Selasa, 6 Disember 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta atau sumpah setia

Posted:

Cinta atau sumpah setia

Cinta atau sumpah setia

CINTA Dara pada Aduka atau ikatan pertunangan antaranya dan Taruna? Mana satu pilihan Dara untuk dikorbankan? Persoalan itu dibiarkan tergantung untuk penonton yang akan hadir menyaksikan naskhah filem Semerah Padi yang diangkat ke pentas teater di Istana Budaya bermula 22 Disember ini, jawapan ada di hujung ceritanya.

Dara, watak yang akan dilakonkan oleh Jue Aziz manakala Aduka dan Taruna masing-masing dimainkan oleh pelakon berbakat Khir Rahman dan Fauzi Nawawi.

Semerah Padi, sebuah karya hebat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 yang mengisahkan dua sahabat Aduka (lakonan P. Ramlee) dan Taruna (lakonan Nordin Ahmad) yang mahir dalam ilmu persilatan di kampung Semerah Padi.

Biarpun Dara (lakonan Saadiah) yang merupakan anak kepada penghulu kampung itu sudah ditunangkan bersama Taruna, cinta tetap 'menghalalkan' hubungannya dengan Aduka. Khilaf pada agama dan persahabatan diakhiri dengan hukuman hudud seperti tuntutan dalam Islam.

Pertemuan pada petang Khamis lalu beriring gerimis manja pantas terisi dengan kisah menarik sepanjang proses latihan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh itu.

Bersama Khir Rahman, Fauzi Nawawi dan Jue Aziz, kami menyelak lembaran kisah pendukung watak utama - Aduka, Taruna dan Dara.

Interpretasi Khir

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, watak Aduka sememangnya sudah didamba oleh sutradara berkaliber, Khir Rahman, 38.

"Saya memang mahukan watak Aduka, bila sudah dapat memang sangat berbesar hati. Namun perlu ingat, tiada siapa dapat gantikan tempat P. Ramlee.

"Sama ada ia boleh jadi lebih baik atau lebih teruk daripada versi asal, saya pilih untuk jadi lebih baik!" kata pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman.

Teater Semerah Padi ujar Khir perlu diberi makna dalam setiap pengucapan dialog begitu juga pergerakan bagi menyalut sifat teater itu dengan momen 1950-an.

"Kalau kita teliti, cara gerak dan percakapan dalam filem-filem dahulu lebih dramatik, perilakunya berbeza daripada sekarang. Itu yang istimewanya teater ini, mengubat rindu orang-orang lama," luncur butir bicara sambil menunjukkan beberapa contoh aksi yang dikatakannya dramatik itu.

Menterjemahkan filem ke pentas teater bukan kerja mudah kata Khir. Perlu diberi penelitian atas segala aspek. Risiko untuk penonton membanding bezakan filem dan teater juga tinggi.

"Tapi seelok-eloknya usah membandingkan naskhah filem dan teater sebab masing-masing ada sudut pandangan tersendiri, kadangkala ia menyeronokkan dan tidak mustahil mengecewakan," ulas pendukung watak Aduka.

Aduka bagi Khir adalah seorang yang setia pada kawan karibnya, Taruna. Menerusi teater itu watak Aduka akan 'dipusing' sedikit, setelah menyelamatkan Dara daripada tangan Borek dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' semata-mata untuk menjaga maruah Dara yang telah diperkosa.

Pakej Fauzi

Taruna pula taat dan tegas! Kata pemain watak itu, Fauzi Nawawi, 38, dek kerana sifat itu, Dara berpaling perhatian kepada Aduka.

"Watak itu (Taruna) memang sudah sinonim dengan Nordin Ahmad, seorang yang setia pada pemerintah dan taat pada agama.

"Tidak jauh beza watak asal dengan ciri-cirinya dalam teater, cuma perbualan tak akan sama sebab dia legenda, kalau nak tiru memang tidak mampu, apa yang boleh ikut cara saya sendiri," ucap Fauzi yang sudah siap berpakaian pendekar ketika sesi temu ramah berlangsung.

Berkobar-kobar dan menyala-nyala api semangatnya menyarung pakaian yang mula memperkenalkan seorang Fauzi Nawawi 15 tahun dulu.

"Seni silat mungkin menjadi kelebihan pada saya untuk memainkan peranan Taruna, saya akan pamerkan sesuatu yang selama ini tidak berpeluang untuk beraksi dalam drama atau filem.

"Akhirnya dapat juga saya kembali bersilat setelah lama tinggalkan dunia pendekar," ujar Fauzi akan pakej sempurna yang dimilikinya.

Boleh berlakon, menyanyi dan menari merupakan kredit eksklusif yang dimiliki suami kepada pelakon jelita, Lisdawati. Namun, mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri menolaknya sedikit ke hadapan.


DARI kiri: Khir, Jue dan Fauzi akan berusaha menghidupkan Semerah Padi dalam pemahaman mereka dengan sebaik mungkin.


"Untuk menjadi anak seni bagi saya perlu ada pakej lengkap, perlu tahu semua bidang. Berlakon, menyanyi dan menari serta kredit jika tahu seni mempertahankan diri," katanya yang pada asal terkeliru mengenai naskhah Semerah Padi ini sama ada ia sebuah teater atau bangsawan.

Janji Fauzi, kualiti dan hasil terbaik akan dihadiahkan khusus untuk peminatnya. Katanya:"Kejujuran dan keikhlasan dalam berkarya itu penting, orang yang menonton akan menilainya sendiri."

Jue dirogol

Inti cerita daripada filem Semerah Padi dibentang untuk menjadi landasan dan kompas buat naskhah baharu iaitu sebuah teater memecut laju.

Perlu diingat, tidak semestinya segala yang tersurat di filem diterjemahkan ke pentas. Umpama babak Dara yang dirogol ketika diculik oleh kumpulan penjahat yang diketuai oleh Borek (lakonan Opie Zami) yang hakikatnya berlainan susur galur cerita asal filem.

Kata empunya nama Zuliana Abdul Aziz, 28, babak dia dirogol oleh watak Borek paling mencabar baginya.

"Jue suka babak ini, sumpah! Susahnya sebab cipta aksi sendiri, Jue sendiri yang minta dipukul dan diterajang melalui perbincangan dengan Opie.

"Itu kepuasan bagi Jue, mungkin setiap pelakon ada lain-lain penerimaan, tapi bila kita sendiri puas penonton juga akan dapat rasa. Memang semua akan terkejut, babak itu sangat zalim!" cerita Jue yang turut cedera sepanjang sesi latihan yang masih berlangsung.

Ditanya adakah Jue sendiri akan menyanyi, menari dan berlakon pada waktu yang sama? Jawabnya: "Jue akan menari, tapi kalau menyanyi nanti orang akan dengar Jue buat versi rock dalam teater Melayu."

Dara dalam kisah Semerah Padi adalah anak kepada penghulu yang akur pada arahan orang tuanya untuk dijodohkan dengan Taruna biarpun dalam hati kuat membentak.

Bergolak setiap kali berjumpa Aduka yang akan sentiasa bersama Taruna, terumbang-ambing dipukul perasaan sayang dan bersalah. Dara berdepan dua sisi berbeza saat bertemu dengan Taruna mahupun Aduka.

"Jue mainkan dua karakter berbeza, dengan Aduka lain, lebih relaks, berterus-terang dan degil.

"Tapi kalau dengan Taruna, Jue tak sanggup pandang mukanya sebab dia terlalu baik dan dia Jue sanjungi," singkap figura berambut panjang mengurai itu.

Mana satu pilihan Jue atau Dara akan terjawab dalam pementasan teater Semerah Padi yang akan bermula pada 22 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut layari www.istanabudaya.gov.my dan www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Full content generated by Get Full RSS.

Karyawan seni hargai jasa MACP

Posted:

Karyawan seni hargai jasa MACP

Karyawan seni hargai jasa MACP

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


FARHAN dan Hazama berkolaborasi menghibur tetamu dan rakan seperjuangan.


RATA-RATA penggiat seni seperti komposer dan penulis lirik di Malaysia meluahkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kerana mempunyai sebuah badan yang menjaga kutipan royalti bagi pengkarya seni di atas penjualan album atau penyiaran karya-karya mereka menerusi televisyen, radio dan juga di tempat-tempat awam.

Salah satu organisasi bukan kerajaan yang aktif menjaga royalti para pengkarya ini merupakan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang bertujuan untuk mengutip royalti lagu-lagu yang disiarkan di tempat-tempat terbuka di mana hasil kutipan itu akan diberi kepada para komposer dan penulis lirik lagu tersebut.

Baru-baru ini, demi menghargai dan mengiktiraf pencapaian para pengkarya seni ini, MACP telah mengadakan sebuah majlis sederhana iaitu Malam Mesra Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia 2011 (MACP) yang bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor yang juga dihadiri oleh ramai penggiat muzik tempatan.

Pada malam tersebut, 11 anugerah telah dipertandingkan melalui kategori seperti, Kategori Persembahan Terbanyak - Lagu Bahasa Inggeris, Lagu Bahasa Cina, Lagu Bahasa Melayu dan Luar Negara.

Manakala kategori lain pula merupakan kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi, Komposer Muda Berpotensi, Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak, Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak dan akhir sekali Anugerah Nadi Cipta.

Sejak mula diadakan pada tahun 1995, penulis lirik, komposer, dan penyanyi tersohor di dalam industri muzik tempatan, Datuk M. Nasir masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.

Menurutnya, dia merupakan antara ahli pertama mendaftar diri serta karyanya di bawah MACP ketika mula-mula diwujudkan dahulu.


DATUK M. NASIR masih lagi mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 berturut-turut.


"Pada mula penubuhannya, mungkin ada orang yang tidak begitu yakin dengan MACP. Namun, apa yang dilihat, setelah sekian lama, mereka bersungguh-sungguh menjalankan proses mengenai royalti ini dan dengan undang-undang yang ada, MACP merupakan yang paling berjaya di dunia," jelas M. Nasir, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. yang turut memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Selain itu, ketika ditanya mengenai kehadiran komposer dan penulis lirik muda yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, jawab M. Nasir, kehadiran anak muda ini amat dialu-alukan di dalam industri muzik.

"Tidak dinafikan, sebagai seorang 'orang lama' di dalam penghasilan lagu, kita perlu mengikut trend terkini dan saya akui ia agak laju dan kuat saingannya namun itu merupakan perkara yang baik berlaku di dalam industri muzik.

"Kadangkala, apabila mereka menghasilkan lagu dan menyampaikannya sendiri, mungkin ia lebih menjiwai kerana mereka tahu apa yang hendak diekspresikan melalui lagu yang digubah dan mereka yang paling layak untuk mencapainya," komen M. Nasir yang mengaku dia memang sukar untuk berhenti dari menulis lirik dan menggubah lagu.

Bagi penulis lirik terkenal yang telah mula menceburkan diri di dalam bidang menulis lirik sejak tahun 1979, Syed Mohd. Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab telah diberi pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Nadi Cipta yang mana ia juga seperti anugerah tertinggi yang diberi MACP.

"Ini kali pertama saya memenangi Anugerah Nadi Cipta di dalam MACP. Saya sangat gembira kerana diiktiraf oleh badan yang sememangnya telah banyak bantu pemuzik tempatan untuk mendapatkan hasil dari karya yang dihasilkan.

"Saya juga menghargai MACP kerana mereka begitu mengambil berat dan prihatin terhadap pengkarya muzik kita. Dan mereka juga satu-satunya badan yang menjaga royalti artis dan tanpa mereka, kami juga sukar sebenarnya untuk memperoleh pendapatan dari karya yang dihasilkan," tutur S. Amin semasa ditemuramah media.

Sebagai pendatang baharu di dalam industri, dua nama besar Yuna dan Sam dari kumpulan Bunkface juga berjaya mencapai kejayaan melalui kategori masing-masing.

Seperti Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharum yang telah dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi yang mengiktiraf bakat-bakat komposer muda yang berusia 25 tahun dan ke bawah.

Selain berterima kasih, menurut abang kepada aktres Siti Saleha ini, mendengar lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa zaman kanak-kanak turut membantu dirinya di dalam menghasilkan karya bagi kumpulannya ini.

"Sebenarnya lagu-lagu yang saya tulis ialah banyak berkisar tentang perjalanan dan pengalaman hidup saya sendiri. Jujur saya katakan, saya tidak pernah menulis lagu yang tidak pernah terjadi pada saya.


ISTERI Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis, Hariah Yaacob (bertudung) mengambil pengiktirafan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Paling Banyak.


"Kesemua lagu saya merupakan kisah benar dari apa yang saya nampak, apa yang saya mahu dan perubahan yang saya inginkan," ujar Sam yang turut mengatakan oleh sebab itu, RTM mengharamkan single mereka yang berjudul Panik yang hanya mempunyai perkataan reformasi.

Bagi Yunalis Zarai atau nama komersialnya Yuna, semasa mendaftar diri di bawah MACP, dia tahu ini merupakan perkara yang harus dilakukannya bagi melindungi hak ciptaannya dari diciplak.

"Ini kali pertama saya hadir majlis ini dan apabila saya mendapat tahu yang saya memenangi anugerah, saya berasa gembira. Saya juga ada menyarankan rakan-rakan artis baharu yang lain untuk daftar di bawah MACP kerana mereka memang menjaga royalti artis dan ia juga akan melindungi karya ciptaan mereka.

"Bagi saya MACP merupakan satu-satunya badan yang menjaga artis dan karya. Secara tidak langsung, tindakan MACP ini, memberi galakan dan menyokong karier kami sebagai penulis lirik dan komposer," jelas Yuna yang memenangi anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi Dan Sebenarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Deepika tampar hos TV

Posted:

Deepika tampar hos TV

Deepika tampar hos TV


DEEPIKA PADUKONE


DEEPIKA PADUKONE telah bikin gempar! Aktres jelita itu telah mengejutkan umum apabila dia menampar hos TV, Vivaan pada majlis pelancaran program Zoom di Mumbai, India baru-baru ini.

Namun, Deepika nampaknya ada alasan tersendiri. Kata Deepika: "Sebenarnya ia adalah kehendak skrip. Saya diperlukan untuk menampar Vivaan untuk episod pertama Zoom. Jadi saya pun tampar muka dia."

Namun perbuatannya tidak dilihat oleh peminatnya dan masyarakat umum sebagai suatu skrip, justeru keadaan itu memaksa Deepika untuk tampil memberikan penjelasan mengenainya.

Tambahnya kepada lawab web TOI: "Ya, saya faham peminat saya dan masyarakat umum tidak memahami bahawa saya tampar Vivaan itu atas kehendak skrip. Sebab itu saya tampil membuat penjelasan ini supaya tidak timbul masalah di masa depan."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved