Isnin, 5 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kemuraman politik Myanmar

Posted:

Kemuraman politik Myanmar

Kemuraman politik Myanmar

TIADA bangunan pencakar langit mahupun pusat beli-belah mewah, apatah lagi sistem kereta api bawah tanah. Apa yang jelas kelihatan hanyalah lubang-lubang di kaki lima dan konkrit bangunan yang pecah serta rosak.

Inilah paparan persekitaran terkini yang berlaku di Yangon iaitu bekas ibu negara dan bandar terbesar di Myanmar. Lebih menyedihkan, sebahagian besar bangunan bersejarah yang berusia setengah abad turut musnah, terbengkalai dan tidak diurus rapi oleh pihak junta tentera yang mengambil kuasa pemerintahan sejak tahun 1962.

Tumpuan kerajaan tentera kini tidak lagi pada Yangon, selepas mereka memindahkan ibu kota dari Yangon ke Naypyidaw pada bulan November 2005. Ia adalah sebuah kota di tengah-tengah belantara kira-kira 320 kilometer di sebelah utara Yangon, .

Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, pernah menyelar tindakan kerajaan Myanmar yang memutuskan untuk memindahkan pentadbirannya ke Naypyidaw. Jelas Kuan Yew, perpindahan tersebut menyukarkan pembangunan ekonomi dan mengganggu usaha penyelesaian masalah kestabilan politik.

"Mereka menutup ibu pejabat kerajaan di Yangon dan membuka pejabat baharu di Pyin mana, atau entah apa nama tempat itu, yang tidak ada apa-apa. Mereka ialah jeneral yang agak bodoh dalam bab pengurusan ekonomi.

"Bagaimanakah mereka boleh mengurus ekonomi dan mencapai peringkat seteruk ini sedangkan negara itu memiliki begitu banyak sumber asli?" kata Kuan Yew kepada kolumnis Amerika Syarikat (AS), Tom Plate dalam wawancara pada 27 September empat tahun lalu.

Kata-kata itu ada benarnya. Ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948, ibu kota itu mewah dengan sumber asli dan lebih kaya berbanding Singapura.

Bukan itu saja, pada abad ke-20, Myanmar atau nama asalnya Burma merupakan salah satu negara terkaya di Asia dan menjadi pilihan pihak British membuka empayar.

Buktinya, bangunan berkonsepkan era Victoria tersergam indah di hadapan air pancut di tengah-tengah bandarnya. Kebanyakan pusat jualan juga menjual barangan yang diimport khas dari Eropah. Panggung wayang popular seperti Palladium dan Excelsior juga sesak saban waktu.


BUKAN saja bangunan bersejarah malah kawasan petempatan juga tidak dilakukan proses pemuliharan.


Selepas menakluk Yangon pada tahun 1852 dan menukar nama pada Rangoon, pihak British mula membangunkan bandar berkenaan menjadi tapak asas pentadbiran mereka dengan membina bangunan-bangunan mahkamah, Parlimen, taman untuk bersantai dan taman botani. Ini termasuklah membina Universiti Rangoon pada tahun 1878, sehingga ia menjadi salah sebuah universiti terkemuka di Asia.

Kegemilangan bandar Rangoon cukup menyerlah kerana ia menggabungkan idea dan kreativiti sejumlah perancang bandar British.

Kekejaman junta

Malangnya, sebahagian besar bangunan di Rangoon telah rosak dan binasa semasa kedatangan Jepun pada Perang Dunia Kedua. Tetapi, Myanmar berusaha mengekalkan empayar British selepas mencapai kemerdekaan tahun 1948.

Namun erti kebebasan sebenar bagi rakyat Myanmar hanya bersifat sementara. Pada 8 Ogos 1988, berlaku mogok dan tunjuk perasaan besar-besaran di Myanmar bagi menuntut hak asasi dan demokrasi. Demonstrasi besar-besaran tersebut bertujuan untuk menentang pemerintahan tentera yang menguasai Myanmar selama 25 tahun.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Ne Win yang memegang kuasa sejak tahun 1958 mengarahkan tentera menembak rakyat yang sedang berhimpun itu. Akibatnya, dianggarkan 10,000 orang telah terbunuh.

Kebencian rakyat kepada kerajaan tentera bertambah-tambah apabila Ne Win mengamalkan konsep nasionalisasi dan pengasingan global.

Pemuliharaan

Bukan sahaja masalah politik, kemerosotan usaha pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah di Yangon dilihat semakin kronik. Rata-rata penduduk menyifatkan sekiranya permasalahan tersebut tidak diatasi dengan segera, maka tidak mustahil bangunan berusia beratus-ratus tahun di negara itu terus lenyap.

Dalam pada itu, kehadiran generator minyak diesel berwarna kuning dan jingga yang sebahagian besarnya bersaiz seperti bas jelas menunjukkan bahawa bekalan tenaga elektrik di bandar yang didiami kira-kira 5 juta orang itu semakin lumpuh.


PERSEKITARAN Yangon yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan lama berusia setengah abad.


"Kadangkala, tenaga elektrik terpaksa dipotong. Adakalanya ia kembali normal. Kami sudah biasa dengan keadaan seperti ini," jelas Abdullah Mingala, 71, anak kelahiran Myanmar berketurunan India.

Sementara itu, seorang bekas profesor sejarah Burma, U Kha Myint, 77, memberitahu dia terpaksa bersara awal dari berkhidmat di sebuah universiti awam pada usia 64 tahun, setahun sebelum layak mendapatkan pencen.

Menyedari atmosfera ekonomi di Yangon kurang memberangsangkan, maka setiap hari dia menghabiskan masa dengan mengunjungi rumah ibadat dan pagoda Shwedagon. Di sana ,dia meminta derma tunai dengan menawarkan perkhidmatan informasi dan cerita sejarah kepada pelawat mengenai stupa dan prinsip agama Buddha.

"Hidup adalah perjuangan. Kos sara hidup di sini amat tinggi. Bayangkan, sekilo beras dijual pada 1,500 Kyat (RM723) berbanding harga sebelum ini 1,000 Kyat (RM490)," tegasnya yang ingin bergelar sami pada tahun depan.

Kemarahan AS dan EU

Dasar demokrasi dan hak asasi manusia yang tidak dipedulikan oleh kerajaan tentera mendatangkan kemarahan pada pihak Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU). Ini disusuli dengan tindakan junta tentera yang tegar membunuh dan memenjara beribu-ribu aktivis demokrasi gara-gara kalah pada pilihan raya tahun 1990.

Sehubungan itu, sebagai tanda protes dan memboikot sikap kejam junta tentera Myanmar, maka AS dan EU menghentikan segala bentuk bantuan. Ini termasuklah bantuan daripada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Produk jenama antarabangsa juga semakin berkurangan kecuali penjualan barangan keluaran Asia seperti Hitachi dan Samsung. Tiada lagi kelihatan iklan-iklan Coca-Cola atau Heineken di Yangon.

Sebaliknya hanya terdapat papan iklan yang memaparkan jenama buatan Myanmar seperti Sunday Mix Coffee dan Tea Mix, Wellman Vitabiotics Supplement dan ubat gigi Fresh Up.

Namun pemboikotan AS dan EU sedikitpun tidak membimbangkan pemimpin junta, Jeneral Kanan Than Shwe. Sebaliknya, dia pernah menyelar negara seperti AS yang sering mengkritik rekod hak asasi manusia di Myanmar.

"Berdasarkan pengalaman adalah amat jelas negara-negara tertentu menunjukkan ketidakpuasan hati kerana mereka ingin memaksa pengaruh mereka terhadap negara kita. Mereka juga melancarkan banyak usaha untuk menjejaskan perpaduan kita," ujar Than Shwe.


CLINTON (kiri) bertemu Suu Kyi di Yangon pada 2 Disember baru-baru ini.


Selepas 55 tahun mengamalkan dasar tutup pintu terhadap Myanmar, akhirnya AS mengambil keputusan untuk menjalinkan semula hubungan antara dua negara.

Tarikh 30 November 2011 pastinya mencatat sejarah apabila setiausaha AS, Hillary Clinton, menemui Presiden Myanmar, Thein Sein, Menteri Luar Negara, Wunna Maung Lwin dan Ahli Tertinggi Parlimen di ibu negara, Naypyitaw.

"Kedatangan saya pada hari ini disebabkan Presiden AS, Barack Obama dan diri saya sendiri yang ingin mengajak anda dan kerajaan anda menyediakan sesuatu kepada rakyat anda," jelas Clinton kepada Thein Sein pada pertemuan berkenaan.

Dalam pada itu, Thein Sein menyifatkan kehadiran Clinton bagaikan membuka lembaran baharu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved