Isnin, 5 Disember 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Surut dalam tiga jam

Posted:

Surut dalam tiga jam

Surut dalam tiga jam

Oleh: NIZHA PERIASWAMY

RAMAI yang terkejut dan kaget dengan peristiwa banjir kilat di Kajang, Selangor sama ada yang mengalaminya sendiri, berjiran dengan kawasan itu atau mendengar berita melalui kaca TV. Banjir kilat yang berlaku di pusat bandar Kajang (Jumaat lepas) adalah yang terburuk pernah berlaku sejak tahun 1971.

Ramai yang menuding jari kepada pembangunan bandar yang tidak terancang atau tidak terkawal sejak akhir-akhir ini di Kajang.

Pembangunan di kawasan urban hakikatnya memang tidak boleh dielakkan memandangkan permintaan yang tinggi terhadap hartanah di situ. Tetapi kealpaan untuk menilai dan merancangnya dengan teliti akhirnya membawa musibah.

Tutup kedai

"Apabila hujan mula turun, saya dan suami merasakan ia seperti biasa. Tetapi air melimpah masuk secara tiba-tiba membuat kami mula kelam-kabut menyelamatkan kasut-kasut dan barangan lain," kata pembuat kasut di tepi jalan kedai, Asnian Ahmad, 50. Beliau yang kehilangan barang-barang seperti tapak kasut, benang dan jarum memberitahu tidak tahu sebab di sebalik bah itu.


LEBIH 250 kenderaan dijangka rosak dalam banjir kilat Jumaat lepas di Kajang.


Banjir kilat pada Jumaat lalu di Kajang melibatkan jalan-jalan di perbandaran pusat bandar Kajang apabila hujan lebat bermula kira-kira pukul 3 petang sehingga lewat malam.

Menurut laporan, sebaik 15 minit hujan yang lebat turun mencurah-curah, air sudahpun naik kira-kira satu meter dan memasuki kawasan pusat beli-belah termasuk kompleks Plaza Metro, kedai-kedai seperti kedai kain, aksesori kereta, telekomunikasi, restoran, restoran makanan segera dan lain-lain.

Selain pusat bandar itu sendiri, kawasan lain yang turut terlibat dalam banjir kilat itu ialah Pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang, Jalan Jerlok, Sungai Kantan, Jalan Semenyih dan Jalan Kelapa.

"Ia berlaku terlalu cepat. Dalam masa kurang 15 minit, kami terpaksa menutup kedai," kata V. Shanmugam, 64 dari kedai emas Madras Jewellers.

Ujar beliau, kedainya mengalami kerugian mencecah RM50,000 hingga RM60,000 dalam banjir kilat yang merosakkan komputer, perabot dan kotak barangan kemas berbaldu yang disimpan di setor.

"Apa yang saya dengar banjir ini disebabkan oleh limpahan air sungai. Tetapi buat masa ini saya belum dapat pengesahan sesiapa kerana sibuk mengemas kedai dan membersihkan lumpur-lumpur," kata Shin Sun Kaat, 39, dari Sun Yit Sports Centre yang sibuk mengemas ketika ditemui.


BANJIR kilat di Kajang tempoh hari antara terburuk sejak 30 tahun.


Kebanyakan orang yang ditemui dalam tinjauan Kosmo! Ahad lalu, menyalahkan perparitan yang kecil di sungai sekitar Kajang dan pembangunan sebagai punca utama banjir kilat.

Sistem perparitan

Sampah-sarap yang banyak tersumbat dan menyebabkan air melimpah ke jalan raya melepasi tebing sungai dikatakan antara faktor lain.

"Pembangunan itu penting tetapi, jika fokus hanya diberi pada pembangunan tetapi sistem perparitan dan sungai dibiarkan sama sejak 30 tahun, bagaimana pula?" tanya pekedai Actscom Sdn. Bhd., Alex Chee.

Sementara itu, peniaga barangan serbaneka, Fully Shop, Alwin Ling, 28, pula berharap supaya pihak kerajaan dan penguatkuasa dapat melakukan sesuatu agar masalah itu tidak berulang.

"Pada masa kejadian, orang ramai berpusu-pusu masuk dan lari ke tingkat atas. Kami terpaksa membuka ruang atas supaya ia dapat menyelamatkan orang ramai. Agak panik juga sewaktu hujan turun sekitar pukul 3 hingga 6 petang," kata pengurus restoran makanan segera, McDonald's, Faizal Jamari.


RAMAI yang gempar dengan peristiwa Kajang dilanda bah mengejut.


Dalam satu temu bual, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin memberitahu, kejadian banjir di Kajang sebagai satu kejadian berkala. Namun, beliau mengakui ia bah terburuk berbanding sebelumnya.

Beliau merujuk kepada projek tebatan banjir yang pernah dilakukan pada tahun 2008 dengan membesarkan Sungai Jelok dan muara Sungai Jelok supaya air mengalir ke bahagian Sungai Langat.

"Kami juga membina dinding tebatan setinggi 1.5 meter dan melebarkan sungai. Mungkin kerana hujan yang lebat menyebabkan air di Sungai Jelok dan Sungai Langat melimpah memasuki pusat bandar sekali gus menyebabkan banjir," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul pula berkata, walaupun air naik mendadak sehingga ke paras pinggang, ia juga segera surut dan kembali kepada keadaan biasa selepas beberapa jam.

Korek pasir haram

Dalam satu lagi laporan akhbar kelmarin, kegiatan sindiket mengorek pasir secara haram juga menjadi penyumbang kepada banjir kilat luar biasa yang berlaku di bandar Kajang.

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid dipetik berkata, selain pembangunan, kegiatan mengorek pasir secara haram mempercepatkan berlakunya banjir di samping hujan lebat.


TIMBUNAN sampah dipercayai sebahagian faktor yang menyebabkan banjir kilat di pusat bandar Kajang.


"Pembangunan dan aktiviti manusia (mengorek pasir) boleh menjejaskan sistem pengaliran air dan bahan-bahan konkrit seperti jalan dan bangunan. Ia akan menyebabkan berlakunya gangguan aliran sungai seterusnya mempercepatkan banjir," ujarnya beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

Aladdin penuh warna-warni

Posted:

Aladdin penuh warna-warni

Aladdin penuh warna-warni

Oleh NIZHA PERIASWAMY


RAMAI artis berbakat besar melibatkan diri untuk menghidupkan teater muzikal ini.


KANAK-KANAK sememangnya suka dan gemar menonton persembahan berbentuk cerita dongeng. Malah orang dewasa juga tidak ketinggalan jika persembahan cerita dongeng di bawa secara matang, penuh unsur lawak jenaka dan santai serta mampu menangani tekanan.

Justeru, Sunway Lagoon yang pernah membawa beberapa teater muzikal terkenal seperti Peter Pan pada musim cuti sekolah yang lalu, tampil dengan persembahan teater muzikal tiga dimensi (3D) yang penuh kejutan dan pembaharuan iaitu Aladdin The Musical.

Teater ini bukan sahaja membawa watak-watak dan cerita dongeng antarabangsa terkenal secara bersahaja malah kepelbagaian persembahan dan lakonan pasti akan memukau setiap penonton.

Produksi persembahan yang berpusat di London, West End Production memainkan peranan utama menawarkan tenaga pelakon yang terdiri daripada enam karakter utama dan sampingan.

"Persembahan teater muzikal ini bukan lagi seperti sebelumnya. Kali ini, kami membawa teater muzikal beberapa langkah lebih maju dengan menyelitkan aspek teknikal yang lebih canggih iaitu ia dipersembahkan dalam bentuk 3D," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Lagoon dan Penerbit Eksekutif persembahan Aladdin The Musical, Aaron Soo.

Susulan itu, Aaron tidak mahu sesiapa, khususnya kanak-kanak terlepas peluang menyaksikan persembahan yang akan dilangsung sepanjang musim cuti sekolah ini.

Persembahan memukau

Pengarah Aladdin The Musical dari West End Production, Chris Colby memberitahu Kosmo!, teater muzikal itu secara amnya terdiri daripada dua bahagian iaitu segmen satu dan diikuti segmen dua selepas 15 minit rehat di antaranya.

Setiap segmen akan membawa tujuh dan enam adegan serta diselang-seli dengan alunan lagu.

"Ia satu kisah umum yang diketahui ramai namun Aladdin The Musical mempunyai kelainan. Elemen pencahayaan yang menakjubkan, efek lampu laser di atas pentas, karpet terbang, latar bunyi yang dramatik dan lakonan pelakon itu sendiri mampu memberikan satu pengalaman tersendiri kepada setiap penonton," ujar Aaron.

Lagu dan tarian

Selain itu, pemilihan lagu yang berkesan, aspek koreografi dan elemen komedi yang ditampilkan melalui watak jin (lakonan Gareth Heesom) yang keluar dari lampu ajaib akan menjanjikan kejutan yang hebat untuk para penonton.

Selain watak Aladdin dan jin lampu ajaib yang menjadi tarikan utama, tidak dilupakan ialah watak heroin, Puteri Jasmine (lakonan Nikki Mae), watak antogonis Jaafar (lakonan Michael Morgan), watak Sultan yang ceria (lakonan Peter Jamieson) serta watak jin cincin (lakonan Jess Ellemer).


WATAK jin menjadi tarikan yang menghidupkan elemen jenaka teater itu.


Krew ini turut dibantu oleh pelakon-pelakon sampingan yang menghidupkan lagi set penggambaran termasuk haiwan-haiwan dari Taman Wildlife di Sunway Lagoon sendiri.

Seperti mana kata Aaron, persembahan itu akan mendorong penonton untuk terus menikmatinya tanpa berganjak dari tempat duduk.

Persembahan teater muzikal 3D yang penuh menghiburkan yang bertempat di Amphitheatre di Sunway Lagoon itu akan dilangsungkan sepanjang musim sekolah bermula 25 November 2011 hingga 2 Januari 2012 nanti.

Persembahan teater muzikal akan diadakan sekali setiap hari, dari Ahad ke Jumaat pada pukul 7.45 petang. Sementara pada hari Selasa, pentas direhatkan.

Persembahan akan diadakan dua kali pada hari Sabtu iaitu pada pukul 7.15 petang dan 9.15 malam serta persembahan tambahan pada Hari Natal, 25 Disember dan 1 Januari 2012 pada pukul 7.15 petang dan 9.15 malam.

Pilihan harga tiket untuk dewasa adalah RM100, RM200, RM250 dan RM300 manakala RM50, RM100, RM120 dan RM150 untuk kanak-kanak.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Sunway Lagoon di talian 03-5639 000 atau layari laman web www.sunwaylagoon.com atau di Facebook menerusi sunwaylagoonMsia dan akaun @sunwaylagoon1 di Twitter.

Full content generated by Get Full RSS.

Misi selamatkan boneka bernyawa

Posted:

Misi selamatkan boneka bernyawa

Misi selamatkan boneka bernyawa

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

KETIKA bercuti ke Los Angeles, seorang peminat setia The Muppets, Walter, bersama rakan-rakannya, Gary dan Mary mendapat tahu bahawa tauke minyak, Tex Richman, mahu merobohkan teater Muppets untuk menggali minyak di tapak teater itu.

Bagi mendapatkan wang berjuta-juta dolar untuk menyelamatkan tapak tersebut, mereka berusaha menghimpunkan semula semua ahli Muppets yang telah membawa haluan masing-masing demi sebuah persembahan terbesar.

Filem White Vengeance pula berkisar mengenai zaman pemerintahan Dinastin Qin. Raja Huai yang dibantu dua pahlawan iaitu Liu Bang dan Xiang Yu begitu hebat dalam peperangan hingga berjaya menakluk pusat pentadbiran Dinasti Qin. Walaupun demikian, setelah melihat keserasian yang terjalin di antara kedua-dua askarnya yang kuat itu, Raja Huai merasa takut dan tergugat dengan mereka.

Turut berada di pawagam minggu ini adalah cerita mengenai Datin Ghairah. Melihat pada tajuknya, pasti ramai beranggapan bahawa cerita itu mengisahkan tentang seorang datin yang penuh berahi. Namun, ia sebenarnya merujuk kepada seorang wanita berstatus datin yang bernama Ghairieyah.

Selain itu, para penonton juga diajak ke pawagam untuk menyaksikan filem komedi romantik, New Year's Eve.

The Muppets

Tarikh Tayangan: 8 Disember 2011

Genre: Komedi

Durasi: 1 jam 45 minit

Pengarah: James Bobin

Pelakon: Mila Kunis, Emily Blunt,Jason Segel, Amy Adams, Selena Gomez, Neil Patrick Harris, Katy Perry, Whoopi Goldberg

Sinopsis: Apabila peminat setia Muppet, Walter dan rakannya Gary (Jason Segel) serta Mary (Amy Adams) mengetahui rancangan seorang saudagar minyak, Tex Richman (Chris Cooper), untuk menghancurkan teater Muppets, mereka berasa terpanggil untuk membantu.

Mereka perlu mendapatkan wang sebanyak AS$10 juta untuk menyelamatkan teater berkenaan. Untuk itu, Walter, Mary dan Gary membantu Kermit untuk mengumpul semua ahli Muppets yang kebanyakannya sudah membawa haluan mereka masing-masing. Mereka menempuhi pelbagai cabaran dalam usaha menjayakan persembahan terbesar, The Muppets Show.

Datin Ghairah

Tarikh Tayangan: 08 Disember 2011

Genre: Romantik, komedi

Durasi: 1 jam 29 minit

Pengarah: Sabree Fadzil

Pelakon: Maria Farida, Aaron Aziz, Faizal Hussein, Yank Kassim, Hairie Othman, Sheera

Sinopsis: Datin Ghairieyah atau lebih dikenali sebagai Datin Ghairah adalah balu kepada arwah Datuk Mahfuz, seorang ahli perniagaan yang terkenal di Malaysia. Emelia dan Emelda ialah dua orang anak hasil perkongsian hidup mereka selama hampir 20 tahun bersama.

Setelah hampir dua tahun Datin Ghairieyah berstatus janda, dia bangkit untuk meneruskan empayar perniagaan peninggalan arwah suaminya. Dia semakin 'ghairah' untuk memperluaskan empayar perniagaannya. Sufian yang merupakan rakan karib arwah Datuk Mahfuz sedaya upaya cuba untuk memikat Datin Ghairieyah demi kepentingan perniagaannya.

Akhirnya hubungan antara Datin Ghairieyah dengan Sufian semakin intim. Perbuatan dan sikap Sufian yang licik tidak sedikitpun menimbulkan curiga di hati Datin Ghairieyah.

White Vengeance

Tarikh Tayangan: 8 Disember 2011

Genre: Aksi

Durasi: 2 jam 17 minit

Pengarah: Daniel Lee

Pelakon: Leon Lai, Anthony Wong, Jordan Chan, Liu Yi Fei

Sinopsis: Ketika zaman pemerintahan Dinastin Qin, kelompok pemberontak telah bangkit dan negara menjadi huru-hara. Liu Bang dan Xiang Yu, dua orang pemimpin askar perusuh di bawah telunjuk Raja Huai telah bergabung dalam peperangan hingga berjaya menakluk pusat pentadbiran Dinasti Qin.

Begitupun, Raja Huai merasakan Liu dan Xiang terlalu berpengaruh dan berasa tergugat dengan kehadiran mereka. Justeru, dia membuat helah untuk melaga-lagakan mereka berdua dan ternyata muslihat itu berhasil. Xiang merancang membunuh Liu pada majlis keramaian di Hong Men. Sempatkah mereka mengetahui dalangnya sebelum salah seorang terkorban?

New Year's Eve

Tarikh Tayangan: 8 Disember 2011

Genre: Komedi, romantik

Durasi: 2 jam

Pengarah: Garry Marshall

Pelakon: Jessica Biel, Jon Bon Jovi, Abigail Breslin, Chris Ludacris Bridges, Robert De Niro, Josh Duhamel, Zac Efron, Hector Elizondo, Katherine Heigl, Ashton Kutcher, Seth Meyers, Lea Michele, Sarah Jessica Parker, Michelle Pfeiffer, Til Schweiger, Ryan Seacrest, Hilary Swank dan Sofia Vergara

Sinopsis: Filem New Year's Eve meraikan cinta, harapan, kemaafan, peluang kedua dan permulaan baharu dalam beberapa kisah pasangan serta individu. Dengan latar belakang kehidupan pelbagai lapisan masyarakat di kota New York, malam menjelang tahun baharu akhirnya menjadi momen yang paling bermakna dalam hidup golongan tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved