Kosmo Online - Negara |
Bergilir ponteng sekolah demi bapa Posted: Bergilir ponteng sekolah demi bapaOleh ADHAM SHADAN
KOTA BHARU - "Sayu hati ini bila tengok anak-anak terpaksa jaga bapa, datuk dan nenek mereka. Sedih mengenangkan pelajaran mereka yang tidak menentu tetapi apakan daya saya kerana tidak boleh berbuat apa-apa." Begitulah rintihan pilu seorang ibu, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang terpaksa meminta lima anaknya ponteng sekolah secara bergilir-gilir demi menjaga suaminya, Zulkifli Deraman, 44, yang mengalami sakit angin ahmar serta bapa dan ibunya yang sakit tua sejak Januari lalu. Dalam nada menahan sebak, Tengku Azizah yang kini terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga berkata, dia berasa cukup sedih apatah lagi apabila melihat pelajaran anak-anaknya itu merosot teruk. "Pihak sekolah ada yang sudah diberitahu ada yang tidak. Sebab ada anak yang minta saya jangan beritahu sekolah kerana mereka segan. "Sekarang saya hanya teruskan hidup sekadar termampu, bertawakal dan berserah kepada Allah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Tok Ku, Sering di sini semalam. Menurutnya, dia keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari. "Kalau dikira setiap bulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti, pendapatan yang diperoleh terlalu sedikit dan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan," katanya. Disandarkan sebagai ketua famili yang mencari sesuap nasi untuk keluarga, Tengku Azizah keluar rumah untuk bekerja di kilang perabot seawal pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 5.30 petang. Ekoran itu, anak-anaknya, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16; Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, pula terpaksa tidak ke sekolah sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjaga bapa, datuk dan nenek mereka.
Semua anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal. Tengku Azizah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nik Muhammad Asyraf, 6, yang belajar di prasekolah. "Suami saya diserang angin ahmar pada bahagian otak menyebabkan dia tidak sedar apa yang berlaku pada tubuhnya dan sukar untuk bertutur. "Dia boleh terbuang air tanpa disedarinya. Saya juga jaga ibu dan bapa saya kerana mereka menjadi tanggungjawab saya memandangkan rumah yang saya duduk ini ialah rumah mereka. Saya sekeluarga hanya menumpang," ujar Tengku Azizah. Dalam pada itu, Tengku Azizah tetap bersyukur kerana seorang anaknya, Nik Muhamad Arif berjaya juga menghadiri peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. Kakak sulung daripada enam beradik itu, Nik Nur Alwani memberitahu, dia dan adik-adiknya terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya yang mengambil alih tugas menyara keluarga. "Selepas bapa menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga. "Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir-gilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja," katanya. Menurut Nik Nur Alwani, selain bapa, dia dan adik-adiknya turut menjaga kedua-dua nenek dan datuknya iaitu Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang uzur. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya (03103-29-00015739-3). Full content generated by Get Full RSS. | ||
25 lebuh raya tawar diskaun tol Posted: 25 lebuh raya tawar diskaun tolOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA KAJANG - Sebanyak 21 syarikat konsesi menawarkan diskaun tol dalam bentuk tunai dan rebat di 25 buah lebuh raya di seluruh negara sempena perayaan Deepavali pada Rabu ini. Pengarah Urusan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Ismail (gambar) berkata, diskaun tersebut bermula semalam hingga Rabu ini dengan kadar antara lima hingga 37.5 peratus atau RM0.10 hingga RM0.70. Beliau berkata, bagi lebuh raya di bawah kendalian Plus Expressway Berhad, diskaun diberi dalam bentuk rebat sebanyak 20 peratus kepada pengguna Kelas 1 bermula semalam sehingga 28 Oktober. "Lebuh Raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuh Raya Link Kedua Malaysia-Singapura. "Walau bagaimanapun, rebat ini tidak diberikan di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Ismail memberitahu, pemberian diskaun untuk lebuh raya lain akan dilaksanakan pada Rabu ini mengikut waktu yang ditentukan oleh syarikat konsesi lebuh raya masing-masing. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Transformasi mula tunjuk hasil Posted: Transformasi mula tunjuk hasilKERAJAAN sentiasa menjalankan usaha untuk menambah pendapatan masyarakat India serta meningkatkan potensi mereka dalam bidang perniagaan. - Gambar hiasan KUALA LUMPUR - Perayaan Pesta Cahaya pada Rabu ini adalah istimewa kerana ia disambut ketika usaha-usaha transformasi negara mula membuahkan hasil, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan dalam penglibatan dan penyampaian terus khidmat kepada masyarakat India telah mula menunjukkan kesan. "Pelbagai inisiatif khas yang kita laksanakan sejak dua tahun lepas telah membuahkan hasil yang mempunyai impak nyata dan positif terhadap individu-individu dan keluarga-keluarga masyarakat India. "Ini telah memberikan kami keyakinan untuk memperkukuh serta meluaskan lagi usaha kami supaya dapat menolong semua yang memerlukan bantuan," katanya dalam blognya www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Hari Deepavali esok. Najib berkata, dalam hal ini, kerajaan akan mengusahakan inisiatif secara langsung untuk menambah pendapatan dalam kalangan masyarakat India. Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited untuk merealisasikan kemahiran perniagaan masyarakat India dan akan melakukan usaha-usaha untuk memupuk potensi itu. "Dalam usaha untuk mencapai wawasan kita untuk menaik taraf kehidupan masyarakat India secara komprehensif, saya memerlukan komitmen dan kepercayaan masyarakat India untuk bekerja bersama saya. "Kepercayaan atau 'nambikei' daripada setiap rakyat Malaysia berketurunan India adalah amat penting dalam menjalin perkongsian penuh dan berkesan di antara kerajaan dan masyarakat," katanya. Najib berkata, ini akan memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini serta generasi masa akan datang. Ujarnya, satu perkara yang penting ke arah transformasi negara adalah hakikat bahawa setiap seorang daripada rakyat negara ini terlibat di dalam usaha tersebut. - Bernama. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan