Ahad, 2 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengalaman pahit mangsa ragut

Posted:

Pengalaman pahit mangsa ragut

MOHD. JUAN AFFENDI, 32, tidak pernah menyangka akan menjadi mangsa ragut pecah kereta. Apatah lagi, ketika kejadian keretanya di parkir di anjung rumah di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Mohd. Juan pula pada masa itu berada di dalam rumah.

Kereta miliknya, model Kelisa dipercayai sudah menjadi sasaran kumpulan peragut pecah kereta yang aktif bergerak di kawasan itu. Keretanya dipecah ketika dia tidur di ruang tamu berseorangan.

"Bahkan mereka mengunci pagar rumah menggunakan kabel supaya suami saya tidak dapat keluar jika tersedar daripada tidur. Memandangkan dia memang penggemar kereta, semua barangan aksesori yang mahal dan berjenama kena kebas," kata isteri mangsa, Emy Shafinaz, 31, yang berada di rumah ibunya ketika kejadian.

Antara aksesori yang dirompak ialah pemain skrin sentuh, e-manage, RSM, boost meter dan lain-lain. Dompet milik Mohd. Juan yang ditinggalkan dalam kereta turut diambil.

Mohd. Juan memberitahu, dia kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian tersebut. "Kami sudah buat laporan polis tetapi tiada sebarang tangkapan. Sebelum ini, saya diberitahu, dua kereta rakan lain turut dipecah," katanya yang kesal dengan kejadian yang semakin bermaharajalela itu.

Lebih teruk, selepas kejadian, jirannya turut memberitahu Emy mereka melihat kelibat beberapa orang di anjung rumah mangsa, tetapi tidak berbuat apa-apa.

Dalam pada itu, seorang pegawai bank, Ashraf Othman, 28, memberitahu, keseronokan menikmati makan lewat malam bersama teman-teman di sebuah medan selera popular di Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini berubah menjadi insiden yang tidak akan dilupakannya.


PERAGUT hanya mahu memastikan mereka bergerak cepat sebelum ditangkap.


Buat kesilapan

"Setelah bersurai, saya kembali ke tempat letak kereta yang terletak hanya 50 meter dari tempat makan. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati banyak serpihan kaca bertaburan di tempat duduk belakang. Rupa-rupanya cermin kereta saya kena pecah," ujarnya.

Ashraf mengakui walaupun sudah berhati-hati tidak meninggalkan beg di tempat duduk, dia tetap membuat kesilapan. Dia menyimpan beg di boot keretanya.

"Saya pasti ketika itu penjenayah sudah melihat tindakan saya lalu manyangka saya menyimpan komputer riba di boot kereta. Dia mungkin lebih berani untuk melaksanakan niatnya kerana melihat saya mengunci kereta secara manual selepas itu," ujar Ashraf yang kesal dengan kejadian itu namun bersyukur kerana tidak ada barang berharga di dalam beg tersebut.

Tambahnya, apabila seseorang membuat laporan polis tindakan yang dibuat selepas itu mungkin hanya meningkatkan kekerapan rondaan keselamatan di kawasan berkenaan.

"Kita tidak boleh mengharapkan bantuan polis sahaja. Kita perlu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Beg, dompet, bungkusan malah hatta sampul surat sekali pun saya tidak akan tinggalkan di dalam kereta dan mudah dilihat.

SARIFAH@Wan Sarimah Ismail yang cedera di muka dan patah tangan kiri dirawat di hospital selepas diragut oleh seorang lelaki di Kampung Baru Pasir Pekan, Tumpat.


"Mereka yang terdesak boleh melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya, walaupun mendapati tiada barangan berharga yang boleh dilarikan," kata Ashraf.

Kosmo! juga turut menemuramah seorang wanita yang diragut baru-baru ini. Walaupun keretanya tidak dipecah, tetapi kejadian yang berlaku di lokasi yang agak sibuk. Ketika kejadian A.Shanty, 37, meletak kereta di hadapan deretan kedai. Selepas membeli makanan tengah hari di Seksyen 5, Petaling Jaya, rantai Shanti yang juga merupakan rantai suci perkahwinan bernilai kira-kira RM8,000 diragut sekumpulan peragut yang terdiri daripada tiga hingga enam orang.

"Saya pasti tiada sesiapa di situ. Selepas saya membeli makanan saya menyedari ada sekumpulan lelaki sedang berbual dan duduk di atas motosikal. Mereka pandang saya sepintas lalu dan terus berbual. Sebaik saya mendekati kereta, mereka terus meragut rantai saya dan ia berlaku sangat cepat," katanya yang mengakui orang ramai di situ hanya sedar sebaik dia menjerit sekuat-kuat hati.

SEORANG mangsa ragut, Rohairani Abdullah dibantu orang ramai selepas tangan kirinya ditetak oleh peragut di hadapan sebuah kedai pakaian di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Dapatkan duit

Mengakui trend ragut masa kini tertumpu kepada pecah kereta sama ada yang berhenti sewaktu trafik atau parkir mahupun di hadapan rumah, Kosmo! berpeluang mendekati seorang lelaki yang pernah melakukan aktiviti ragut.

Walaupun tidak terlibat lagi dalam jenayah itu, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Micheal, 26, memberitahu, dia masih berkawan dengan rakan-rakan peragut yang lain. "Apabila keluarga saya mendapat tahu, saya pun berhenti. Ibu telah memberi amaran keras," katanya.

Michael dari Shah Alam berkata, pertama kali dia mula meragut selepas tamat belajar, perbuatan yang dilakukan sekadar suka-suka untuk menambah nilai telefon. Lama-kelamaan meragut menjadi satu 'kerjaya' baginya untuk mendapatkan duit. Sekali ragut, beg, barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, aksesori kereta, Micheal akan mendapat habuan sekurang-kurangnya RM2,000.

Peragut tidak kisah siapa mangsa mereka, tetapi mereka lebih cenderung meragut wanita kerana ia lebih mudah. "Saya tidak pernah meragut lelaki kerana saya sendiri berbadan kecil. Tetapi wanita, saya tidak kisah, walaupun mereka besar. Adakalanya mereka serang kembali dan berjaya mengagalkan cubaan meragut, itu perkara biasa," katanya. Dia juga memberitahu ada peragut yang mengambil ganja atau pil khayal supaya tidak terlalu beremosi ketika meragut.


JENAYAH pecah kereta dan ragut atau rompak semakin menjadi-jadi di kawasan di mana kereta terpaksa di parkir jauh daripada rumah atau pandangan pemilik.


Micheal juga berkongsi rahsia peragut. Lazimnya, mereka menggunakan motosikal dan telefon bimbit curi. Nombor plat palsu dan tidak membawa apa-apa identiti diri. "Ini nasihat seorang 'abang' kapada saya. Katanya kalau ada tercicir atau terjatuh, kena tangkap orang ramai, mudah menyelamatkan diri. Tidak perlu fikir mengenai motosikal, telefon atau lain-lain," katanya.

Michael memberitahu, 'abang'nya yang juga seorang peragut berusia dua tahun lebih tua daripadanya menasihati dia supaya bergerak cepat, tidak memberi masa yang lama kepada mangsa. "Tak kisahlah, kami dapat atau tidak, yang penting kena cepat, sebelum mangsa mampu fikir melepaskan diri."

Ditanya tentang kelakuan tidak senonoh atau serangan seksual kepada mangsa ragut, Micheal bersumpah dia tidak pernah melakukan perbuatan tersebut. Namun, ketika bergerak dalam kumpulan, ada rakan-rakan peragut yang lain mengambil kesempatan.

Walaupun kini sudah insaf Micheal berkata, dia tetap berkawan dengan rakan peragut yang lain. "Saya berkawan untuk memastikan mereka tidak mengacau ahli keluarga atau sesiapa yang saya kenali."

Veteran perang bunuh diri

Posted:

Veteran perang bunuh diri

MICHAEL (tengah) bersama ibu bapanya sewaktu berkhidmat dalam pasukan tentera AS suatu masa dahulu.


PADA waktu tengah hari dalam musim panas tahun 2009 di Champion, Ohio, Michael Ecker yang merupakan veteran perang Iraq berusia 25 tahun memanggil bapanya ke sebuah kawasan hijau di belakang kediaman mereka. Sejurus bapanya sampai, Michael memberi tabik hormat, menghala pistol ke arah diri sendiri dan menarik picunya.

"Matanya terbuntang. Tiada apa yang dapat saya lakukan," keluh bapanya, Matt ketika mengenang tragedi itu.

Beberapa minggu sebelum itu, Michael menerima sepucuk surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (VA) yang mendakwa dia membesar-besarkan tahap masalah psikiatri yang dialaminya.

Ia terjadi berikutan gangguan berterusan Michael yang didiagnosis mengalami kecederaan trauma otak sepanjang dia berada di medan perang.

Sekembalinya ke tanah air selepas perang, dia cuba mendapatkan pekerjaan tetap, menikmati faedah kurang upaya daripada VA dan menyambung kehidupan senormal mungkin.

"Saya terfikir untuk mencari doktor tersebut dan mengherdik: Membesar-besarkan masalah? sambil menunjukkan sijil kematian anak saya," kata Matt.

Isu kritikal

Setiap setengah jam di Amerika Syarikat (AS), seorang veteran dalam sistem penjagaan kesihatan VA dilaporkan membunuh diri.

Presiden Barack Obama sendiri memberi perhatian kepada usaha menghalang insiden bunuh diri sebagai satu keutamaan dalam isu veteran tentera semasa berkempen pada tahun 2008.

Beliau malah memetik kes seorang veteran Perang Dunia Kedua yang bertindak meragut nyawa sendiri selepas mengadu tentang masalah rawatan oleh VA.

"Kami perlu melakukan yang lebih baik. Semua usaha perlu dijalankan segera," ujar beliau dalam satu ceramah di Charleston, West Virginia pada 12 Mei 2008.

Hampir tiga tahun selepas insiden tragis Michael, pentadbiran Obama menggandakan usaha untuk menangani masalah bunuh diri dalam kalangan veteran, yang sebahagian daripadanya dimulakan pada penghujung pentadbiran Bush.

VA kini menggajikan lebih ramai kakitangan pencegahan kes bunuh diri dan menaik taraf usaha mengesan pesakit berisiko tinggi. Faedah lain untuk membantu veteran juga dikembangkan, terutamanya dari segi pendidikan dalam Akta GI 2008.

Kemungkinan besar perkara yang boleh dibanggakan dalam usaha VA menentang trend bunuh diri ini adalah penyediaan khidmat talian sokongan.

Perkhidmatan itu menerima setengah juta panggilan sejak dimulakan pada 2007 dan membabitkan lebih 20,000 penyelamat yang antara lain melayan perbualan dalam talian serta penghantaran pesanan ringkas.


MATT melakonkan semula aksi mendiang anaknya, Michael, yang memberi tabik hormat sebelum bertindak menembak kepalanya sendiri.


VA juga mempertingkat usaha pengumpulan data dan angka yang dilihat bermasalah ialah pada tahun 2011 iaitu sebanyak 17,754 cubaan bunuh diri direkodkan atau bersamaan dengan kira-kira 48 kes sehari, pertambahan berbanding 10,888 kes pada 2009.

Dalam tinjauan Reuters di kesemua 50 negeri, hanya 32 buah negeri sahaja yang mempunyai data dari tahun 2005 hingga 2010.

Walaupun berlaku ketidaksempurnaan data, VA menganggarkan ketepatannya pada 78 peratus hingga 90 peratus dan jabatan itu percaya angka tersebut konsisten dengan trend yang dipantau mereka,

Kesihatan mental

Menurut Shinseki dalam satu temu bual, masalah bunuh diri dalam kalangan veteran dilihat berkaitan dengan persoalan lebih besar iaitu kesihatan mental di seluruh AS itu sendiri dan dia menunjukkan data yang menunjukkan bunuh diri ialah punca kematian kedua tertinggi bagi penduduk berusia 25 hingga 34 tahun dan keempat terbesar bagi lingkungan usia 35 hingga 54 tahun.

"Kita mempunyai masalah. Adakah kesihatan mental menjadi isu di negara ini? Tiada pihak yang membicarakan hal tersebut," katanya lagi.

Salinan surat VA kepada Michael bertarikh 29 Julai 2009 menunjukkan jabatan itu menafikan kenaikan faedah dari AS$974 (RM3,035) yang diterimanya setiap bulan atas alasan 'membesar-besarkan' hal tentang gangguan emosi dan masalah memori.

VA dalam kenyataannya menyebut, kematian Michael sebagai satu perkara tragik dan jabatan itu bersimpati dengan keluarga dan orang terdekat dengan mangsa.

Matt sebagai bapa, masih tertanya-tanya pada diri sendiri setiap hari sama ada kes yang menimpa Michael dapat dielakkan sekiranya dia menerima rawatan lebih baik atau mendapat kerjaya yang lebih sesuai dengan keadaannya.

Matt juga bingung sama ada anaknya itu mungkin mengalami nasib sebaliknya jika kembali kepada VA.

Pergi berperang sememangnya berisiko namun dalam kes melibatkan Michael, pulang dari perang juga satu bentuk risiko.

"Sama sahaja bahayanya kerana di luar sana wujudnya kekurangan pekerjaan dan pelbagai lagi kekurangan," keluhnya panjang. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved