Kosmo Online - Rencana Utama |
- Jalankan tugas walaupun sakit
- Keluarga kembar Siam ucap takziah
- Gelombang industri pelancongan perubatan Asia
Posted: Jalankan tugas walaupun sakitKETIKA reaksi rakyat Libya masih bercampur-baur mengenai realiti kematian bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi, yang terbunuh akibat tembakan di kepala ketika bertempur dengan penentangnya di Sirte, awan pilu kini berarak menyelubungi rakyat Arab Saudi. Bukan meratapi pemergian ikon Libya tersebut, tetapi mereka hiba lantaran mendapat khabar bahawa bakal pewaris takhta, Putera Mahkota Sultan Abdul Aziz Al-Saud, 85, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Sabtu lalu. Baik Gaddafi mahupun Sultan, kedua-duanya merupakan pemimpin tersohor dengan cara tersendiri. Namun, tidak seperti riwayat perjuangan Gaddafi yang berakhir dengan tragis, kemangkatan putera mahkota itu adalah noktah pilu setelah berjuang dengan masalah kesihatan sejak bertahun-tahun lamanya. SULTAN (tengah) bersama putera baginda, Khaled (dua dari kiri) yang membantunya dalam tugas Kementerian pertahanan membuat lawatan ke bandar Jizan pada tahun lalu. Dalam pada meniti saat persemadian baginda, segala persoalan mengenai keadaan kesihatan dan masa depan tugas baginda itu terus diperkatakan. Pada awalnya, pengumuman tersebut tidak mendedahkan secara terperinci lokasi tepat Putera Mahkota Sultan menghembuskan nafas terakhir mahupun mengulas lebih lanjut mengenai penyakitnya. Namun, sumber rasmi Arab Saudi yang berlegar-legar di Riyadh memberitahu, putera mahkota kesayangan rakyat tersebut meninggal dunia di Hospital Presbyterian di New York. Putera Sultan berhadapan dengan pelbagai komplikasi kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain ke Amerika Syarikat (AS), baginda juga merantau ke Maghribi untuk tujuan sama. Beliau berada di AS sejak Jun dan menjalani pembedahan perubatan pada bulan Julai, namun tiada maklumat mengenai berita perkembangan kesihatannya sejak itu. Baginda didiagnosis menderita kanser kolon sejak tahun 2004 dan pernah mengunjungi Switzerland bagi mendapatkan rawatan. Antara prosedur pembedahan yang dijalani adalah membuang polip di usus baginda. Sejurus pihak istana mengumumkan mengenai putera mahkota itu yang dibenarkan keluar dari hospital, stesen televisyen Arab Saudi tidak menunggu masa yang lama untuk menyiarkan klip rakaman untuk meredakan resah rakyat Arab Saudi. Putera Mahkota Sultan dalam klip itu dilihat sedang duduk memakai jubah tradisional sambil menerima ucapan selamat daripada orang kenamaan. Timbul spekulasi
Keperluan rawatan kanser di AS sebenarnya menyaksikan putera itu meninggalkan Arab Saudi lebih daripada setahun iaitu antara tahun 2008 hingga 2009. Masa selebihnya digunakan untuk proses pemulihan di Agadir, Maghribi. Seorang diplomat Barat juga ada memberitahu mengenai keadaan bahawa Putera Mahkota Sultan bergantung sepenuhnya pada sistem sokongan hayat dan diisytiharkan 'mati secara klinikal' lebih sebulan yang lalu. Oleh kerana laporan itu tersebar, koresponden luar negeri di Riyadh itu dikenakan tindakan dengan dipaksa meninggalkan negara tersebut. Putera Mahkota Sultan yang usianya dua tahun lebih muda daripada saudara tirinya yang kini memerintah, Raja Abdullah telah berkhidmat sebagai Ketua Pertahanan hampir lima dekad lamanya. Namun, kemerosotan kesihatan baginda telah membuatkannya menghabiskan banyak masa di luar negara untuk menjalani rawatan perubatan. Pada 2009, kabel diplomatik AS yang dikeluarkan oleh WikiLeaks melabelkannya sebagai 'tidak berupaya' untuk memerintah. Ada juga sumber menyatakan bahawa pada April 2009, Putera Mahkota Sultan mula menderita penyakit Alzheimer. Dalam keadaan lemah, baginda dilaporkan tegar menyambung tugas sekembalinya ke Riyadh pada Disember 2009, meskipun hanya mampu bekerja beberapa jam sahaja setiap hari. Begitupun, baginda sebenarnya masih sakit dan perlukan rawatan lanjut. Akibat terlalu lama tahap kesihatan baginda tidak berada di tahap yang baik, banyak keputusan penting kerajaan tergendala. Pada masa yang sama, persoalan mula timbul mengenai kesudahan monarki untuk generasi akan datang bagi keluarga Al-Saud. Catur masa depan
Pemergian Putera Mahkota Sultan juga terjadi saat Raja Abdullah, 87, sedang dirawat di hospital di Riyadh seminggu selepas menjalani pembedahan tulang belakang. Menyedari amanah negara yang dipikul Putera Mahkota Sultan perlu diteruskan, Raja Abdullah mengambil langkah awal untuk mencatur masa depan kerajaan baginda. Dalam meletakkan sesiapa sahaja sebagai pengganti, baginda perlu adil membahagikan kuasa dalam keluarga diraja tersebut yang mempunyai ribuan ahli dan puluhan cabang keluarga yang mendominasi institusi pentadbiran, ketenteraan dan perniagaan. "Keseimbangan sering diambil peduli oleh raja-raja. Ia bagi menimbulkan keharmonian dan pembahagian kuasa yang adil di semua peringkat," ujar seorang profesor sains politik di Riyadh, Khaled al-Dakhil. Keluarga Al-Saud telah memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara tersebut pada 1932 dan aliran takhta lazimnya diperturunkan kepada anak-anak lelaki pengasasnya iaitu Abdul Aziz yang kini semuanya sudah tua. Kini, individu yang layak menggantikan tempat Putera Mahkota ialah saudara lelaki baginda sendiri, Putera Nayef Abdul Aziz Al-Saud, 77, yang menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi sekali gus bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri. Pelantikan Putera Nayef adalah menerusi sidang Majlis Baiah (Taat Setia) yang tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Sultan pemurah BANDAR SULTAN pernah menjalin diplomasi dengan AS sebagai duta Riyadh. Usia sebenar Putera Mahkota Sultan tidak pernah jelas. Tarikh kelahirannya seringkali dilapor oleh kerajaan antara tahun 1926 dan 1931. Mula dikenali apabila dilantik sebagai Gabenor Riyadh pada 1947, Putera Mahkota Sultan itu cukup terkenal dengan sifat murah hati kerana sering membantu puak-puak di negaranya, penjawat awam, tentera dan kumpulan keagamaan. Penulis buku The Kingdom, Robert Lacey yang menulis mengenai Dinasti Al-Saud menggambarkan Putera Mahkota bertubuh tinggi dan gempal itu sebagai seorang yang komited dalam tugas. Pada masa yang sama, Putera Sultan membantu ayahanda baginda untuk merangka sistem pentadbiran kebangsaan berasaskan pelaksanaan Undang-Undang Syariah Islam. Anak lelaki ke-15 bagi pasangan Raja Abdul Aziz dan Puteri Hassa Al-Sudairi itu bersama saudara-saudara lelakinya yang lain menerima pendidikan awal dalam hal ehwal agama, budaya moden dan diplomasi di Istana Diraja. Putera Mahkota Sultan diajar oleh guru persendirian dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Baginda juga mengikuti pengajian di sekolah khas untuk putera-putera raja. Walaupun media jarang melaporkan mengenai keluarga baginda, Putera Mahkota Sultan dikurniakan seramai 32 anak hasil daripada perkahwinan dengan ramai isteri. Antara anak-anaknya ialah Bandar, bekas duta di Amerika Syarikat (AS) yang kini merupakan Ketua Majlis Sekuriti Kebangsaan; Khaled yang menjadi pembantunya di Kementerian Pertahanan; Fahd yang menyandang jawatan Timbalan Presiden Sukan dan Kebajikan serta anak-anaknya yang lain, Muhammad, Turki dan Faisal. Putera Mahkota Sultan akan tetap dikenali sebagai putera berperibadi tegas. Baginda turut diingati atas kebenciannya terhadap Komunisme dan kecurigaan terhadap pihak yang 'mengintai' prospek minyak dan pelabuhan di Arab Saudi. Upacara pengebumian Putera mahkota Sultan akan diadakan hari ini (Selasa) selepas jenazahnya tiba dari AS. Pihak istana turut menyampaikan rasa dukacita Raja Abdullah atas pemergian putera mahkota itu. Sungguhpun Putera Mahkota Sultan telah sedaya-upaya menggagahkan diri demi menggalas tugas dan berbakti untuk kerajaan dan rakyat, hasrat serta giliran baginda untuk menaiki takhta masih tidak kesampaian. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Keluarga kembar Siam ucap takziah Posted: Keluarga kembar Siam ucap takziahSELAIN merakamkan takziah buat Sultan, Rosli (tengah) bersama Ahmad (kiri) dan Muhammad berdoa agar Raja Abdullah dikurniakan kesejahteraan. SEKADAR ucapan takziah yang mampu diucapkan oleh keluarga kembar Siam, Ahmad dan Muhammad kepada keluarga diraja Arab Saudi saat dimaklumkan mengenai berita kematian Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdul Aziz Al-Saud yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu. Putera Mahkota Sultan merupakan adik kepada Raja Abdullah yang pernah membiayai pembedahan pemisahan Ahmad dan Muhammad yang menelan kos RM1.7 juta. Pembedahan yang mengambil masa 22 jam 45 minit itu berlangsung pada 17 September 2002 akhirnya telah berjaya memisahkan pasangan kembar Ahmad dan Muhammad dengan selamat di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh. "Saya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga diraja tersebut melalui akhbar dan maklum mengenai berita kematian Putera Mahkota Sultan. "Keluarga diraja tersebut banyak berjasa pada keluarga saya yang tidak mampu dibalas sampai bila-bila. Kami sangat terhutang budi pada keluarga tersebut," kata bapa kembar Siam itu, Rosli Abdul Rahim, 40. Pembedahan pada tahun 2002 itu diketuai Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang kini Menteri Kesihatan Arab Saudi. Beliau bersama sepasukan 17 pakar bedah, sembilan jururawat dan 15 pakar sokongan terdiri daripada pelbagai bidang dan pegawai perubatan. Tambah Rosli, saat terbaca berita tersebut, Rosli terus memaklumkan kepada kedua-dua anak kembarnya. "Walaupun tidak pernah bertemu empat mata dengan Putera Mahkota Sultan sepanjang menjalani rawatan di Arab Saudi, saya pasti pemergian baginda merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat di sana. "Sekalung takziah dari keluarga kami buat keluarga diraja tersebut. Diharapkan seluruh keluarga mereka peroleh kesejahteraan dan kesihatan yang baik lebih-lebih lagi kepada Raja Abdullah yang baru sahaja menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Ujarnya, dia kini hanya bekerja sendiri di rumah dengan membuat kerja-kerja kimpalan supaya senang menjaga isterinya Asiah Kanda, 35, yang menderita kanser payudara. Kini, pasangan kembar tersebut berusia 13 tahun. Selepas sembilan tahun dipisahkan mereka menjalani kehidupan seperti remaja seusia mereka. Malah, kekurangan mereka tidak dijadikan alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Ahmad dan Muhammad kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya, Selangor. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Gelombang industri pelancongan perubatan Asia Posted: Gelombang industri pelancongan perubatan Asia
PELANCONGAN perubatan kini menjadi sejenis perniagaan yang menjana berbilion-bilion dolar di Asia. Daripada pembedahan kosmetik sehinggalah kepada pembedahan pintasan jantung, dan dari hospital di India sehingga ke Singapura, industri ini berjaya mengubati lebih sejuta pesakit dari negara asing. Mengapa konsep pelancongan perubatan menjadi tarikan? Jawapannya, di negara luar terutama di Asia, selain menawarkan harga yang munasabah, tidak wujud sama sekali senarai menunggu. Selain itu, para pesakit asing juga dirawat oleh doktor pakar berbekalkan teknologi yang canggih. Pakar industri meramalkan, pelancongan perubatan di Asia akan meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun, terutamanya dalam segmen pembedahan plastik. "Pelancongan perubatan di Asia semakin menunjukkan pertumbuhan setara dengan kemewahan dan mobiliti yang bertambah baik di benua itu," kata Ketua Pusat Penyelidikan Pelancongan Perubatan, University Of The Incarnate yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS). Mengulas perkara yang sama, laman web Medscape News menganggarkan, Asia boleh menjana kira-kira RM13 bilion pada tahun depan untuk industri itu. Bagi rakyat AS, mereka lebih cenderung dirawat secara peribadi di kediaman sendiri. Cara itu, boleh menjimatkan antara 40 hingga 50 peratus daripada kos perubatan. Namun, bagi seorang pesakit dari Shanghai, China, Liu Xiou Yang, 34, yang melakukan pembedahan kelopak mata dan membetulkan rahangnya di Seoul memberitahu: "Berapa mahal pun kosnya, saya tetap akan pergi." Sebagaimana kencangnya populariti gelombang industri muzik Korea Selatan (K-Pop), begitu jugalah industri pelancongan perubatannya. "Setiap kali saya menonton drama Korea dan rancangan hiburannya, saya merasakan mereka semua cantik-cantik belaka dan saya ingin menjadi seperti mereka," kata Xiou Yang. Obses cantik
Seorang pakar dari Klinik Pembedahan Plastik BK DongYang, Kim Byung-gun berkata, pesakit-pesakitnya berumur dari enam hingga 70 tahun. Kanak-kanak biasanya berdepan dengan masalah kelopak mata berkembar manakala yang dewasa pula berkehendakkan kulit yang mulus. Secara puratanya, kata Byung-gan, untuk satu prosedur perubatan, pesakitnya akan membelanjakan antara RM15,000 hingga RM30,000. Dalam pada itu, dalam penyelidikan yang dilaksanakan CLSA Asia Pacific Markets, rakyat negara China menguasai 60 peratus senarai individu terkaya di Asia. Jadi, tidak hairanlah sekiranya pesakit-pesakit dari negara Komunis itu bertandang ke Korea Selatan dengan membawa gambar selebriti-selebriti Korea dan memberitahu pakar tentang keinginan mereka untuk menyerupai selebriti yang diminati, kata Lee Soo-jung dari Klinik Pembedahan Plastik Lamar di Seoul. Suntik ekonomi Sememangnya, industri pelancongan perubatan menyuntik ekonomi Korea Selatan. Ia dibuktikan dengan kenyataan Institut Pembangunan Industri Kesihatan Korea Han Dong-woo iaitu bilangan pelancong ke negara itu pada tahun lalu mencapai kira-kira 82,000 orang dengan perolehan pendapatan mencecah RM2 bilion. Pada tahun 2020, institut itu membayangkan terdapat berjuta pelancong perubatan yang berkunjung setiap tahun ke sana. Bagaimana pula dengan Thailand, Singapura, Malaysia dan Filipina? Negara-negara itu dilaporkan mempunyai strategi tertentu untuk menarik perhatian pesakit luar terhadap bidang yang spesifik seperti ortopedik dan pembedahan jantung. Di India misalnya, pelancongan perubatannya adalah jauh lebih murah daripada negara-negara Asia Selatan yang lain. Kebolehan para doktornya yang fasih berbahasa Inggeris antara 'faktor selesa' yang menggamit kunjungan pelancong. Ramai tertanya-tanya adakah gelombang industri pelancongan perubatan akan menyisihkan lebih ramai pesakit tempatan? India juga memperkenalkan kategori visa istimewa bagi menarik lebih ramai pelancong perubatan. Thailand pula memperkenalkan negaranya sebagai destinasi dua tujuan iaitu pelancongan perubatan digabungkan bersama percutian santai. TripIndex baru-baru ini mengisytiharkan Negara Gajah Putih itu sebagai bernilai tinggi untuk pelancong AS. Sementara itu, industri kesihatan di Singapura pula dianggap sebagai 'pusat premium'. Kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada kerabat diraja, ahli politik berpengaruh dan artis ternama dari sekitar Asia. Tahun depan, Singapura menyasarkan untuk menarik jutaan pesakit luar setiap tahun sekali gus menjana pendapatan sekitar RM9 bilion. Malaysia tidak kurang hebatnya. Tahun lalu sahaja, negara itu berjaya menggamit 400,000 pesakit asing dan menjelang tahun 2020, sebanyak 1.9 juta orang akan mendapatkan khidmat di sana. Filipina pula menyasarkan pelancong perubatan dari AS, Kanada, Taiwan dan Jepun. Negara itu percaya, mereka berupaya menjana sekitar RM3 bilion pada tahun 2015. Bimbang Walaupun industri pelancongan perubatan memberi pulangan lumayan kepada beberapa negara, ada pihak yang bimbang. Kata mereka, ia akan merangsang ramai bakat baharu untuk beralih khidmat ke sektor swasta. International Journal for Equity in Health pula berpandangan, muka-muka baharu akan terpengaruh dengan gaji dan teknologi yang lebih tinggi dalam industri itu. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya menyatakan, konsep pelancongan perubatan memberi implikasi besar kepada kesihatan awam. Katanya, kemungkinan besar terdapat isu mengenai perkhidmatan itu yang hanya memenuhi keperluan pesakit luar, tetapi mengabaikan keperluan tempatan. - Reuters Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan