Kosmo Online - Varia |
Posted: Cerita porter KinabaluOleh MAZLINA ABDUL MAJID
KETIKA menikmati panorama penuh pesona di kaki Gunung Kinabalu yang menjadi kemegahan penduduk Sabah, sesiapapun pasti mudah menemui sekumpulan lelaki yang sedang khusyuk menyusun sayur-sayuran dan kotak-kotak. Riak wajah mereka amat serius. Entah apa yang melayang di fikiran salah seorang lelaki itu sehingga dia tidak sedar penulis menegurnya. Barangkali, dia tidak mahu diganggu. Melihat senario itu, kami memutuskan untuk beredar ke destinasi seterusnya. Namun, langkah itu terhenti tatkala terserempak dengan seorang lelaki bertubuh kurus melakukan perkara yang sama berdekatan dengan kenderaan kami. Reaksinya amat menyenangkan. Dia melemparkan senyuman kepada kami dan itulah isyarat jelas bahawa dia seorang yang mudah untuk didekati. "Hai, saya porter Gunung Kinabalu di sini, sekarang ini saya sedang menyusun sayur-sayuran untuk dihantar ke restoran di Laban Rata," katanya seolah-olah mengetahui soalan yang akan diajukan kepadanya. Lelaki yang bernama Amirin Saidin, 25, itu, beratnya cuma 40 kilogram (kg). Hairannya, bagaimana dia berupaya memikul bebanan melebihi daripada beratnya? Bagaimanakah pula dia memiliki kekuatan yang sangat luar biasa itu? KATA Amirin, pantang larang seorang porter ialah tidak boleh menghisap rokok kerana ia menjejaskan stamina. Amirin yang berasal dari Ranau itu hanya tersenyum-simpul sahaja dengan pertanyaan bertalu-talu yang datang bukan hanya daripada penulis tetapi rakan-rakan yang lain juga. Jaga makan "Saya jaga makanan saya, saya makan nasi macam orang lain tapi saya tidak hisap rokok," katanya yang hanya mengenakan baju-T hitam, seluar sukan dan kasut sport yang sesuai untuk mendaki gunung sejauh 6 kilometer (km) sebelum sampai ke Laban Rata yang mengambil masa kira-kira tiga jam. Amirin memberitahu, bebanan yang berupa hanya sayur-sayuran seperti sawi, kangkung dan bayam pada hari itu sebenarnya tidak seberapa bagi dirinya. Dia sudah terbiasa. "Ini biasa saja, saya pernah angkut set pemancar RTM seberat 70kg seorang diri," katanya. Demi sesuap nasi juga, Satimin Angat, 39, mencari rezeki dengan bekerja sebagai porter atau pengangkut barang di Gunung Kinabalu sejak lapan tahun lalu. Cerita Satimin yang sudah lapan tahun berkecimpung dengan tugas itu, kebanyakan porter diupah sebanyak RM120. "Biasanya upah itu merangkumi perjalanan pergi balik dan masa turun juga kita akan bawa barang," kata Satimin yang kerap membawa barang seperti simen, pasir dan beras dengan berat antara 35 hingga 55kg. Kebanyakan porter di gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara ini memulakan kerja seawal pagi. Kepada yang mahukan wang ekstra, mereka akan mengambil upah membawa barangan dua atau tiga kali sehari. Ada juga yang berkhidmat dengan para pendaki hingga ke puncak Kinabalu. Seperti kata Amirin, Satimin juga mengakui, rahsia kekuatan fizikalnya adalah disebabkan dia tidak pernah merokok. Tidak pernah cedera Lazimnya, porter akan mengangkut barang seperti beras dan sayur-sayuran. Sememangnya tugas sebagai porter diselimuti dengan cabaran dan rintangan. Kecederaan boleh menerjah mereka pada bila-bila masa. Amirin dan Satimin mengakui hakikat itu. Bagaimanapun, bukan untuk membangga diri, kedua-dua lelaki itu memberitahu, mereka tidak pernah ditimpa ke cederaan. "Benar dan syukur kerana selama menjadi porter, kami okey saja, tidak cedera, mungkin sejak dari kecil kami sudah tahu risiko dan semakin kebal," kata Satimin berseloroh. Bagi seorang porter lagi yang mahu dikenali sebagai Pitol, 39, pula berkata, dia seolah-olah mendapat kekuatan semula jadi sejak kecil. "Saya jenis yang makan sayur setiap hari," tambahnya yang tinggal di Kampung Wanj yang terletak berdekatan dengan Gunung Kinabalu. Terlanjur berbicara, Pitol mendedahkan bahawa dia, Amirin dan Satimin mempunyai pertalian saudara. "Untuk pengetahuan kamu, kebanyakan porter-porter di sini semuanya bersaudara," katanya yang kadangkala mengambil upah menjadi pemandu pelancong dengan bayaran sekitar RM85 sehari. Bagi penduduk yang tinggal sekitar Gunung Kinabalu, berkerja sebagai porter umpama sudah menjadi darah daging. "Kerja ini memang tak popular, nampak susah tapi tidak bagi orang gunung seperti kami, ia sudah sebati. Rasanya mendengar bunyi cengkerik dan tiupan angin hutan lebih menarik daripada berdepan dengan kesesakan lalu lintas di bandar," kata Pitol mengakhiri bicara. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan