu, Butler memberitahu, skuad kendaliannya akan terus berjuang dalam baki dua perlawanan Piala Malaysia.

"Kita mempunyai maruah dan akan terus berjuang menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan kelak," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved